Wednesday, February 13, 2008

Berikan bahagian mereka

Seorang perempuan berjalan lemah di jalanan mencari sesuatu bagi mengembalikan tenaganya untuk meneruskan perjalanan. Dia merayau-rayau sehingga tiba di hadapan sebuah rumah. Rumah itu milik Al Laits. Pintu rumah itu terbuka luas dan berdiri di hadapannya dua orang lelaki. Perempuan itu menghampiri dengan lemah, “Berikanlah saya sesudu madu lebah supaya saya kembali bertenaga.”

“Hanya sesudu madu lebah yang kamu perlukan?” tanya Al Laits kembali.
“Ya. Memadailah dengan sesudu madu lebah!”

Al Laits berbisik kepada pembantunya, “Berikan perempuan itu setin madu lebah.”
Pembantu Al Laits menghilang dari muka pintu dan kembali semula dengan satu tin madu lebah sepertimana yang disuruh oleh tuannya dan menyerahkannya kepada perempuan itu sehingga perempuan itu berubah wajah kerana terkejut dengan jumlah madu yang diberikan kepadanya. “Oh!...saya hanya memerlukan sesudu madu sahaja. Pemberian ini melebihi apa yang saya perlukan.”

“Ambillah. Ini ialah pemberian dari tuan saya.”

Perempuan itu mengucapkan terima kasih berulang kali lalu meningalkan rumah Al Laits sambil membawa setin madu lebah di tangannya. Pembantu rumah kemudian menemui Al Laits. “Perempuan itu terkejut kerana tuan memberikan melebihi dari apa yang dimintanya.”

“Perempuan itu meminta sekadar keperluannya manakala kita pula memberi kepadanya sekadar nikmat yang menjadi tanggongan kita.”

Siapakah Al Laits? Al Laits terkenal sebagai seorang yang kaya dan sifat pemurahnya kepada fakir miskin. Dia tidak akan bercakap setiap hari sebelum bersedekah kepada tiga ratus enam puluh orang miskin.

“Semua yang saya miliki ini ada bahagiannya untuk mereka.”

2 comments:

Nina said...
This comment has been removed by the author.
Nina said...
This comment has been removed by the author.