Sunday, March 23, 2008

Siapa pelihara kucing?

Meow...Meow...meow... Bunyi rintihan sayu kucing peliharaan itu sungguh menyedihkan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Badannya sungguh kurus sehingga kelihatan tulang rangkanya. Ketika itu, hari semakin gelap. Kucing yang kurus kering itu mengiau lemah di tepi pintu menahan sejuk yang mencengkam sehingga ke tulang. Siang tadi ia dipukul teruk oleh tuannya, seorang perempuan tua yang bengis dan garang.
“Jangan kamu berbunyi lagi. Tidur sahaja di situ!” jerit perempuan tua ketika menjenguk ke pintu sambil di tangannya memegang sebatang kayu panjang yang selalu digunakan setiap kali memukul kucingnya.
Kucing malang itu segera terdiam apabila dibentak dan ditunjukkan kayu panjang yang siang tadi dirasai pukulannya.
“Bagus! Sekarang kamu faham!”
Pintu rumah ditutup semula dengan kuat dan tinggallah kucing malang kesejukkan di luar rumah tanpa berani mengiau lagi. Ia merengkok menahan sejuk dan memejamkan matanya. Seorang jiran memerhatikan keadaan kucing malang itu hampir setiap hari tidak lagi sanggup membiarkannya terus menjadi mangsa tuannya melepaskan geram. Jiran yang baik hati itu mendekati rumah perempuan tua dan mengambil kucing malang lalu dibawa pulang ke rumahnya. Meow...Meow...meow... Berbunyi kucing malang sebaik sahaja berada di dalam pelukan jirannya.
Dia segera ke dapur dan menghidangkan semangkuk susu untuk tetamunya. “Minumlah!” katanya sambil mengusap-usap belakang kucing malang yang kurus kering itu. Sekejap sahaja licinlah mangkuk yang penuh berisi susu dijilat oleh kucing malang. Ia merengkok kembali di tepi badan jiran yang baik hati itu lalu tertidur. “Saya sungguh kasihan melihat kamu dipukul setiap hari tetapi apa daya saya untuk menahan perbuatan tuan kamu yang kejam itu.”
Keesokkan harinya, perempuan tua itu terkejut apabila kucingnya tiada di depan pintu. “Siapakah yang mencuri kucing saya?” Perempuan tua itu menjerit-jerit menuduh jiran-jiran yang lalu lalang di hadapan rumahnya sebagai pencuri. “Kamu curi kucing saya!”
Jiran yang baik hati tiada pilihan selain menyerahkan kembali kucing malang ke tangan tuannya. Sebelum menyerahkan semula dia meminta perempuan tua itu berjanji, “Berjanjilah! Awak tidak akan memukulnya lagi!”
Perempuan tua itu terpaksa bersetuju dengan syarat jirannya. Dia berbuat begitu supaya kucingnya dipulangkan. Sebaik sahaja kucing itu diserahkan kepadanya, dia segera masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu.
Sebentar kemudian kedengaran bunyi kucing mengiau dengan kuat diikuti dengan bunyi pukulan. Selang beberapa hari, tiada kedengaran lagi bunyi mengiau kucing dari rumah perempuan tua itu. Jiran yang baik hati tidak senang duduk dan sering tertanya-tanya apakah nasib kucing malang. Apakah yang terjadi kepada kucing itu?
Rupa-rupanya kucing malang mati akibat dipukul teruk oleh tuannya. Perbuatan kejam perempuan tua itu mendapat murka Allah swt sehingga tidak diampunkan dosa-dosanya.

3 comments:

Korakora said...

Sebab itu saya tak jadi pelihara kucing.

Anonymous said...

Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the TV Digital, I hope you enjoy. The address is http://tv-digital-brasil.blogspot.com. A hug.

Alya said...

terharunya ..and pdn muka makcik tu hihi..