Friday, April 27, 2007

Jom ke Pesta Buku!




Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 di PWTC

Tarikh: 27hb April hingga 6 hb Mei 2007

Sunday, April 22, 2007

Buku terbaru saya


Pernahkah kita terfikir, mengapa Tuhan menciptakan makluk lain selain manusia? Untuk siapakah ciptaan Tuhan ini? Setiap ciptaan pasti ada tujuan. Antara ciptaan Tuhan yang unik dan istimewa adalah haiwan.
Tuhan menciptakan haiwan untuk manusia. Kita menggunakan haiwan untuk makanan, tunggangan, perniagaan malah untuk bermanja. Di mana-mana sahaja kita akan bertemu dengan haiwan. Baik kecil mahupun besar, hidup kita bagai tidak terpisah dengan kehidupan haiwan. Tetapi adakah kita sedar haiwan juga membawa mesej Tuhan?Buku ini menghimpunkan 31 kisah haiwan daripada sumber yang berautoriti dan dipercayai. Ditulis dengan menggunakan ayat mudah dan santai. Buku ini membawa pembaca menyingkap kehebatan pencipta yang mencipta haiwan untuk manusia.

Saturday, April 21, 2007

Jauhnya perjalanan



Awan gelap membawa rahmat
Hujan mencurah membasah bumi
Menghilang haus menyubur tanaman
Pohon layu kembali mekar


Gugurlah segala risau ragu
Singkirlah cemas gelora di hati
Ubati segala luka nestapa
Rawati dengan sentuhan kasih


Buang segala benci iri
Cemburu hasad yang bemain di hati
Sengaja membakar membuat resah
Sirami dengan curahan sayang


Berpimpin tangan mengatur langkah
Biar penghujungnya belum pasti
Namun genggaman erat membina yakin
Jalan dituju tak mungkin tersesat


Bersama suluhan cinta Ilahi
Hati tak henti berzikir
Mohon kekuatan berterusan
Dalam mengharung jauhnya perjalanan.

Thursday, April 19, 2007

Bukan sendiri




Awan kelam pasti berlalu
Bersama turunnya hujan
Tanda rahmah Tuhan
Untuk seluruh makhluk.

Lapangkan dada tenangkan hati
Sepintas ujian sebagai tanda
Sebuah kehidupan
Yang kita tempuhi.

Berdiri kamu bukan sendiri
Tetapi bersama teman-teman
Yang sering mendoa
Untuk sejahteramu selalu.
Jauh renungan matanya ke sebalik rimbunan pepohon mengkudu yang subur ditanam bagi menyeri sekitar pejabat milik Datuk Amir. Liuk lentuk dedahan ditiup angin lembut membuatnya leka memerhati. Seketika dia terlupa suatu hal yang membelenggu benak fikirnya. Terus termanggu di jendela bilik solat yang disediakan untuk pekerja-pekerja.

"Asyik kamu! Sudah selesai solat?" sergah Nuha sebaik menjenguk masuk.

Tersentak Tengku Mahsuri hingga tangan yang ditongkah ke dagu terjatuh membuat Nuha ketawa berdekah-dekah. "Memang kamu asyik! Mengelamun!"

"Langsung tidak boleh lihat saya aman dan tenang! kamu pasti mengacau!" dengus Tengku Mahsuri sambil menjeling manja ke arah sahabat baiknya. "Ucaplah salam!"

"Baiklah! Baiklah! Maaf! Tetapi kamu sudah solat atau belum?" Balas Nuha sebaik sahaja mengucapkan salam.

Tengku Mahsuri membalas ucapan sambil menggeleng-geleng kepalanya. Langkahnya terus menghala ke ruang wuduk. Nuha mengekori dari belakang sambil terus ketawa terkekek-kekek.

"Memang sudah agak. Kamu pasti belum solat!"

"Sudahlah! Sekarang kita mahu berwuduk, bersihkan diri kita untuk mengadap Tuhan. Jadi, lupakan segala urusan duniawi dan fokus hanya pada Tuhan yang Satu!"

"Ya! Ya! Jangan sekali-kali mengelamun!" usik Nuha lagi.

Cucuran air pili dari bilik solat kedengaran mengalir. Mereka berdua mengambil wuduk tanpa bicara lagi. Seawalnya bersedia sebelum pertemuan dengan Yang Maha Kuasa, siap sedia agar terus fokus hingga solat nanti biarlah solat yang diterima olehnya.

"Siapa yang jadi imam?" tanya Nuha.

"Kamu saja!"

"Semalam juga saya yang jadi imam! hari ini giliran kamu!"

Wajah Tengku Mahsuri yang masih basah oleh simbahan wuduk berseri-seri mengukir senyum buat Nuha lalu melangkah sedikit ke hadapan tanpa bicara. Nuha merapatkan dirinya.

Buat seketika ruang bilik solat sunyi sepi. Kedua sahabat menunaikan solat zohor bersama-sama.

......bersambung

Tuesday, April 17, 2007

Lahirnya seorang cahaya mata

Berita kelahiran seorang bayi lelaki comel begitu menggembirakan seluruh isi rumah isteri-isteri Nabi Muhammad terutamanya di rumah Ummu Salamah. Sehinggakan beliau sanggup menjaga bayi comel dan ibunya dalam tempoh berpantang dengan mengarahkan seorang utusan bagi membawa kedua beranak itu ke rumahnya. Beliau menyambut dengan gembira kedatangan ibu dan anak itu. “Apakah nama anak comel ini?”

“Belum diberi nama lagi,” jawab ibu bayi comel itu, Khairah.


Khairah juga ialah pembantu rumah kepada Ummu Salamah. Ummu Salamah amat menghormati dan mengasihinya. “Berikanlah satu nama untuk bayi saya.”


Ummu Salamah tersenyum dan mencium bayi comel yang belum bernama itu dipangkuannya. “Saya namakannya Hasan.”


Ummu Salamah menadah tangan mendoakan bayi lelaki yang baru diberinya nama itu. Kehadiran Khairah dan bayinya bukan sahaja menggembirakan Ummu Salamah. Malah isteri-isteri Nabi Muhammad yang lain turut merasa bahagianya kerana mereka semua sangat sayangkan Khairah.


Kelahiran Hasan turut memeriahkan sebuah lagi keluarga besar iaitu keluarga Zaid bin Thabit, seorang penulis Wahyu Nabi Muhammad. Ini kerana suami Khairah, Yasar ialah pembantu di rumah Zaid bin Thabit. Seluruh keluarga Zaid amat menghormati dan menyayangi Yasar sebagaimana keluarga Nabi Muhammad menyayangi isterinya, Khairah.


Hasan membesar sebagai seorang anak yang amat bertuah. Pernah satu ketika Khairah keluar rumah menguruskan kerja luar tiba-tiba Hasan menangis lapar. Ummu Salamah dengan senang hati menyusukan Hasan. Bahagialah Hasan mendapat seorang ibu susu daripada kalangan isteri Nabi Muhammad. Malah rumah isteri-isteri Nabi Muhammad ialah tempat bermainnya.


Hasan dikelilingi oleh suasana yang indah. Beliau membesar dalam didikan dan asuhan langsung daripada isteri-isteri Nabi Muhammad yang begitu menyayanginya. Selain rumah para isteri Nabi Muhammad tempat berkunjung Hasan ialah masjid Nabi. Beliau berpeluang mendapat pelajaran daripada tokoh-tokoh hebat, Othman bin Affan, Ali binAbu Talib, Anas bin Malik dan banyak lagi. Sehingga beliau amat mengkagumi Ali bin Abu Talib yang ketika itu menjawat jawatan pemimpin besar Islam.


Keluarga Yasar dan Khairah mewarnai kemeriahan di rumah isteri- isteri Nabi Muhammad yang digelar sebagai “Ummul Mukminim” sehingga beliau berusia empat belas tahun.


Mereka berpindah ke Basrah, sebuah kota terbesar dalam negara Islam. Seterusnya nama Hasan dikaitkan dengan Basrah dan kemudiannya beliau dikenali sebagai Hasan al Basri.******

Kamar Hatinya


Berlinang pilu mengalir sepi
di hadapan Tuhan menghadap diri
menghisab memuhasabah kealpaan sendiri
yang selalu leka dek bujukan nafsu dan tarikan duniawi.


Oh Tuhan…..
pastinya Engkau Maha Mendengar segala bisikan
dari kamar hatinya yang semakin tertekan
serangan duniawi yg tak putus-putus menyerang
bisikan manis nafsu yang mengasyikkan
membuatkannya hampir rebah keletihan.


Kamar hati yang terhias indah
tak mungkin dibiar ternoda
walau dia hampir rebah
namun langkah-langkah longlai itu
akan terus meronda… terus mencari
dinding-dinding kamar yang hampir roboh di sana sini
merangkak dia membaiki
agar tidak sekali-kali mampu dicerobohi
oleh anasir jahat yang sentiasa menanti
menunggu peluang ke atas lekanya hati
dari mengingatiMu wahai Tuhan yang menyaksi
segala detik yang terjadi.


Oh Tuhan…yang Satu
Dialah hambaMu
datang mengadu setiap perilaku
memohon pengampunan dan mengharap kasihMu
condongkanlah dia ke arah rahmatMu
kurniakanlah sedikit kekuatan
untuknya kekal di atas jalanMu.

Tuesday, April 10, 2007


Tuhan….
Berilah kekuatan dan sabar di hati
Untuk terus mampu berdiri
Melangkah terus di perjalanan ini
Biarpun penat semakin menghimpit diri
Biarpun langkah tak sepantas dulu
Namun hatiku tetap mekar dengan janji janjiMu
Jiwa ku masih ghairah untuk mencari
Sesuatu yang diburu sejak dahulu
Walau ada yang beroleh kejayaan
Tak kurang yang keciciran di pertengahan juang

Sunday, April 08, 2007

Jalan Pulang



Inah membelek buku akaun simpanan yang sememangnya dia tahu sudah tidak berbaki kecuali RM30. Lama ditatapnya nombor 3 dan 0 yang terpapar di baris terbawah muka surat buku simpanan yang akhir-akhir ini begitu aktif pengeluarannya tanpa ada rekod kemasukan wang. "Ini sahaja yang ada...."


“Buku latihan belum dibayar. Cikgu cakap esok tarikh akhir bayarnya,” bisik Laila perlahan-lahan menuturkan kata tanpa mahu mengguris hati ibu yang terkebil-kebil menatap buku simpanan bank itu.


“InsyaAllah....esok adalah rezeki yang Allah bagi untuk kita,” balas ibu tersenyum pahit menyakinkan kepada anak agar terus membina harapan.


Pagi itu mereka sekeluarga bersarapan kopi o segelas seorang. Lauk yang dibawa pulang dari kampung beberapa minggu lalu dimasak dengan berdikit dan ternyata itu menjimatkan perbelanjaan yang memang begitu menghimpit sejak suaminya dibuang kerja dan akhir-akhir ini jatuh sakit pula.


“Izinkan saya keluar bekerja,” pinta Inah kepada suaminya yang terbaring di sofa.


“Kerja di mana?”


“Di mana-mana sahaja. Kilang, kedai makan, di mana-mana pun boleh asal halal dan dapat sedikit wang buat perbelanjaan sekolah anak-anak.”


Azam menatap sayu wajah isterinya. Seorang surirumah yang tidak pernah bekerja selama ini. “Mampukah Inah? Inah juga tidak sihat.”


“Saya lebih sihat berbanding abang yang terlantar. Hampir sebulan kita tidak ada pendapatan. Simpanan cuma berbaki RM30 sahaja.”


Air mata Inah mula terkumpul penuh memenuhi ruang kelopak matanya. Sesekali dia menjeling ke arah anak-anak Laila dan Sarah yang sibuk di meja belajar dan akhirnya matanya kembali menatap wajah suami yang dicintainya. “Izinkanlah saya....”


Namun tiada jawapan yang terkeluar dari bibir kering yang hampir sebulan terlantar. Azam memejamkan matanya perlahan-lahan membiarkan Inah di sisi. Inah berlalu meninggalkan suaminya tanpa mendapat satu jawapan.


“Apa lauk tengah hari ini?” tanya Wanie sebaik sahaja melihat ibunya ke dapur.


Tersenyum Inah menunjukkan ole-ole dari kampung. “Jantung pisang!”


“Masak apa?”


“Sambal tumis jantung pisang!”


Wanie mencapai periuk dan membuka bekas beras. “Beras cuma segenggam!”


“Masakkan semuanya dan lebihkan air,” balas Inah tanpa menoleh. Dia sibuk memotong jantung pisang.


“Ibu mahu masak bubur nasi?”


“Ya.”


“Malam nanti bagaimana?”


“Adalah rezeki kita tu. InsyaAllah ada.”


Tengah hari itu mereka menikmati juadah nasi bubur berlaukkan sambal jantung pisang. Licin tidak berbaki...kerana mereka hanya bersarapan segelas kopi o sahaja pagi tadi. Itu pun tanpa gula.


Selesai solat zohor, sekali lagi Inah mendekati suaminya yang bersandar di kerusi membetulkan badan yang sekian lama asyik terbaring. “Izinkan saya keluar mencari kerja.”


Perlahan-lahan kepala Azam mengangguk. "Berat abang melepaskan Inah keluar mencari kerja ... namun apakan daya".
"Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada Inah."
Tidak mungkin Inah mampu melihat situasi begini terus berlarutan menekan hidup tanpa berbuat sesuatu. Petang itu, Inah menyusuri bangunan kilang dan kaki lima. Dia singgah di semua kedai runcit dan kedai makan.
“Ada kerja kosong?”


“Siapa yang mahu kerja?”


“Saya. Saya boleh cuci pinggan, sapu dan kemas semua ini.”


Tuan kedai hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala. “Maaflah. Sudah ramai pekerja di sini.”


Lewat petang Inah melangkah pulang dengan lemah. Dia mendongak ke langit yang semakin berubah warna. Tidak lagi kelihatan langit membiru bersama arakan awan putih. Hanya kelam dan memerah. Segala macam persoalan bermain di benaknya.


Sejenak dia tercegat mematikan langkah terus merenung langit yang hampir kelam. “Astarghfirullah......”


Perlahan-lahan dia menarik nafas dan memejamkan matanya. “Oh Tuhan! Ku sedari hari ini aku diuji dengan kepayahan dan kesusahan.....tanpaMu aku sendirian mengharunginya. Temani aku, pandanglah aku, hambaMu yang sering alpa.....ampunkanlah segala keluh dan rungutku....”


Inah membuka matanya kembali dan melepaskan nafasnya bersama segala kotoran prasangka dan putus asa. Bersama linangan air mata membawa keluar habuk dan sisa-sisa debu yang masih berbaki. Dia pasrah kini lalu menoleh ke arah jalan pulang dan mula menapak mengatur langkah lebih yakin bahawa Allah bersamanya.
....sebuah cerpen.

Saturday, April 07, 2007

Ibu tua mula menggetap bibir apabila anak gadisnya langsung tidak mengendahkan kata-katanya. Dia tidak melakukan apa yang disuruh oleh ibunya. “Mengapa kamu terlalu takutkan Umar? Mana mungkin dia tahu segala-segala yang kita lakukan ini!”

Ibu tua itu berkali-kali mendesak anak gadisnya supaya mencampurkan susu dengan air. Tujuannya ialah mendapat hasil berlipat ganda daripada hasil jualan tersebut.

“Saya tidak takut kepada Umar tetapi saya takut kepada Allah. Allah melihat apa yang kita lakukan! Tidak perlulah kita mengumpulkan keuntungan dan mendapat kemarahan Allah kerana menipu pelanggan.”

Suasana di dalam rumah tiba-tiba menjadi sunyi. Tiada suara kedengaran. Angin subuh yang menghembus di luar semakin mencengkam. Kebetulan ketika itu Umar al Khattab dalam perjalanan pulang dari meronda waktu malam bersama dua orang pembantunya. beliau memberi isyarat supaya mereka beredar dari situ perlahan-lahan.

“Tolong camkan rumah ini. Kita kembali semula ke rumah ini!”

....sedutan kisah Cinta Agung