Wednesday, May 21, 2008

Kembalikan 200 ekor unta milik saya

“Saya adalah wakil penduduk kota Mekah bernama Abdul Mutalib.”
Sebaik sahaja tentera Abrahah tiba di luar kota Mekah, mereka menghantar seorang utusan dengan sepucuk surat yang menjemput wakil penduduk kota Mekah berbincang dengan Abrahah tentang rancangannya meruntuhkan kaabah.


Abrahah terpegun sejenak melihatkan penampilan Abdul Mutalib dan tutur katanya yang menarik. Sangka Abrahah, kedatangan Abdul Mutalib bagi membincangkan surat yang diutuskannya berkaitan mengajak penduduk kota Mekah menyokongnya dan tidak mengganggu tenteranya meruntuhkan kaabah.

“Kedatangan kami tidak bermaksud memerangi penduduk kota Mekah. Saya hanya bertujuan meruntuhkan kaabah sahaja,” kata Abrahah memulakan bicaranya.

“Begitu juga dengan kami, tidak bermaksud memerangi tentera tuan keran kami tidak bersedia untuk memerangi tentera tuan yang begitu besar dan lengkap bersenjata!”

“Baiklah. Beritahu saya apakah pendirian penduduk Mekah sekarang?”

“Kami hanya mengharapkan tuan dapat mengembalikan segala harta benda dan binatang ternakan yang dirampas oleh tentera-tentera tuan termasuklah 200 ekor unta milik saya..”

“Apa?” Pandangan Abrahah mula sinis terhadap Abdul Mutalib. “Kata-kata tuan ini langsung tidak mengutamakan keselamatan kaabah yang menjadi tumpuan seluruh umat manusia. Malah tuan lebih bimbangkan harta benda dan binatang ternakan?”

“200 ekor unta itu ialah milik saya. Sewajarnya saya berusaha mendapatkannya kembali. Sedangkan kaabah itu ada pemiliknya. Maka pemiliknyalah yang akan berusaha melindunginya.”

Abrahah terkejut bercampur gembira mendengar kata-kata Abdul Mutalib seolah-olah berlepas diri dari menjaga kaabah. “Kalau begitu saya tidak menghadapi sebarang masalah meruntuhkannya!”

“Terserahlah kepada tuan dan pemilik kaabah. Itu ialah urusan tuan dan pemiliknya sendiri. Apa yang saya perlukan sekarang, tuan kembalikan segala harta benda dan ternakan yang dirampas oleh tentera-tentera tuan.”

Abrahah dengan senang hati mengarahkan tentera-tenteranya menyerahkan segala harta benda dan binatang ternakan sepertimana yang dituntut oleh Abdul Mutalib. Pulanglah Abdul Mutalib bersama harta benda dan binatang ternakan dengan dada yang berdebar-debar, “Saya pasti dan yakin pemilik kaabah tidak akan membiarkan ia dimusnah!”

Monday, May 19, 2008

Alhamdulillah kebanyakkan adik-adik sudah tamat peperiksaan. Tentu lega, bukan? Maklumlah sepenggal memerah otak dan mengulangkaji pelajaran. Selain berdoa itulah yang amat penting kita sebagai pelajar lakuan. Iaitu berusaha sedaya mungkin untuk berjaya. Kami di sini turut mendoakan kejayaan adik-adik semua, amin.

Hmm... tinggal beberapa hari lagi cuti persekolahan. Malah lebih lama! 2 minggu! Apa rancangan adik-adik sepanjang cuti. Sudah ada rancangan?

Thursday, May 15, 2008

Kasihnya ibu

Perlahan-lahan Nasaruddin mendekati anak rusa comel dan dengan mudah sahaja dia berjaya menangkapnya. Anak rusa comel itu diletakkan di atas kuda di hadapannya. Kemudian dia menepuk-nepuk leher kuda tunggangannya.

Kuda Nasaruddin yang memahami arahan tuannya, berpusing ke laluan tadi dan melangkah meninggalkan hutan. Sepanjang perjalanan Nasaruddin berasa tidak selesa. Sesekali dia menoleh ke belakang. Seperti ada sesuatu yang mengekorinya di belakang!

Pergerakan kuda menjadi lebih perlahan kerana menanggong berat tuannya dan seekor anak rusa. Berulang kali Nasaruddin menoleh ke belakang tetapi tidak ada apa-apa yang kelihatan. Akhirnya mereka sampai ke tepi hutan. Sekali lagi Nasaruddin menoleh. “Oh! Ini yang mengekori saya sejak tadi?”

Seekor ibu rusa rupa-rupanya mengekori Nasaruddin. Nasaruddin memerhatikan wajah ibu rusa itu. Seolah-olah menagih simpati darinya. “Mungkinkah anak rusa comel ini anaknya?”
Tangan Nasaruddin mengusap-ngusap lembut badan anak rusa comel di hadapannya sambil memandang ke arah ibu rusa yang turut memerhatikan perbuatannya.

Akhirnya Nasaruddin menurunkan anak rusa comel ke tanah. Sebaik sahaja diturunkan, ia segera melompat-lompat mendapatkan ibunya. Nasaruddin memerhatikannya dengan wajah gembira bercampur haru. Ibu rusa asyik menjilat-jilat anaknya dan seketika ia memandang ke arah Nasaruddin lalu melompat-lompat dengan girang ke dalam hutan.
(Petikan dari buku Kisah Burung Pipit)

Wednesday, May 07, 2008

Musim peperiksaan menjelang tiba

"Belajar rajin-rajin. Peperiksaan makin hampir!" pesan Mak Su.
Tiba-tiba Amin mendekati Mak Su yang sedang berbual dengan Makcik Sarimah. "Ada hadiah sekiranya keputusan peperiksaan kami cemerlang?"
Serentak itu Mak Su tergelak manakala Makcik Sarimah menjengilkan biji matanya. "Amin, elokkah bertanya begitu kepada Mak Su. Bukankah apa yang kamu belajar itu untuk masa depan kamu juga?"
"Biarkanlah dia. Baiklah. Sekiranya kamu berdua mendapat keputusan yang cemerlang, Mak Su belikan hadiah!"
Bersoraklah Amin apabila mendengar janji Mak Su itu.
"Bagaimana pula dengan saya?" tanya Sarah tersengih-sengih.
"Kamu jugalah!"
Kali ini sorakkan lebih gamat lagi. Kedua-dua beradik bersorak sehingga terlupa suara mereka didengari sehingga ke rumah jiran. "Kalau ya pun seronok, janganlah sampai begitu sekali riuhnya!" tegur Pakcik Jamal sebaik sahaja meninjau ke halaman.
Hmm... sudah mula ulangkaji?