Thursday, May 15, 2008

Kasihnya ibu

Perlahan-lahan Nasaruddin mendekati anak rusa comel dan dengan mudah sahaja dia berjaya menangkapnya. Anak rusa comel itu diletakkan di atas kuda di hadapannya. Kemudian dia menepuk-nepuk leher kuda tunggangannya.

Kuda Nasaruddin yang memahami arahan tuannya, berpusing ke laluan tadi dan melangkah meninggalkan hutan. Sepanjang perjalanan Nasaruddin berasa tidak selesa. Sesekali dia menoleh ke belakang. Seperti ada sesuatu yang mengekorinya di belakang!

Pergerakan kuda menjadi lebih perlahan kerana menanggong berat tuannya dan seekor anak rusa. Berulang kali Nasaruddin menoleh ke belakang tetapi tidak ada apa-apa yang kelihatan. Akhirnya mereka sampai ke tepi hutan. Sekali lagi Nasaruddin menoleh. “Oh! Ini yang mengekori saya sejak tadi?”

Seekor ibu rusa rupa-rupanya mengekori Nasaruddin. Nasaruddin memerhatikan wajah ibu rusa itu. Seolah-olah menagih simpati darinya. “Mungkinkah anak rusa comel ini anaknya?”
Tangan Nasaruddin mengusap-ngusap lembut badan anak rusa comel di hadapannya sambil memandang ke arah ibu rusa yang turut memerhatikan perbuatannya.

Akhirnya Nasaruddin menurunkan anak rusa comel ke tanah. Sebaik sahaja diturunkan, ia segera melompat-lompat mendapatkan ibunya. Nasaruddin memerhatikannya dengan wajah gembira bercampur haru. Ibu rusa asyik menjilat-jilat anaknya dan seketika ia memandang ke arah Nasaruddin lalu melompat-lompat dengan girang ke dalam hutan.
(Petikan dari buku Kisah Burung Pipit)

2 comments:

Abang Long said...

Baca dimalam hari ... hingga anak terlena ...

Lina Bte Zakaria said...

sgt bernas n simple..boleh meyedarkan seseorg anak betapa kasih dan sygnya ibu itu.,,,