Sunday, April 08, 2007

Jalan Pulang



Inah membelek buku akaun simpanan yang sememangnya dia tahu sudah tidak berbaki kecuali RM30. Lama ditatapnya nombor 3 dan 0 yang terpapar di baris terbawah muka surat buku simpanan yang akhir-akhir ini begitu aktif pengeluarannya tanpa ada rekod kemasukan wang. "Ini sahaja yang ada...."


“Buku latihan belum dibayar. Cikgu cakap esok tarikh akhir bayarnya,” bisik Laila perlahan-lahan menuturkan kata tanpa mahu mengguris hati ibu yang terkebil-kebil menatap buku simpanan bank itu.


“InsyaAllah....esok adalah rezeki yang Allah bagi untuk kita,” balas ibu tersenyum pahit menyakinkan kepada anak agar terus membina harapan.


Pagi itu mereka sekeluarga bersarapan kopi o segelas seorang. Lauk yang dibawa pulang dari kampung beberapa minggu lalu dimasak dengan berdikit dan ternyata itu menjimatkan perbelanjaan yang memang begitu menghimpit sejak suaminya dibuang kerja dan akhir-akhir ini jatuh sakit pula.


“Izinkan saya keluar bekerja,” pinta Inah kepada suaminya yang terbaring di sofa.


“Kerja di mana?”


“Di mana-mana sahaja. Kilang, kedai makan, di mana-mana pun boleh asal halal dan dapat sedikit wang buat perbelanjaan sekolah anak-anak.”


Azam menatap sayu wajah isterinya. Seorang surirumah yang tidak pernah bekerja selama ini. “Mampukah Inah? Inah juga tidak sihat.”


“Saya lebih sihat berbanding abang yang terlantar. Hampir sebulan kita tidak ada pendapatan. Simpanan cuma berbaki RM30 sahaja.”


Air mata Inah mula terkumpul penuh memenuhi ruang kelopak matanya. Sesekali dia menjeling ke arah anak-anak Laila dan Sarah yang sibuk di meja belajar dan akhirnya matanya kembali menatap wajah suami yang dicintainya. “Izinkanlah saya....”


Namun tiada jawapan yang terkeluar dari bibir kering yang hampir sebulan terlantar. Azam memejamkan matanya perlahan-lahan membiarkan Inah di sisi. Inah berlalu meninggalkan suaminya tanpa mendapat satu jawapan.


“Apa lauk tengah hari ini?” tanya Wanie sebaik sahaja melihat ibunya ke dapur.


Tersenyum Inah menunjukkan ole-ole dari kampung. “Jantung pisang!”


“Masak apa?”


“Sambal tumis jantung pisang!”


Wanie mencapai periuk dan membuka bekas beras. “Beras cuma segenggam!”


“Masakkan semuanya dan lebihkan air,” balas Inah tanpa menoleh. Dia sibuk memotong jantung pisang.


“Ibu mahu masak bubur nasi?”


“Ya.”


“Malam nanti bagaimana?”


“Adalah rezeki kita tu. InsyaAllah ada.”


Tengah hari itu mereka menikmati juadah nasi bubur berlaukkan sambal jantung pisang. Licin tidak berbaki...kerana mereka hanya bersarapan segelas kopi o sahaja pagi tadi. Itu pun tanpa gula.


Selesai solat zohor, sekali lagi Inah mendekati suaminya yang bersandar di kerusi membetulkan badan yang sekian lama asyik terbaring. “Izinkan saya keluar mencari kerja.”


Perlahan-lahan kepala Azam mengangguk. "Berat abang melepaskan Inah keluar mencari kerja ... namun apakan daya".
"Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada Inah."
Tidak mungkin Inah mampu melihat situasi begini terus berlarutan menekan hidup tanpa berbuat sesuatu. Petang itu, Inah menyusuri bangunan kilang dan kaki lima. Dia singgah di semua kedai runcit dan kedai makan.
“Ada kerja kosong?”


“Siapa yang mahu kerja?”


“Saya. Saya boleh cuci pinggan, sapu dan kemas semua ini.”


Tuan kedai hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala. “Maaflah. Sudah ramai pekerja di sini.”


Lewat petang Inah melangkah pulang dengan lemah. Dia mendongak ke langit yang semakin berubah warna. Tidak lagi kelihatan langit membiru bersama arakan awan putih. Hanya kelam dan memerah. Segala macam persoalan bermain di benaknya.


Sejenak dia tercegat mematikan langkah terus merenung langit yang hampir kelam. “Astarghfirullah......”


Perlahan-lahan dia menarik nafas dan memejamkan matanya. “Oh Tuhan! Ku sedari hari ini aku diuji dengan kepayahan dan kesusahan.....tanpaMu aku sendirian mengharunginya. Temani aku, pandanglah aku, hambaMu yang sering alpa.....ampunkanlah segala keluh dan rungutku....”


Inah membuka matanya kembali dan melepaskan nafasnya bersama segala kotoran prasangka dan putus asa. Bersama linangan air mata membawa keluar habuk dan sisa-sisa debu yang masih berbaki. Dia pasrah kini lalu menoleh ke arah jalan pulang dan mula menapak mengatur langkah lebih yakin bahawa Allah bersamanya.
....sebuah cerpen.

2 comments:

Unknown said...

Cerpen ni nak hantar mana, kak?

ez said...

Masih menunggu perkembangan selanjutnya. Nanti bagi tahu, ya :)