Wednesday, June 26, 2013

Catatan 168 jam

Seminggu terlantar di rumah sakit tempoh hari, memberi peluang kepada saya melihat bahawa di kiri dan kanan saya masih ada yang lebih kritikal berbanding saya. Ia cukup membuat saya beristighfar memohon ampun kepada Yang Memberi Ujian ini. Suasana yang membuat hati terasa insaf dan bersyukur.

Selama seminggu berlangsung, bermakna 7x24jam=168jam. Ia suatu waktu yang cukup panjang untuk bermuhasabah diri. Siang dan malam silih berganti, saya melihat pesakit-pesakit yang menderita dengan berbagai penyakit.

Wahai Allah, Engkau yang memberi penyakit dan Engkau juga yang menyembuhkannya. Sembuhkanlah kami....

Tempoh seminggu tidaklah lama berbanding beberapa pesakit lain. Ada yang tiga minggu, malah ada yang sebulan sudah terlantar. Hanya Allah jua yang tahu rahsia dan hikmahnya diturunkan penyakit buat seseorang hambaNya. Sebagai seorang hambaNya yang diuji dengan situasi sebegini, kami saling memupuk diri agar terus bersangka baik kepada Allah dan bertawakkal.


Mudah-mudahan sedikit ujian ini mendekatkan lagi hubungan kami dan kita semua kepada Yang Maha Pencipta, merapatkan hubungan kita dengan orang-orang di sekeliling. Saling menghargai, menghormati dan bertolak ansur.


Allahumma balighna Ramadan...
Ya Allah, sampaikan kami ke bulan Ramadan...



Bercerita Sebelum Tidur: Bulan Menahan Lapar dan Dahaga

Kita semakin mendekati bulan yang penuh kemuliaan. Bulan Ramadan. Terlalu banyak yang boleh diceritakan tentang kemuliaan bulan ini. Ibu bapa boleh mula memperkenalkan bulan ini kepada anak-anak walau pun mereka masih kecil dan tidak mampu menjalani ibadah puasa.

Terangkan dengan mudah dan dimulakan dengan perkara yang sesuai didengari oleh anak-anak sesuai dengan umur dan tahap kefahaman mereka. Usah gunakan penerangan yang berbelit-belit sehingga kita sendiri termenung memikirkan 'apa yang aku terangkan tadi?'....kita sendiri tidak faham.

Secara ringkasnya, kaitkan Ramadan - puasa - waktu berbuka - waktu bersahur - tahan lapar dan dahaga - solat terawih - dll. Mungkin ia seolah-olah lebih kepada latihan fizikal, sebagai bulan menahan lapar dan dahaga. Namun sedikit demi sedikit para ibu bapa boleh bercerita lebih mendalam lagi tentang hikmah di sebalik wajibnya berpuasa di bulan Ramadan ini.

"Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah memfardhukan atas kamu puasanya. Di dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan." (HR Ahmad)

Thursday, June 20, 2013

Wednesday, June 12, 2013

Syaban sudah bertamu. Tidak lama lagi Ramadhan menyusul. Bulan yang menjadi kerinduan umat Islam. Bulan yang penuh keindahan dan pesona yang mendalam.

Mudah-mudahan kedatangan Ramadhan yang membawa seribu satu kebaikan dan kelebihan ini dapat kita sama-sama memanfaatkan dengan sebijak-bijaknya.

Semoga tarbiyah di Madrasah Ramadhan ini meningkatkan lagi amal soleh kita dan dapat kita sama-sama meneruskannya di bulan-bulan selepasnya.