Tuesday, October 13, 2009

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya


(gambar dari Berita Harian Online 14hb Oktober 2009)
Gempa berukuran 7.6 skala Ritcher pada 30hb September lalu merubah segalanya dalam hidup mereka. MUngkin anak tabah ini di antara anak-anak yang kehilangan ayah dan ibu serta saudara mara. Jauh sekali renungannya. Melepasi runtuhan bangunan sekolah yang ranap sama sekali. Berat mata memandang tentu sahaja bahu yang memikul lebih terasa berat menggalas bebannya.

Ya Allah yang Maha Memberi, berilah kekuatan dan kesabaran dalam diri anak-anak ini.

Saturday, October 10, 2009

Insan terbaik

Assalamualaikum,
Apa khabar semua? Semoga hari-hari yang dilalui tidak berlalu sia-sia. SEdikit sebanyak tentu ada pengajaran dan iktibar yang kita dapat ambil lebih-lebih lagi baru beberapa hari kita meninggalkan bulan latihan, bulan Ramadhan. Mudah-mudahan hati kita terus dapat menyesuaikan diri dengan hari-hari dan bulan-bulan yang mendatang berkat sebulan latihan yang kita sama-sama lalui.

Penyamaran berlaku lagi. KOmen ez di shout box sekembali raya ialah bermula dari tarikh 29hb Sept dan terakhir ialah 5hb Okt. Selepas itu bukan ezee rahmani tetapi penyamar. Harap abaikan segala maklumat yang diberikan itu. Maklumat dan apa-apa pengumuman hanya disiarkan melalui entri bukan di shout box

p/s Terima kasih kepada semua yang mengutus emel bercerita tentang hari raya dan sebagainya. Cerita dan kisah itu semuanya menarik dan makcik Ez harap hadiah yang diterima itu juga menggembirakan hati anak-anak semua, ya.

Cik Ez sedang buat apa sekarang? Buat masa ini Cik Ez sedang kumpul bahan bagi projek terbaru:)

Baiklah, sehingga bertemu di entri seterusnya, sama-sama kita berusaha menjadi insan terbaik yang disayangi semua.

Tuesday, October 06, 2009

PMR

Kepada pelajar-pelajar tingkatan tiga di seluruh Malaysia, kami mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah.

Kami turut mendoakan semoga pelajar-pelajar sekelian di lapangkan dada, ditenangkan fikiran dan dapat menjawab dengan tepat. Di saat akhir begini,kita sama-sama berserah dan berdoa kepada-Nya. Satu perkara yang penting selain usaha dan iktiar ialah mendapatkan restu ibu bapa dan guru-guru. Jangan segan atau malu memohon restu dan doa mereka setiap kali melangkah ke bilik peperiksaan.

Selamat berjaya!

Monday, October 05, 2009

Indahnya alam ciptaan Tuhan





Peluang balik kampung ketika menyambut hari raya memang tidak sah sekiranya tidak ke pantai. Sempat juga kami mengambil masa selama beberapa jam di waktu pagi menuju ke Pantai Cendering. Kami bersarapan di sana. Tidak bermandi-manda pun tidak mengapa asal dapat melihat laut yang luas, gelombang ombak yang menghempas pantai, menghirup bau masin air laut, menyentuh butir-butir pasir pantai yang halus dan menikmati tiupan angin lembut pantai timur. Dari tepi pantai kami dapat melihat beberapa buah perahu nelayan sedang menebar jala. Nampaknya di hari raya ketiga mereka sudah bekerja.

11+3

Novel pertama Ezee Rahmani berjudul KAWAN, berjaya diterbitkan pada 27hb November 2006. Sedar tak sedar, sehingga ke tarikh 27hb Ogos 2009, sebelas novel Ezee Rahmani sudah diterbitkan. Novel-novel itu ialah;

1. Kawan
2. Sarah dan Kasut Tumit Tinggi
3. Abang, Adik dan Kasut
4. Sarah dan Anting-anting
5. Ketua Bilik LA 101
6. Kerana Takdir-Nya
7. Sarah dan Bunga Mawar
8. Abang, Adik dan Ayam
9. Hikayat Putera Alang Dhamiri
10.Puteri Kristal
11.Sarah dan Senduk

Manakala adaptasi kisah teladan ialah;

1.31 Kisah Teladan:Usaha Burung Pipit
2.Indahnya Cinta (Kisah-kisah Kekasih Allah)
3.31 Kisah Teladan:Penghuni Langit ketujuh

Alhamdulillah. Terima kasih kepada mentor saya, Puan Ainon Mohd dan kawan-kawan seperjuangan yang sering berkongsi ilmu dan bertukar-tukar fikiran dalam menambahbaikan lagi setiap karya yang diterbitkan.

Mudah-mudahan sedikit usaha ini mampu memberi inspirasi kepada pembaca terutamanya remaja yang disayangi sekalian.

Semua novel Ezee Rahmani sudah ada dalam koleksi anda?