Friday, November 17, 2006

Kita anak bertuah

Allah menyatakan di dalam al Quran yang bermaksud, "Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui suatu apa pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyurkur."
(Surah an Nahl: ayat 78)
Kita anak yang paling bertuah. Mengapa kita bertuah? Bertuah kerana dilahirkan dan bertuah kerana berpeluang meneroka alam ditemani oleh seorang ibu yang diciptakan oleh Allah kaya dengan sifat cinta dan kasih. Seorang ibu yang dijadikan oleh Allah penuh dengan limpahan cinta dan kasih sayang. Ibu menemani kita setiap masa. Hati dan perasaan ibu sentiasa bersama kita walaupun pada zahirnya kita berada jauh darinya. Kita sentiasa dekat di hati ibu. Kita sentiasa di dalam ingatan dan bola minda ibu walau betapa sibuk dan buntunya fikirannya ketika itu namun ruang bola mindanya sentiasa ada untuk kita. Begitu ibu memberi cinta dan kasih sayangnya kepada kita. Memberi tanpa mengharapkan balasan. Bagaimana pula kita?
Di dalam kesibukkan kita belajar, bekerja atau menguruskan segala urusan hidup yang tidak pernah akan habis ini, masih adakah ruang di bola fikir kita akan sekujur tubuh bernama ibu? Atau ibu terpinggir dari bola fikir dan hati kita? Pernahkah kita terfikir untuk turut memberi cinta dan kasih seorang anak kepada ibu?
Sememangnya kita anak yang bertuah. Anak bertuah yang menjadi pilihan Allah untuk lahir ke dunia yang dilahirkan pula oleh seorang ibu yang terpilih. Amat wajar sekali kita menghargai jasa ibu. Memberi cinta dah kasih seorang anak walaupun tidak diminta. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas dengan setimpalnya cinta dan kasih sayang yang ibu curahkan yang melebihi cinta dan kasihnya terhadap dirinya sendiri. Masukkanlah ibu di dalam hati dan bola fikir kita sebagaimana ibu letakkan keutamaan kita di dalam hidupnya, sebagai tanda kita mensyukuri di atas segala nikmat dari Allah Yang Maha Pemberi.
Allah menyatakan di dalam al Quran yang bermaksud, "....Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri...."
(Surah Luqman: ayat 12)
Sememangnya setiap kebaikan yang dilakukan akan kembali kepada diri kita sendiri. Begitulah sebaliknya. Kita akan memperoleh impaknya. Kematangan di dalam melalui hidup membuat kita lebih bijak membuat keputusan. Namun tidak semuanya boleh dipelajari di sekolah. Pengalaman hidup yang sering beranika warna silih berganti di antara yang mematangkan kita. Di samping kawan kawan rapat yang sentiasa memberi pandangan dan nasihat.
Menghargai setiap anugerah yang diberikan Allah dengan mengambil kira sekecil kecil perkara akan membuat kita menjadi seorang anak yang lebih baik. Lebih teliti dan lebih sensitif terutama di dalam mengenang cinta dan kasih sayang ibu. Perkara yang mungkin setengah orang menganggapnya remeh dan tidak penting menjadi penting dan mustahak pada pandangan ibu terutamanya apabila ia berkait dengan diri kita.
Walau pun doa ibu tidak putus putus untuk kita dan yakin Allah akan memelihara kita namun ibu tetap berharap agar kita bercerita serba sedikit tentang kehidupan kita yang jauh dari pandangannya. Bila kita akan menghadapi peperiksaan, kita akan bercuti, pergi berkelah dan sebagainya. Apa salahnya kita bercerita kepada ibu dan memohon doa agar kita selamat, agar kita diterangkan hati ketika menjawab soalan dan sebagainya supaya kita benar benar menjadi anak yang bertuah.
Sikap kita yang kadang kala acuh tak acuh tentang hal sebegini dengan alasan... hal sekecil itu tidak perlu diambil kira adalah satu sikap yang silap. Bagi kita itu hal kecil tetapi besar halnya pada ibu. Lagi pun kita tidak rugi apa apa. Malah bertambah erat perasaan cinta dan kasih di antara ibu dan kita. Bukankah itu yang sewajarnya? Mengekalkan cinta dan kasih sayang malah mengeratkan lagi.
Terjaraknya kita dengan ibu kerana faktor geografi tidak dapat dielakkan. Tetapi menjarakkan perasaan cinta kasih terhadap ibu hanya kerana kita sudah dewasa dan mahu berdikari ialah satu tindakan yang tidak tepat. Sedangkan cinta dan kasih ibu semakin kuat sehingga menjadi kerinduan yang amat sangat ketika berjauhan. Amat tidak adil sikap kita terhadap ibu. Belajarlah mencurah dan memberi cinta dan kasih ke tempat yang sewajar.
Kita ghairah untuk bercinta dan berkasih. Kita mengejar dan berkejaran merebut pelbagai cinta dan kasih yang kononnya cinta sejati. Kita lebih rindu dan gundah gulana kepada sogokan dan tarikan dunia. Kita tersenyum sendirian apabila mengenangkan cinta sejati kita, membayangkan entah apa apa mengalahkan filem bollywood yang berguling guling di banjaran Himalaya sehingga tercicir cinta dan kasih yang tidak boleh sama sekali terabai walaupun didatangi pelbagai cinta dan kasih yang bersusun susun di hadapan kita.
Tidak salah menambah koleksi cinta dan kasih asal kena pada tempatnya. Sememangnya Allah mahu hidup setiap makhluk penuh dengan cinta dan kasih sayang. Merenung diri, menginsafi diri dari mana asal kita, apa tujuan kita dilahirkan dan ke mana kita akan kembali, akan membuat kita lebih berhati hati mengharungi hidup. Sesekali kita perlu menoleh ke belakang dan sesekali kita perlu tunduk ke bawah.
Ada orang, sekali dia melangkah tidak mahu lagi dia menoleh ke belakang atau tunduk ke bawah kerana banyak kisah silam yang menyedihkan hati. Ada orang mengatakan dia langsung tiada kenangan bersama ibu. Ibu meninggal dunia saat melahirkannya atau dia ditinggalkan ibu sebaik sahaja dilahirkan. Namun di dalam seluruh kisah silam tentu ada walau sedikit kisah manis yang layak dikenang buat pembakar semangat cinta dan kasih kita terhadap ibu.
Sekurang-kurangnya dialah ibu yang pernah mengandungkan kita selama sembilan sepuluh hari. Dialah ibu yang melahirkan kita ke dunia ini. Sekadar itu sahaja pun kita tidak akan mampu membayar setiap detik kesusahannya, setiap detik kita membesar di dalam perutnya. Bagaimana boleh kita menepis setiap perasaan itu? Walaupun ketika tempoh itu kita tidak mengingati apa apa namun naluri ibu dan anak telah terjalin di saat itu tetap mengalir di dalam diri kita. Mengapa kita menepis segala perasaan indah yang terbina sejak kita masih janin lagi?

Monday, November 13, 2006

Ramadhan pergi jua


Aku menoleh ke hari hari kelmarin
Langkah langkah ramadhan ku imbaui
Betapa cepat ia berlalu
Sehingga kini di penghujung pertemuan

Berat hati ku melepaskan
Ramadhan pergi tanpa upaya ditahan
Terasa baru seketika bersama
Kini sudah bersurai pergi

Belum puas rasa hati
Bersama Ramadhan tetamu mulia
Siang malam dilimpahi rahmat
Manakan sama tetamu yang lain

Seperti semalam ia hadir
Mengisi hari hari begitu pantas
Tak terasa begitu cepat masa berlalu
30 hari mencukup lawatan

Air mata sebak mengalir lalu
Melepaskan ramadhan yang bersiap pergi
Dapatkah kita bersua lagi
Di pertemuan ramadhan yang akan datang?

Oh…
Ramadhan…

Sunday, November 12, 2006

Selepas Raya....


Khabarnya, banyak kawan-kawan kita selepas raya ini, sakit kepala, demam, selsema,tidak lena tidur dan sebagainya. Maklumlah pulang ke kampung halaman, berubah cuaca, suasana lagi pun jerebu ketika itu masih melanda tetapi syukurlah di selang seli dengan hujan rahmat Syawal membuatkan jerebu berlalu pergi.

Bagi yang masih tidak sihat, cubalah petua warisan bonda ini, mudah-mudahan beransur pulih.
Manfaat paling besar yang dimiliki oleh sayur bayam yang dikenali sebagai raja sayuran adalah ia mampu mengubati rasa lesu, letih dan tidak bermaya. Ini ialah tanda-tanda kurang darah atau anemia. Cara menyediakannya ialah, masukkan bayam yang siap dibersihkan dan segelas air masak ke dalam blender. Kemudian, tapiskannya ke dalam gelas dan memasukkan sesudu madu ke dalamnya. Siap Jus bayam! Yum Yum!
Bayam juga mampu merawat kulit muka, rambut dan kepala, merawat sakit gusi dan sembelit. Begitu hebatnya bayam diciptakan oleh Allah untuk kita semua manfaatkan.