Wednesday, September 24, 2008

Hari raya untuk siapa?



Ketika Fatimah binti Abdul Malik dipinang untuk Umar bin Abdul Aziz, Umar belum memegang jawatan khalifah. Selepas beberapa tempoh pertunangan, sebuah majlis besar-besaran diadakan bagi meraikan perkahwinan kedua mempelai itu. Pakaian pengantin Fatimah bergemerlapan dengan pelbagai perhiasan emas dan permata yang tidak ternilai harganya.


Sebaik sahaja rakyat jelata melantik Umar sebagai Khalifah, beliau mula menjalani hidup yang lebih sederhana. Tidak lagi dengan gaya hidup di raja yang serba mewah. Pada suatu hari beliau menemui isterinya. Kecantikan isterinya semakin terselah dengan perhiasan barang kemas menyaluti tubuhnya. “Saya mahu kamu membuat satu pilihan.”


“Apakah pilihan itu?”


“Segala barang kemas berlian dan pertama yang kamu miliki atau diri saya.”


Fatimah merapatkan dirinya kepada suami tercinta. Satu demi satu ditanggalkannya segala barang kemas permata berlian yang ada di sekujur tubuhnya. Sehinggalah ke seutas kalung mutiara yang tinggi nilainya, hadiah daripada ayahnya, Abdul Malik turut dilurutinya. “Saya lebih rela melepaskan semua kekayaan ini tetapi tidak kamu.”


Umar menatap wajah isterinya dengan penuh mesra. Beliau amat menyintai isterinya dan mahu mengajak bersama-sama menghayati hidup sederhana sepertimana yang dijalani oleh Nabi Muhammad. “Terima kasih, kerana memilih saya.”


Semua barang kemas milik isterinya dibawa ke perbendaharaan negara. Sejak hari itu mereka sekeluarga hidup cukup sederhana sehingga pakaian dan makan minum mereka dicatu supaya tidak berlebihan dan membazir. Makanannya hariannya seperti kebanyakka rakyat miskin. Roti dan sedikit garam.


Pernah suatu hari anak-anaknya meminta pakaian baru bagi menyambut hari raya. “Esok hari raya. Bolehkah kami berpakaian baru?”


Dengan sabar beliau mengucapkan satu kata-kata indah yang boleh dijadikan peringatan bagi kita yang begitu bermewahan menyambut setiap kali musim perayaan. “Hari raya bukan bagi orang-orang berpakaian baru.”


“Hari raya untuk siapa?”


“Hari raya adalah bagi orang-orang yang takut kepada Allah.”


Walaupun pengurus perbendaharaan negara memujuknya agar menerima wang tambahan supaya kesempitan hidupnya boleh diringankan tetapi dimarahi pula oleh Khalifah Umar.
Khalifah Umar bin Abdul Aziz hanya sempat memerintah selama tiga puluh bulan. Ketika itu beliau berusia empat puluh tahun. Beliau diracun oleh kerabat di raja Umayyah yang tidak berpuas hati dengan cara pemerintahannya.


Dalam tempoh pemerintahannya yang singkat itu beliau berjaya membawa banyak perubahan. Kebajikan rakyat jelata, melayani sebaiknya setiap lapisan rakyat dengan adil. Pasukan tentera berjaya sampai hingga ke pintu masuk barat Parsi dan timur China. Sedang ketika itu Portugal dan Sepanyol sudah pun berada dalam kekuasaannya.

(Petikan Indahnya Cinta)

Friday, September 05, 2008

Salam Ramadhan
bulan barakah, rahmat dan kebahagiaan
bersama kita merebut peluang hebat ini