Wednesday, February 13, 2008

Berikan bahagian mereka

Seorang perempuan berjalan lemah di jalanan mencari sesuatu bagi mengembalikan tenaganya untuk meneruskan perjalanan. Dia merayau-rayau sehingga tiba di hadapan sebuah rumah. Rumah itu milik Al Laits. Pintu rumah itu terbuka luas dan berdiri di hadapannya dua orang lelaki. Perempuan itu menghampiri dengan lemah, “Berikanlah saya sesudu madu lebah supaya saya kembali bertenaga.”

“Hanya sesudu madu lebah yang kamu perlukan?” tanya Al Laits kembali.
“Ya. Memadailah dengan sesudu madu lebah!”

Al Laits berbisik kepada pembantunya, “Berikan perempuan itu setin madu lebah.”
Pembantu Al Laits menghilang dari muka pintu dan kembali semula dengan satu tin madu lebah sepertimana yang disuruh oleh tuannya dan menyerahkannya kepada perempuan itu sehingga perempuan itu berubah wajah kerana terkejut dengan jumlah madu yang diberikan kepadanya. “Oh!...saya hanya memerlukan sesudu madu sahaja. Pemberian ini melebihi apa yang saya perlukan.”

“Ambillah. Ini ialah pemberian dari tuan saya.”

Perempuan itu mengucapkan terima kasih berulang kali lalu meningalkan rumah Al Laits sambil membawa setin madu lebah di tangannya. Pembantu rumah kemudian menemui Al Laits. “Perempuan itu terkejut kerana tuan memberikan melebihi dari apa yang dimintanya.”

“Perempuan itu meminta sekadar keperluannya manakala kita pula memberi kepadanya sekadar nikmat yang menjadi tanggongan kita.”

Siapakah Al Laits? Al Laits terkenal sebagai seorang yang kaya dan sifat pemurahnya kepada fakir miskin. Dia tidak akan bercakap setiap hari sebelum bersedekah kepada tiga ratus enam puluh orang miskin.

“Semua yang saya miliki ini ada bahagiannya untuk mereka.”

Sunday, February 03, 2008

Al Fatihah








petikan dari http://universitipts.com/

Al-Fatihah Buat Buah Hati Sifu
Saya menerima panggilan telefon yang menyampaikan berita duka ini semasa berada di Kamunting, Perak atas urusan pertunangan En. Izwan Arif, pegawai di Jabatan Grafik PTS dengan Cik Faraliza Zainal Abidin, pegawai di Jabatan Kewangan PTS. Maka saya tidak dapat menziarahi jenazah beliau.
Besok, Isnin 4hb, insyaAllah saya bersama En. Zaharin Zain, Pengurus Jabatan Jualan dan Khidmat Pelanggan PTS, Puan Norhazizam, Pengurus Pemasaran PTS, dan Prof. Abdullah Hassan, Penasihat PTS, akan menziarahi ibunya.
Allahyarham Ahmad Zafran Abd. Mutalib, lebih dikenali dengan nama penanya "Panaharjuna" adalah mentee buah hati saya, yang sangat saya kasihi.
Beliau memang menghidap penyakit jantung dan selalu kurang sihat.
Beliau berhenti kerja supaya dapat tinggal bersama ibunya dan menjaga ibunya. Dengan itu beliau mengambil keputusan menjadi penulis sepenuh masa.
Sangat besar jasanya kepada PTS kerana beliau banyak memperkenalkan penulis dan pelukis yang berbakat kepada PTS. Walau ke mana beliau pergi, beliau sentiasa membawa bendera PTS dan sentiasa menyebut yang baik-baik tentang PTS sehingga nama PTS menjadi wangi di kalangan penulis dan pekomik seangkatannya.
Allahyarham tidak mendirikan rumahtangga disebabkan beliau menyedari keadaan kesihatan beliau itu, begitulah yang beliau pernah beritahu saya.
Buah hati saya ini seorang yang baik agamanya, sentiasa mendirikan sembahyang waktunya.
Beliau telah pergi meninggalkan kita, sedangkan kita akan menyusul beliau kemudian.

Saturday, February 02, 2008

Indahnya...

“Ada apa-apakah yang awak ingin makan? Katakanlah!” tanya Ali kepada Fatimah apabila dilihatnya Fatimah masih lesu setelah beberapa hari mengidap demam.

“Saya teringin makan buah delima!”

Seketika Ali termenung berfikir. Dia tiada wang untuk membeli buah delima. Lalu dia bangun dan keluar dari rumah menuju ke pasar.

“Pinjamkan saya wang untuk membeli sebiji delima kepada isteri saya yang baru sembuh dari demam,” pinta Ali kepada seorang kawannya.

Sebaik sahaja dapat meminjam wang, Ali segera ke gerai dan membeli sebiji delima. Sambil memegang sebiji delima di tangannya, dia berjalan pulang. Di dalam perjalanan dia terpandang seorang lelaki terbaring di tepi jalan. Timbul rasa simpati di hati Ali lalu mendekatinya. “Apakah yang saya boleh bantu?”

“Selama lima hari saya terbaring di sini, tiada siapa yang ambil peduli kecuali tuan. Saya hanya menginginkan sebiji delima buat mengubat sakit saya ini?”

Sejenak Ali termenung. Dia hanya ada sebiji delima sahaja. Lalu dia teringat akan ayat-ayat al Quran yang pernah dibacanya. “Terhadap orang yang meminta-minta, janganlah engkau hampakan.”

Ali mendekati kembali lelaki yang terbaring itu lalu dia membelah buah delima di tangannya dan memberikan kepada lelaki yang sedang sakit itu. Lelaki itu tersenyum lebar sebaik sahaja Ali menghulurkan buah delima kepadanya. Sebaik sahaja selesai memakan buah delima yang diberikan oleh Ali, dengan izin Allah lelaki itu sembuh seperti sedia kala.

“Bagaimana saya akan berhadapan dengan Fatimah tanpa membawa pulang buah delima yang diingininya?” Ali masuk ke dalam rumah dengan wajah yang muram.

Fatimah memerhatikannya. “Mengapa bermuram begitu? Janganlah susah hati. Saya sudah tidak berselera lagi makan buah delima.”

Tersenyum lebar Ali mendengar kata-kata Fatimah. Semasa mereka berbual-bual, pintu rumah diketuk orang. Ali membuka pintu dan mendapati Salman di hadapan rumahnya membawa sebuah dulang yang bertutup dengan sehelai kain di atasnya.

“Terimalah! Ini rezeki daripada Allah untuk tuan.”

Ali menerima dulang yang dihulurkan oleh Salman dan membuka kain penutupnya. Di dalam dulang itu ada sembilan biji delima. Ali menoleh kepada Salman, “Jika benar rezeki ini daripada Allah untuk saya, tentu jumlahnya sepuluh!”

“Mengapa tuan berkata begitu?”

“Sebab, Allah pernah berkata, sesiapa yang berbuat kebaikan, Allah membalasnya dengan sepluh kali ganda!”

Ketawalah Salman mendengar jawapan Ali lalu mengeluarkan sebiji lagi buah delima dari poketnya, “Sebenarnya, jumlah buah delima itu sepuluh biji. Saya hanya ingin mengusik tuan sahaja.”