Monday, February 04, 2013

Maha Suci Allah

Apa pun situasi yang didepani, kita berusaha membasahkan bibir dengan beristighfar, memohon keampunan dan petunjuk kepada Yang Maha Esa. Sememangnya kita hambaNya yang serba lemah, alpa dan sering lalai dengan kekurangan di sana sini, amat mengharapkan pengampunan dan petunjuk daripadaNya.

Alhamdulillah, setinggi syukur kepada Allah Taala di atas limpahan kurniaan rahmatNya yang tidak mungkin mampu dihitung sampai bila pun.

Subhanallah... tahap kesihatan saya semakin membaik. Kecederaan tulang tengkuk dan tulang belakang sedang dalam proses pemulihan. Walau pun menurut kata doktor saya tidak akan pulih sepenuhnya, itu tidak menjadi hal kerana selebihnya biarlah Allah yang menentukannya. Kita hanya mampu berikhtiar sedaya mungkin.Terima kasih kepada yang sudi bertanya khabar. Siapa sangka ketika saya terlantar terbaring dan dijangka terus sebegitu sehingga ke hujung nyawa kini dengan izinNya jua saya mampu duduk, berdiri dan berjalan.Tangan saya semakin kuat dan mampu mengurus diri dan keluarga. Terima kasih di atas limpahan doa kalian.

Allahu Akbar! Walau pun keupayaan saya terbatas sejak kecil namun melalui saat tidak upaya yang amat sangat dalam tempoh kritikal selama dua tahun lalu, amat terkesan di hati. Betapa Dia amat kasihkan hambaNya. Saya melihat kasih sayangNya yang begitu mendalam. Allahu Akbar! Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? Semua ini membuatkan saya rasa malu kepada Dia Yang Maha Maha Memberi.

Sihat dan sakit. Senang dan susah. Kaya dan miskin. Sedih dan bahagia. Hidup ini ibarat roda dan semua berlaku  dengan izinNya Penghujung kembara akan berakhir bila-bila masa sahaja.Mungkin sekejap lagi, mungkin esok atau lusa. Itu semua rahasia Tuhan. Apa pun situasi yang dilalui, jangan pernah mengaku kalah atau berputus asa dalam mendapatkan rahmatNya. Apabila Dia mahu, Dia akan memilih sesiapa sahaja di kalangan hamba-hambaNya dan mengangkat mereka lebih 'dekat' di sisiNya. Semoga kita termasuk dalam golongan mulia itu.

Subhanallah....Alhamdullillah....Allahu Akbar....

Sumber gambar dari internet. Terima kasih.

No comments: