Wednesday, October 03, 2007

Bersama harungi pahit getir

Asma binti Umais dipanggil juga Ummu Ubdillah. Suaminya ialah Jaafar bin Abu Talib, diberi gelaran oleh Nabi Muhammad 'Sahabat yang mempunyai Dua Sayap'. Beliau, sepupu kepada Nabi Muhammad dan abang kepada Ali bin Abu Talib.
Nabi Muhammad pernah berkata kepada Jaafar, “Wajahmu miripku dan akhlakmu miripku.”
Pasangan Jaafar dan Asma merupakan di antara kelompok berpindah yang pertama keluar dari kota Mekah ke negeri Habsyah. Malah Jaafar dipilih mengetuai rombongan tersebut yang berjumlah lapan puluh tiga orang lelaki dan lapan belas orang perempuan.
Sepanjang perjalanan yang payah lagi sukar itu, mereka harungi dengan penuh sabar bersama-sama ahli rombongan yang lain. Mereka saling sokong menyokong memberi kekuatan dan semangat.
Tiba di Habsyah, rombongan mereka bergabung dengan rombongan Abu Musa al Asyaari yang tiba dari Yaman berjumlah lima puluh orang.
Mereka sepakat dan bersetuju Jaafar sebagai pemimpin mereka. Malah beliau bertindak sebagai jurucakap ketika berhadapan dengan Raja negeri Habsyah iaitu Raja Najashi. Kepetahan dan kebijaksanaan Jaafar berhadapan dengan Raja Najashi memberi seribu rahmat. Raja Najashi memeluk Islam.
Di bumi Habsyah, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata. Abdullah, Muhammad dan Aunan. Asma setia disampingnya bersama mengharungi pahit getir berada di rantau orang. Tanggongjawab mendidik anak-anak tidak pernah diabaikan.
Anak-anak mereka membesar dalam suasana Islam. Anak sulung mereka, Abdullah amat mirip wajah ayahnya, Jaafar. Manakala semua orang tahu wajah Jaafar paling mirip kepada wajah Nabi Muhammad, sepupunya.
Semakin Abdullah membesar, mirip wajahnya semakin terserlah. Setiap kali mereka merenung wajah Abdullah, setiap kali itulah rindu mereka kepada Nabi Muhammad semakin mencengkam.
Suatu hari mereka mendapat arahan daripada Nabi Muhammad bagi berpindah ke kota Madinah. Alangkah gembira mereka di saat mendapat khabar itu walaupun ianya bermakna sekali lagi mereka akan berpindah. Kerinduan mereka kepada Nabi Muhammad mengatasi segala perasaan lain. “Kita segera berangkat ke Madinah!”
Sekali lagi pasangan Jaafar dan Asma bersama anak-anak mereka yang meningkat dewasa bergabung dalam satu rombongan besar menuju ke Madinah. Sekali lagi Jaafar bin Abu Talib memimpin rombongan. Berpindahlah umat Islam yang dahulunya berasal dari Mekah dan Yaman buat kali kedua dalam sejarah hidup mereka. Kali ini mereka menghala ke Madinah.
Ketika rombongan mereka hampir ke Madinah, satu khabar gembira mereka terima. Tentera Islam menang dalam peperangan Khaibar. Takbir bergema sepanjang perjalanan menuju ke Madinah seolah-olah turut mengiringi ketibaan rombongan mereka.
Ketibaan mereka disambut oleh Nabi Muhammad. “Saya tidak pasti mana satu yang paling menggembirakan saya sekarang. Kemenangan Khaibar atau ketibaan rombonganmu!”
Mereka saling berpelukan di antara satu sama lain.*****

No comments: