Thursday, April 19, 2007

Jauh renungan matanya ke sebalik rimbunan pepohon mengkudu yang subur ditanam bagi menyeri sekitar pejabat milik Datuk Amir. Liuk lentuk dedahan ditiup angin lembut membuatnya leka memerhati. Seketika dia terlupa suatu hal yang membelenggu benak fikirnya. Terus termanggu di jendela bilik solat yang disediakan untuk pekerja-pekerja.

"Asyik kamu! Sudah selesai solat?" sergah Nuha sebaik menjenguk masuk.

Tersentak Tengku Mahsuri hingga tangan yang ditongkah ke dagu terjatuh membuat Nuha ketawa berdekah-dekah. "Memang kamu asyik! Mengelamun!"

"Langsung tidak boleh lihat saya aman dan tenang! kamu pasti mengacau!" dengus Tengku Mahsuri sambil menjeling manja ke arah sahabat baiknya. "Ucaplah salam!"

"Baiklah! Baiklah! Maaf! Tetapi kamu sudah solat atau belum?" Balas Nuha sebaik sahaja mengucapkan salam.

Tengku Mahsuri membalas ucapan sambil menggeleng-geleng kepalanya. Langkahnya terus menghala ke ruang wuduk. Nuha mengekori dari belakang sambil terus ketawa terkekek-kekek.

"Memang sudah agak. Kamu pasti belum solat!"

"Sudahlah! Sekarang kita mahu berwuduk, bersihkan diri kita untuk mengadap Tuhan. Jadi, lupakan segala urusan duniawi dan fokus hanya pada Tuhan yang Satu!"

"Ya! Ya! Jangan sekali-kali mengelamun!" usik Nuha lagi.

Cucuran air pili dari bilik solat kedengaran mengalir. Mereka berdua mengambil wuduk tanpa bicara lagi. Seawalnya bersedia sebelum pertemuan dengan Yang Maha Kuasa, siap sedia agar terus fokus hingga solat nanti biarlah solat yang diterima olehnya.

"Siapa yang jadi imam?" tanya Nuha.

"Kamu saja!"

"Semalam juga saya yang jadi imam! hari ini giliran kamu!"

Wajah Tengku Mahsuri yang masih basah oleh simbahan wuduk berseri-seri mengukir senyum buat Nuha lalu melangkah sedikit ke hadapan tanpa bicara. Nuha merapatkan dirinya.

Buat seketika ruang bilik solat sunyi sepi. Kedua sahabat menunaikan solat zohor bersama-sama.

......bersambung

No comments: