Saturday, February 02, 2008

Indahnya...

“Ada apa-apakah yang awak ingin makan? Katakanlah!” tanya Ali kepada Fatimah apabila dilihatnya Fatimah masih lesu setelah beberapa hari mengidap demam.

“Saya teringin makan buah delima!”

Seketika Ali termenung berfikir. Dia tiada wang untuk membeli buah delima. Lalu dia bangun dan keluar dari rumah menuju ke pasar.

“Pinjamkan saya wang untuk membeli sebiji delima kepada isteri saya yang baru sembuh dari demam,” pinta Ali kepada seorang kawannya.

Sebaik sahaja dapat meminjam wang, Ali segera ke gerai dan membeli sebiji delima. Sambil memegang sebiji delima di tangannya, dia berjalan pulang. Di dalam perjalanan dia terpandang seorang lelaki terbaring di tepi jalan. Timbul rasa simpati di hati Ali lalu mendekatinya. “Apakah yang saya boleh bantu?”

“Selama lima hari saya terbaring di sini, tiada siapa yang ambil peduli kecuali tuan. Saya hanya menginginkan sebiji delima buat mengubat sakit saya ini?”

Sejenak Ali termenung. Dia hanya ada sebiji delima sahaja. Lalu dia teringat akan ayat-ayat al Quran yang pernah dibacanya. “Terhadap orang yang meminta-minta, janganlah engkau hampakan.”

Ali mendekati kembali lelaki yang terbaring itu lalu dia membelah buah delima di tangannya dan memberikan kepada lelaki yang sedang sakit itu. Lelaki itu tersenyum lebar sebaik sahaja Ali menghulurkan buah delima kepadanya. Sebaik sahaja selesai memakan buah delima yang diberikan oleh Ali, dengan izin Allah lelaki itu sembuh seperti sedia kala.

“Bagaimana saya akan berhadapan dengan Fatimah tanpa membawa pulang buah delima yang diingininya?” Ali masuk ke dalam rumah dengan wajah yang muram.

Fatimah memerhatikannya. “Mengapa bermuram begitu? Janganlah susah hati. Saya sudah tidak berselera lagi makan buah delima.”

Tersenyum lebar Ali mendengar kata-kata Fatimah. Semasa mereka berbual-bual, pintu rumah diketuk orang. Ali membuka pintu dan mendapati Salman di hadapan rumahnya membawa sebuah dulang yang bertutup dengan sehelai kain di atasnya.

“Terimalah! Ini rezeki daripada Allah untuk tuan.”

Ali menerima dulang yang dihulurkan oleh Salman dan membuka kain penutupnya. Di dalam dulang itu ada sembilan biji delima. Ali menoleh kepada Salman, “Jika benar rezeki ini daripada Allah untuk saya, tentu jumlahnya sepuluh!”

“Mengapa tuan berkata begitu?”

“Sebab, Allah pernah berkata, sesiapa yang berbuat kebaikan, Allah membalasnya dengan sepluh kali ganda!”

Ketawalah Salman mendengar jawapan Ali lalu mengeluarkan sebiji lagi buah delima dari poketnya, “Sebenarnya, jumlah buah delima itu sepuluh biji. Saya hanya ingin mengusik tuan sahaja.”

No comments: