Saturday, July 20, 2013

Bercerita Sebelum Tidur: Bersedekah

Di antara aktiviti paling indah dilakukan bersama anak-anak di bulan rahmah ini, selain bertadarus ialah bersedekah. Seharian berlapar dahaga, sedikit sebanyak memberi rasa insaf betapa situasi orang-orang yang berada dalam kesempitan atau mereka yang ditimpa musibah. Samada saudara-saudara seIslam yang berada di dalam negeri atau di luar sana.

Begitu ramai yang memerlukan peduli kita. Itu yang perlu kita tanamkan ke dalam diri anak-anak. Bukan setakat memikir apa juadah berbuka puasa untuk kita sekeluarga petang ini. Malah lebih jauh lagi, kita melihat saudara-saudara yang sedang gigih berjuang berkorban harta dan nyawa demi Islam.

Ajak anak-anak sertai sama setiap kali anda mahu bersedekah. Latih mereka memasukkan sedekah walau pun RM1 ke dalam tabung setiap kali  berkunjung ke masjid, misalnya. Ajar mereka memasang niat mendapat keberkatan Allah SWT dalam setiap pekerjaan yang mahu dilakukan. Memulakan dengan jumlah yang sedikit. Lebih jauh lagi sekiranya ada peluang, anda boleh bersedekah ke rumah anak-anak yatim atau persatuan-persatuan yang menguruskan kebajikan saudara kita samada di dalam atau di luar negara.

Permerhatian anak-anak hari ini menjadi inspirasai mereka di masa akan datang, tatkala mereka menginjak dewasa. Adakalanya kita sebagai ibu bapa tidak perlu bercakap banyak atau menjelaskan itu dan ini dengan penerangan panjang lebar. Memadai dengan mempamerkan akhlak yang indah (sedekah, salah satunya) maka ia memadai menerangkan segala-galanya. Wallahu a'lam.


Thursday, July 11, 2013

Bercerita Sebelum Tidur: Pesta Makan-makan?

Sedar atau tidak, bulan Ramadan menjadi Pesta Makan-makan bagi sesetengah golongan. Lambakan berbagai jenis kuih-muih dan lauk-pauk memenuhi meja. Ditambah lagi dengan beberapa jenis minuman. Semuanya tersedia dan hanya menanti masuk waktu berbuka.

Boleh sahaja meraikan anak-anak yang baharu belajar berpuasa dengan juadah istimewa. Terutama sekali juadah kegemaran mereka. Di masa yang sama beri kefahaman ringkas dan padat kepada anak-anak bahawa memadai dengan sejenis kuih dan sejenis lauk istimewa untuk hidangan.

Jangan sekali-kali dicemari Bulan Ramadan ini hakikatnya ialah salah satu Pesta Ibadah menjadi Pesta Makan-makan pula.

Pesta Ibadah bukan setakat melatih berlapar dahaga. Bukan setakat latihan untuk perut malah anggota badan yang lain termasuklah mulut, mata, telinga, tangan, kaki dan hati. Biar anak-anak faham tentang kepentingan ibadah puasa itu. Untuk apa berpuasa, mengapa mesti berpuasa dan sebagainya, sehingga mereka dapat melihat hikmah di sebalik perlaksanaannya.

Sama-sama kita berusaha merubah kepada yang lebih baik di bulan tarbiyah amali ini sehingga lahir masyarakat yang berakhlak mulia lagi terpuji.

Wednesday, July 03, 2013

Bercerita Sebelum Tidur: Bebas hari dan waktu

Ibu bapa yang dihormati,

Tidak perlu bertegas dengan jadual bercerita. Walau pun fokus perkongsian ini kepada waktu sebelum tidur, kalian sebagai orang yang paling dekat dengan anak-anak lebih memahami dan lebih arif waktu yang paling sesuai.

Kalian bebas memilih hari dan waktu. Ada yang memilih hari Sabtu atau Ahad di waktu pagi selepas bersarapan. Ada yang memilih di waktu petang dan ada yang memilih waktu malam selepas solat isyak. Apa yang penting tukang cerita dan pendengarnya, selesa dan berjalan dengan penuh harmoni.

Mungkin kita perlu tukarkan Bercerita Sebelum Tidur kepada yang lebih mudah?

Bercerita Sebelum Tidur: Peristiwa-peristiwa Penting di Bulan Ramadan

Kanak-kanak memang suka mendengar cerita. Banyak kisah atau perisitiwa penting di bulan Ramadan yang boleh dikongsikan dengan mereka semasa sesi bercerita sebelum tidur. Secara langsung atau tidak langsung, mereka mula mendekati sejarah Islam itu sendiri.

Contohnya, di bulan penuh barakah ini, diturunkan kitab Al Qur'an dan kitab-kitab Samawi yang lain iaitu, Kitab Zabur, Kitab Taurat dan Kitab Injil. Peristiwa Lailatul Qadar dan boleh kaitkan dengan Surah Al Qadr.

Banyak lagi peristiwa yang berlaku sepanjang bulan Ramadan yang boleh dijadikan bahan sebagai satu motivasi memupuk anak-anak mencintai Allah dan Rasul saw. Kongsikan sahaja di mana ada peluang bercerita bersama anak-anak. Di dapur ketika memasak bersama-sama, di ruang tamu ketika mengemas rumah atau melipat kain baju. Apa yang penting, penceritaan tidak membosankan mereka atau dengan kata mudah jangan kita syok sendiri.