Sunday, October 21, 2007

Sujud Qutuz di medan berdarah

“Allahu Akbar!” jerit Jamaluddin Aqusy al Syams serentak dengan libasan pedang di tangannya dengan ledakan semangat dan tenaga yang terkumpul.

Setiap pasang mata terbeliak mengekori topi besi yang tergolek jatuh ke bumi bermandi darah itu. Tiada tutur yang mampu diluah melainkan degup jantung semakin kencang kedengaran di saat libasan pedang dan balingan tombak terhenti buat seketika.

Sebaik sahaja topi besi itu tersandar di sekujur mayat yang terdampar menyembah bumi, terserlah wajah panglima mereka. Kepala panglima terunggul bangsa Tartar diselaputi debu dan darah!

“Kepala Panglima Katabgha!” jerit salah seorang tentera Tartar.

Pasukan tentera Tartar mula hilang fokus. Panglima perang mereka tewas. Libasan pedang dan lontaran lembing tidak lagi sehebat awal peperangan. Barisan tentera mereka mula kucar kacir. Mereka berperang penuh ketakutan dan mula melarikan diri dan medan peperangan. Tentera Islam tidak melepaskan peluang langsung mengejar mereka hingga ke bahagian utara Ain Jalut dan seterusnya sehingga ke Bisan.

Peperangan sengit terus berlangsung. Tentera Tartar terus menggila di medan tempur bagi memastikan mereka terus hidup selepas berakhirnya peperangan. Panglima tertinggi Islam yang merupakan perancang utama pertempuran penuh strategi ini, Qutuz, terus membakar semangat anak buahnya.

“Ya Allah! Bantulah kami!”

Paluan gendang kembali rancak mengiringi hentakan kaki kuda, libasan pedang yang berdentang denting dengan gamatnya. Semakin lama hiruk pikuk itu semakin menyepi dan tiba-tiba suasana menjadi sunyi. Tiada lagi bunyi lagaan pedang dan tujahan tombak mahupun hentakan kaki kuda. Tiba-tiba...

“Allahu Akbar!” laungan bergema oleh tentara Islam sebagai mengistiharkan kemenangan mereka. Disambut bersahut-sahutan oleh seluruh tentera yang masih mampu bersuara walau jasad terbaring rebah berlumur darah bersama linangan air mata kemenangan bercampur hiba kerana lebih mengharapkan syahid....

Panglima Qutuz sujud di medan bersimbah darah menyatakan syukur kepada Allah yang memberi kemenangan di bulan penuh mulia ini iaitu pada tanggal 25 Ramadhan. Tentera Tartar ditewas tanpa berbaki.

Wednesday, October 03, 2007

Bersama harungi pahit getir

Asma binti Umais dipanggil juga Ummu Ubdillah. Suaminya ialah Jaafar bin Abu Talib, diberi gelaran oleh Nabi Muhammad 'Sahabat yang mempunyai Dua Sayap'. Beliau, sepupu kepada Nabi Muhammad dan abang kepada Ali bin Abu Talib.
Nabi Muhammad pernah berkata kepada Jaafar, “Wajahmu miripku dan akhlakmu miripku.”
Pasangan Jaafar dan Asma merupakan di antara kelompok berpindah yang pertama keluar dari kota Mekah ke negeri Habsyah. Malah Jaafar dipilih mengetuai rombongan tersebut yang berjumlah lapan puluh tiga orang lelaki dan lapan belas orang perempuan.
Sepanjang perjalanan yang payah lagi sukar itu, mereka harungi dengan penuh sabar bersama-sama ahli rombongan yang lain. Mereka saling sokong menyokong memberi kekuatan dan semangat.
Tiba di Habsyah, rombongan mereka bergabung dengan rombongan Abu Musa al Asyaari yang tiba dari Yaman berjumlah lima puluh orang.
Mereka sepakat dan bersetuju Jaafar sebagai pemimpin mereka. Malah beliau bertindak sebagai jurucakap ketika berhadapan dengan Raja negeri Habsyah iaitu Raja Najashi. Kepetahan dan kebijaksanaan Jaafar berhadapan dengan Raja Najashi memberi seribu rahmat. Raja Najashi memeluk Islam.
Di bumi Habsyah, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata. Abdullah, Muhammad dan Aunan. Asma setia disampingnya bersama mengharungi pahit getir berada di rantau orang. Tanggongjawab mendidik anak-anak tidak pernah diabaikan.
Anak-anak mereka membesar dalam suasana Islam. Anak sulung mereka, Abdullah amat mirip wajah ayahnya, Jaafar. Manakala semua orang tahu wajah Jaafar paling mirip kepada wajah Nabi Muhammad, sepupunya.
Semakin Abdullah membesar, mirip wajahnya semakin terserlah. Setiap kali mereka merenung wajah Abdullah, setiap kali itulah rindu mereka kepada Nabi Muhammad semakin mencengkam.
Suatu hari mereka mendapat arahan daripada Nabi Muhammad bagi berpindah ke kota Madinah. Alangkah gembira mereka di saat mendapat khabar itu walaupun ianya bermakna sekali lagi mereka akan berpindah. Kerinduan mereka kepada Nabi Muhammad mengatasi segala perasaan lain. “Kita segera berangkat ke Madinah!”
Sekali lagi pasangan Jaafar dan Asma bersama anak-anak mereka yang meningkat dewasa bergabung dalam satu rombongan besar menuju ke Madinah. Sekali lagi Jaafar bin Abu Talib memimpin rombongan. Berpindahlah umat Islam yang dahulunya berasal dari Mekah dan Yaman buat kali kedua dalam sejarah hidup mereka. Kali ini mereka menghala ke Madinah.
Ketika rombongan mereka hampir ke Madinah, satu khabar gembira mereka terima. Tentera Islam menang dalam peperangan Khaibar. Takbir bergema sepanjang perjalanan menuju ke Madinah seolah-olah turut mengiringi ketibaan rombongan mereka.
Ketibaan mereka disambut oleh Nabi Muhammad. “Saya tidak pasti mana satu yang paling menggembirakan saya sekarang. Kemenangan Khaibar atau ketibaan rombonganmu!”
Mereka saling berpelukan di antara satu sama lain.*****