Tuesday, December 19, 2017


Bahagia itu pilihan
Ia berada dalam diri
Bukan kepada apa atau siapa
Sesiapa pun layak miliki.




Saturday, December 16, 2017

Berat mata  memandang
Berat lagi bahu yang menggalas
Betapa mungkin ia sama
Namun hati kami bagai dihiris sembilu
Meratap dari kejauhan
Di hati ia rapat dekat sekali
Kalian diperlaku hina sewenangnya
Kami di sini meremang menahan amarah
Semangat kalian berkobar menjulang tinggi
Air mata kami menitis kerana tidak mampu menyertai
Bersama iringan doa yang tidak putus-putus.






Tuesday, December 12, 2017

Kita ini Satu


Kita tidak akan mampu merasai apa yang ditanggung oleh seseorang melainkan merai dan membuka sedikit ruang dalam diri kita mendekati mereka. Meluangkan sedikit masa berkualiti akan keberadaan kita di sisi mereka sebagai tanda peduli. Menjadi pendengar yang baik, dan bijak menangani situasi.

Tidak mungkin kita mampu hidup sendiri walau sehebat manapun kita kerana hidup ini masih jauh perjalanannya. Kita saling memerlukan. Saling mengukuh di antara satu sama lain. Mana yang kurang ditampung, mana yang kuat terus didorong. Ibarat batu-bata yang mendirikan sebuah bangunan. Begitulah hidup generasi terdahulu. Mereka disebut-sebut zaman berzaman kerana hebatnya akhlak dan persaudaraan yang dipamir dan dihayati.

Hari ini kita permudahkan mereka, hari-hari kemudian, Allah permudahkan pula untuk kita. Insya Allah.

Wednesday, November 29, 2017


Guruh yang tidak ada hujan tidak akan menumbuhkan rumput. Begitu juga amalan yang tiada keikhlasan tidak akan membuahkan kebaikan.
                               As Siba'ei


Monday, November 13, 2017

Dalam keterbatasan upaya, adakalanya kita mendesak diri melakukan lebih daripada kadar mampu.
Bagi pesakit kronik dan OKU seperti saya, keterujaan dalam sesuatu kerja sering melupakan siapa diri saya. Segala pantang larang diambil mudah dan cuba bertolak ansur. Kesannya bukan sahaja menyulitkan diri sendiri malah merumitkan orang-orang tersayang di sekeliling. Rutin harian bertukar serta-merta.

Peringatan untuk diri sendiri dan mereka yang seperti saya, beringat-ingat, berhati-hati dan berpada-pada dalam apa jua kerja. Mudah-mudahan peluang dan kerja terus terbentang dan mampu dicapai. Lakukan sehabis baik.

Alhamdulillah. Syukur. Redha.



Tuesday, October 31, 2017

Roda


Alhamdulillah mampu membelek komputer riba semula selepas sekian lama.
Sungguh, hidup ini berputar bagai roda. Tika ia di atas semua nampak selesa dan mudah dicapai. Tika berada di bawah terasa perit dan sakit. Sehari sehelai catatan, bertambah helaian , episod dan bab dan akhirnya menjadi sebuah buku. Itulah kehidupan. Tentunya tidak sia-sia. Ada hikmahnya.
#Alhamdulillah #Istighfar #Syukur #Redha


Tuesday, September 26, 2017

Amal


Wahai orang-orang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah. dan janganlah kamu membatalkan amal-amal kamu.
(Muhammad 47:33)

Duhai anak,
Rasailah seruan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang ini. Panggilan ini untuk kita, hamba-hambaNya.

Kita biasa mulai setiap amal dengan niat yang betul, kerana mahu meraih dan mendapatkan redho Allah. Sering pula kita terlupa menyemak niat awal amal kita, adakah masih kekal kerana Allah Taala atau mula melencong kepada matlamat yang lain. Tidak dinafikan, terlalu banyak lambaian dan tarikan mengiurkan dan sering kali membuat kita menurut tanpa sedar.

Anak,
Seringlah menyemak dan perkemaskan niat supaya ia kekal suci sehingga ke akhirnya. Kumpullah sebanyak amal tanpa merosakkannya. Jaga iman, didik hati agar terus dekat kepada Allah.

Insya Allah dipermudahkannya segala urusanmu, anakku.




Wednesday, August 09, 2017



Anak,

Hela nafas bebaskan keluh dan rungut
Lepas segala yang kelam dan membeban
Di hujungnya pasti terlihat lorong cahaya
Bersabarlah.




Tuesday, August 08, 2017

Senyum



Anak,

Hidup ini punya erti
Senyum ketika memberi
Tanda bahagia di hati





Sunday, July 23, 2017

Perjalanan setiap insan


Saat menziarahi pusara-pusara insan tersayang, ayahanda, bonda dan dua adinda. Ya... tiba waktunya, kami juga menyusul. Ia perjalanan setiap insan hanya waktu dan tempat menjadi rahsia Yang Maha Tahu.

Anak-anak tercinta,
Dalam sibuknya kita dengan urusan dunia, jangan lupa urusan akhirat. Dalam sibuk dengan urusan dunia, niatkanlah sebagai alat meraih akhirat. Dalam sibuk dengan urusan dunia, biarlah berpada-pada dan bersederhana. Dalam sibuk dengan urusan dunia, bijaklah mengurus masa.

Biarlah sibuk kita sibuk yang hakiki. Sibuk yang menyedarkan diri bahawa hidup ini lawannya mati. Mengurus diri, mengurus masa, mengurus rumahtangga, mengurus hidup supaya lebih bemanfaat.

Anak-anak tercinta,
Pupuklah kemuliaan dalam diri, menghargai nikmat yang diberi sebijak mungkin. Sungguh, terlalu banyak nikmat daripada Yang Maha Memberi Kurnia. Senaraikan satu per satu. Banyak, bukan? Laburkan ia ke Pelaburah Akhirat.

Insya Allah.





Friday, July 21, 2017

Air Tangan Bonda

Air tangan bonda manakan sama dengan masakan sesiapa pun walau sama resipinya. Rasanya tetap sedikit berbeza. Sukar digambarkan. Hanya yang kehilangan bonda sahaja yang mampu mentafsirkannya. Betapa kini tiada lagi kesempatan menjamahnya.

Saya membelek koleksi resipi bonda bersama menahan sebak. Banyak kali dicuba masih terasa ada yang kurang. Tekak terasa ada yang tidak kena walau suami dan anak-anak mengatakan ia sedap.

Saat kita duduk bersila rapat-rapat menikmati juadah air tangan bonda. Dalam memori. Indah.

Singgang tongkol, percik ayam, kerutuk daging, acar nenas, pecal mangga, jeruk cili. Nasi dagang, nasi minyak, nasi kerabu, nasi kuning.

Al Fatihah untuk ayahanda,bonda dan adinda berdua.




Tuesday, June 06, 2017

10 Ramadhan berlalu


Berlalu sudah fasa pertama
Namun langkah masih
Belum dipecut
Masih berkira itu dan ini

Ayuh! Memburu terus memburu
Mencari giat mencari
Gugurlah rasa lelah dan lenguh
Nyahlah bisa-bisa dan sakit badan

Aku mahu merentas
Fasa demi fasa
Dengan teguh tanpa tewas
Dengan berani tanpa gentar

Bantu hamba Mu
Wahai Tuhan yang Menyaksi
Jangan biar kami lemas
Tenggelam dalam lautan hawa.







Monday, April 10, 2017

Perjalanan ini...


Bagaimana perjalanan kita? Bagaimana kita memaknai kembara ini? Ia hanya sekali. Tidak dua, tiga atau lebih. Kembara ini bersifat 'sehala'. Tidak boleh berpatah balik atau U-turn.

Dalam kembara, kita bertembung dengan berbagai situasi luka dan duka. Kisah sedih dan air mata. Adakah ia bermakna tiada bahagia? Bagaimana kita memaknai erti bahagia?

Apapun jawabannya, biarlah ia membawa kita kepada suatu yang pasti. Bahawa kembara hidup ini wajar diindahkan, dibahagiakan. Dalam duka dan sakit kita mampu mengukir senyum, tanda sedar Allah peduli kita. Dalam suka dan tawa, bibir kita tidak lupa melafaz kalimah agung-Nya, tanda kita peduli nikmat-Nya.

Allah...


Wednesday, March 29, 2017

Hati Diketuk Jiwa Disentap



Sesekali hati diketuk disapa
Sesekali jiwa disentap rasa

Tidaklah ia bermaksud melukai
Malah ia tanda peduli.

Sesekali hati diketuk disapa
Sesekali jiwa disentap rasa

Tiada lain ia mengingati
Bahawa hidup itu lawannya mati.

Sesekali hati diketuk disapa
Sesekali jiwa disentap rasa

Memberitahu perlu ditambah bekalan
Itu yang mahu dibawa di hadapan Tuhan.

Sesekali hati diketuk disapa
Sesekali jiwa disentap rasa

Mengingatkan hidup bukan hanya diri sendiri
Harus bermanfaat, memberi dan suka berkongsi.







Saturday, March 25, 2017

Hidup



Begitulah hakikatnya hidup. Ada manis, ada pahit. Ada kelat ada masam.Saat getir lagi payah. Situasi mendesak dan menekan. Bingung.

Kita lalui semuanya dengan bergigih tika berdepan tanpa ada pilihan. Redah sahaja namun tetap dengan rasional. Dengan ilmu.

Usah pendam sendirian. Memang ada kalanya tiada yang faham situasi kita. Tetapi Dia Maha Tahu, memerhati dan menunggu kedatangan kita. Mengadulah kepadanya. Bila-bila masa tanpa perlu ada temujanji. Paling indah tentunya di sepertiga malam.

Luah dan adu sebanyaknya kerana Dia Maha Mendengar, mendengar segala luahan samada yang ditutur atau yang dibisik jauh di sudut hati. Ya. Dia sesungguhnya Maha Lembut terhadap hamba-hambaNya.

Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan perlahan-lahan. Ukir senyum kerana senyum itu satu getaran indah yang memujuk jiwa. Senyum sepuas-puasnya. Walau air mata terus mengalir. Senyumlah. Itu tanda kita sabar dan redha.




.

Saturday, March 18, 2017

Abah - Sesi Bercakap dengan Pokok Mawar



Menunggu tibanya waktu petang, tiba-tiba terasa lambat pula jarum jam bergerak. Berdebar. Teruja. Adik-adik memandang pelik. Hairan. "Mengapa kakak teruja amat?"

Akhirnya waktu petang yang dinanti tiba. "Ini rumah baru kamu semua. Duduk baik-baik. Cepat-cepat berbunga. Biar halaman kita berwarna-warni dan harum mewangi!"
Ranting mawar yang mula berputik segar bertukar rumah kepada yang lebih besar dan lebih selesa. Saya susun berderet di tepi rumah. Kesemua berjumlah lapan buah pasu comel.

"Hujung minggu ini bolehlah kutip baja!" Che' mengingatkan satu tugasan baru. "Setiap hari juga semua pokok ini perlu disiram."
Saya mengangguk penuh teruja. "Baik!"

Bermulalah rutin baru dalam hidup. Setiap pagi sebelum ke sekolah, siram pokok bunga mawar. Waktu petang sekali lagi disiram. Tidak lupa sesi berbual-bual dengan mereka, pujuk mereka cepat berbunga.
"Esok, saya hidangan kamu makanan terbaik. Supaya kamu terus sihat dan berbunga tidak putus-putus!"



Che'



Ibu = Emak = Mama = Ummi

                    =

                 CHE'

Kami adik-beradik memanggil ibu/emak dengan panggilan Che'.

Begitulah lebih kurang ejaannya buat masa ini.

Bunyinya bukan Cek (bank).

Bunyinya bukan makcik.

Bunyinya lebih kurang macam cikpuan (che').

Saya mahu kekalkan panggilan ini dalam bercerita. Ia lebih dekat di hati walaupun fokus cerita kali ini ialah Abah.


Friday, March 17, 2017

Abah - Baja?


Darjah empat, hati saya mula berbunga-bunga. Minat melihat bunga-bunga di taman sambil menyanyi lagu entah apa-apa. Hmm... dalam hati mula ada tamankah? Minat melampau ini mendesak saya mengumpul semua tin susu adik-adik yang bersaiz besar. Bukan tin susu pekat, ya.

Saya tebuk bahagian bawahnya dan isi tanah. Bukan sebarang tanah. Tanah diangkut daripada tepi paya yang berjarak kira-kira 500 meter dari rumah. Saya sendiri tidak percaya, bagaimana boleh saya bergigih mengangkutnya hampir setiap hari. Semata-mata mahukan tanah yang berkualiti demi pokok mawar/ros yang disemai. Ranting-ranting mawar direndam ke dalam air sehingga terbit putik barulah boleh dialih ke bekas tin susu.

"Sekiranya mahu pokok berbunga sepanjang musim, bubuhlah baja seminggu sekali," Abah memberi tunjuk ajar. Che' yang turut membantu mengisi tanah ke dalam tin-tin susu menyokong idea Abah.

Saya mengangguk-angguk tanda faham dengan dahi berkerut. "Baja? Bagaimana mahu dapatkan baja?"

Abah tergelak. Che' terkekek-kekek. Saya keliru. Lucukah?

"Oooo tentu mahal, bukan?"

Mereka terus ketawa. Saya turut ketawa. Geli hati. Berjangkit virus tawa ini.

"Memang mahal. Tetapi, kita dapat percuma. Alhamdulillah," tambah Abah sambil menahan gelak.

"Alhamdulillah!" Sahut saya pula.








Thursday, March 16, 2017

Hospital - Hospital vs Rumah Sakit


Dahulu ia dinamakan rumah sakit. Sebut sahaja rumah sakit terbayang sebuah rumah besar dipenuhi oleh orang sakit. Ada yang menahan sakit, ada yang menjerit kesakitan. Sungguh menakutkan. Apatah lagi sekiranya diri sendiri menjadi pesakit di rumah sakit itu. Oh, tidak!!!

Kini, ia disebut hospital. Mungkin agak kebaratan bunyinya. Namun, ia lebih mesra walaupun sama sahaja hakikatnya. Isinya masih dipenuhi dengan orang sakit. Berbagai jenis sakit. Apabila diri sendiri menjadi penghuninya, ia tidaklah sekekok mana. Sebuah bilik panjang yang dipenuhi dengan deretan katil, dan di hujungnya ada beberapa buah bilik air dan bilik mandi. Ada tukang cuci bekerja secara shif setia menjalankan tugas. Sesekali kami berborak. Dia sambil menyapu, kami sambil berbaring di atas katil masing-masing. Harmoni!

Kadang, menukar sebutan kepada yang lebih mesra dan harmoni begitu mengesankan walau hakikatnya sama. Begitu juga dalam lain-lain situasi hidup. Menukar perkataan atau ayat kepada yang lebih mesra dan alami lagi harmoni mampu merapatkan hubungan. Malah lebih dekat membawa kita kepada Pencipta Segala apa yang ada di langit, di bumi dan di antaranya.






Wednesday, March 15, 2017

Abah - Basikal


Saya mula belajar berbasikal ketika darjah satu. Itu pun basikal besar untuk orang dewasa. Pulang dari sekolah itulah aktivitinya. Mengayuh tersangkut-sangkut. Adakalanya jatuh, adakalanya terlebih laju lalu terlanggar pagar terus tumbang bersama-sama basikal.

Luka dan berdarah tidaklah menjadi hal. Bukan isu besar yang perlu dijerit tangis. Dengan selamba atau dengan muka berkerut menahan sakit, saya menarik basikal dan mengheret pulang.

"Mengapa tidak kayuh?" Soal Abah sebaik sahaja bertembung dengannya di pintu pagar. Abah baru pulang dari kerja.
"Tengok lututnya. Jatuh basikal lagilah itu," selamba Che' menjawab sambil tersenyum dan geleng kepala.
Saya diam dan cuba tersengih dalam menahan sakit. Terus meluru masuk dan mandi.

"Mari Che' sapukan ubat ke lutut yang luka."
Saya terdengkot-dengkot berjalan. Luka di kepala lutut menyukarkan langkah normal. Langsung tidak boleh lurus.
"Insya-Allah. pagi esok tidaklah sakit lagi," komen Abah sebaik melabuhkan diri di kerusi malas.
Dengan pantas saya bersuara, "Petang esok bolehlah belajar kayuh basikal lagi!"
"Memang tidak pernah serik!" Gelak Abah dan Che'.

Tuesday, March 14, 2017

Lafaz Ini

Alhamdulillah
SubhanAllah
MasyaAllah
Insya-Allah
Jazakillah
Barakalah
Syukran
Innalillahi Wainna Ilaihi Rojiun

Seawal usia, kita membiasakan dalam perbualan melafaz perkataan-perkataan tersebut. Membiasakan sehingga menjadi tabiat. Tabiat yang akhirnya menjadi budaya.

Alangkah indahnya. Daripada lafaz di bibir ibu dan ayah, terikut-ikut pula oleh anak-anak. Mereka membawanya ke taska/tadika. Samada dalam sedar atau tanpa sedar, lafaz-lafaz indah penuh makna ini terus menular dalam setiap detik hidup mereka sehingga ke sekolah atau ke mana-mana sahaja. Ia terus menular....

Sehingga ia akhirnya menjadi satu budaya tutur sekaligus mendidik budaya laku. Bukan sekadar budaya dalam sebuah keluarga kecil malah ia menjangkau kepada sebuah kelompok masyarakat. Begitulah ia berkembang, menular dan terus menular.

Siapakah pemain utama dalam membudayakannya?
Bukan kita siapa lagi, bukan?



Bercerita Sebelum Tidur

Ketiga-tiga buah buku comel ini merupakan projek buku kanak-kanak, Bercerita Sebelum Tidur. Selain perkongsian cerita Nabi dan sahabat, molek juga sesekali diadakan selingan cerita-cerita sebegini.

Pada alam juga berlaku pendidikan. Juga pada haiwan, ada yang Allah mahu ajak kita berfikir. Tiada apa yang sia-sia dalam penciptaan Allah melainkan ada mesej yang boleh dikutip.

Dalam siri ini, fokus utama kepada mendidik moral; mengasah pekerti, memupuk budi, mengindah tutur.







Monday, February 27, 2017

Abah - Minyak panas berangin


Saya masih ingat. Pertama kali diserang athma ketika saya berumur lebih kurang lima tahun. Ya. Masih kecil. Sesak nafas membuat saya tercungap-cungap bersama esakan dan tangis.

Abah meletakkan saya ke pangkuannya lalu mengusap belakang saya dengan minyak panas berangin. Saya tidak suka baunya! Pujuk Abah, "Ia bagus bagi melegakan kembali pernafasan"

Che' pula sibuk menuangkan air suam-suam kuku untuk saya menghirupnya perlahan-lahan. Ia juga bagi melegakan pernafasan. Selepas beberapa minit, saya kembali pulih. Toleh kiri dan kanan lalu ketawa terkekek-kekek.

"Alhamdulillah."

Abah dan Che' tersengih sambil geleng kepala. Saya melompat dari ribaan Abah lalu berlari keluar rumah menyertai kawan-kawan sejiranan bermain. Setiap detik masa tidak pernah dilepaskan begitu sahaja. Waktu bermain, bersungguh-sungguhlah bermainnya!



Wednesday, February 15, 2017

Hospital - Atuk Sado


"Sakit apa, encik?" Soal saya kepada seorang lelaki yang dianggarkan lewat 60-an namun berbadan tegap. Beliau duduk di kerusi sebelah saya. Kami berada di bahagian farmasi. Sempat saya bertegur sapa sebaik sahaja melihat skrin nombor yang dipaparkan. Saya tunjuk  resit nombor saya dan beliau tunjukkan resit nombornya.

"Saya gatal-gatal," balas Atuk berbangsa India itu sambil menunjukkan kedua belah tapak tangannya, "Bukan ini saja. Satu badan saya gatal-gatal. Sudah 20 tahun saya mengidap penyakit ini. Sudah berapa kali doktor menukar krim tetapi masih tidak sembuh."

"Oh, tentu sukar untuk makan dan melakukan apa-apa kerja."

"Ya. Mata saya pula sebelah sahaja dapat melihat. Sebelah kanan ini buta."

"Allah...," spontan saya bersuara.

"Sebab itulah saya pusing ke kanan apabila bercakap dengan puan."

Saya mengangguk tanda faham. "Alhamdulillah. Syukur Tuhan masih memberi pinjam sebelah lagi mata kiri untuk melihat."

"Ya. Syukur sangat saya."

Tiba-tiba suara operator dan sekali gus nombor di skrin memaparkan nombor saya. Atuk Sado menoleh dan tersenyum.

"Doa saya, encik segera sembuh."



Tuesday, February 14, 2017

Gorengan-gorengan



Mencari ilham dan idea tidaklah terbatas kepada membaca, berbual atau berjalan-jalan sahaja. Memasak juga mampu memberi impak berbaloi.
Pagi ini masak serunding halia campur bilis dan tempe goreng campur kacang dan bilis. Simpan untuk makan bersama nasi air/nasi bubur/nasi panas-panas.


Tuesday, February 07, 2017

Kayu Kamat Ganu Kite



Satu lagi hidangan istimewa orang ganu kite. Dulu, menu ini bagi sarapan dan minum petang. Sekarang ini, semua waktu pun boleh. Sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam atau makan lewat malam. Zaman sudah berubah. Cara makan juga berubah. Kayu kamat tetap begini. Malah ada forzen. Mudah dicapai.

Jaga kesihatan kita :)



Thursday, February 02, 2017

Kita Pemegang Amanah cuma


Pabila dikhabar berita duka
Kembalilah kepada Yang Maha Berkuasa

Pabila yang tersayang diambil semula
Sedarlah dia bukan milik kita

Berat melepaskan hati meresah
Begitu rasa pemegang amanah

Kasih baru bertaut
Harus dipulang walau berat

Kadar hidup sudah ditetap
Meniti kita bertahap-tahap

Berbaik sangka meniti hayat
Langkah diatur dengan cermat.


#salam takziah buat saudara yang kehilangan orang tersayang. Redai pemergian mereka dengan mendoakan pertemuan abadi di perkampungan sana.



Jom!


Pabila hati damai
Mahu berkongsi beramai-ramai

Di pagi jumaat nan indah
Ramai mahu mengganda ibadah

Jom kita bersedekah
Biar hari terisi barakah.



Friday, January 27, 2017

KAWAN



Siapa masih ada novel ini dalam koleksi?

Melihat-lihat kembali buku pertama saya yang diterbitkan, tergelak sendiri. Pun begitu, ia berjaya mendapat liputan akhbar. Proses menghasilkan manuskrip pertama, satu pengalaman indah dalam memulakan diri sebagai seorang penulis kreatif. Menulis penuh yakin dan berasa itulah yang terbaik ketika itu. Seterusnya, kita belajar daripada pengalaman dan berusaha menghasilkan karya yang lebih bermutu dan diburu.





Sunday, January 22, 2017

Roti Paung Ganu Kite frozen

Bagi orang-orang Terengganu terutamanya Kuala Terengganu, tahulah mereka betapa sebiji roti yang digelar paung ini.
Ada orang ganu kite di sini?



Thursday, January 12, 2017

Rezeki


Apabila ganjaran berganda yang diterima daripada Allah begitu pantas dan langsung tidak setimpal dengan apa yang dilabur, apa yang mampu kita ucapkan? Allah...
Apa lagi yang mampu selain tertunduk malu kepadaNya dengan linangan air mata. Betapa kasih sayangNya yang seringkali kita salah tanggapan dan bersangka bukan-bukan. Allah....
Subhanallah Alhamdulilah Allahu Akbar!




Niatkan sedekah



Buat sehabis baik setiap apa yang diamanahkan. Jangan terlalu berkira sehingga menyukat hasil kerja biarlah berbaloi dengan bayaran yang diterima. Wang bukan segala. Usah berkira. Nikmati keseronokan bekerja dan hargainya. Anggap sahaja hasil kerja yang terlebih baik kita itu sebagai sedekah. Sedekah itu bukan hanya kepada material terutamanya wang ringgit, bukan?


Tuesday, January 10, 2017

Paung Ganu Kite


Projek sejuk beku buat Perindu Paung Ganu Kite. Warisan Bonda.



Buku Cerita Kanak-kanak


Buku Cerita Kanak-kanak Bergambar atau tanpa gambar.
Adakah ia suatu keperluan dalam membangunkan masyarakat?
Bagaimanakah ia memainkan peranan dalam sesebuah institusi kekeluargaan?
Sejauh manakah peranannya?
Apakah kesannya kepada kanak-kanak secara khusus dan  kepada keluarga secara amnya?



Monday, January 09, 2017

Jiwa dan Raga




Berpada-padalah walaupun adakalanya jiwa berkobar-kobar
Bersemangat mahu menjadi sebagus orang itu dan orang ini
Memaksa raga melebihi had kelak merosakkannya
Berpada-padalah walaupun dalam diam membanding-banding
Dia lebih bagus dan aku tidak
Mereka lebih bagus dan aku tidak
Jiwa jadi bingung, raga terpinga-pinga.

Jiwa dan raga berpada-padalah
Jangan satu ke sana satu lagi ke sini
Kelak terlantar di persimpangan
Raga tidak bermaya diheret iiwa yang meronta-ronta
Mendesak mahu menjejak mereka
Yang berjaya menggapai awan
Yang menang bertambah untung.

Berpada-padalah jiwa dan raga
Dalam mengimbangi yang mana keperluan yang mana kehendak
Berbincang elok-elok kamu berdua jangan ada yang
Terasa diabai terasa dipinggir terasa ditekan
Kelak apa yang mahu dijawab di hadapan Tuannya?

Tahun baharu tahun memulih
Membaiki kepada yang lebih baik
Lebih mengenali antara jiwa dan raga
Berpakat baik-baik merancang berpada-pada
Biar dilihat perlahan namun kamu masih melangkah
Biar dilihat tidak tersentuh awan
Namun kamu berlelah berganding tangan dalam tawa.

Berpada-padalah jiwa dan raga
Usah gopoh usah rakus menyusun rentak
Menjejak orang-orang berjaya orang-orang menang seantero dunia
Jangan tertipu dengan katanya 'berjaya' dengan katanya 'menang'
Biarlah menjejak dengan ilmu diikuti amal
Ilmu yang benar amal yang betul
Meletakkan Allah di hadapan segala

Sunday, January 08, 2017

2016 pergi 2017 datang


Selesai urusan pembukuan buku Syria. Penerbitnya, Risalah Harmoni Publication Sdn Bhd. Dijangka terbit tidak lama lagi. Projek penutup 2016.

Ada dua projek bersiri saya tersangkut di tengah jalan selepas terbit beberapa siri. Kedua-duanya Buku Bersiri Cerita Kanak-kanak. Mohon doakan tahun ini kembali lancar, ya.

Projek seterusnya, projek 2017. Masih projek bersiri Buku Cerita Kanak-kanak. Sebarang pandangan boleh emel kepada ezeerahmani@yahoo.com

Rabbi yasir wala tuassir




Hormat Menghormati


Dunia penulisan ini tidaklah sebesar mana walau dipisah-pisah mengikut genre. Alangkah beruntung andai hidup saling sokong menyokong. Saling hormat menghormati. Setiap penulis ada gaya sendiri dan ada kelompok peminat sendiri. Selagimana Allah diletakkan paling hadapan bersatulah kita.



Perelok Pekerti



Ikhlas jujur reda-meredai
Setiap ujian yang ditempuhi
Ia tanda disayangi Ilahi
Usah sibuk menuding jari
Tetapi mencari silap sendiri
Ayuh bangkit perelok pekerti
Segera perbetul dan perbaiki
Kerana masa takkan kembali
Peluang hidup hanya sekali.





Thursday, January 05, 2017

Melangkahi 2017


Kita akur akan jalan ini
Tiada hamparan merah menggebu
Menyaman kaki tika melangkahi.

Melainkan ia jalan berliku
Kerikir tajam merata
Lecak dan berlumpur.

Tiada pilihan untuk kita
Kerana tempat yang dituju
Di penghujung laluan ini.

Merempuh rakus bukan caranya
Ada bekal perlu dipersiap
Bagi diguna kelak

Langkah diatur beriring-iringan
Tertib lagi beradab
Tawakkal.







Sunday, January 01, 2017

Aleppo Idlib Madaya

Acrylic painting on canvas - oleh Dr Maznah Ahmad, Shah Alam.
maznahpaintings.blogspot.my



Aleppo Idlib dan Madaya
Bagaimana harus diluah rasa
Mendengar rintih tangis mereka
Cukupkah sekadar hantaran doa?

Barrel berjatuhan
Berdentum gema letupan
Bertabur isi bangunan
Bersama insan bergelimpangan.

Tragedi apakah ini?
Aksi makhluk bertopeng manusiawi
Menyangka hidup takkan mati
Dikutuk segala yang di langit mahupun di bumi.

Teruslah wahai durjana
Merakus membunuh dirasa bahagia
Siang malam memburu nyawa
Semangat gila terhebat di dunia.

Insan-insan mulia berdatangan
Menghulur bantu tanpa alasan
Kamu tidak bersendirian
Bersama kita meringan beban.

Bayu lembut pergunungan Madaya
Idlib bertafakur seketika
Aleppo bangkit lebih sasa
Teguh dan padu bersama.

Saling kita bergenggam tangan
Ayuh bangkit usah beralasan
Demi sebuah ikatan
Persaudaraan dan kemanusiaan.


#Aleppo #Madaya #Idlib #Syria