Sunday, September 22, 2013

Assalamualaikum wbt.

Puan,

Saya NA. Pelajar tahun tiga di The University of Sheffield. Alhamdulillah saya selesai baca kulit ke kulit buku yang puan tulis. Jazakillahu khair.

Saya antara yang mengagumi Ummu Nusaibah. Selalu saya dengar kisah Ummu Nusaibah ketika Perjanjian Aqabah2 dan perang Uhud. Rupa-rupanya banyak lagi kisah beliau. Sekali lagi terima kasih atas penulisan puan, buku Nusaibah Serikandi Besi.

Semoga puan terus diberikan kekuatan untuk terus menyumbang kepada ummat. Moga Allah merahmati puan sekeluarga. Seeru 'ala barakatillah.

NA

Saturday, July 20, 2013

Bercerita Sebelum Tidur: Bersedekah

Di antara aktiviti paling indah dilakukan bersama anak-anak di bulan rahmah ini, selain bertadarus ialah bersedekah. Seharian berlapar dahaga, sedikit sebanyak memberi rasa insaf betapa situasi orang-orang yang berada dalam kesempitan atau mereka yang ditimpa musibah. Samada saudara-saudara seIslam yang berada di dalam negeri atau di luar sana.

Begitu ramai yang memerlukan peduli kita. Itu yang perlu kita tanamkan ke dalam diri anak-anak. Bukan setakat memikir apa juadah berbuka puasa untuk kita sekeluarga petang ini. Malah lebih jauh lagi, kita melihat saudara-saudara yang sedang gigih berjuang berkorban harta dan nyawa demi Islam.

Ajak anak-anak sertai sama setiap kali anda mahu bersedekah. Latih mereka memasukkan sedekah walau pun RM1 ke dalam tabung setiap kali  berkunjung ke masjid, misalnya. Ajar mereka memasang niat mendapat keberkatan Allah SWT dalam setiap pekerjaan yang mahu dilakukan. Memulakan dengan jumlah yang sedikit. Lebih jauh lagi sekiranya ada peluang, anda boleh bersedekah ke rumah anak-anak yatim atau persatuan-persatuan yang menguruskan kebajikan saudara kita samada di dalam atau di luar negara.

Permerhatian anak-anak hari ini menjadi inspirasai mereka di masa akan datang, tatkala mereka menginjak dewasa. Adakalanya kita sebagai ibu bapa tidak perlu bercakap banyak atau menjelaskan itu dan ini dengan penerangan panjang lebar. Memadai dengan mempamerkan akhlak yang indah (sedekah, salah satunya) maka ia memadai menerangkan segala-galanya. Wallahu a'lam.


Thursday, July 11, 2013

Bercerita Sebelum Tidur: Pesta Makan-makan?

Sedar atau tidak, bulan Ramadan menjadi Pesta Makan-makan bagi sesetengah golongan. Lambakan berbagai jenis kuih-muih dan lauk-pauk memenuhi meja. Ditambah lagi dengan beberapa jenis minuman. Semuanya tersedia dan hanya menanti masuk waktu berbuka.

Boleh sahaja meraikan anak-anak yang baharu belajar berpuasa dengan juadah istimewa. Terutama sekali juadah kegemaran mereka. Di masa yang sama beri kefahaman ringkas dan padat kepada anak-anak bahawa memadai dengan sejenis kuih dan sejenis lauk istimewa untuk hidangan.

Jangan sekali-kali dicemari Bulan Ramadan ini hakikatnya ialah salah satu Pesta Ibadah menjadi Pesta Makan-makan pula.

Pesta Ibadah bukan setakat melatih berlapar dahaga. Bukan setakat latihan untuk perut malah anggota badan yang lain termasuklah mulut, mata, telinga, tangan, kaki dan hati. Biar anak-anak faham tentang kepentingan ibadah puasa itu. Untuk apa berpuasa, mengapa mesti berpuasa dan sebagainya, sehingga mereka dapat melihat hikmah di sebalik perlaksanaannya.

Sama-sama kita berusaha merubah kepada yang lebih baik di bulan tarbiyah amali ini sehingga lahir masyarakat yang berakhlak mulia lagi terpuji.

Wednesday, July 03, 2013

Bercerita Sebelum Tidur: Bebas hari dan waktu

Ibu bapa yang dihormati,

Tidak perlu bertegas dengan jadual bercerita. Walau pun fokus perkongsian ini kepada waktu sebelum tidur, kalian sebagai orang yang paling dekat dengan anak-anak lebih memahami dan lebih arif waktu yang paling sesuai.

Kalian bebas memilih hari dan waktu. Ada yang memilih hari Sabtu atau Ahad di waktu pagi selepas bersarapan. Ada yang memilih di waktu petang dan ada yang memilih waktu malam selepas solat isyak. Apa yang penting tukang cerita dan pendengarnya, selesa dan berjalan dengan penuh harmoni.

Mungkin kita perlu tukarkan Bercerita Sebelum Tidur kepada yang lebih mudah?

Bercerita Sebelum Tidur: Peristiwa-peristiwa Penting di Bulan Ramadan

Kanak-kanak memang suka mendengar cerita. Banyak kisah atau perisitiwa penting di bulan Ramadan yang boleh dikongsikan dengan mereka semasa sesi bercerita sebelum tidur. Secara langsung atau tidak langsung, mereka mula mendekati sejarah Islam itu sendiri.

Contohnya, di bulan penuh barakah ini, diturunkan kitab Al Qur'an dan kitab-kitab Samawi yang lain iaitu, Kitab Zabur, Kitab Taurat dan Kitab Injil. Peristiwa Lailatul Qadar dan boleh kaitkan dengan Surah Al Qadr.

Banyak lagi peristiwa yang berlaku sepanjang bulan Ramadan yang boleh dijadikan bahan sebagai satu motivasi memupuk anak-anak mencintai Allah dan Rasul saw. Kongsikan sahaja di mana ada peluang bercerita bersama anak-anak. Di dapur ketika memasak bersama-sama, di ruang tamu ketika mengemas rumah atau melipat kain baju. Apa yang penting, penceritaan tidak membosankan mereka atau dengan kata mudah jangan kita syok sendiri.

Wednesday, June 26, 2013

Catatan 168 jam

Seminggu terlantar di rumah sakit tempoh hari, memberi peluang kepada saya melihat bahawa di kiri dan kanan saya masih ada yang lebih kritikal berbanding saya. Ia cukup membuat saya beristighfar memohon ampun kepada Yang Memberi Ujian ini. Suasana yang membuat hati terasa insaf dan bersyukur.

Selama seminggu berlangsung, bermakna 7x24jam=168jam. Ia suatu waktu yang cukup panjang untuk bermuhasabah diri. Siang dan malam silih berganti, saya melihat pesakit-pesakit yang menderita dengan berbagai penyakit.

Wahai Allah, Engkau yang memberi penyakit dan Engkau juga yang menyembuhkannya. Sembuhkanlah kami....

Tempoh seminggu tidaklah lama berbanding beberapa pesakit lain. Ada yang tiga minggu, malah ada yang sebulan sudah terlantar. Hanya Allah jua yang tahu rahsia dan hikmahnya diturunkan penyakit buat seseorang hambaNya. Sebagai seorang hambaNya yang diuji dengan situasi sebegini, kami saling memupuk diri agar terus bersangka baik kepada Allah dan bertawakkal.


Mudah-mudahan sedikit ujian ini mendekatkan lagi hubungan kami dan kita semua kepada Yang Maha Pencipta, merapatkan hubungan kita dengan orang-orang di sekeliling. Saling menghargai, menghormati dan bertolak ansur.


Allahumma balighna Ramadan...
Ya Allah, sampaikan kami ke bulan Ramadan...



Bercerita Sebelum Tidur: Bulan Menahan Lapar dan Dahaga

Kita semakin mendekati bulan yang penuh kemuliaan. Bulan Ramadan. Terlalu banyak yang boleh diceritakan tentang kemuliaan bulan ini. Ibu bapa boleh mula memperkenalkan bulan ini kepada anak-anak walau pun mereka masih kecil dan tidak mampu menjalani ibadah puasa.

Terangkan dengan mudah dan dimulakan dengan perkara yang sesuai didengari oleh anak-anak sesuai dengan umur dan tahap kefahaman mereka. Usah gunakan penerangan yang berbelit-belit sehingga kita sendiri termenung memikirkan 'apa yang aku terangkan tadi?'....kita sendiri tidak faham.

Secara ringkasnya, kaitkan Ramadan - puasa - waktu berbuka - waktu bersahur - tahan lapar dan dahaga - solat terawih - dll. Mungkin ia seolah-olah lebih kepada latihan fizikal, sebagai bulan menahan lapar dan dahaga. Namun sedikit demi sedikit para ibu bapa boleh bercerita lebih mendalam lagi tentang hikmah di sebalik wajibnya berpuasa di bulan Ramadan ini.

"Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah memfardhukan atas kamu puasanya. Di dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan." (HR Ahmad)

Thursday, June 20, 2013

Wednesday, June 12, 2013

Syaban sudah bertamu. Tidak lama lagi Ramadhan menyusul. Bulan yang menjadi kerinduan umat Islam. Bulan yang penuh keindahan dan pesona yang mendalam.

Mudah-mudahan kedatangan Ramadhan yang membawa seribu satu kebaikan dan kelebihan ini dapat kita sama-sama memanfaatkan dengan sebijak-bijaknya.

Semoga tarbiyah di Madrasah Ramadhan ini meningkatkan lagi amal soleh kita dan dapat kita sama-sama meneruskannya di bulan-bulan selepasnya.


Thursday, May 02, 2013

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Maka sekiranya mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah (Muhammad), "Cukuplah Allah bagiku, tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arasy (singgahsana) yang agung."

(Terjemahan Surah At Taubah 9:129)

Kongsi Kenangan 5: Nombor Kad Pengenalan

Apabila terkenang betapa ayahanda dan bonda bersekang mata sepanjang malam sewaktu saya jatuh sakit, ia amat memilukan. Ayahanda bergegas membawa saya ke Unit Kecemasan Hospital sementara bonda di rumah menjaga adik-adik yang lain. Selepas beberapa jam mendapat rawatan, kami pulang ke rumah dalam keadaan letih dan mengantuk.Terlihat jam menunjukkan enam pagi, saya bergegas bersiap-siap bagi ke sekolah pula.

Selain mereka yang dimuliakan ini, seorang lagi yang sibuk mengurus saya tatkala jatuh sakit ialah kekanda saya. Beliau memainkan peranannya menghantar saya ke Unit Kecemasan, setiap kali pulang bercuti. Hubungan kami tetap rapat walau pun kekanda saya keluar rumah bagi melanjutkan pelajaran sejak berusia tiga belas tahun. Malah nombor kad pengenalan saya pun beliau dan ayahanda hafal dengan lancar sehingga ke hari ini. Ini kerana setiap kali ke Unit Kecemasan, perlu mendaftar nama pesakit.

Ada ketikanya kami berkumpul adik beradik dan mengenang-ngenang kisah lampau. Segalanya sungguh indah dan berusaha mengaplikasikan didikan ayahanda bonda kepada anak-anak kami pula. Semoga Allah permudahkan segala urusan baik kita semua.






Bercerita Sebelum Tidur: Bahasa Kasih Sayang

Walau pun tempoh bercerita sebelum tidur ini terlalu singkat, sekejap atau pendek sahaja namun ia sama-sama kita manfaatkan sebaiknya.

Semasa santai bercerita, inilah masanya para ibu bapa mempamerkan perasaan kasih sayang terhadap anak-anak. Tidak perlu mengulang-ulang perkataan sayang dan kasih acap kali tetapi terjemahkan erti kasih dan sayang itu melalui senyuman, sentuhan, pelukan dan tingkahlaku yang baik. Nada suara juga memainkan peranan dan turut menyumbang dalam mengukuhkan lagi terjemahan ini.


Monday, April 15, 2013

Iklan


Sinopsis

Semangat juang dalam diri Nusaibah terus mengalir deras, sederas jantungnya yang berdegup kencang. Perisai pada tangan beliau bersedia bagi menepis setiap libasan pedang yang dihayun ke arahnya.
Dalam situasi genting itu, kakinya pantas melangkah ke tempat Rasulullah berada.
Kata-kata Rasulullah pada ketika Perjanjian Aqabah Kedua terus segar dalam ingatan. Nusaibah mahu mengotakan ikrar yang dilafazkannya pada tempoh hari. Akhirnya, perjalanan menongkah arus tiba ke destinasi yang dituju. Nusaibah berjaya berdiri di hadapan Rasulullah, bersama beberapa orang tentera Muslimin yang masih teguh berdiri. Mereka membentuk barisan benteng dan perisai. Darah segar mengalir pada leher, lengan, dan sekujur tubuh setiap orang yang menjadi perisai, demi melindungi Rasulullah.
Sambil menjeritkan kesanggupannya, tanpa berbelah bahagi, Nusaibah turut menghunus pedang dengan genggaman yang semakin kemas. Kekasih Allah itu perlu dilindungi! Nusaibah lansung tidak memikirkan keselamatan diri sendiri, sehingga beliau turut mendapat luka parah akibat tusukan, terjahan, dan serangan musuh daripada setiap sudut dan penjuru.
ini adalah kisah Nusaibah, Nusaibah Srikandi Besi.
Wallahua'lam.

Wednesday, April 03, 2013

Ulasan: Kembara Tetamu Allah


Tuesday, February 19, 2013


Kembara Tetamu Allah

Kesibukan kadang-kala membuat kita tidak terasa pantasnya putaran masa. 
Semalam genaplah sebulan menerima perkhabaran tidak dapat menunaikan umrah yg sepatutnya dijadualkan akhir Mac depan.  Hebat sungguh penangan rindu untuk menjadi tetamuNya, tidak tergambar rasa pahit yang ditelan, rasa sukarnya mendidik dan memujuk hati. Sometimes I do wonder and keep asking myself betapa teruknya diri ini terlalu asyik memikirkan tentang ini, reaksi yang sebegini rupa as if I cant accept the fate. astaghfirullahalazim..tapi percayalah, penangan cinta Allah ini memang hebat. 'Harga' yang perlu dibayar tidak terbanding dengan mana2 currency pun, dalam tempoh sebulan memujuk diri juga, di samping dihimpit kesibukan dissertation, banyak tarbiyah yg Allah beri dan alhamdulillah terasa semakin kuat.

Enough membebel. Dalam tempoh sebulan ini ahli keluarga, sahabat2 yang tidak kiralah 'in the same boat' ataupun tidak, tidak henti2 memberi kata peransang. Jazakumullahu khayran jaza' semua :') Dan salah seorang sahabat sy yang telah pun menjadi tetamu Allah tahun lepas didnt even give any words to console me but instead, she lend me a book;

 Travelog Hajah: Kembara Tetamu Allah

Buku ini dipinjamkan Aisyah beberapa jam sebelum train kami berlepas ke Penghujung Dunia, (read:Land's End). Dissertation has really made us go 'Gaga!' so we decided to go somewhere near the coast for a while. With this book to keep me company, what more could I ask for?

Sebenarnya quite takut nak buat review dan share pasal buku ni sbb: 1) tak berpengalaman lagi ke sana, just dengar dan baca kisah orang but insyaAllah semoga bermanfaat

Overview
As the title suggests, this book adalah first hand experience of a lady who was performing her hajj. Mungkin kebanyakan kita pernah mendengar first hand experience mereka2 yang Allah jemput dengan penuh rahmat menjadi tetamuNya tetapi penulis buku ini berbeza kisahnya. 

Penulis kisah buku ini, Hjh Ezee Rahmani, bukanlah seperti jemaah haji yang lain. Perjalanan mengerjakan ibadah haji beliau diuji dengan pelbagai bentuk cabaran terutamanya masalah kesihatan. Penulis menghidapi masalah sakit tulang belakang yang agak kritikal dan kerana bimbangkan tahap kesihatan beliau, doktor menasihatkan agar beliau mengehadkan pergerakan. 

Catatan perjalanan hati dan jiwa penulis di Haramain ini dibahagikan kepada 3 bahagian utama mengikut kronologi penulis di sana : (Mekah), (Arafah,Muzdalifah dan Mina) dan (Madinah). Bila diamati semula, perjalanan penulis sangat mengikut kronologi perkembangan Islam (bermula dari mekah ke madinah)

Sy memang tidak pandai mempromote tetapi if you havent been there (or maybe u have) this book is good for you especially for the muslimah. This book has inspired me in more ways than one, and im sure insyaAllah it will do the same to you

Personal Insights
  • Bercerita sambil Mendidik
Teknik penceritaan buku ini mirip tulisan2 novel Ustazah Fatimah Syarha; buku yang bukan sahaja menceritakan tetapi juga mendidik. Serius, saat baca buku ini teringat tulisan2 Ustazah Fatimah Syarha terutamanya di dalam Syabab Musafir Kasih; semakin plot rancak 'develop' semakin banyak ilmu yang diselitkan tantaranya ilmu tentang percanggahan pendapat dalam aliran pemikiran mazhab2 fiqh. Back to this book, walaupun ia adalah travelog, tetapi penulis mempunyai ilmu yang sangat mendalam tentang Islam. Rasa sangat seronok bila baca kisah perjalanan penulis. Dan banyak ilmu baru yang sy peroleh contohnya tentang kisah penemuan kembali telaga zam zam oleh Abdul Mutalib dan anak lelakinya. Ketika itu, musyikin Mekah memandang rendah malah memperlekeh usaha Abdul Mutalib menjejak kembali telaga bersejarah itu.
Kisah selebihnya tentang sejarah telaga ini:  http://mujahidintempos.wordpress.com/kisah-para-waliyullah/sejarah-telaga-zam-zam/

  • Kekuatan Mujahadah
As stated earlier, penulis mempunyai tahap kesihatan yang tidak mengizinkan beliau untuk mengerjakan ibadah haji dengan sempurna. Setibanya penulis di Jeddah lagi telah diuji dengan bilangan kerusi roda yang tidak mencukupi, dan penulis memilih untuk berjalan dan memberikan kerusi roda kepada jemaah lain yang lebih memerlukan.

Jika jemaah lain berpeluang menghabiskan masa yang agak lama di Masjidilharam, penulis tidak berkesempatan untuk kerap berkunjung ke sana untuk tempoh yang lama. Suami beliau berulang alik menghantar beliau ke hotel dan kembali ke masjid etc. Ada kalanya penulis tidak berkesempatan join solat berjemaah di masjid menghabiskan masa di hotel.

Doktor menasihatkan penulis hanya menunaikan tawaf menggunakan kerusi roda sahaja tetapi mengenangkan peluang yang telah hadir dan perasaan ingin berdekatan dengan Kaabah, penulis gagahkan diri melakukan tawaf dengan tidak menggunakan kerusi roda (sebab kalau menggunakan kerusi roda kena tawaf dekat floor masjid yg memang khas utk wheelchair user, xsama dgn org yg xberkerusi roda) sambil dibimbing dan dikawal suaminya; walaupun ketika itu jemaah ramai dan she was like 'fragile' kalau kena langgar or kena tolak tapi Allah loves her, Allah permudahkan urusan ibadahnya.

Semasa ibadah melontar jamrah, awal-awal lagi penulis sudah dinasihatkan oleh doktor untuk tidak melakukan ibadah tersebut Tetapi kerana keinginan yang sangat kuat, penulis menggagahkan diri juga dan berjaya melakukan beberapa siri lontaran; selebihnya disambung oleh zaujnya.

Keadaan kesihatan beliau semakin merosot di saat2 hari2 terakhir di sana terutama di madinah. Walaupun hotel beliau sangat berdekatan dengan masjid nabawi, (in fact she got the room which had the view of that masjid!) kadang kala beliau tidak diizinkan Allah untuk kerap berkunjung dan menunaikan solat di sana tetapi beliau cuba gagahkan juga sehingga ada satu tahap beliau diserang asma dan due to the fact xbrought phone dalam masjid itu jadi susah nak beritahu suaminya; di situ Allah again, hantar pertolongan. Jemaah2 haji yg lain banyak membantu beliau; walaupun bukan serumpun. Mereka menghulurkan ubat, minyak panas etc. Manis ukhuwah yang berpegang kukuh pada keimanan terhadap Allah.

One thing yg made me impressed, penulis seorang yang tidak henti2 melihat setiap apa yang berlaku dengan mata hati. Semasa wuquf, penulis sakit belakang dan lebih banyak menghabiskan masa di pembaringan; dan sebanyak masa itu jugaklah penulis mengambil ibrah setiap apa yang berlaku, mentajdid niat dan menghayati kisah2 semasa dan selepas hayat rasulullah. Allah..Kalau dibandingkan dengan diri sendiri, Allah baru uji sikit tak dapat pergi umrah this year dah macam ni. Kerdilnya diri ya Allah

  • Mahram Yang Setia
Pastinya whoever in her shoes akan feel weak tapi kekuatan untuk meneruskan ibadah datang daripada Allah dan sokongan orang sekeliling terutama suami dan rakan2 sebilik penulis. Suami penulis sangat caring dan tidak pernah mengabaikan penulis. Walaupun kadang kala penulis sedar beliau 'degil', suami penulis tetap memberikan sokongan. Teringat kata2 Shuhada, my classmate masa kunjungannya ke sana tahun 2010. Semasa itu Ada berada di Hijr Ismail tetapi jemaah sangat ramai. Adiknya melindunginya dan bersama2 membantu Ada ke sana walaupun in the beginning rasa macam mustahil dapat masuk ke kawasan itu. Ada cakap masa tu dia feel confident dan quite protected sebab ada adiknya to help her go there, (alamak lupa nama..Syauqi kut nama adik dia). To be honest, having read this book, baru nampak hikmah. Mungkin Allah nak the same thing happens to me. Me; going there with my parents; ada pelindung di sana. 

  • Kembara Sebuah Jiwa Yang Bertuhan
Yang paling penting, berdasarkan kisah penulis, Ive learnt sweetnya Allah sebagai 'tuan rumah' melayan tetamuNya dengan layanan yang baik. Tak henti2 berikan pertolongan kepada beliau dan jemaah yang lain. Dan yang penting zue, hajj dan umrah bukan sekadar penyerahan jiwa kepada Allah, tetapi ia juga adalah kembara yang penuh penghayatan. Setiap ibadah yang ada di dalamnya perlu dihadirkan dengan jiwa yang suci agar dapat menghayati hikmah biar kesannya terpahat di hati. 

Selain daripada kembara jiwa mendekatkan diri kepadaNya, ibadah hajj dan umrah juga menghayati jejak kasih Rasulullah dan para sahabat. Selama ni just dengar kisah, belajar etc kan (itupun kalau we really understand the sirah whole heartedly) tetapi di sana dapat dekatkan diri dengan tempat2 yg rasulullah used to solat, berdakwah, tidak kurang juga tercedera semasa ghazwah etc. Beruntungnya dan tentu manis sgt dapat pengalaman mcm tu..insyaAllah insyaAllah insyaAllah

Merenung Bulan Di Langit Muzdalifah; one of my fav chapters. Menghabiskan pembacaan di The Hoe, Plymouth on a lovely weather sambil ditiup angin petang yang damai..subhanallah tenang!

Yang penting, kisah penulis telah banyak mengajar sy dan sudah semakin nampak hikmah segalanya. Sy redha insyaAllah satu hari nanti Allah akan jemput juga dengan rahmatNya, bersama2 keluarga insyaAllah insyaAllah mohon doanya. The most important thing is what matters the most is not what u go through during your umrah/hajj there tetapi the continuity or kesinambunngan/kelangsungan ibadah tersebut sejurus kembali semula ke tanah air. Bekalan apakah yang akan dibawa pulang (jika Allah izin kita pulang semula) ? adakah sekadar air zamzam, kurma etc atau sekadar kisah untuk dishare pada keluarga dan sahabat handai? 

Before I end this entry, nak share one quote from this book yang sentap sangat..rasa tertembak bila baca sebab terkena pada diri sendiri:

"Kita tidak tahu sesuatu hikmah itu sehinggalah ditunjukkan.
Ada kalanya ia kelihatan begitu bersahaja dan remeh namun ia besar maknanya bagi orang lain.
Adakalanya ia berat kita lepaskan tetapi itulah yang Allah mahukan bagi menunjukkan kebesaranNya. Mungkin waktu itu kita tidak dilihatkan hikmahnya"
(2011:m/s 232)

Terima kasih tidak terhingga Aisyah sebab pertemukan diri ini dengan buku yang kisahnya sangat mendidik ini. Semoga penulis terus dilimpahi rahmat Allah dan diberi nikmat kesihatan untuk memudahkan terus melakukan ketaatan insyaAllah..Haramain, aku pasti datang! insyaAllah ameen :)

p/s: Maha Suci Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang...Cikpuan Azureen Azlan yang solehah, terima kasih di atas doa yang dititipkan. Semoga Cikpuan dipermudahkan segala urusan dan dilapangkan segala kesulitan. Ameen...

Monday, February 18, 2013

Bercerita sebelum tidur: Gaya gurauan

Kerap berlaku perkara-perkara yang dianggap remeh bagi kita tetapi ia besar maknanya bagi anak-anak. Perkara yang dilihat besar rupa-rupanya kecil di mata anak-anak. Apabila melakukan sesuatu yang melibatkan diri anak-anak atau mahu melibatkan anak-anak, ibu bapa perlu melihat dari kacamata seorang anak.

Semasa bercerita juga kita dapat melihat kerenah anak-anak. Ada kalanya mereka berebut-rebut bantal dalam pelukan adik atau kakak atau abang mereka. Adakalanya salah seorang daripada menyiku orang di sebelahnya dan adakalanya tidak semena-mena salah seorang daripada mereka menjelirkan lidah kepada adiknya sebaik sahaja adik terpandang kepadanya.

Sudah tentu penceritaan terganggu dan anda akan sibuk mententeramkan situasi. Apa yang penting di sini, jangan sekali-kali menyalahkan sesiapa di antara mereka. Bersikap kreatif dan pupuk rasa berbaik sangka di kalangan anak-anak kerana semua itu gaya gurauan anak-anak. Jangan sekali-kali ibu bapa mengambil serius dan memarahi mereka.

Ibu bapa harus ingat, tujuan utama bercerita ialah memupuk nilai moral. Ibu bapa ialah model terdekat, di hadapan mata anak-anak. Walau pun anda bercerita berbagai kisah tauladan itu dan ini, tetapi di masa yang sama terlupa tentang akhlak diri sendiri, bermakna kita sebagai ibu bapa juga perlu bermuhasabah. Perlu sama-sama menghadamkan semua kisah yang dikongsikan itu.

Secara sedar atau tidak, kisah-kisah tauladan yang dibaca juga mengoreksi diri kita sebagai orang dewasa. Sebab itu adakalanya saya kurang setuju buku-buku cerita nipis itu dikhususkan untuk kanak-kanak sahaja. terutamanya kisah-kisah sejarah Islam dan akhlak pekerti mulia. Kita, orang dewasa juga perlukan cerita-cerita begitu bagi memuhasabah diri kerana tema yang dibawakan, samada persahabatan, akhlak dan sebagainya, itulah juga isu tenat yang berlaku di kalangan orang dewasa sekarang.


Monday, February 04, 2013

Maha Suci Allah

Apa pun situasi yang didepani, kita berusaha membasahkan bibir dengan beristighfar, memohon keampunan dan petunjuk kepada Yang Maha Esa. Sememangnya kita hambaNya yang serba lemah, alpa dan sering lalai dengan kekurangan di sana sini, amat mengharapkan pengampunan dan petunjuk daripadaNya.

Alhamdulillah, setinggi syukur kepada Allah Taala di atas limpahan kurniaan rahmatNya yang tidak mungkin mampu dihitung sampai bila pun.

Subhanallah... tahap kesihatan saya semakin membaik. Kecederaan tulang tengkuk dan tulang belakang sedang dalam proses pemulihan. Walau pun menurut kata doktor saya tidak akan pulih sepenuhnya, itu tidak menjadi hal kerana selebihnya biarlah Allah yang menentukannya. Kita hanya mampu berikhtiar sedaya mungkin.Terima kasih kepada yang sudi bertanya khabar. Siapa sangka ketika saya terlantar terbaring dan dijangka terus sebegitu sehingga ke hujung nyawa kini dengan izinNya jua saya mampu duduk, berdiri dan berjalan.Tangan saya semakin kuat dan mampu mengurus diri dan keluarga. Terima kasih di atas limpahan doa kalian.

Allahu Akbar! Walau pun keupayaan saya terbatas sejak kecil namun melalui saat tidak upaya yang amat sangat dalam tempoh kritikal selama dua tahun lalu, amat terkesan di hati. Betapa Dia amat kasihkan hambaNya. Saya melihat kasih sayangNya yang begitu mendalam. Allahu Akbar! Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? Semua ini membuatkan saya rasa malu kepada Dia Yang Maha Maha Memberi.

Sihat dan sakit. Senang dan susah. Kaya dan miskin. Sedih dan bahagia. Hidup ini ibarat roda dan semua berlaku  dengan izinNya Penghujung kembara akan berakhir bila-bila masa sahaja.Mungkin sekejap lagi, mungkin esok atau lusa. Itu semua rahasia Tuhan. Apa pun situasi yang dilalui, jangan pernah mengaku kalah atau berputus asa dalam mendapatkan rahmatNya. Apabila Dia mahu, Dia akan memilih sesiapa sahaja di kalangan hamba-hambaNya dan mengangkat mereka lebih 'dekat' di sisiNya. Semoga kita termasuk dalam golongan mulia itu.

Subhanallah....Alhamdullillah....Allahu Akbar....

Sumber gambar dari internet. Terima kasih.

Friday, February 01, 2013

Taha

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Taha.
Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu (Muhammad) agar engkau menjadi susah.
Melainkan sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah).
Diturunkan dari (Allah) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
Yaitu Yang Maha Pengasih, yang bersemayam di atas 'Arsy.

Surah Taha, 20: 1-5

Friday, January 25, 2013

Bercerita sebelum tidur: Tua sebelum usia

Di antara kesan yang dapat dilihat ialah tahap kematangan anak-anak. Jangan salah faham dengan perkataan matang ini.

Dalam usia 5-7 tahun anak-anak sudah tahu tentang nama-nama nabi,tahu serba ringkas kehidupan nabi sewaktu kecil, siapa yang mengasuh nabi dan sebagainya. Mereka pandai mengaji. Ada yang khatam quran sebelum masuk ke darjah satu. Begitu juga tentang kisah haiwan, mereka tahu kura-kura makan sayur tidak makan daging, harimau makan daging dan tidak makan sayur. Melalui berbagai cerita samada kisah benar atau rekaan atau kisah haiwan, mereka didedahkan dengan contoh akhlak terpuji; menghormati orang tua, sayangi yang muda, suka menolong, bercakap benar dan banyak lagi. Semua itu ilmu, pengetahuan dan informasi. Semua informasi itu mereka boleh dapati dalam sesi bercerita sebelum tidur dan di masa-masa yang di luarnya.

Dalam kita membuat perkongsian ini, jangan pula berlaku desakan atau memberi tekanan. Contoh; kamu mesti berubah! jangan buat lagi perangai buruk! Mesti itu dan mesti ini. Jangan itu dan jangan ini.Kamu mesti faham mesej cerita ini! ...Oh! Bukan begitu caranya.
Ini amat bahaya kerana akan berlaku cedera emosi dalam diri anak-anak. Jangan sekali-kali, kerana mahu mematangkan anak-anak, mahu anak-anak bijak, berlaku tindakan mentuakan mereka sebelum usianya. Mendewasakan anak-anak sebelum usianya.

Perkara ini sering berlaku tanpa sedar. Amat perlu sekali berhati-hati dalam tutur kata walau pun ketika itu kita berhadapan dengan anak-anak kecil. Zaman kanak-kanak perlu dikecapi sepenuhnya dengan penuh ceria dan seronok. Sehingga apabila mereka dewasa, mereka rindukan zaman kanak-kanak bukan sebaliknya.

Bagi mengelakkan perkara sedemikian berlaku, rancang apa yang hendak dicerita, apa yang mahu diselitkan semasa bercerita. Sepanjang waktu itu kita bercakap. Awasi pertuturan kita. Jangan sekali-kali mengambil remeh hanya kerana di hadapan kita hanya anak-anak kecil yang walau pun merajuk sekejap sahaja atau mereka tidak mudah berkecil hati. Itu hanya anggapan kita sahaja. Sesekali elok juga mengimbas zaman kanak-kanak kita sendiri bagi diambil pengajaran.

Selebihnya, terus berdoa kepada Allah memohon ampunan atas keterlanjuran kata dan mohon petunjuk dan bimbingan daripada-Nya. Insya Allah, anda tidak bersendirian.

Monday, January 21, 2013

Kongsi Kenangan 4

Semakin meningkat remaja, ayahanda mula berkongsi cerita sesuai dengan perkembangan kami. Pekerjaan ayahanda saya melibatkan beliau dengan haiwan-haiwan liar. Paling popular ialah gajah dan harimau. Kisah kembara beliau bersama dan kawan-kawan setugas memburu dan menjejak haiwan liar paling dinanti-nantikan.

Saya masih ingat. Dalam setiap cerita itu, ayahanda sering menyebut, haiwan pun perlu dihormati haknya. Mereka juga punya hak seperti kita kerana mereka juga makhluk Tuhan. Oh!...tiba-tiba saya menjadi rindu kepada beliau....Al Fatihah untuk ayahanda dan bonda....

Adakalanya jiran tetangga bersama ahli keluarga mereka turut duduk sekali mendengarnya. Malam minggu menjadi lebih meriah apabila ada pula di kalangan mereka mula membakar ubi di halaman dan bonda mula sibuk membancuh kopi. Seumpama berpesta pula jadinya. Biasanya paling lewat pun sehingga pukul dua belas malam.

Kesannya, bukan kepada kami sekeluarga malah jiran tetangga. Kami menjadi akrab. Sehingga terus dikenang dan diingati dalam setiap kali menadah tangan berdoa kepada Allah Taala.

Friday, January 11, 2013

Bercerita sebelum tidur: Penyakit

 Semasa bercerita, anda juga dapat mengenalpasti perkembangan diri anak-anak. Bukan tahap IQnya sahaja tepi EQ juga. Perlu peka juga tentang tahap kesihatan mereka. Apabila melihat ada yang pelik, segera bawa bertemu doktor bagi pemeriksaan lanjut. Contoh kes, apabila setiap kali bercerita anak kelihatan duduk dengan tidak selesa. Sekejap senget ke kanan, sekejap senget ke kiri, sekejap berdiri, cara berjalan tidak betul, cepat lenguh dan sebagainya. Kemungkinan berkaitan dengan masalah tulang belakang atau lainnya. Buatlah pemeriksaan doktor. Sekiranya tiada apa-apa, alhamdulillah. Mungkin anak ini mahukan perhatian dari anda :)
Sumber gambar: Internet.Terima kasih.

Monday, January 07, 2013

Bercerita sebelum tidur: Aktiviti Luar Rumah

Bercerita sebelum tidur juga boleh membawa anda dan anak-anak kepada aktiviti luar rumah. Tidak bermakna ia terperangkap dalam skop yang terhad sahaja. Bawa anak-anak ke taman rama-rama, atau ke pantai atau taman permainan. Banyak yang boleh dijadikan bahan cerita sepanjang berada di situ. Perhati dan kumpulkan sebanyak mungkin. Jangan lupa ambil gambar.

Semasa bercerita, keluarkan semua perhatian, gambar dan bahan cerita yang dikumpulkan tadi. Perlu ingat, bercerita hanya baik-baik. Cerita yang tidak baik, jangan sekali-kali dibawa masuk ke dalam sesi ini.

Contoh, semasa rama-rama hinggap di hidung adik, anda dan yang lain mengucapkan salam kepada rama-rama...puji bagaimana adik tenang membiarkan sahaja rama-rama bertenggek di hidungnya. Puji abang memimpin adik melintasi titian semasa menjejak rama-rama...cari kebaikan yang mereka lakukan sepanjang berada di sana dan puji kebaikan yang mereka lakukan. Sekali pun ada kekasaran yang dilakukan oleh anak-anak, jangan sebut. Nyatakan, "Ibu suka dengar suara ketawa kamu. Ibu suka lihat kamu hulurkan tangan dan bantu semasa adik terjatuh dan semasa kamu sapukan seluarnya yang berdebu, ibu rasa sungguh bangga!"

Luahkan dengan gaya dan penuh emosi positif. Seperti anda bercerita suatu kisah, begitu anda beraksi bercerita kisah di taman rama-rama. Atau di tepi pantai atau di mana-mana sahaja. Perhatikan bagaimana respon anak-anak. Anda sendiri dapat melihat betapa lebar senyuman mereka. Betapa berbunganya hati mereka sehingga merah padam dipuji begitu. Ini akan mendorong mereka melakukan lebih banyak kebaikan dalam hidup walau di mana sahaja berada.


Gambar-gambar itu buat koleksi. Jadikan aktiviti tambahan- Buku Skrap: Lawatan ke Taman Rama-rama. Setiap lawatan dibukukan dalam Buku Skrap yang berlainan. Jadikan ia koleksi kenang-kenangan keluarga anda.(contoh lain: Buku Skrap: Lawatan ke Taman Burung, Buku Skrap: Balik kampung, dan banyak lagi yang anda boleh buat). Kemudian susun di rak.
Sumber gambar: internet. Terima kasih.





Wednesday, January 02, 2013

Pabila atuk bercerita :)






Sebenarnya ini promosi kerusi. Pabila atuk duduk di tengah, cucu-cucu mengelilingi sambil tersenyum lebar mendengar atuk bercerita dan melihat gambar di buku itu....ia sungguh indah. Sempurnalah rekaan kerusi itu apabila dimanfaatkan kepada yang benar. Tahniah kepada pereka kreatif ini.

Sumber gambar: Internet. Terima kasih.

Tuesday, January 01, 2013

Bercerita Sebelum Tidur: Redha Allah

Harus diingat bahawa matlamat jangka panjang kita ialah sama-sama mendapat redha Allah. Mendapat redha Allah bermakna mendapat syurga. Lakukan yang terbaik kerana Allah akan tanya, apa yang kamu usahakan. Bukan Allah tanya apa kejayaan kamu.

Jangan sekali-kali pernah ada rasa letih dan penat melakukan rutin ini. Renung wajah anak-anak dengan penuh kasih sayang. Semakin mereka meningkat dewasa, tentu sahaja bahan cerita turut berubah. Pun begitu, objektifnya tetap sama. Memupuk akhlak mulia. Semua itu bermula dari dalam. Impaknya adakalanya serta merta. Ada pula yang memakan masa yang lama bagi menghadamkannya. Semua ini bergantung kepada hidayah Allah Taala.

Hidayah itu urusan Allah. Pun begitu, kita terus panjatkan doa, mohon Allah beri petunjuk. Ini mendidik kita sebagai ibu bapa bersikap sabar. Situasi menang menang ini memang hebat. Ia serampang dua mata.

Terus berkawan dengan anak-anak di kala usia mereka meningkat. Libatkan mereka dengan aktiviti kekeluargaan yang lebih luas, melibatkan diri dalam masyarakat dan sama-sama berseronok.