Wednesday, December 31, 2014

Bercerita Sebelum Tidur: Banjir

Bagaimana dengan aktiviti ibu bapa bersama anak-anak di musim hujan/tengkujuh begini?

Di sana-sini ramai berkumpul dan melakukan sesuatu untuk mereka yang terlibat dengan musibah banjir. Mungkin anak-anak boleh dilibatkan sama bagi melakukan kerja-kerja mudah atau pun sekurang-kurangnya mereka dapat hadir dan melihat kesibukan ibu bapa dan mereka yang lain dengan urusan sebegini.

Sekali-sekala, kita mendedahkan anak-anak kepada urusan orang lain, mengambil peduli tentang kesusahan orang lain dan berusaha melakukan sesuatu. Ia amat berbaloi dalam membiasakan anak-anak dengan kehidupan di luar lingkungan diri mereka. Biar mereka tahu, di luar sana ramai yang memerlukan bantuan kita.

Ini di antaranya, dalam melatih anak-anak ringan tulang, suka memberi dan berkongsi apa yang ada.

Tuesday, December 30, 2014

2014 melabuhkan tirai, 2015 bermula lembaran baru

Memang tidak perlu bercakap banyak tentang apa yang kita buat sepanjang tahun. Pun begitu, menoleh ke belakang, melihat-melihat dan mengamati, begitu penting bagi sesi mengoreksi diri. Kerana, sendiri juga tahu, diri kita yang tidak sempurna dan di masa yang sama,  ingin menyempurnakannya sehabis mungkin.

Maafkan sesiapa sahaja yang pernah berbuat tidak senang dengan harapan, mereka juga berbuat hal yang serupa. Usah dikumpul rasa iri, dendam dan kesumat sehingga otak berserabut dan hati jadi beku. Lebih baik terus lihat ke hadapan dan majukan diri. Otak pun jadi cergas, hati juga jadi lembut dan basah.

Apa yang dipelajari, apa yang dilalui, membuat kita bertambah matang dalam tindakan, kata-kata mahu pun pengamatan. Untuk itu, ayuh langkahi tahun berikutnya dengan lebih yakin bahawa Allah sentiasa menemani kita. Pahit dan getir, payah dan sulit, sebagai ujian meningkatkan takwa. Sebagai tanda kasih sayangNya untuk membersih diri dan supaya sentiasa mengingatiNya. Lalu, terus melihat dengan mata hati. Tukarkan segala musibah menjadi peluang.

InsyaAllah, kita akan mengecapi nikmat ujian itu, nikmat hidup walau seketika.


Saturday, December 13, 2014

                               Saya meminta keKUATan,
Allah memberi kesulitan untuk saya jadi KUAT.
                                      (Salahuddin Al Ayubi)