Wednesday, December 31, 2014

Bercerita Sebelum Tidur: Banjir

Bagaimana dengan aktiviti ibu bapa bersama anak-anak di musim hujan/tengkujuh begini?

Di sana-sini ramai berkumpul dan melakukan sesuatu untuk mereka yang terlibat dengan musibah banjir. Mungkin anak-anak boleh dilibatkan sama bagi melakukan kerja-kerja mudah atau pun sekurang-kurangnya mereka dapat hadir dan melihat kesibukan ibu bapa dan mereka yang lain dengan urusan sebegini.

Sekali-sekala, kita mendedahkan anak-anak kepada urusan orang lain, mengambil peduli tentang kesusahan orang lain dan berusaha melakukan sesuatu. Ia amat berbaloi dalam membiasakan anak-anak dengan kehidupan di luar lingkungan diri mereka. Biar mereka tahu, di luar sana ramai yang memerlukan bantuan kita.

Ini di antaranya, dalam melatih anak-anak ringan tulang, suka memberi dan berkongsi apa yang ada.

Tuesday, December 30, 2014

2014 melabuhkan tirai, 2015 bermula lembaran baru

Memang tidak perlu bercakap banyak tentang apa yang kita buat sepanjang tahun. Pun begitu, menoleh ke belakang, melihat-melihat dan mengamati, begitu penting bagi sesi mengoreksi diri. Kerana, sendiri juga tahu, diri kita yang tidak sempurna dan di masa yang sama,  ingin menyempurnakannya sehabis mungkin.

Maafkan sesiapa sahaja yang pernah berbuat tidak senang dengan harapan, mereka juga berbuat hal yang serupa. Usah dikumpul rasa iri, dendam dan kesumat sehingga otak berserabut dan hati jadi beku. Lebih baik terus lihat ke hadapan dan majukan diri. Otak pun jadi cergas, hati juga jadi lembut dan basah.

Apa yang dipelajari, apa yang dilalui, membuat kita bertambah matang dalam tindakan, kata-kata mahu pun pengamatan. Untuk itu, ayuh langkahi tahun berikutnya dengan lebih yakin bahawa Allah sentiasa menemani kita. Pahit dan getir, payah dan sulit, sebagai ujian meningkatkan takwa. Sebagai tanda kasih sayangNya untuk membersih diri dan supaya sentiasa mengingatiNya. Lalu, terus melihat dengan mata hati. Tukarkan segala musibah menjadi peluang.

InsyaAllah, kita akan mengecapi nikmat ujian itu, nikmat hidup walau seketika.


Saturday, December 13, 2014

                               Saya meminta keKUATan,
Allah memberi kesulitan untuk saya jadi KUAT.
                                      (Salahuddin Al Ayubi)

Wednesday, November 26, 2014

Putera /Puteri Bonda

Putera Bonda

Kini dikau menginjak dewasa
Segalanya mampu dilaksana
Jiwa mekar tubuh sasa
Putera bonda

Jangan biar diri rapuh
Quran dan sunnah genggam kukuh
Mengemudi bahtera merempuh
Arus ganas berani ditempuh

Doa restu mengiringi
Tetap terus mengemudi
Seluruh menjadi saksi
Putera bonda rijal Ilahi

Maju berani
Membawa bahtera mengharungi
Pasang surut alunan badai
Pelabuhan bahagia menanti

Puteri Bonda

Saat dikau melangkah pergi
Doa restu bonda iringi
Kini dikau dimiliki
Pandai-pandailah membawa diri

Genggam kuat Quran dan sunnah Nabi
Pasti hidupmu lebih bererti
Indah bahasa elok pekerti
Biar diri dicontohi

Dari jauh bonda perhati
Puteri bonda yang dibanggai
Isteri mithali
Berjiwa srikandi

Monday, November 17, 2014

An Nur

Pengalaman berada di dewan bedah minggu lepas memberi kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Sempat saya melirik menjelajah ke seluruh sudut dewan tersebut. Entah apa yang saya cari, saya sendiri pun tidak tahu sehingga akhirnya mata saya menatap meja yang menjadi tempat utama, di tengah-tengah dewan. Tim yang bertugas siap menghadiahkan selebar senyum dan sehalus tutur membuat hati saya terasa tenang, rasa damai apabila dikelilingi oleh orang-orang yang amanah dalam kerja. Lebih kurang 4 jam 'ditidurkan', saya berserah sepenuhnya kepada Allah yang menghidup dan memati.

Alhamdulillah, setinggi syukur kepada Allah yang masih memberi nafas bagi meneruskan suatu lagi episod kembara hidup sehingga tiba kesuatu noktah. Terima kasih ya Allah.

Firman Allah Taala; Dialah yang menghidup dan mematikan, dan hanya kepadaNyalah kamu dikembalikan. (Yunus:56)


Friday, October 31, 2014

Jangan pernah terselit rasa jemu atau bosan apatah lagi rasa sia-sia dalam mendoakan untuk Palestin. Ayuh teruskan usaha sehingga datangnya hari itu.

Firman Allah Taala; Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya, Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu (mata) mereka terbelalak.(Surah Ibrahim: 42)



Monday, September 22, 2014

Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah...
Allah masih memberi sedikit lagi ruang untuk saya. Walau tidak se gah teman-teman lain yang lincah beraksi di medan, itulah upaya saya dengan keterbatasan mampu yang diberi. Tidak pernah dilupai doa untuk kalian dalam setiap kali kutadahkan tangan ke langit, biar kalian tetap teguh dan istiqomah dalam amal.

Ramai orang berkejar-kejar mengumpul bekal membanyakkan amal. Pun begitu tidak dinafi segelintir yang mula lupa asal terbina suatu amal itu. Adakalanya, ia terpesong dari matlamat asal dek kerana ghairah yang penuh tipudaya. Sungguh, kuatnya tarikan leka sehingga terlihat indah lalu menambah pesona. Membuat diri terawang-awangan menikmati bahagia sementara.

Moga kita dijauhi tergolong dalam kelompok ini. Moga kita terlepas dari sikap sebegini. Ya...pastinya merugikan apabila penat lelah di sini, menyemai, menyiram dan membaja, bila tiba musim menuai, hampas kering yang terkumpul. Na'uzubillahi min zalik....

Ayuh, saling kita ingat-mengingati dalam bekerja, beramal. Terutamanya niat asal kita dan selamanya biar hanya kerana mencari redhoNya. Redho Allah Taala semata-mata. Bukan kerana selain dariNya.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Demi masa. Sungguh, manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling mengingati untuk kesabaran.