Sunday, March 23, 2008

Siapa pelihara kucing?

Meow...Meow...meow... Bunyi rintihan sayu kucing peliharaan itu sungguh menyedihkan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Badannya sungguh kurus sehingga kelihatan tulang rangkanya. Ketika itu, hari semakin gelap. Kucing yang kurus kering itu mengiau lemah di tepi pintu menahan sejuk yang mencengkam sehingga ke tulang. Siang tadi ia dipukul teruk oleh tuannya, seorang perempuan tua yang bengis dan garang.
“Jangan kamu berbunyi lagi. Tidur sahaja di situ!” jerit perempuan tua ketika menjenguk ke pintu sambil di tangannya memegang sebatang kayu panjang yang selalu digunakan setiap kali memukul kucingnya.
Kucing malang itu segera terdiam apabila dibentak dan ditunjukkan kayu panjang yang siang tadi dirasai pukulannya.
“Bagus! Sekarang kamu faham!”
Pintu rumah ditutup semula dengan kuat dan tinggallah kucing malang kesejukkan di luar rumah tanpa berani mengiau lagi. Ia merengkok menahan sejuk dan memejamkan matanya. Seorang jiran memerhatikan keadaan kucing malang itu hampir setiap hari tidak lagi sanggup membiarkannya terus menjadi mangsa tuannya melepaskan geram. Jiran yang baik hati itu mendekati rumah perempuan tua dan mengambil kucing malang lalu dibawa pulang ke rumahnya. Meow...Meow...meow... Berbunyi kucing malang sebaik sahaja berada di dalam pelukan jirannya.
Dia segera ke dapur dan menghidangkan semangkuk susu untuk tetamunya. “Minumlah!” katanya sambil mengusap-usap belakang kucing malang yang kurus kering itu. Sekejap sahaja licinlah mangkuk yang penuh berisi susu dijilat oleh kucing malang. Ia merengkok kembali di tepi badan jiran yang baik hati itu lalu tertidur. “Saya sungguh kasihan melihat kamu dipukul setiap hari tetapi apa daya saya untuk menahan perbuatan tuan kamu yang kejam itu.”
Keesokkan harinya, perempuan tua itu terkejut apabila kucingnya tiada di depan pintu. “Siapakah yang mencuri kucing saya?” Perempuan tua itu menjerit-jerit menuduh jiran-jiran yang lalu lalang di hadapan rumahnya sebagai pencuri. “Kamu curi kucing saya!”
Jiran yang baik hati tiada pilihan selain menyerahkan kembali kucing malang ke tangan tuannya. Sebelum menyerahkan semula dia meminta perempuan tua itu berjanji, “Berjanjilah! Awak tidak akan memukulnya lagi!”
Perempuan tua itu terpaksa bersetuju dengan syarat jirannya. Dia berbuat begitu supaya kucingnya dipulangkan. Sebaik sahaja kucing itu diserahkan kepadanya, dia segera masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu.
Sebentar kemudian kedengaran bunyi kucing mengiau dengan kuat diikuti dengan bunyi pukulan. Selang beberapa hari, tiada kedengaran lagi bunyi mengiau kucing dari rumah perempuan tua itu. Jiran yang baik hati tidak senang duduk dan sering tertanya-tanya apakah nasib kucing malang. Apakah yang terjadi kepada kucing itu?
Rupa-rupanya kucing malang mati akibat dipukul teruk oleh tuannya. Perbuatan kejam perempuan tua itu mendapat murka Allah swt sehingga tidak diampunkan dosa-dosanya.

Monday, March 17, 2008

Lipat ganda



Ada kalanya kita merasakan sudah melakukan yang terbaik. Berusaha semaksimumnya namun hasil yang diperolehi tidak sebagaimana yang dihajatkan. Adakah memang kita tergolong dalam golongan yang lemah dan gagal?

Jika diimbas ketika kita belajar bertatih, tidak ada orang yang tidak pernah terjatuh ketika belajar bertatih. Malah berpuluh-puluh kali jatuhnya tetapi berpuluh-puluh kali jugalah kita berusaha bangkit dan bangun semula walau pun bercucuran air mata dan ada kalanya kita menjerit kerana geram. Tetapi erti putus asa tidak pernah ada dalam kamus hidup kita.

Pandang ke hadapan dan teruskan langkah. Mungkin orang lain sekali baca sudah faham apa yang dibaca tetapi mungkin tidak bagi kita. Perlukah kita kecewa? Tentu tidak, bukan. Setiap orang dilahirkan dengan kemampuan yang berbeza-beza. Apa yang perlu kita lakukan ialah lipat gandakan usaha. Baca dan fahamkan berulangkali tanpa jemu dan sentiasa berbaik sangka kepada Allah.

'Seseorang itu memperolehi apa yang diusahakannya.' Itu janji Allah dan kita tidak perlu bimbang tentangnya. Teruskan langkah dan lipat gandakan usaha.


Tuesday, March 11, 2008

Bangun

Sebagai seorang pelajar tentulah ujian dan peperiksaan merupakan sesuatu yang menyusahkan. Alangkah seronoknya belajar tanpa semua itu. Namun itulah kayu ukurnya. Di situlah dapat dilihat sejauh mana pencapaian kita kepada apa yang dipelajari selama tempoh tertentu.

Tetapi gagalnya seseorang dalam mengharungi sesuatu ujian bukan bermakna dia tidak bijak dan akan terus gagal selama-lamanya. Berjayanya seseorang pula bukan melambangkan dia serba tahu dan boleh terus mendabik dada sebagai seorang juara.

Kenal pasti potensi diri yang ada dalam diri kita. Terokai ia. Usah takut kepada perkataan gagal. Orang yang berani ialah orang yang tidak gentar kepada kegagalan. Dia akan bangun setiap kali terjatuh. Di situlah dia terus belajar erti hidup yang sebenarnya. Berusaha dan bermohon kepada Yang Maha Perancang.

Masih ingat ketika kecil-kecil dulu sewaktu kita belajar bertatih? Kita kerap terjatuh. Kita menangis tetapi di masa yang sama kita berusaha bangun semula dan bertatih lagi. Kita tidak pernah serik, bukan?

Sunday, March 09, 2008

Cuti-cuti dalam Sarah dan Anting-anting!


Selama seminggu ini pelajar-pelajar di sekolah rendah dan menengah bercuti. Ada yang balik kampung menjenguk datuk dan nenek, ada yang pergi melancung dan ada juga yang menghabiskan sepanjang cuti ini di rumah. Bagi pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan pula sudah tentu memanfaatkan waktu cuti ini dengan mengulangkaji.

Apa yang penting waktu tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja. Banyak aktiviti yang boleh dirancang. Samada aktiviti sendirian atau berkumpulan.

Bagaimana agaknya Sarah mengisi cutinya kali ini? Apa aktiviti Sarah dan adiknya?
Semuanya di dalam Sarah dan Anting-anting!