Monday, January 21, 2013

Kongsi Kenangan 4

Semakin meningkat remaja, ayahanda mula berkongsi cerita sesuai dengan perkembangan kami. Pekerjaan ayahanda saya melibatkan beliau dengan haiwan-haiwan liar. Paling popular ialah gajah dan harimau. Kisah kembara beliau bersama dan kawan-kawan setugas memburu dan menjejak haiwan liar paling dinanti-nantikan.

Saya masih ingat. Dalam setiap cerita itu, ayahanda sering menyebut, haiwan pun perlu dihormati haknya. Mereka juga punya hak seperti kita kerana mereka juga makhluk Tuhan. Oh!...tiba-tiba saya menjadi rindu kepada beliau....Al Fatihah untuk ayahanda dan bonda....

Adakalanya jiran tetangga bersama ahli keluarga mereka turut duduk sekali mendengarnya. Malam minggu menjadi lebih meriah apabila ada pula di kalangan mereka mula membakar ubi di halaman dan bonda mula sibuk membancuh kopi. Seumpama berpesta pula jadinya. Biasanya paling lewat pun sehingga pukul dua belas malam.

Kesannya, bukan kepada kami sekeluarga malah jiran tetangga. Kami menjadi akrab. Sehingga terus dikenang dan diingati dalam setiap kali menadah tangan berdoa kepada Allah Taala.

No comments: