Tuesday, December 25, 2007

Restu

Tengku Diana segera ke dapur membancuh teh panas. Dia meletakkannya di meja kecil di samping Mohd Rasul yang tersandar memejamkan mata. Tengku Diana memerhati dan mula meneka-neka kerana soalannya tadi belum dijawab.
“Minumlah air ini.”
Mohd Rasul membuka matanya. Dihirupnya teh panas perlahan-lahan lalu diletakkannya kembali. “Nampaknya keparahan ekonomi berpanjangan dan memberi kesan kepada sekolah!”
“Mengapa abang pulang kerja awal hari ini?”
“Ke mana anak-anak kita?”
“Uwais ke padang. Sarah juga.”
“Mengapa dengan sekolah? Akan ditutupkah?”
Mohd Rasul mengangguk. “Terlalu banyak hutang yuran yang tertunggak. Ibu bapa juga ramai mengeluarkan anak-anak mereka kerana tidak mampu lagi membayar yuran persekolahan.”
Mengertilah Tengku Diana. “Apa rancangan abang sekarang?”
“Janganlah risau. Rezeki Allah di mana-mana. Pendatang asing datang ke Malaysia sehelai sepinggang boleh jadi kaya raya,” balas Mohd Rasul lalu menghabiskan baki air teh di cawannya. “Asalkan jangan memilih-milih!”
“Ya. Saya tahu abang tidak kisah langsung walau kerja itu sesuai atau tidak dengan jiwa abang.”
“Lagi pun anak-anak kita semakin dewasa dan memerlukan banyak perbelanjaan. Kena pandai melihat keutamaannya.”
“Saya tiada halangan. Mudah-mudahan Allah permudahkan segalanya untuk kita.”
“Minggu hadapan cuti sekolah. Elok kita balik kampung. Walaupun sudah ada keluarga sendiri, mereka tetap penting dalam hidup kita."
"Ya, kita mohon doa restu mereka."

Saturday, December 08, 2007

Didaktik dalam naskhah filem

Oleh: BAMBANG SM SAID
APABILA isu filem Melayu semakin mencuat jadi topik perbincangan, saya pun jadi terpanggil untuk menulis. Saya yakin, hampir semua penonton telah terdidik mindanya bahawa asas pembikinan sesebuah filem adalah skrip. Sama ada skrip dipenuhi dengan dialog sahaja, aksi sahaja atau kedua-duanya sekali, kita telah pun maklum skrip tetap asas pembikinan sesebuah filem.
Namun yang paling ketara penonton sering terpesona dengan watak yang melantunkan dialog yang bermakna. Sehingga begitu berbisanya sesuatu dialog, seringlah ia terngiang-ngiang di telinga, sampai bila- bila. Akhirnya watak yang melantunkan dialog tersebut pun menjadi idola.
Menurut Syd Field, dialog merupakan fungsi sesuatu watak. Dialog akan mudah membantu menghuraikan cerita jika anda memahami watak anda. Fungsi suatu dialog berhubung rapat dengan kehendak, harapan dan impian watak dalam sesebuah filem. Dialog hendaklah memberi maklumat atau fakta cerita kepada penonton. Dialog adalah personaliti watak.
Sedar atau tidak sejak kebelakangan ini, industri filem telah dibanjiri dengan filem-filem cinta dan komedi. Keghairahan pembikin filem semakin terserlah apabila pulangan dari filem-filem cinta dan komedi begitu lumayan. Mungkin kerana faktor masyarakat kita yang romantik maka terpanggil untuk menonton filem-filem cinta. Mungkin kerana sikap kita yang ramah dan suka berjenaka maka berduyun-duyun menonton filem komedi.
Kembali kepada persoalan skrip, sejarah perfileman telah banyak membuktikan dialog-dialog filem sering kali terbawa keluar ke dalam dunia nyata. Alasannya cukup mudah kerana dialog-dialog watak dalam filem-filem tersebut punya pesona tersendiri. Pesona yang biasanya menyentuh hati kita kerana dialog watak-wataknya yang mampu menghidupkan watak-wataknya. Sehingga kerana begitu hebat pesonanya, dialog-dialog tersebut menjadi retorik dalam komunikasi seharian. Lebih hebat lagi bila ia mampu menjadi falsafah dalam kehidupan.
Demikian betapa hebatnya kesan dialog daripada sesebuah filem. Ia mampu mendidik penonton untuk memperkayakan perbendaharaan kata dan menyuntik gaya bahasa para penonton. Inilah didaktik yang diharapkan daripada sesebuah skrip filem.
Tidak dapat dinafikan apabila menonton filem-filem cinta, jiwa kita akan tiba-tiba menjadi romantik dan tak mustahil menjadi cengeng. Sedar atau tidak, kita telah terbius dengan dialog dan aksi dalam filem tersebut. Kepada yang sedang bercinta dan yang tiba-tiba mahu bercinta akan cuba menghafal aksi dan dialog watak-watak yang bercinta di dalam filem. Bertuahlah kalau aksi-aksi dan dialog-dialog dalam filem tersebut memberikan sesuatu panduan yang positif dalam kehidupan nyata. Tapi bagaimana halnya kalau aksi dan dialog-dialog tersebut rupa-rupanya semakin merendahkan martabat kita sebagai bangsa Melayu. Bangsa Melayu yang beradab dan kaya dengan nilai etikanya yang tinggi.
Demikian juga dengan filem-filem komedi yang menyelitkan aksi dan dialog yang dianggap melucukan oleh penulis skrip, pengarah dan penerbit yang rupa-rupanya menjadikan penonton orang yang dungu. Saya bukan mahu memaksa pembaca bersetuju dengan pendapat saya. Tapi salahkah bila saya katakan skrip filem cinta yang baik adalah skrip yang mengandungi aksi yang manis etikanya dan dialog yang indah bahasanya?
Sehingga kita pun agak berubah menjadi orang yang romantik dengan sikap yang terpuji, bukan dengan aksi murahan dan dialog-dialog biru. Aksi-aksi dan dialog-dialog yang lucah. Akhirnya dunia percintaan pun musnah kerana nafsu serakah. Itu belum lagi skrip-skrip filem yang terlalu klise dan tidak realiti dalam kehidupan, sehingga tanpa disedari membuatkan kita menjadi orang sering hidup dengan angan-angan yang terlalu muluk dan menerawang. petikan http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera

Wednesday, December 05, 2007

Bacakan Saya Satu Cerita


Sebanyak 162 cerita baru untuk anak-anak yang sedang membesar. Karya sekumpulan penulis tempatan yang kreatif ini disertai illustrasi bewarna yang menarik. Buku berkulit tebal yang mesti dimiliki setiap keluarga.


Kerana sebakul limau...


“Masih ada masa sedikit lagi,” kata Ustaz Rosli.”Ada apa-apa soalan?”
“Ceritalah, ustaz!” pinta Borhan. “Lama ustaz tidak bercerita.”
“Ya!” sahut seisi kelas membuat Ustaz Rosli bertenggek di mejanya.
“Baiklah. Satu cerita sahaja!” kata Ustaz Rosli sambil melihat jam di tangannya.
Pelajar-pelajar mula membetulkan duduk mereka. Pelajar yang mengantuk kembali segar, yang sibuk kembali meluangkan masa. Waktu bercerita begini memang ditunggu-tunggu oleh mereka tetapi jarang berpeluang.
“Pada suatu hari datang seorang wanita bukan Islam menemui Nabi Muhammad. Dia membawa sebakul buah limau sebagai buah tangan ataupun hadiah. Nabi Muhammad menerimanya.”
“Sebakul? Air liur saya mula cair!” Lokman menyampuk dan mengelap mulutnya.
“Ketika itu Nabi Muhammad bersama sahabat-sahabatnya yang lain sedang berbual. Wanita itu pula masih memerhatikan Nabi Muhammad dan sebakul limau yang diberinya. Nabi Muhammad pun mengopeklah limau itu. Dia makan seulas daripadanya. Kemudian seulas lagi. Seulas lagi sehingga habis sebiji. Wajahnya penuh ceria sambil makan limau. Wanita itu masih di situ dan dia tersenyum gembira melihat Nabi Muhammad sudi makan pemberiannya.
“Lihat! Menitis air liur Lokman!” jerit Munir disambut gelak tawa satu kelas.
“Memang mengiurkan pun!” sampuk Ustaz. “Saya pun terliur walaupun saya yang bercerita! Itulah yang terjadi kepada sahabat-sahabat yang duduk di hadapan beliau. Habis sebiji, dikopeknya sebiji lagi. Seulas demi seulas dimakan sendirian dan begitulah seterusnya sehingga habis sebakul. Barulah wanita bukan Islam itu pergi.”
“Nabi Muhammad makan seorang diri sebakul limau itu?” tanya Lokman.
“Ya. Sebaik sahaja wanita itu pergi, Nabi Muhammad berkata kepada semua, beliau tahu tentu sahabat-sahabatnya tertanya-tanya mengapa beliau makan sendirian dan tidak pelawa makan bersama-sama.”
“Ya. Saya juga tertanya-tanya!” sampuk Borhan pula.
“Semua sahabat mengangguk. Nabi Muhammad menjelaskan bahawa kesemua limau yang dimakan itu masam-masam belaka dan dia tahu sahabat-sahabatnya tidak suka limau masam.”
“Mengapa Nabi Muhammad makan juga jika limau itu masam?” tanya Nora pula. “Saya pun tidak suka limau masam!”
“Sebabnya ialah Nabi Muhammad tidak mahu wanita itu kecewa apabila pemberiannya ditolak. Beliau tidak mahu sahabat-sahabatnya makan sebab apabila makan, wajah mereka akan berubah sebab mereka tidak suka. Itu boleh membuat hati wanita itu terguris.”
“Sampai begitu sekali Nabi Muhammad berfikir?” Munir mencelah lagi. “Sehingga sanggup habiskan sebakul limau sendirian?”
“Sebentar kemudian wanita bukan Islam itu datang semula. Sahabat-sahabat Nabi cemas kalau-kalau dia datang membawa limau masam lagi. Rupa-rupanya dia datang dengan satu hajat besar. Katanya dia sengaja hadiahkan limau masam itu kerana hendak lihat sendiri kebenaran apa yang dikatakan oleh semua orang bahawa Nabi Muhammad berakhlak mulia.”
“O...wanita itu hendak uji akhlak Nabi?” tanya Rozi pula.
“Begitulah. Hasilnya dia cukup gembira lalu menyatakan hasratnya memeluk agama Islam. Kali ini dia tidak datang sendirian. Bersama-sama ialah sekumpulan kaum keluarganya yang juga datang kerana hendak memeluk Islam.”
“Fuh! Hebat!” ucap Lokman.
“Akhlak mulia besar impaknya dan memberi nilai tambah yang cukup hebat dalam setiap urusan. Sebab itulah agama Islam sangat tekankan akhlak atau budi pekerti mulia ini.”
Pelajar-pelajar mengangguk mendengar kesimpulan yang diberi oleh guru mereka.
“Jika kamu diberi makanan yang kamu tidak suka, adakah kamu makan sebagaimana Nabi Muhammad makan kerana hendak menjaga hati orang yang memberi!”
Mereka saling berpandangan dan tersengih. Munir bersuara. “Jika sebiji limau mungkin saya sanggup makan tetapi sebakul....”
Belum habis dia berkata-kata seluruh kelas tergelak. Loceng berdering menamatkan cerita Ustaz Rosli tentang sebakul limau masam. “Fikir-fikirkanlah cerita tadi. Kisah Nabi dan sahabat-sahabatnya bukan kisah-kisah picisan yang sia-sia. Ambillah pengajarannya.”

Thursday, November 22, 2007

Hitam berkilat

“Alangkah indahnya bulu merak!” bisik gagak sendirian dari atas pokok sambil memerhatikan merak mengembangkan kepaknya yang beranika warna itu. “Mengapakah bulu merak begitu cantik?”
Gagak terus berfikir. Lama ia berfikir sendirian dan mencari jawapan. “Mungkin ia seorang pembersih dan selalu mandi. Sebab itulah bulunya berseri-seri!”
Gagak terbang ke sebatang sungai. Ia mandi sepuas hatinya. Berjam-jam ia mandi dan membersihkan badan dan bulunya. “Laparnya! Sudah seharian saya di sini!”
Gagak terbang mencari makanan. Ia makan ala kadar sahaja dan segera kembali ke sungai. Ia mandi dan membersihkan bulunya yang hitam itu. Semakin diberus bulunya semakin terserlah warna hitam bulunya itu. “Oh! Mengapa warna-warna cantik seperti merak belum juga keluar? Patutkah saya terus menggosok dan memberus bulu saya ini?”
Gagak tersandar di seketul batu dalam sungai itu. Ia kepenatan memberus dan menggosok bulunya. Tiba-tiba hinggap seekor gagak tua di atas batu itu. “Apa yang kamu buat?”
“Saya memberus dan menggosok bulu saya supaya berwarna-warni seperti merak!”
“Adakah kamu pasti asal bulu merak ialah hitam seperti kita?” (bersambung...)

Tiga juta rakyat Malaysia disahkan sakit mental

SUNGAI PETANI 22 Nov. - Sebanyak 16 peratus atau tiga juta daripada 26 juta penduduk di negara ini disahkan mengalami sakit mental dan jumlah ini adalah sesuatu yang membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Katanya, penemuan data terbaru Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan bagi tahun 2006 mendapati kes gangguan mental di kalangan rakyat Malaysia meningkat sebanyak hampir 6 peratus berbanding kajian yang dijalankan 10 tahun lepas.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 20.3 peratus adalah di kalangan kanak-kanak dan remaja berusia bawah 16 tahun.
“Antara faktor tekanan jiwa di kalangan remaja adalah kerana gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, tekanan daripada keluarga dan sekolah, serta tiada sokongan masyarakat,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Katanya, ada di antara murid sekolah tertekan kerana tidak mendapat semua A dalam peperiksaan dan kemudiannya mereka dihina dan dikatakan bodoh serta tidak berguna untuk hidup, jadi mereka mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah iaitu dengan membunuh diri.
Chua berkata, daripada jumlah itu juga, sebanyak 11.2 peratus adalah pesakit di kalangan orang dewasa dan 19.5 paratus di kalangan warga emas yang berusia melebihi 70 tahun.
“Masalah kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan, beban penyakit itu memberi kesan kepada masyarakat dan negara, dan kos perubatan untuk pesakit mental adalah semakin tinggi, manakala pesakit pula sering tidak mendapatkan rawatan awal kerana percayakan rawatan bomoh,” kata beliau.
Kes membunuh diri juga didapati semakin meningkat dengan sebanyak 20 hingga 30 orang daripada setiap 100,000 rakyat Malaysia membunuh diri setiap tahun.
Beliau berkata, kementerian juga mengalami masalah kekurangan pakar psikitiari kerana stigma masyarakat untuk menjadi pakar jiwa.
“Ada orang kita menggelar pakar jiwa `doktor gila’ dan ini menyebabkan kursus perubatan psikitiari tidak begitu popular sehingga sekarang,” kata beliau.
Katanya, setakat ini, cuma terdapat 145 orang pakar psikitiari dan negara memerlukan lebih 300 pakar lagi dalam bidang itu untuk mencapai nisbah 50 pesakit bagi seorang psikitiari.
Chua berkata, sehubungan itu, kerajaan mahu usaha mempertingkat kesedaran mengenai kesihatan mental ditambah.
- Bernama
http://www.utusan.com.my/

Friday, November 16, 2007

Bukan sekadar menulis...

PERKEMBANGAN semasa dalam semua aspek yang melanda negara ini terpaksa meletakkan para pengarang bukan sekadar penulis atau deklamator semata-mata. Ia lebih jauh daripada itu.
Antaranya sebagai individu yang bertanggungjawab memperjuangkan maruah bahasa Melayu, mempertahankan kesusasteraan dan memperbaiki kepincangan-kepincangan sosial melalui ketajaman pena.
Tanggungjawab tersebut menjadi lebih besar kepada seseorang penulis yang bergelar Sasterawan Negara. Mereka tidak sekadar memperkayakan khazanah sastera tetapi memperkukuhkan hegemoni bahasa Melayu itu sendiri.
Apalah erti gelaran Sasterawan Negara jika hanya berdiam diri ketika bahasa dan sastera Melayu semakin terpinggir oleh sikap dan pandangan sempit sebahagian masyarakat kita.
“Ramai yang menyangka bahawa sasterawan tidak langsung mempunyai sikap atau pendirian terhadap isu seni dan budaya bangsa. Padahal realitinya tidak begitu.
Warisan
“Hanya segelintir kecil dan khusus yang tahu bahawa Sasterawan Negara sebenarnya tidak bisu; sekurang-kurangnya saya tidak bisu,” kata Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.
Bagi seseorang pengarang dan Sasterawan Negara sepertinya, A. Samad menegaskan bahasa Melayu adalah bahasa budaya dan seni warisan nenek-moyang. Tanpanya kita kehilangan karakter terpenting sebagai bangsa Melayu.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab seseorang Sasterawan Negara dan seluruh pengarang di negara ini untuk melahirkan karya yang harus serasi dengan ucap dan isi zamannya.
Karya-karya seni yang dihasilkan mereka juga mesti berguna kepada masyarakat setidak-tidaknya sebagai khazanah yang boleh dikaji oleh generasi akan datang.
“Para seniman dan pengarang adalah mata, hati, telinga, minda dan lidah masyarakat dan generasi baru yang ada pada hari ini wajar memahami pokok intelektualiti kepengarangan seseorang penulis.
“Percayalah, setiap masyarakat sangat memandang kepada senimannya. Makanya, setiap seniman atau pengarang wajar pula menyedari gelora hidup lahir-batin masyarakat yang harus dibantunya,” ujar beliau.
Sementara itu, Sasterawan Negara, Dr. S. Othman Kelantan berkata, seseorang penulis perlu mempunyai kesungguhan dan memahami semua aspek termasuk langgam bahasa untuk menghasilkan karya kreatif dan imaginatif.
Seseorang penulis juga perlu mempunyai tahap penguasaan bahasa (bahasa Melayu) dengan baik, di samping keupayaan menggunakan pengalaman untuk diterapkan menjadi sebuah karya sastera yang baik.
“Pengalaman dan pengetahuan kita memberi daya fikir yang boleh diwujudkan secara kreatif. Pengalaman bertolak dari realiti. Pengetahuan pula diperoleh daripada pembelajaran kita seumur hidup.
“Novel saya, Orang Kota Bharu (2003) lahir berdasarkan pengalaman saya sebagai penduduk Kota Bharu dan apa sahaja kegiatan termasuk perarakan atau demonstrasi politik dan lain-lain,” katanya.
Oleh itu, walaupun novel atau cerpen hanya sebuah karya kreatif, ia mesti ada daya imaginasi atau daya reka dan sensitiviti atau daya sentuh.
Kekuatan sesebuah karya sastera ialah keupayaan seseorang pengarang mengolah imaginasi dan sensitiviti. Bagaimanapun ia tidak mengikis tujuan asal sesebuah teks sastera untuk membina masyarakat.
Sungguh kegiatan bersastera telah berkembang dan tercerna dalam kerangka ilmu-ilmu sosial ataupun kebudayaan. Gagasan daripada kegiatan itu secara tidak langsung memberi impak besar kepada produksi para pengarang.
Aspek stilistik dalam sastera mempermudah kenyataan keilmuan untuk menemukan format ideal dalam penghasilan karya.
Oleh itu, pandangan kedua-dua Sasterawan Negara sangat jelas. Sastera sentiasa mempunyai fungsi berganda. Satu sisi ia menonjolkan kekuatan intelektual seseorang pengarang dan satu sisi lagi menjadi lidah serta minda masyarakat.
Bagaimanapun, tidak wajar ada tuduhan-tuduhan sempit bahawa Sasterawan Negara tidak menjalankan ‘tanggungjawab’ dalam memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu.
Seperti kata, A. Samad, bila timbul pelbagai isu berkaitan dengan budaya, kesenian dan kesusasteraan, para Sasterawan Negara dan pengarang adalah kelompok yang paling lantang bersuara sama ada menerusi karya mahupun lisan.
Pandangan Antonio Gramsci, tokoh kiri dari Itali, pelopor konsep hegemoni dalam konteks kegiatan intelektual sangat menarik untuk dihubungkan dengan pendapat S. Othman dan A. Samad tersebut.
Gramsci menegaskan kerja-kerja intelektual termasuk sastera mesti menggunakan data empiris dan dikembangkan melalui tulisan.
Kegiatan seperti itu memerlukan perjuangan yang menyeluruh menentang kebiasaan diletantisme (aliran pecinta seni dan sastera) yang hanya mengutamakan keindahan dan bukannya fungsi masyarakat.
Gramsci benar-benar terhegemoni dengan karakteristik kegiatan diletantisme sehingga perlu mengenali sekali gus menjauhinya. Mengapa Gramsci disokong oleh beberapa sarjana menyokong pendapat tersebut?
Sebagai seorang intelektual, seseorang pengarang perlu sensitif terhadap pelbagai isu. Mereka bukan sekadar berkarya tetapi juga membentuk dunia idealisme untuk masa depan masyarakatnya.
Melihat kedudukan kelompok diletantisme (meminjam pandangan Gramsci) memang penting untuk dihindari. Gagasan pengarang meskipun bersifat imaginatif dan fantasi, namun perlu menjadi wadah kepada masyarakat.
Menghindari kelompok diletantisme juga penting bagi kerajaan. Masyarakat bukanlah buah-buah catur yang patut dijadikan permainan spekulatif. Objektif sastera mewujudkan karya yang boleh mendidik dan memajukan bangsa.
Karya sastera pun banyak yang menghindari kegiatan diletantisme sejak berkembangnya sastera moden di negara ini. Antaranya, Putera Gunung Tahan oleh Ishak Mohamad atau Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad.
Teks-teks tersebut menjadi kuat kerana penggunaan disiplin politik, sosiologi, komunikasi, dan latar adat masyarakat Melayu tanpa terlalu terikat dengan estetika sastera.
Bagi S. Othman, seseorang pengarang yang baik perlu mengutip pelbagai aspek positif termasuk pengalaman peribadi dalam berkarya dan menghindari pemahaman dilentatisme.
Ini kerana sesebuah karya sastera bukanlah paparan estetika bahasa semata-mata sebaliknya bagaimana menyediakan wadah membina peradaban bangsa dan membaiki semua kelemahan yang ada dalam masyarakat. petikan Utusan Malaysia http://www.utusan.com.my/

Thursday, November 08, 2007

Ada-ada sahaja...

“Seronok sungguh dapat bermandi manda di sungai ini,” kata Mohd Rasul kepada Ittah.
Beberapa hari hujan turun, paras air sungai lebih dalam daripada biasa. Mereka memerhatikan ke dalam sungai.
Kata Ittah, “Main selam-selam tentu seronok sebab airnya dalam!”
Tambah Pilus pula sambil berlari ke tebing, “Marilah kita mandi sekarang!”
Mereka membuka baju dan hanya berseluar sahaja ketika mandi. Seperti melepaskan segala kebosanan setiap hari ke sekolah, mereka mandi sepuas-puas hati sehingga hari senja.
“Bibir awak berwarna biru,” kata Mohd Rasul kepada Johan.
“Bibir awak juga!”
Suara Pilus terketar-ketar, “Sudah lama kita di dalam sungai ini.”
Ittah berenang menghampiri mereka. “Marilah kita berenang dan menyelam sebelum naik ke tebing.”
Semua sepakat kata, berenang sambil menyelam hingga ke seberang dan kembali semula ke tempat mereka meletakkan baju. Sambil berenang mereka saling tarik menarik di antara satu sama lain untuk mendahului di antara satu sama lain. Akhirnya semua mereka naik ke tebing kecuali Mohd Rasul.
“Mengapakah awak masih berendam? Masih belum puas berenang lagi?” tanya Johan yang hampir siap memakai bajunya.
Tanya Ittah pula apabila terlihat Mohd Rasul berenang ke sana sini. “Apa yang awak cari, Rasul?”
“Seluar saya! Seluar saya hanyut!.”
“Seluar hanyut?” jerit mereka serentak dari tebing sungai.
Mereka cuba menyusur sungai dan mencari-cari seluar Mohd Rasul yang hanyut.
Ittah mula ketawa terkekek-kekek, “Bagaimana pula seluar itu boleh terlucut dari punggung awak?”
“Siapa yang main tarik-tarik tadi?” tanya Mohd Rasul pula meninggikan suaranya.
“Janganlah marah-marah. Kita semua bermain tadi,” celah Johan cuba menenangkan suasana.
“Bagaimana sekarang?” tanya Pilus. “Tidak mungkin Rasul pulang tanpa berseluar pula.”
Mereka memerhatikan Mohd Rasul yang masih berendam di dalam sungai dengan bercampur baur. Kasihan ada geli hati pun ada. Sesekali mereka memandang ke arah lain dan cuba menahankan diri daripada ketawa sehingga bergoncang bahu mereka.
“Biarlah saya beritahu emak awak,” cadang Pilus.
“Awak tunggulah di sini,” pesan Johan pula sebelum mereka semua beredar dari tebing sungai meninggalkan Mohd Rasul bersendirian.
Hampir sejam Mohd Rasul menunggu. Bibirnya semakin membiru. Dia menggigil kesejukkan.
Wak Piah muncul dengan sehelai tuala dan sehelai seluar di tangan kanannya. Di tangan kirinya pula ialah ranting kayu yang dipatahkannya ketika dalam perjalanan. “Bagaimana mandi sungai sehingga tertanggal seluar? Berapa jam kamu menyelam?”
Mohd Rasul tidak menjawab. Dia menggigil kesejukkan. Sambil memakai seluar dia terketar-ketar.
“Besok hanyutkan sehelai lagi seluar!” jerit Wak Piah bersama hayunan ranting kayu singgah ke punggung Mohd Rasul.

Sunday, October 21, 2007

Sujud Qutuz di medan berdarah

“Allahu Akbar!” jerit Jamaluddin Aqusy al Syams serentak dengan libasan pedang di tangannya dengan ledakan semangat dan tenaga yang terkumpul.

Setiap pasang mata terbeliak mengekori topi besi yang tergolek jatuh ke bumi bermandi darah itu. Tiada tutur yang mampu diluah melainkan degup jantung semakin kencang kedengaran di saat libasan pedang dan balingan tombak terhenti buat seketika.

Sebaik sahaja topi besi itu tersandar di sekujur mayat yang terdampar menyembah bumi, terserlah wajah panglima mereka. Kepala panglima terunggul bangsa Tartar diselaputi debu dan darah!

“Kepala Panglima Katabgha!” jerit salah seorang tentera Tartar.

Pasukan tentera Tartar mula hilang fokus. Panglima perang mereka tewas. Libasan pedang dan lontaran lembing tidak lagi sehebat awal peperangan. Barisan tentera mereka mula kucar kacir. Mereka berperang penuh ketakutan dan mula melarikan diri dan medan peperangan. Tentera Islam tidak melepaskan peluang langsung mengejar mereka hingga ke bahagian utara Ain Jalut dan seterusnya sehingga ke Bisan.

Peperangan sengit terus berlangsung. Tentera Tartar terus menggila di medan tempur bagi memastikan mereka terus hidup selepas berakhirnya peperangan. Panglima tertinggi Islam yang merupakan perancang utama pertempuran penuh strategi ini, Qutuz, terus membakar semangat anak buahnya.

“Ya Allah! Bantulah kami!”

Paluan gendang kembali rancak mengiringi hentakan kaki kuda, libasan pedang yang berdentang denting dengan gamatnya. Semakin lama hiruk pikuk itu semakin menyepi dan tiba-tiba suasana menjadi sunyi. Tiada lagi bunyi lagaan pedang dan tujahan tombak mahupun hentakan kaki kuda. Tiba-tiba...

“Allahu Akbar!” laungan bergema oleh tentara Islam sebagai mengistiharkan kemenangan mereka. Disambut bersahut-sahutan oleh seluruh tentera yang masih mampu bersuara walau jasad terbaring rebah berlumur darah bersama linangan air mata kemenangan bercampur hiba kerana lebih mengharapkan syahid....

Panglima Qutuz sujud di medan bersimbah darah menyatakan syukur kepada Allah yang memberi kemenangan di bulan penuh mulia ini iaitu pada tanggal 25 Ramadhan. Tentera Tartar ditewas tanpa berbaki.

Wednesday, October 03, 2007

Bersama harungi pahit getir

Asma binti Umais dipanggil juga Ummu Ubdillah. Suaminya ialah Jaafar bin Abu Talib, diberi gelaran oleh Nabi Muhammad 'Sahabat yang mempunyai Dua Sayap'. Beliau, sepupu kepada Nabi Muhammad dan abang kepada Ali bin Abu Talib.
Nabi Muhammad pernah berkata kepada Jaafar, “Wajahmu miripku dan akhlakmu miripku.”
Pasangan Jaafar dan Asma merupakan di antara kelompok berpindah yang pertama keluar dari kota Mekah ke negeri Habsyah. Malah Jaafar dipilih mengetuai rombongan tersebut yang berjumlah lapan puluh tiga orang lelaki dan lapan belas orang perempuan.
Sepanjang perjalanan yang payah lagi sukar itu, mereka harungi dengan penuh sabar bersama-sama ahli rombongan yang lain. Mereka saling sokong menyokong memberi kekuatan dan semangat.
Tiba di Habsyah, rombongan mereka bergabung dengan rombongan Abu Musa al Asyaari yang tiba dari Yaman berjumlah lima puluh orang.
Mereka sepakat dan bersetuju Jaafar sebagai pemimpin mereka. Malah beliau bertindak sebagai jurucakap ketika berhadapan dengan Raja negeri Habsyah iaitu Raja Najashi. Kepetahan dan kebijaksanaan Jaafar berhadapan dengan Raja Najashi memberi seribu rahmat. Raja Najashi memeluk Islam.
Di bumi Habsyah, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata. Abdullah, Muhammad dan Aunan. Asma setia disampingnya bersama mengharungi pahit getir berada di rantau orang. Tanggongjawab mendidik anak-anak tidak pernah diabaikan.
Anak-anak mereka membesar dalam suasana Islam. Anak sulung mereka, Abdullah amat mirip wajah ayahnya, Jaafar. Manakala semua orang tahu wajah Jaafar paling mirip kepada wajah Nabi Muhammad, sepupunya.
Semakin Abdullah membesar, mirip wajahnya semakin terserlah. Setiap kali mereka merenung wajah Abdullah, setiap kali itulah rindu mereka kepada Nabi Muhammad semakin mencengkam.
Suatu hari mereka mendapat arahan daripada Nabi Muhammad bagi berpindah ke kota Madinah. Alangkah gembira mereka di saat mendapat khabar itu walaupun ianya bermakna sekali lagi mereka akan berpindah. Kerinduan mereka kepada Nabi Muhammad mengatasi segala perasaan lain. “Kita segera berangkat ke Madinah!”
Sekali lagi pasangan Jaafar dan Asma bersama anak-anak mereka yang meningkat dewasa bergabung dalam satu rombongan besar menuju ke Madinah. Sekali lagi Jaafar bin Abu Talib memimpin rombongan. Berpindahlah umat Islam yang dahulunya berasal dari Mekah dan Yaman buat kali kedua dalam sejarah hidup mereka. Kali ini mereka menghala ke Madinah.
Ketika rombongan mereka hampir ke Madinah, satu khabar gembira mereka terima. Tentera Islam menang dalam peperangan Khaibar. Takbir bergema sepanjang perjalanan menuju ke Madinah seolah-olah turut mengiringi ketibaan rombongan mereka.
Ketibaan mereka disambut oleh Nabi Muhammad. “Saya tidak pasti mana satu yang paling menggembirakan saya sekarang. Kemenangan Khaibar atau ketibaan rombonganmu!”
Mereka saling berpelukan di antara satu sama lain.*****

Monday, September 24, 2007

Teka teki

Guru tadika itu menyerahkan beberapa keping gambar binatang dan pokok bagi ditampal ke kertas lukisan masing-masing. Seorang murid ternyata menghasilkan satu tampalan yang lain dari teman-temannya. Sudahlah satu permukaan lukisan basah oleh curahan gam yang melebihi dari yang diperlukan. Sedangkan, gurunya sudah jelaskan sapukan gam ke belakang gambar sahaja.

Hasil kerjanya itu ialah dua ekor gajah saling berhadapan. Seekor berdiri tegak, seekor lagi dalam posisi berbalik. Umpama bas terbalik dan semua tayarnya ke atas... Manakala beberapa batang pokok pula ada yang tegak dan banyak yang ditampal melintang. Pokok tumbang? Ada sebatang pokok yang sengaja dikerat dua dan pangkalnya tegak manakala bahagian pucuk dibiarkan dalam posisi tumbang...

Agaknya mengapa gajah itu tertampal dalam posisi terbalik, pokok dikerat dan sebagainya?

Saturday, September 22, 2007

Cepatnya kiriman

Sejak suaminya terlantar sakit, dialah yang membanting tulang mencari rezeki. Upah kerja di gerai barangan perhiasan sebanyak RM30 sehari dimanfaatkan sebaiknya. Namun secermat mana sekali pun tentu jumlah sebanyak itu tidak mencukupi buat belanja hidup di tengah kota metropolitan ini. Apa sangatlah yang boleh dibelanja dengan nilai sebesar itu.

"Alhamdulillah... beli serba sedikit. Sekurang-kurangnya kami sekeluarga tidak pernah berlapar walau pun terpaksa makan bubur nasi beberapa hari."

Langkah kakinya gagah menapak memasuki sebuah kedai runcit. Di tangannya kemas menggenggam wang upah kerjanya hari itu. Deretan rak di hujung sana dikerlingnya. "Semalam Yana sebut-sebut, sudah lama dia tidak minum jus itu!"

Dia mengira-ngira jumlah barang yang perlu dibayar. Kentang sebiji, bawang besar dua biji, tempe sekeping, ikan tiga ekor, beras, minyak, itu, ini...
"Bakinya tidak cukup membeli sebotol jus yang diingini Yana..." bisiknya sendirian lalu melangkah ke kaunter. "Esok sahaja saya belikan. Yana terlalu inginkannya."

Langkahnya kini lebih pantas. Kiri kanan tangannya membimbit dua bungkusan plastik. Dia perlu segera pulang bagi memasak bahan berbuka puasa. Wajahnya kembali ceria dalam kelelahan apabila tiba di muka pintu lalu segera mengucap salam.

Belum sempat dia melangkah masuk. Sebuah kereta berhenti di hadapan rumahnya. Kawan lamanya. "Kami dari kedai membeli barangan dapur. Entah mengapa tiba-tiba teringatkan awak sekeluarga."

"Jemputlah masuk."

Kawan lama melirik jam di tangan. "Belum masak lagi.... lain kali sahaja saya singgah. Terimalah sedikit buat berbuka puasa."

Satu bungkusan disambut tanpa sempat berbual panjang. Kawannya bergegas masuk ke kereta semula dan berlalu pergi umpama angin petang.

"Banyak awak berbelanja hari ini," sapa si suami dari peraduan. Dia terlantar namun masih gagah berpuasa.

"Ibu beli apa?" tanya Yana menyambut satu bungkusan dari tangan ibunya. "Jus anggur ada?"

"Maafkan ibu. InsyaAllah, esok ibu belikan."

Yana tersenyum. "Tidak mengapa. Jika ibu tidak cukup duit tidak perlulah beli. Saya hanya teringin sahaja."

Si ibu tersenyum lebar. Tangannya kembali ligat mengeluarkan barangan yang dibeli. Juga bungkusan hadiah dari kawan lamanya. "Oh!"

"Mengapa ibu?"

Cucuran air mata ibu membuat Yana turut menyelongkar bungkusan di hadapan ibunya. "Jus anggur!"

"Yana, lihatlah betapa kasihnya Allah kepada kita sekeluarga. Betapa cepatnya ditunaikan permintaan Yana..."

"Yana cuma teringin sahaja...tetapi Allah sudah hantarkan...cepat sungguh!"

"Ucaplah Alhamdulillah. Biar kita menjadi hamba Allah yang bersyukur."

"Alhamdulillah...." ucap Yana sambil memeluk botol jus anggur yang diinginnya buat berbuka puasa.

"Begitulah... Allah itu terlalu dekat dengan hamba-hambanya. Jangan pula kita menjauhkan diri dariNya," si ayah mencelah dari sudut pembaringannya.

Monday, September 17, 2007

Jom Lumba!

"Sudah 6 hari kita berpuasa. Beberapa helai lagi baru tamat juz 6!" ucap Mohd Rasul kepada isterinya sebaik sahaja menutup kitab suci al Quran.

Semangkuk bubur pulut hitam dihidangkan bersama secawan teh. Mahsuri tersenyum lebar. "Basahkan tekak dulu. Kemudian, sambunglah lagi bacaannya."

"Suri pula sudah juz berapa?"

Situasi kerja yang tidak menentu membuatkan mereka mengambil keputusan membaca al Quran sendiri-sendiri. Malah Mohd Rasul turut sama bertadarus di surau berdekatan. 2 kali khatamlah kiranya di bulan Ramadhan ini.

"Juz 11!"

"Juz 11?"

Hampir tersembur teh yang baru dihirupnya. Mujurlah bubur pulut hitam belum disuapnya lagi.
"Mengapa terkejut begitu?" Mahsuri ketawa sambil menghulurkan sehelai tisu.

"Cepatnya!"

Mahsuri terus ketawa terkekek-kekek. Mohd RAsul masih menunggu jawapan isterinya. "Cakaplah apa rahsianya?"

Senyuman Mahsuri masih lebar. "Sebenarnya saya sudah mulai beberapa hari lebih awal!"

"Tak aci!"

"Ala... apa salahnya..."

"Patutlah dah juzuk 11!"

Semangkuk bubur pulut hitam dihabiskan. Sesekali mereka ketawa geli hati.

"Biarlah ...saya boleh khatam dulu! Lagi pun nanti, abang khatam 2 kali."

Jadi?"

"Biarlah yang ini saya khatam dulu!"

"Belum tentu lagi... perlumbaan belum tamat. Masih ada banyak hari lagi..."

Mahsuri terkulat-kulat. "Saya akan pastikan saya juara lumba khatam kali ini."

"Lumba-lumba juga tetapi jangan sampai lupa tujuan utama membacanya. Tajwidnya dijaga."

"Ya. Ya. Saya ingat itu."

Mohd Rasul ketawa sendiri. Mahsuri mengemas mangkuk dan cawan kosong lalu cepat-cepat dibawa ke dapur. Dia kembali semula dan membuka semula kitabnya. Mohd Rasul tersengih memerhati dari jauh. "Kita lihatlah nanti...siapa juaranya!"

Agaknya siapakah juara lumba kali ini?

Friday, September 07, 2007

Teka-teki

Ketika makan malam semalam, anak lelaki saya mengajukan beberapa teka-teki. Saya paparkan salah satunya.

Ada 100 ekor burung bertenggek di sebatang pokok rendang. Seorang pemburu mengacukan senapangnya dan menembak. Sasarannya mengena. Jatuhlah seekor daripadanya. Berapa ekor burung yang masih ada di pokok rendang itu?

Siapa boleh jawab teka-teki ini? Angkat tangan!

Wednesday, September 05, 2007

Cerita kita


Kompilasi cerpen dan komik daripada penulis dan pelukis PTS One khas untuk remaja.
Ada 24 cerpen menarik dan 6 komik eksklusif untuk semua pembaca. Bonus! 2 kad ucapan percuma.

Friday, August 31, 2007

Pesan mereka...

Pabila mengimbau sejarah silam
Orang-orang soleh dan generasi awal
Betapa kehidupan mereka itu
Senentiasa memanjatkan rasa syukur
Dari awal terbitnya fajar
Hinggalah ke lelapnya mata.

Hidup mereka penuh bahagia
Walaupun kadangkala perut terikat ketat
Dek batu-batu penahan lapar
Hanyalah tegukan air sebagai
Pengganti mengalas perut
Sementara menunggu penuh sabar.

Tiada derita, cemas maupun gelisah
Oleh kepayahan hidup yang
Hanya sementara cuma
Malah terus mengalir kebaikan
Kemakmuran dan kesejahteraan
Di mana sahaja mereka menyinggah.

Tidak sekali hidup mereka
Merasakan kesibukan duniawi
Malah hanyalah disibukkan
Dengan amal soleh.

Sedih,hiba dan pilunya
Hanyalah kerana memikirkan
Amal yang diusaha saban hari
Mendidik diri dan peribadi
Membina akhlak membenteng diri.
Terus beramal dan bertawakkal
Mengasuh iman mendekat diri
Kepada Allah yang Maha Esa.

Ohh...Kata mereka; terimalah apa jua
Yang diberi Allah sebagai
Suatu anugerah yang
Sememangnya tiada siapa
Yang dapat memberinya
Selain Dia maka
Kamulah manusia terkaya...
Kata mereka lagi;
Terimalah dengan rela hati
dengan bentuk tubuh yang
Dicipta Allah hanya untuk kamu
Walau bagaimanapun suara kamu
Walau bagimanapun keluarga kamu
Semiskin mana pun keadaan kamu
Redhalah....

Mereka berpesan lagi;
Sewajarnya kita semua
Bersenang hati dalam
Menerima sesedikit mana jua
Yang kita punyai malah
Redha dengan apa apa yang
Tidak kita punyai...

ucapkanlah Alhamdulillah.....

Tuesday, August 28, 2007

Anak bertuah

“Saya naik saksi bahawa tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah dan saya naik saksi bahawa Muhammad pesuruh Allah!” lafaz Anas bin Malik dengan lancar mengikuti tutur ibunya.

“Alhamdulillah!” ucap Ghumaisho' binti Milhan, ibu Anas sebaik sahaja anaknya berjaya mengucapkan kalimah yang diajarnya. Dia memeluk Anas dengan dakapan kasih seorang ibu.

“Apakah kalimah yang ibu ajarkan itu?”

“Itulah dua kalimah Syahadah. Kalimah Agung yang menjadi pintu masuk ke dalam agama Islam.”

“Apakah erti kalimah yang ibu ajarkan itu?”

“Ertinya, kamu sekarang ialah penganut agama Islam. Kamu mengaku bahawa hanya Allah yang layak disembah dan Muhammad utusanNya.”

Anas mengangguk perlahan-lahan membuatkan Ghumaisho' menguntum senyum dan menarik nafas lega. Anas membalas senyuman ibunya sambil berkata, “Saya akan menjadi seorang penganut Islam yang baik!”

“Ibu tahu kamu memang seorang anak yang bertuah!”

Saban hari, Ghumaisho atau lebih dikenali dengan Ummu Sulaim mengajarkan tentang Islam yang dipelajarinya kepada Anas. Beliau turut bercerita tentang siapa Muhammad sehingga timbul kerinduan di hati anak kecilnya itu.

“Bilakah saya dapat bertemu dengan Muhammad? Terasa amat rindu sekali.”

“Allah akan kabulkan permintaan baik kamu itu,” pujuk Ghumaisho' memberi harapan.

Sehinggalah hari yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang-orang Islam di Madinah tiba. Mereka mendapat khabar bahawa Nabi Muhammad dalam perjalanan bersama sahabat rapatnya, Abu Bakar. Ketibaan mereka disambut dengan gembira dan penduduk Madinah berebut-rebut mengajak tetamu agung itu singgah ke rumah mereka. Ketika itu Anas berpeluang melihat wajah mulia yang dirindu sekian lama.

Unta tunggangan Nabi Muhammad dibiarkan sahaja melangkah sehingga akhirnya rumah Abu Ayub menjadi pilihan. Bergembiralah keluarga Abu Ayub menerima tetamu agung itu. Orang-orang Islam Madinah tidak putus-putus mengunjungi Nabi Muhammad dan membawa berbagai hadiah atau buah tangan sebagai tanda meraikan tetamu agung itu. Semuanya diterima dengan baik oleh Nabi Muhammad.

Pada hari suatu hari Ummu Sulaim bersiap-siap lebih awal. Anas dimandi dan dipakaikan dengan baju terbaik. Rambutnya disikat dengan kemas dan rapi. Sambil berpimpingan tangan mereka dua beranak melangkah ke rumah Abu Ayub.

Ummu Sulaim turut menziarahi Nabi Muhammad dengan membawa satu hadiah istimewa kesayangannya untuk Nabi Muhammad. “Semua lelaki dan wanita di Madinah memberi hadiah kepada tuan. Saya tidak ada apa-apa selain anak ini. Terimalah dia... dia akan berkhidmat untuk tuan, mengikut apa sahaja yang tuan kehendaki.”

Nabi Muhammad tersenyum dan menghulurkan tangan menyambut anak yang diserahkan oleh Ummu Sulaim. Beliau mengusap-ngusap kepala Anas dan membetulkan anak rambut yang terjuntai di dahi dengan hujung jarinya. Perbuatan Nabi Muhammad terhadap Anas menyenangkan hati Ummu Sulaim membuatnya tersenyum. Bermula hari itu, Anas bin Malik menjadi sebahagian daripada anggota keluarga Nabi MUhammad. Ketika itu Anas berusia sepuluh tahun.

“Hajat kamu dimakbulkan Allah. Kamu akan melihat wajah mulia PesuruhNya setiap masa. Berbuat baiklah,” pesan Ummu Sulaim sebelum beredar.

Anas dilayan dengan baik oleh Nabi Muhammad. Apabila rindu kepada ibu, beliau meminta izin untuk pulang buat seketika dan pulang semula ke rumah Nabi Muhammad yang merupakan rumah pertamanya kini.

Beliau menimba ilmu Islam terus daripada Nabi Muhammad dan merekodkan banyak hadis Nabi dan ia memenuhi dadanya.******

Thursday, August 09, 2007

Permata Habib

“Anak-anak saya juga turut dibawa sama bagi mengikat janji taat setia kepada tuan,” jelas Zaid ketika bersama kelompok tujuh puluh orang-orang Islam daripada Yastrib bertemu dengan Nabi Muhammad.

Abdullah bin Zaid dan adiknya yang masih kecil bernama Habib bin Zaid menghulurkan tangan kepada Nabi Muhammad dan disambut oleh dengan sebuah senyuman penghargaan. Sejak itu cinta dan kasih Abdullah dan Habib walaupun masih kecil berputik kepada Nabi Muhammad.

Mereka turut dibawa ke medan perang bersama ibu dan ayah mereka, Zaid bin Ashim dan Ummu Amarah. Ibunya merupakan wanita pertama mengangkat senjata mempertahankan agama dan membela Nabi Muhammad. Mereka menyaksikan peperangan demi peperangan yang bermati-matian hanya kerana menegakkan agama Allah.

Sehinggalah ke usia remaja Habib diberi tanggongjawab memegang bendera Islam di medan perang. Beliau mara tanpa rasa gentar apatah lagi mereka adik beradik sudah didedahkan dengan perjuangan sejak kecil lagi.

Pada suatu hari Nabi Muhammad memilih Habib sebagai pembawa utusan kepada Musailamah bin Habib bin al Hanafi yang mengaku dirinya juga Pesuruh Allah. Musailamah digelar sebagai Musailamah al Kazdzab yang bermaksud, Musailamah Pembohong.

“Ikat utusan itu!” jerit Musailamah bin Habib bin al Hanafi, mengarahkan orang-orangnya selesai sahaja surat perutusan dibaca.

Dada Musailamah berombak menahan marah dan geram sebaik sahaja membaca surat yang diterimanya dari utusan Nabi Muhammad, Habib bin Zaid.

Musailamah kembali murtad setelah dia pulang kepada kaumnya, Bani Hanifah. Malah mengajak kaumnya menyertainya. Ajakan Musailamah tidak sia-sia. Kebanyakkan kaumnya menerima kata-kata Musailamah bahawa dia adalah nabi yang diutuskan tuhan untuk kaum Hanifah walaupun ada yang jelas Musailamah adalah pembohong tetapi atas dasar sekaum, mereka menyokongnya juga.

Keesokkan paginya Habib yang diikat, diheret ke satu majlis dengan kasar. Beliau diheret dengan kasar ke tengah-tengah kaum yang penuh dengki dan sombong itu. Musailamah berjalan angkuh mendekati Habib. “Adakah kamu mengaku Muhammad itu Pesuruh Allah?”

“Ya. Saya mengaku Muhammad itu Pesuruh Allah!”

Dada Musailamah tiba-tiba kembali berombak mendengar jawapan Habib. “Adakah kamu juga mengaku bahawa aku ini Pesuruh Allah?”

Habib merenung wajah Musailamah dengan mencebikkan bibirnya. “Telinga aku tuli kerana tidak pernah mendengar perkataan begitu!”

Musailamah menggetap bibirnya dan menggenggam tangan lalu menoleh ke arah pengawal-pengawalnya yang bersiap sedia menunggu apa sahaja arahan daripada tuannya dengan pedang tajam berkilau terhunus di tangan.

“Potong cuping telinganya!”

Tanpa belas, kedua belah cuping telinga dilibas dan jatuh ke bumi. Musailamah mengelilingi sekujur jasad Habib tanpa telinga dengan pandangan mengejek diadun benci. “Adakah kamu mengaku Muhammad itu Pesuruh Allah?”

“Ya! Aku mengaku bahawa Muhammad Pesuruh Allah!” jerit Habib anak pasangan Zaid dan Ummu Amarah dengan kuat dan tegas tanpa gentar walaupun titisan darah mengalir di kiri dan kanan bahagian telinganya.

“Adakah kamu mengakui aku Pesuruh Allah?”

Linangan darah merah mengalir di tepi wajah anak muda yang berani itu tidak sedikit pun membuatnya tidak selesa. “Aku tidak pernah dengar kata-kata itu!”

“Potong tangannya!”

Kini kedua belah tangan mulia milik anak muda mulia dilibas dan gugurlah ke bumi. Pengikut-pengikut Musailamah bersorakan menyokong tindakan gila ketua mereka yang semakin menjadi-jadi. Dalam bersorakan itu mereka masih bingung dan hairan dengan Habib.

“Mengapa anak muda itu tidak mengikut sahaja kata-kata Musailamah?”

“Ya. Hairan sungguh. Anak muda itu lebih rela diperlakukan begitu daripada mengaku Musailamah adalah pesuruh Allah!”

Mereka tersentak oleh jeritan Habib yang memenuhi ruang hukuman itu. “Aku mengaku Muhammad itu Pesuruh Allah!”

Musailamah semakin menggila. umpama orang hilang akal dia juga turut menjerit memberi arahan. “Potong kakinya!”

Kedua belah kaki yang sejak kecil melangkah ke medan perang itu jatuh terkapai. Musailamah melihat tanpa belas malah benci dan marahnya semakin meluap-luap dengan jawapan sama yang berulang-ulang dari mulut Habib. Matanya berpinar-pinar menyala umpama seekor naga ganas yang tidak pernah puas.

Akhirnya, cedera parah yang ditanggong oleh Habib menamatkan riwayat hidupnya. Pergilah seorang anak muda kebanggaan pasangan Zaid dan Ummu Amarah yang berkorban demi menegakkan agama Islam di usia yang begitu muda.******

Sunday, August 05, 2007

Sudah terbit!


Semailah budi pekerti yang baik

Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik mula mengajukan soalan kepada Salamah bin Dinar, seorang hakim terkenal di Madinah ketika itu. “Mengapa kita takutkan mati?”

“Sebab kita terlalu membangunkan dunia dan kita musnahkan akhirat kita. Jadi, kita tidak suka untuk keluar dari dunia yang kita bangunkan ke akhirat yang kita musnahkan.

“Benar,” Khalifah Sulaiman mengiakan jawapan Salamah. “Apakah mungkin kita mengetahui nasib kita di hadapan Allah kelak?”

“Bandingkan amalanmu dengan kandungan Kitab Alllah. Nescaya engkau akan mengetahui nasibmu di hadapan Allah kelak.”

“Kandungan ayat yang manakah di dalam kitab Allah?”

“Ayat dari Surah al Infithaar. Semua perbuatan manusia dicatit oleh malaikat dan akan mendapat balasan yang seimbang.kata-kata Allah yang bermaksud; 'Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam surga yang penuh nikmat; dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, tempatnya di dalam neraka yang menjulang-julang.'”

“Di manakah rahmat Allah?” tanya Khalifah Sulaiman lagi.

“Kata Allah yang bermaksud, 'Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.'”

“Alangkah baik jika saya tahu bagaimana hendak berhadapan dengan Allah kelak!”

“Manusia yang baik umpama perantau pulang ke pangkuan keluarganya. Sementara manusia yang tidak baik pula umpama hamba yang melarikan diri kemudian diheret menemui tuannya.”

Mendengar kata-kata Salamah itu, Khalifah Sulaiman menangis teresak-esak. Dia menatap wajah hakim terkenal itu dengan cucuran air mata. “Bagaimana saya boleh menjadi manusia yang baik?”

“Buangkan segala rasa sombong dan semailah budi pekerti yang baik.”

Sunday, July 29, 2007

Sesudu madu lebah



Seorang perempuan berjalan lemah di jalanan mencari sesuatu bagi mengembalikan tenaganya meneruskan perjalanan. Dia merayau-rayau sehingga tiba di hadapan sebuah rumah. Katanya, “Biarlah saya ke rumah ini!”
Perempuan itu menghampiri rumah itu. Rumah itu milik Al Laits. Pintu rumah itu terbuka luas dan berdiri di hadapannya dua orang lelaki. Perempuan itu menghampiri dengan lemah, “Mudah-mudahan apa yang saya perlukan boleh didapati di rumah ini.”
Pinta perempuan itu sebaik sahaja muncul di hadapan rumah Al Laits, “Berikanlah saya sesudu madu lebah supaya saya kembali bertenaga,”
“Hanya sesudu madu lebah yang kamu perlukan?” tanya Al Laits kembali.
“Ya. Memadailah dengan sesudu madu lebah!”
Al Laits berbisik kepada pembantunya, “Berikan perempuan itu setin madu lebah.”
Pembantu Al Laits menghilang dari muka pintu dan kembali semula dengan satu tin madu lebah sepertimana yang disuruh oleh tuannya dan menyerahkannya kepada perempuan itu sehingga perempuan itu berubah wajah kerana terkejut dengan jumlah madu yang diberikan kepadanya. “Oh!...saya hanya memerlukan sesudu madu sahaja. Pemberian ini melebihi apa yang saya perlukan.”
“Ambillah. Ini ialah pemberian dari tuan saya.”
Perempuan itu mengucapkan terima kasih berulang kali lalu meningalkan rumah Al Laits sambil membawa setin madu lebah di tangannya. Pembantu rumah kemudian menemui Al Laits dan menceritakan apa yang dikatakan oleh perempuan itu lalu.
“Perempuan itu terkejut kerana tuan memberikan melebihi dari apa yang dimintanya.”
Al Laits berkata, “Perempuan itu meminta sekadar keperluannya manakala kita pula memberi kepadanya sekadar nikmat yang menjadi tanggongan kita.”
Al Laits terkenal sebagai seorang yang kaya dan sifat pemurahnya kepada fakir miskin. Dia tidak akan bercakap setiap hari sebelum bersedekah kepada tiga ratus enam puluh orang miskin.
“Semua yang saya miliki ini ada bahagiannya untuk mereka.”

Friday, June 15, 2007

Rindu Ayah



Bersimpuh aku di pusara ayah
kemboja-kemboja putih kutaburi
al Fatihah kukirim
bersama siraman air mawar.

Sunyinya hidup tanpa ayah
penunjuk jalan pengingat alpaku
bimbingan ayah tidak mungkin
kulupa walau jasad bercerai roh.

Ayah...
tiba-tiba sahaja aku merinduimu
ingin sekali kucium tanganmu
yang begitu banyak berkorban
untukku.

Ayah....
Terimakah titipanku?
yang kukirim saban waktu
istimewa dan khusus untuk
ayah seorang.

Ayah...
berbahagialah di sana
bersama teman-teman
yang pastinya baik-baik
seperti ayah.

Ayah....
selayaknya ayah bersama-sama mereka
yang menjadi kesayangan Allah
yang menjadi kekasih Allah.

Tuhan...
limpahlah rahmat
bersama barakahMu
kepada dia
ayah yang kukasih.

Tuhan...
layakkah aku
bersama ayah dan teman-temannya
di tempat bahagia yang
dilimpahi rahmat dan barakah
sepanjang masa itu?

Kasih Ayah Penunjuk Jalan



“Sudah dapat gaji?” tanya Pakku Razak kepada Tengku Mahsuri.
“Belum.”
“Bila dapat? Sudah hujung bulan sekarang!”
“Sehari dua lagi dapatlah.”
Pakku Razak mula menyalakan paip antiknya. Berkepul-kepul asap keluar daripada corong umpama corong kapal. Sesekali Tengku Mahsuri dan adik beradiknya ketawa terkekek-kekek melihatkan asap seperti corong kapa itu.
“Bila dapat gaji beritahu ayah,” pesan Pakku Razak.
Makku Anis pula sibuk membelek barang-barang bisnesnya. Emas kuning yang biasa dipakai, emas putih yang jarang dipakai orang hinggalah pelbagai jenis pewangi. Semuanya mahal-mahal dan tentunya hanya golongan tertentu sahaja mampu membelinya.
“Ya. Hendak beli apa-apakah?” tanya Tengku Mahsuri sambil membelek-belek set emas putih dari bekasnya.
“Nama Mahsuri ayah tempah bagi acara korban bulan hadapan.”
“Bahagian korban?” tanya Tengku Mahsuri kembali.
“Aidil Adha sudah dekat. Senarai nama pun sudah ditutup,” terang Pakku Razak. “Mujurlah ayah kenal baik dengan orang yang uruskan semua itu.”
“Selama kamu di KL, pernah ambil bahagian korban?”
Tengku Mahsuri menggeleng. “Tidak pernah!”
“Gaji pertama nanti jangan lupa serahkan kepada ayah. Ayah hendak bayar kepada Pak Hasyim.
“Berapa?”
Pakku Razak menjeling. “Sedikit sahaja!”
Itulah pertama kali secara rasminya Tengku Mahsuri melibatkan diri dalam acara korban. Seterusnya setiap tahun Pakku Razak mengingatkannya dan akhirnya menjadi tradisi pula. Ayah sebahagian, ibu sebahagian dan Tengku Mahsuri sebahagian. Adik-adik yang lain masih berseklah.
“Saya pun hendak masuk bahagian korban!” sampuk Tengku Adi.
Pakku Razak tersengih sebaik melepaskan kepul-kepul asap paipnya. “Tunggu kamu dapat gaji pertama. Jangan lupa!”
“Kamu sudah bertahun kerja di KL baru sekarang hendak mengambil bahagian. Kenalah ingat orang-orang susah di hari baik bulan baik begini,” tambah Pakku Razak lagi. “Janji tuhan buat balik dibalas baik.”
Tengku Mahsuri diam tidak menjawab. Itulah sebaiknya. Dengar dan hadamkan. Kasih ayah penunjuk jalan.
Makku Anis turut menambah sesi ingat mengingati itu. Tengku Mahsuri dan adik-adik diam membisu dan mengangguk-angguk. Tetapi tangan sibuk mencuba barang kemas sekotak demi sekotak.
“Sudah jauh daripada orang tua. Siapa yang boleh mengingatkan!”
“Esok-esok ketika kita susah, Allah tentu tengok-tengokkan kita,” Pakku Razak pula mencelah. “Itu janji Allah kepada sesiapa yang ikhlas berbuat baik.”
“Cuba kalung emas putih ini!” suruh Makku Anis sambil menghulurkan sebuah kalung emas putih.
Tengku Mahsuri menerima lalu mengkalungkan ke lehernya. “Cantik?”
“Memang padan!” balas Makku Anis tersenyum hingga ke telinga. “Tetapi itu milik Toh Puan Hanim.”
“Oh! Ingatkan untuk saya!” usik Tengku Mahsuri lalu ketawa.
“Kakak tidak payah pakai kalung!” sampuk Tengku Adi.
“Mengapa?”
“Sekejap sahaja mesti entah ke mana kakak campak!” balas Tengku Adi lalu bangun menjauhkan diri daripada kakaknya. “Gatallah, tidak selesalah, beratlah!”

Thursday, June 14, 2007

Kembang Hidung!


Akhirnya Makcik Rosni muncul di halaman membuatkan Amir menarik nafas lega. Makcik Rosni tersenyum membalas senyuman anak bujangnya. Dia meletakkan baki jualan di beranda dan duduk di anak tangga. "Kamu membuat ampaian itu?"
"Ya. Tidak perlulah ibu bergegas mengangkat semua pakaian itu apabila hari hujan.. Biarkan sahaja di situ!"
"Pandai kamu berfikir!"
"Tentulah. Bukankah saya anak ibu?"
"Mulalah kembang hidung tu!"
Amir tergelak mendengar komen ibunya. "Banyak baki jualan?"
"Adalah sedikit. Ambillah buat makan sebelum ke sekolah."
Mereka mendongak ke langit yang masih mendung sejak tadi. "Nampaknya hari hendak hujan. Lebih baik kamu cepat-cepat ke sekolah."
"Secepat mana pun saya pergi, saya mesti tunggu Wanie juga!"
Makcik Rosni menoleh ke arah Amir yang tersengih-sengih menyuapkan nasi lemak ke mulutnya. Makcik Rosni memandang dengan wajah hiba. "Ya...ibu terlupa kamu terpaksa berkongsi kasut sekolah!"
"Tidak mengapa."
Bersabarlah...." kata Makcik Rosni dengan nada perlahan. Tiba-tiba dia terasa pilu lebih-lebih lagi melihatkan Amir tetap tersenyum. "Ada duit lebih nanti, ibu belikan kasut sekolah sepasang seorang. Tidak perlu berkongsi lagi."
Amir terus tersenyum mendengar kata-kata harapan ibunya. Dia tidak pernah mengharap apa yang dijanjikan ibunya menjadi kenyataan. Melainkan ligat merancang cara untuk memiliki kasut sekolah dan kasut sukan tanpa menyusahkan ibu ayahnya. Selesai makan, dia segera ke beranda. Setokin yang semakin lusuh di tangan dimasukkan ke dalam poket. Makcik Rosni duduk di anak tangga memerhatikan Amir menggalas beg sekolah pemberian kawannya dan menyarung selipar ke kakinya. "Mudah-mudahan hari ini hanya mendung sehingga ke petang."
"Ya. Janganlah hujan di tengah hari pula!"

Monday, June 11, 2007

Rendam air garam


Sebaik sahaja tiba di rumah, Amir segera menanggalkan kasut dan setokinnya. Dia terus menggaru dan terus menggaru celah-celah kaki kiri dan kanannya. "Gatal.....!"
"Eh! Mengapa?" tanya Makcik Rosni apabila terlihat Amir tergaru-garu jari kakinya di beranda. Kasut sekolah dan setokin tercampak di tepi beranda.
"Gatal! Gatal sungguh celah-celah jari kaki ini!"
Amir terus menggaru tanpa menyedari kesan garunya menyebabkan kulitnya luka dan melecet. Makcik Rosni duduk dan meneliti bahagian kaki yang gatal. "Sehingga merah kamu garu. Lihat ini! Sehingga luka!"
"Saya tidak tahan!" rintih Amir sambil terus menggaru.Amir terus menggaru lagi.
"Lebih baik kamu mandi sekarang. Biar ibu sediakan air garam."
"Air garam?"
Amir mengekori ibunya ke telaga. Wanie turut sama. "Untuk apa air garam?"
"Untuk ubat kaki kamu yang gatal itulah!"
"Air garam itu perlu diminum?" tanya Wanie pula memerhatikan Amir ke telaga.
"Tolong ambilkan tuala!" pinta Amir kepada Wanie.
Wanie beralih ke ruang depan dan mengambil tuala abangnya.
Wanie melihat Makcik Rosni mengisikan sesudu garam ke dalam sebuah besen yang biaa digunakan untuk merendam pakaian. Amir yang siap mandi turut terpandang Makcik Rosni menjerang air. "Jerang air tu untuk apa pula?"
Makcik Rosni tersenyum. Dia tahu Amir cemas dan tertanya-tanya bagaimana rawatan yang akan diberikan kepadanya kerana selama ini kakinya tidak pernah gatal seteruk itu. "Janganlah risau. Semua ini ikhtiar untuk mengubat kaki kamu itu."
"Sekiranya masih gatal juga, bagaimana?" tanya Wanie pula sambil menjeling ke arah jari-jari kaki Amir yang memerah itu. "Lihat itu! Kedua-dua belah kaki abang Amir merah!"
"Sebab dia menggaru. Kukunya sudah ada kuman. Merebaklah gatal itu!"
Sebaik sahaja air menggelegak, Makcik Rosni menuangkannya ke dalam besen yang sudah berisi garam dan air telaga. Dia memasukkan jarinya. "Sudah suam-suam kuku."
"Kamu duduk di bangku beranda dan rendamkan kedua-dua kaki kamu selama yang boleh."
"Begitukah caranya?" tanya Wanie mengekori ibunya dan Amir ke beranda.
"Sekiranya masih gatal juga, terpaksalah kamu ke klinik."
Amir bersandar di dinding dan membiarkan kedua-dua belah kakinya berendam dengan air garam. "Pedihnya!"
"Tempat luka kamu tu memanglah pedih sedikit. Tahanlah!"
Makcik Rosni meninggalkan mereka dua beradik di beranda dan beralih ke dapur untuk memasak. Jam menunjukkan hampir pukul dua petang. Dia cepat-cepat memasak untuk tengah hari. Biasanya waktu makan tengah hari mereka pada hujung minggu lewat daripada hari-hari biasa kerana sarapan pagi yang disediakan biasanya juga berat dan tidaklah mereka cepat lapar. "Ambilkan buku sejarah saya di tepi dinding itu!" pinta Amir.
Wanie tidak membantah. Dia menjeling ke arah kaki Amir di dalam rendaman air garam lalu masuk ke dalam rumah. "Hendak apa-apa lagi?"
"Air masak!"
"Mengarah pula!"
"Tadi kamu yang tawarkan pertolongan!"
"Yalah!"
Sekali lagi Wanie masuk ke dalam dan muncul semula dengan segelas air masak.

"Saya hendak ke dapur tolong ibu memasak!"

Tuesday, June 05, 2007

Watak-watak yang dirindui

















Ketika menikmati keindahan pantai timur tempat kelahiran tiba-tiba teringatkan watak-watak dalam novel KAWAN. Apa khabar agaknya mereka? Sudah beranak pinak mungkin?
Sekiranya mereka juga dapat membaca ingin sekali saya hadiahkan sebuah novel tersebut kepada mereka dan saya katakan kepada mereka, "Bacalah kisah hidup kamu ketika bersama saya dalam novel ini, ya!"






Sunday, June 03, 2007

Perisik tak bergaji

"Sibuk sungguh awak hari ini?" sapa Puan Marina, isteri kedua Datuk Amir ketika terserempak dengan Tengku Mahsuri di muka pintu bilik suaminya.

"Biasalah, Puan. Hujung bulan beginilah."

Tengku Mahsuri terus ke bilik kerjanya. Menyiapkan kerja yang tidak pernah habis. tiba-tiba telefon berdering. Rupa-rupanya isteri ketiga Datuk Amir, Puan Anita menelefon.

"Nombor dua ada di sana?"

"Nombor dua? Apa tu!" tanya Tengku Mahsuri kembali terpinga-pinga sambil mata merenung buku jualan tunai yang perlu dilapurkan kepada bos.

Puan Anita mendengus. Tengku Mahsuri maklum, itu suara tidak puas hati dan dia mula memberi tumpuan kepada kata-kata Puan Anita. "Maaf, puan. Ada apa-apa yang saya boleh bantu?"

"NOmbor dua ada di sana? Marina ada di sana?"

"Oooo....tadi ada. Baru sekejap keluar."

"Dia pakai apa?"

"Dia pakai apa?" tanya Tengku Mahsuri kembali. "Pakai bajulah, puan."

"Ya. Baju apa! Baju baru?"

"Ma...ma...af, puan. Manalah saya tahu itu baru baru atau lama."

Suara Puan Anita mendengus lagi. "Ada dia pakai kalung mutiara warna putih?"

"Saya tidak perasan pula apa yang ada di lehernya."

"Awak jangan main-main, Mahsuri!"

Tengku Mahsuri meletakkan pen dan membetulkan duduknya. Dia mula naik angin apabila beberapa kali ditengking dan diherdik oleh Puan Anita.

"Bila pula saya main-main. Saya cuma terserempak dengan Puan Marina di muka pintu bilik Datuk sahaja."

"Tidak mungkin awak tidak nampak apa ada di lehernya!"

"Mata saya tidak sempat hendak merenung ke situ. Maaflah, puan, saya hendak siapkan kerja sekarang."

"Nampaknya awak sudah jadi member Marina. Saya tanya semua jawab tidak tahu!"

Muka TEngku Mahsuri mula memerah. Dia cepat-cepat menarik nafas panjang dan beristighfar.
"Apalah nasib aku bekerja di sini..."

"Apa awak cakap?"

"Tidak ada apa-apa! Saya cakap saya kena siapkan kerja ini."

"Baiklah. Petang nanti saya telefon lagi."

"Telefon lagi? Hendak tanya apa lagi!" jerit Tengku Mahsuri sendirian sebaik menghempaskan telefon ke gagang. "Jangan-jangan hendak lantik aku jadi perisik tak bergaji!"

Friday, June 01, 2007

Indahnya cinta

“Kahwinkanlah Sofiah dengan Sirin. Janganlah bimbang kerana beliau ialah seorang yang berpegang kuat kepada Islam, berakhlak baik dan berbudi tinggi,” kata Anas bin Malik kepada Abu Bakar yang ketika itu menjawat jawatan sebagai pemimpin Islam yang bergelar khalifah.

Abu Bakar mendatangi Anas bin Malik bagi menyiasat latar belakang Sirin yang datang ke rumahnya melamar Sofiah, pembantu rumahnya. Walaupun Sofiah hanya pembantu tetapi Abu Bakar menganggapnya sebagai anak sendiri dan amat mengambil berat tentang masa hadapan Sofiah. Beliau tidak mahu Sofiah yang dikasihi disia-siakan hidupnya.

Sofiah, seorang gadis cantik dan berbudi tinggi, bukan sahaja menjadi kesayangan keluarga Abu Bakar. Malah isteri- isteri Nabi Muhammad turut menyayanginya terutamanya Aisyah.
Sirin pula, bekas pembantu Anas bin Malik. Beliau dibawa berkhidmat dengan Anas bin Malik ketika menjadi tawanan perang Ain al Tamr yang berlaku di sebuah wilayah di barat Kufah. Peperangan itu diketuai oleh Khalid bin al Walid. Anas amat gembira sepanjang Sirin bersamanya. “Saya bertuah memilikinya.”

Namun, Anas bin Malik membebaskan Sirin. Sirin tidak melepaskan peluang membina hidup baru di samping terus membina hubungan baik dengan keluarga Anas bin Malik yang begitu baik terhadapnya. Beliau hidup merdeka dan menjadi seorang yang berjaya dalam kerjayanya sebagai seorang tukang mahir membuat periuk tembaga. Sehinggalah timbul hasrat untuk berkahwin.

Akhirnya Abu Bakar bersetuju mengahwinkan Sofiah dengan Surin. Kata-kata Anas menyakinkannya bahawa Surin ialah seorang pemuda yang baik dan berjiwa besar. Surin pula berjanji menjaga dan memberi layanan baik terhadap Sofiah. Legalah Abu Bakar sekeluarga melepaskan Sofiah.

Majlis perkahwinan mereka diadakan dengan meriahnya di kota Madinah. Sofiah didandan oleh tiga bekas isteri Nabi Muhammad atau lebih dikenali dengan gelaran ummul mukminin yang begitu menyayangi dan mengambil berat kepadanya. Ia dihadiri oleh seluruh penduduk termasuklah lapan belas orang sahabat awal pejuang Badar. Bertambah seri lagi perkahwinan mereka apabila didoakan oleh seorang penulis wahyu Nabi Muhammad iaitu, Ubai bin Kaab.

Perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Muhammad bin Sirin. Muhammad membesar dalam suasana Islam. Beliau berpeluang mendalami ilmu dan kefahaman Islam daripada sahabat-sahabat awal yang agung seperti Zaid bin Thabit, Abdullah bin al Zubair, Abdullah bin Masud dan ramai lagi.

Permata hati pasangan Sirin dan Sofiah meningkat dewasa dan menjadi seorang tokoh Islam yang terkenal.

Saturday, May 19, 2007

Tolong habiskan...



Isteri menyelimutkan suami dengan gebar tebal. Dibiarkannya baring. Isteri muncul semula dengan sebekas air dan tuala. Dia meletakkan tuala basah ke dahi suami. “Abang hendak makan apa?”
“Entahlah. Tidak berselera. Mulut terasa pahit.”
“Tetapi abang mesti makan. Ubat-ubat yang doktor bagi ini mesti diambil selepas makan.”
Seketika suami diam. Kemudian dia menoleh ke arah isteri yang sabar menunggu jawapan. “Masakkan bubur nasi, boleh?”
“Tentulah boleh....” balas isteri sambil tersenyum
Suami kembali baring di tempat tidurnya. Isteri pula sibuk di dapur memasak bubur nasi. Mengoreng bilis kemudian menumbuknya. Dua mangkuk bubur nasi dihidangkan. Bilis goreng yang ditumbuk ditabur bersama daun sup.
“Makan tengah hari sudah sampai.”
Suami menoleh dengan wajah demamnya. Dia bangun dan duduk di sisi isterinya.
“Tengah hari ini kita makan bubur nasi.”
Suami merenung ke arah semangkuk bubur nasi di hadapannya. “Tidak berseleralah.”
“Makanlah sedikit. Sekejap lagi makan ubat.”
Suami menyuapkan sesudu bubur nasi dan terus meneguk air masak. “Tidak berselera....”
Isteri bangun ke dapur semula dan kembali dengan segelas milo pekat dan biskut. “Mesti makan sesuatu sebelum makan ubat.”
Perlahan-lahan suami mencelup biskut ke milo panas. Isteri pula menemani dengan memakan semangkuk bubur nasinya. Kemudian semangkuk bubur nasi suami diambilnya. “Betul tidak mahu bubur nasi ini?”
“Ya. Habiskanlah. Tidak elok membazir”
Isteri mencapai sudunya dan makan pula semangkuk bubur nasi suaminya.

Esok harinya tekak suami masih terasa pahit. “Abang hendak makan apa tengah hari ini?”
“Sup!”
Tengah hari itu isteri masak sup ayam. Ketika dihidang langsung suami tidak berselera. “Awak makanlah sup itu. Saya tidak selera.”
Sekali lagi isteri menghabiskan bahagian suaminya. Manakala milo panas dan biskut sebagai ganti makan tengah hari suami. Hampir dua minggu barulah demam suami kebah.
“Berat badan abang turun 3 kg!” kata suami sambil tersenyum ketika berdiri di atas penimbang. Isteri turut timbang. “Berat badan saya pula naik 3 kg!”
“Mengapa begitu?”
“Apa tidaknya! Semua bahagian makanan abang saya tolong habiskan!”
Suami ketawa mendengar jawapan isteri. “Baguslah begitu! Tidak membazir!”
“Ya. Tidak membazir tetapi badan saya sudah bertambah beratnya,” balas isteri turut ketawa dari atas penimbang. “Jangan-jangan penimbang ini rosak!”

Tuesday, May 15, 2007

Silap rumah!

Perjalanan ke rumah Datuk Amir hanya mengambil masa tiga puluh minit sahaja. TEngku Mahsuri memandu keretanya.

"Sunyi sepi sahaja rumah bos! Betulkah malam ini atau awak tersilap dengar?" tanya Nuha sambil memerhatikan sekeliling halaman rumah Datuk Amir sebaik sahaja injin kereta dimatikan.

Mereka membuka pintu kereta dan saling berpandangan. Memang sunyi sepi sahaja rumahnya.

"Saya yakin Datuk Amir cakap malam ini!"

"Sudah sampai. Elok kita jumpa Datin Suri sahaja," cadang Azizah.

Mereka semua bersetuju. Loceng ditekan dan muncul Datin Suri dengan tersenyum lebar menyambut kedatangan mereka. Selesai bertanya khabar, Tengku Mahsuri menyatakan tujuan mereka datang. Azizah, Nuha dan Rosni hanya tumpang menambah dan mengangguk mengiakan kata-kata Tengku Mahsuri.

"Kata Datuk, malam ini ada kenduri doa selamat."

"Disuruhnya kami datang bantu apa-apa yang patut," sampuk NUha.

"Kenduri doa selamat?" tanya Datin Suri kembali. Seketika dia termenung. "Rasanya kamu semua salah rumah!"

Tengku Mahsuri dan teman sepejabatnya saling berpandangan. Terkedu! Tanpa banyak bicara lagi, mereka segera minta izin beredar. Bergegas mereka masuk ke kereta.

"Cepat telefon Datuk! tanya dia rumah yang mana satu!" hampir menjerit Azizah memberikan pandangannya sebaik sahaja masuk ke kereta semula.

Tengku Mahsuri menurut sahaja tanpa membantah. Mereka yang lain melopong mendengar suara Tengku Mahsuri berbual dengan bos mereka di telefon bimbit.

"Apa kata Datuk?" cepat-cepat Rosni bertanya dari tempat duduknya di belakang sebaik Tengku Mahsuri mematikan telefon bimbitnya.

Mereka memandang muka Tengku Mahsuri yang mencuka. Tentunya dia kena marah oleh bos!

"Silap rumah!"

"Saya sudah agak!" balas Rosni sambil ketawa terkekek-kekek.

"Ini mesti kes silap rumah!"

"Habis! Rumah yang nombor berapa?" tanya Azizah pula. Dia berusaha menahan gelaknya.

"Rumah nombor tiga!"

"Ha ha ha ha!" gelak mereka bertiga.

Tengku Mahsuri menjeling. "Seronoklah kamu semua. Saya yang kena marah!"

Azizah menepuk bahu Tengku Mahsuri yang mula menghidupkan injin keretanya. "Lain kali tanya sehingga jelas. Bukan awak tidak tahu bos kita ada empat rumah. Rumah yang mana satu!"

Sekali lagi mereka ketawa. Kereta ford kelabu kepunyaan Tengku Mahsuri mula beredar meninggalkan rumah nombor satu Datuk Amir.

"Kita ke sana sekarang?" tanya NUha yang duduk di sebelah Tengku Mahsuri. "Ke rumah nombor tiga?"

Tengku Mahsuri menggelengkan kepalanya. "Datuk suruh balik ofis!"

Monday, May 14, 2007

Wajah Ibu


Jernih sayu mata ibu
Merenung jauh beribu batu
Menembusi dinding dan tembok batu
Jauhnya renungmu wahai ibu
Bolehkah ku tahu apa di kalbu?

Hatiku berbisik ke hati ibu
Kenapa ibu terus membisu
Sambil jemari menggenggam kaku
Begitu ibu terus membisu
Ku meneroka ke hati ibu

Hati ibu membalas bisik
Membisu ibu merindu dakap
Anak-anak yang jauh di rantau
Sudah lama tak kelihatan
Hanya wajah dalam kenangan

Hati ibu terus berbisik
Betapa terkenang usik mengusik
Gelak ketawa adik beradik
Kini hanya hati ibu yang berbisik
Memujuk ibu agar tak serik

Bukan posmen ditunggu ibu
Menghantar wang sekian ribu
Tetapi..sekadar suara-suara yang dirindu
Itu sahaja yang ibu mahu
Biar hilang rindu di kalbu

Tangan ibu ku genggam erat
Ku peluk ibu kuat kuat
Oh ibu…beban rindumu terlalu berat
Ibu…inilah anak-anakmu pulang menatap
Wajah ibu yang penuh berkat.

ezee rahmani
Bukit Mahkota
(Berita Minggu 13hb Mei 2007)

Sunday, May 13, 2007

Ibu


Seraut wajah ibu
Merenung jauh melepasi dinding batu
Menerjah pandangan menjangkau
Suatu suasana penuh rindu

Seraut kasih ibu
Jemari yang semakin lesu
Yang dulu sering membelai bak sentuhan bayu
Ke wajah wajah kecil penuh syahdu

Setetes kenangan pilu
Menyentuh memori ibu
Apakah kabarnya anak-anakku
Rindu dendam menyelinap di kalbu

Pudar sayu mata ibu
Melihat mentari yang hampir berundur
Langit merah menemani ibu
Makin lama semakin kabur



Satu kisah yang berlaku ketika seorang ibu dari sebuah dusun menziarahi Aisyah, isteri Nabi Muhammad, bersama dua anak perempuannya yang masih kecil.

Aisyah menghidangkan tiga biji kurma dan hanya itulah sahaja yang ada untuk tetamunya itu. "Silakanlah makan kurma kurma ini. Hanya inilah sahaja yang ada."
Ibu itu langsung menghulurkan sebiji kurma kepada anak perempuannya setiap seorang manakala sebiji lagi dibiarkannya di dalam piring. Kurma itu tidak dimakannya. Ibu itu terus berbual dengan Aisyah manakala anak anaknya dibiarkan bermain-main tidak jauh dari mereka.

Seketika kemudian, kedua dua anak perempuannya berlari mendapatkan mereka semula. Ibu itu tersenyum lalu mengambil sebiji kurma yang berbaki di dalam piring lalu membelahnya. Setiap anaknya diberikan separuh seorang. Aisyah hanya mampu memerhatikan perbuatan ibu itu dengan perasaan terharu.

Istimewa buat bonda tercinta,
Allah jua yang dapat membalas segala.
"Ya Allah! Kasihanilah ibu ayahku sebagaimana kasihnya mereka terhadapku."

Thursday, May 10, 2007

Teman...



Teman…..
Sudah lama tidak bersua
Masihkah daku diingatanmu?

Teman….
Entah kenapa
Tiba-tiba rindu ku membara kepadamu

Teman…
Teringat ketawa riang
Gurau senda penuh ceria

Teman…
Kita saling bergandingan
Berat sama dipikul,ringan sama dijinjing

Teman…
Sibuk benarkah dikau
Sehingga tiada bisik khabar

Teman…
Tak mungkin ku lupa
Detik indah sepanjang bersama

Teman…
Aku masih di sini
Di mana dikau

Wednesday, May 09, 2007

Bangau o bangau!



Mereka melangkah pulang meninggalkan kedai kasut sambil menyanyi-nyanyi kecil di selang seli dengan gelak tawa. Nazri dan Lokman mendahului langkah manakala Amir dan Rusdi mengikut rentak langkah kaki kawan-kawan di hadapannya. Mereka menghayun seumpama askar sedang berkawat sambil terus mengalun lagu....


"Bangau o bangau! Mengapa engkau kurus?" Nazri dan Lokman menyanyi dan menoleh ke belakang menisyaratkan Amir dan Rusdi menjawab.


"Bagaimana aku tak kurus! Ikan tak mahu timbul....ikan tak mahu timbul...."


"Ikan o ikan mengapa tak mahu timbul?"


"Bagaimana aku nak timbul, rumput panjang sangat! Rumput panjang sangat!" sambil menyanyi rangkap itu hanyunan kaki Amir dan Rusdi semakin tinggi dan kuat menghentak ke tanah.


Akibatnya sebelah daripada kasut Amir tercampak ke dalam rimbunan tanpa disedari oleh kawan-kawan yang lain. Mereka terus menyanyi. "Rumput o rumput! Mengapa panjang sangat?"


Amir mula terjenguk-jenguk bersama Rusdi mencari sebelah kasutnya yang tercampak di rimbunan rumput di tepi jalan. Mereka terus menyanyi, "Bagaimana aku tak panjang, kerbau tak makan aku! Kerbau tak makan aku!"


"Apa yang kamu berdua buat itu?" tanya Nazri dan Lokman lalu turut sama mendekati kedua kawannya.


"Kasut saya tercampak ke sini!"


"Kasut o kasut! Mengapa engkau menyorok?" Rusdi menyanyi mengikut rentak Bangau o bangau dan dibalas oleh Nazri.


"Bagaimana aku tak menyorok! Bau aku hapak! Bau aku hapak!"


Deraian ketawa keempat-empat remaja itu memecah sunyi jalan. Mereka terus mencari sambil menyanyi dan ketawa. Sungguh mencuit hati. Akhirnya sebelah kasut Amir berjaya ditemui di celahan rumput-rumput itu. Ada beberapa ekor katak tidak jauh dari tempat kasut ditemui membuatkan mereka kembali menyanyi....


"Katak o katak! Mengapa panggil hujan?"


"Bagaimana aku tak panggil! Ular nak makan aku! Ular nak makan aku!"


Tiba-tiba Amir dan kawan-kawan berundur jauh dari tempat itu dan segera mengatur langkah.


"Sekiranya ada katak di situ, tentu ada ular!"


"Mengapa?" tanya Lokman.

Monday, May 07, 2007

Promosi buku di Google

Ketika berkunjung kali kedua ke Pesta Buku tempoh hari, kami di booth PTS berpeluang belajar cara mempromosi buku di Google oleh wakilnya Encik Erik Hartmann, Strategic Partnership, Development Manager.

Beberapa hal yang perlu dipastikan terlebih dahulu ialah sudah tentunya anda ada buku yang hendak dipromosi. Sekurang-kurangnya sebuah. Anda juga perlu maklum bahawa penerbit buku anda itu bersetuju anda mempromosikan buku tersebut. Iaitu penerbit memberi izin buku anda boleh ditempah oleh pengunjung yang berada di had wilayah yang dipersetujui. Samada di Asia sahajakah atau seluruh dunia.

Alhamdulillah bagi penulis-penulis buku yang diterbitkan oleh PTS. Pihak PTS yang ketika itu diwakili oleh Puan Nor bersetuju meluaskan promosi ke seluruh dunia. Ketika berada di sana Puan Kusyi Hirdan berjaya mendaftar ke Google. Penulis-penulis lain bakal menyusul.

Bererti buku-buku yang diterbitkan oleh PTS boleh ditempah dari mana-mana tempat yang dapat dicapai oleh pengunjung google yang berminat.

Ini ialah alamat ke web tersebut: https://books.google.com/partner/default

Anda cuma perlu isi borang yang dipaparkan dan ikut arahannya. Mulakan dengan mendaftar diri.

Saya berjaya daftarkan diri semalam. Sekiranya menghadapi apa-apa kesulitan bolehlah tinggalkan mesej di ruang komen atau di cbox. Selamat mendaftar.

Sunday, May 06, 2007

Berakhirnya sebuah pesta...



Lambakan buku pelbagai pilihan
Jurujual melayan ramah sekali
Pilih adik! Pilih kakak! Mari beli!
Harga istimewa potongan 20%!

Berakhir sudah sebuah pesta
Pesta buku antarabangsa
Menemukan penulis dengan pembaca
Buku menjadi pengantara

Saturday, May 05, 2007

Sekalung Tahniah


Saya hanya berpeluang berada di booth PTS selama 3 hari sepanjang berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa 2007. Iaitu pada hari ahad, khamis dan sabtu.

Saya dan penulis-penulis lain hadir bagi sesi autograf dengan peminat di samping mempromosi buku-buku kami. Walaupun ada perasaan segan menjual buku sendiri namun kami tebalkan muka dan cuba melawan perasaan tersebut. Benar kata Puan Sifu PTS, segan dan malu biar bertempat. Apabila buku terjual terasa sungguh seronok. Kami saling mempromosi buku-buku kami kepada pengunjung. Ia merupakan satu pengalaman yang menarik. Di samping itu masa terluang kami berpeluang berbual dan bertukar-tukar pandangan.
Hari pertama iaitu hari ahad, saya bersama Puan Kusyi Hirdan, Puan Saridah dan Cik Majidah. Hari ke dua saya di booth PTS ialah hari khamis. Bersama saya ialah Puan Saridah, Puan Kusyi Hirdan. Hari terakhir saya di sana ialah hari sabtu. Saya bertuah dapat berkenalan dengan Pak Latip. Puan Saridah dan Puan Ainin Naufal turut hadir. Sebelum saya beredar penulis jibunsyi Biarkan Ia Terbang iaitu Puan Norehan muncul. Tetapi sayang saya hanya sempat berbual sekejap sahaja.

Staf PTS pula sepanjang tempoh itu sentiasa ceria dan segar serta ramah tamah melayani kerenah pelanggan. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada anda semua!

Kepada yang telah membeli buku-buku saya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih di atas sokongan anda semua. Sebarang pandangan dan komen silalah emelkan kepada saya. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih.
Kepada rakan-rakan penulis, saya tolong ambilkan 10 buah teaser puisi Koleksi Indah Puisi Cinta untuk sdr/sdri sekalian. Siapa lagi yang hendak saya simpankan untuknya?

Wednesday, May 02, 2007

Pesta Buku: Sarah dan Kasut Tumit Tinggi Licin!


Ahad 11.10 pagi. Puan Engku Zainun (Ezee Rahmani) berada di booth PTS pagi ini bagi menandatangani autograf peminat yang datang.
Tidak sampai 1 jam selepas beliau duduk, novel terbaru beliau “Sarah dan Kasut Tumit Tinggi” habis terjual.

Friday, April 27, 2007

Jom ke Pesta Buku!




Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 di PWTC

Tarikh: 27hb April hingga 6 hb Mei 2007

Sunday, April 22, 2007

Buku terbaru saya


Pernahkah kita terfikir, mengapa Tuhan menciptakan makluk lain selain manusia? Untuk siapakah ciptaan Tuhan ini? Setiap ciptaan pasti ada tujuan. Antara ciptaan Tuhan yang unik dan istimewa adalah haiwan.
Tuhan menciptakan haiwan untuk manusia. Kita menggunakan haiwan untuk makanan, tunggangan, perniagaan malah untuk bermanja. Di mana-mana sahaja kita akan bertemu dengan haiwan. Baik kecil mahupun besar, hidup kita bagai tidak terpisah dengan kehidupan haiwan. Tetapi adakah kita sedar haiwan juga membawa mesej Tuhan?Buku ini menghimpunkan 31 kisah haiwan daripada sumber yang berautoriti dan dipercayai. Ditulis dengan menggunakan ayat mudah dan santai. Buku ini membawa pembaca menyingkap kehebatan pencipta yang mencipta haiwan untuk manusia.

Saturday, April 21, 2007

Jauhnya perjalanan



Awan gelap membawa rahmat
Hujan mencurah membasah bumi
Menghilang haus menyubur tanaman
Pohon layu kembali mekar


Gugurlah segala risau ragu
Singkirlah cemas gelora di hati
Ubati segala luka nestapa
Rawati dengan sentuhan kasih


Buang segala benci iri
Cemburu hasad yang bemain di hati
Sengaja membakar membuat resah
Sirami dengan curahan sayang


Berpimpin tangan mengatur langkah
Biar penghujungnya belum pasti
Namun genggaman erat membina yakin
Jalan dituju tak mungkin tersesat


Bersama suluhan cinta Ilahi
Hati tak henti berzikir
Mohon kekuatan berterusan
Dalam mengharung jauhnya perjalanan.

Thursday, April 19, 2007

Bukan sendiri




Awan kelam pasti berlalu
Bersama turunnya hujan
Tanda rahmah Tuhan
Untuk seluruh makhluk.

Lapangkan dada tenangkan hati
Sepintas ujian sebagai tanda
Sebuah kehidupan
Yang kita tempuhi.

Berdiri kamu bukan sendiri
Tetapi bersama teman-teman
Yang sering mendoa
Untuk sejahteramu selalu.