Monday, June 16, 2008

Saya mahu terbang!

“Mari ikut ibu ke sungai.”
Anak kura-kura itu mengekori ibunya. Sesekali ia mendongak ke langit. Tidak disedarinya ia tersepak sebiji batu dan tergolek jatuh. “Mak! Tolong saya!”

Ibunya menoleh ke belakang dan berpatah balik. Mereka kembali berjalan semula. Tetapi matanya masih leka mendongak ke langit. “Tengok di hadapan kamu! Ada batu!”

Hampir sahaja anak kura-kura terlanggar dan tergolek lagi. Ibunya menggelengkan kepala melihatkan perangai anaknya. “Tengoklah ke hadapan ketika berjalan. Barulah selamat perjalanan kamu.”

“Saya melihat burung-burung itu terbang.”

“Mereka juga seperti kita. Pagi-pagi keluar mencari makan.”

“Tetapi mereka dapat terbang!”

“Sebab mereka dikurniakan sepasang sayap!”

“Mengapa kita tidak diberikan sepasang sayap seperti burung?”

Ibu kura-kura menoleh ke arah anaknya dan ketawa. “Apa agaknya nama kita sekiranya badan bercengkerang dan bersayap?”

“Apa salahnya. Namakan apa-apa sahaja asalkan boleh terbang seperti mereka.”

“Bolehkah kita terbang dengan cengkerang yang berat di belakang ini?”

Anak kura-kura menarik muka masam. Muncungnya semakin panjang. Ibu kura-kura mendekatinya. “Mengapa bersedih begini?”

“Saya ingin jadi seperti burung-burung itu!”

“Tetapi kita dilahirkan sebagai seekor kura-kura.”

“Saya tidak mahu jadi kura-kura! Saya mahu jadi seekor burung!”

“Mengapa?”

“Saya mahu terbang jauh! Saya bosan berjalan perlahan begini!”

“Mari sini dekat ibu,” ajak ibu kura-kura sebaik sahaja mereka tiba di tebing sungai. Beberapa tangkai kangkung liar ditariknya ke tepi. Itulah makanan mereka. “Kamu fikir menjadi burung itu bagus?”

Anak kura-kura mengangguk. “Saya boleh terbang dan tiada siapa boleh kacau saya!”

“Berbanggalah dengan apa yang diberikan kepada kita. Kamu patut bangga dilahirkan sebagai seekor kura-kura.”

“Apa kelebihan yang saya ada? Saya tidak boleh terbang!”

“Kamu patut bangga kerana memiliki sebuah cengkerang yang melindungi kamu ketika bahaya. Burung ada cengkerang?” Anak kura-kura menggeleng.

“Kita ada rumah bergerak. Cengkerang itulah! Burung ada rumah bergerak?”
Anak kura-kura menggeleng lagi. Ibu kura-kura tersenyum. “Apabila hari hujan sarang mereka basah dan mereka anak beranak basah kuyup dan kamu?”

“Saya boleh diam di dalam cengkerang, rumah bergerak saya ini!”

“Mereka terpaksa terbang jauh mencari makanan dan membawa makanan untuk anak-anak mereka dan kamu?”

“Saya boleh berjalan bersama ibu dan dapat makan dengan mudah!”

“Pandai! Ucaplah terima kasih wahai tuhan kerana menjadikan saya seekor kura-kura!”