Wednesday, May 21, 2008

Kembalikan 200 ekor unta milik saya

“Saya adalah wakil penduduk kota Mekah bernama Abdul Mutalib.”
Sebaik sahaja tentera Abrahah tiba di luar kota Mekah, mereka menghantar seorang utusan dengan sepucuk surat yang menjemput wakil penduduk kota Mekah berbincang dengan Abrahah tentang rancangannya meruntuhkan kaabah.


Abrahah terpegun sejenak melihatkan penampilan Abdul Mutalib dan tutur katanya yang menarik. Sangka Abrahah, kedatangan Abdul Mutalib bagi membincangkan surat yang diutuskannya berkaitan mengajak penduduk kota Mekah menyokongnya dan tidak mengganggu tenteranya meruntuhkan kaabah.

“Kedatangan kami tidak bermaksud memerangi penduduk kota Mekah. Saya hanya bertujuan meruntuhkan kaabah sahaja,” kata Abrahah memulakan bicaranya.

“Begitu juga dengan kami, tidak bermaksud memerangi tentera tuan keran kami tidak bersedia untuk memerangi tentera tuan yang begitu besar dan lengkap bersenjata!”

“Baiklah. Beritahu saya apakah pendirian penduduk Mekah sekarang?”

“Kami hanya mengharapkan tuan dapat mengembalikan segala harta benda dan binatang ternakan yang dirampas oleh tentera-tentera tuan termasuklah 200 ekor unta milik saya..”

“Apa?” Pandangan Abrahah mula sinis terhadap Abdul Mutalib. “Kata-kata tuan ini langsung tidak mengutamakan keselamatan kaabah yang menjadi tumpuan seluruh umat manusia. Malah tuan lebih bimbangkan harta benda dan binatang ternakan?”

“200 ekor unta itu ialah milik saya. Sewajarnya saya berusaha mendapatkannya kembali. Sedangkan kaabah itu ada pemiliknya. Maka pemiliknyalah yang akan berusaha melindunginya.”

Abrahah terkejut bercampur gembira mendengar kata-kata Abdul Mutalib seolah-olah berlepas diri dari menjaga kaabah. “Kalau begitu saya tidak menghadapi sebarang masalah meruntuhkannya!”

“Terserahlah kepada tuan dan pemilik kaabah. Itu ialah urusan tuan dan pemiliknya sendiri. Apa yang saya perlukan sekarang, tuan kembalikan segala harta benda dan ternakan yang dirampas oleh tentera-tentera tuan.”

Abrahah dengan senang hati mengarahkan tentera-tenteranya menyerahkan segala harta benda dan binatang ternakan sepertimana yang dituntut oleh Abdul Mutalib. Pulanglah Abdul Mutalib bersama harta benda dan binatang ternakan dengan dada yang berdebar-debar, “Saya pasti dan yakin pemilik kaabah tidak akan membiarkan ia dimusnah!”

1 comment:

mohamad kholid said...

seronok membaca ....