Tuesday, April 17, 2007

Lahirnya seorang cahaya mata

Berita kelahiran seorang bayi lelaki comel begitu menggembirakan seluruh isi rumah isteri-isteri Nabi Muhammad terutamanya di rumah Ummu Salamah. Sehinggakan beliau sanggup menjaga bayi comel dan ibunya dalam tempoh berpantang dengan mengarahkan seorang utusan bagi membawa kedua beranak itu ke rumahnya. Beliau menyambut dengan gembira kedatangan ibu dan anak itu. “Apakah nama anak comel ini?”

“Belum diberi nama lagi,” jawab ibu bayi comel itu, Khairah.


Khairah juga ialah pembantu rumah kepada Ummu Salamah. Ummu Salamah amat menghormati dan mengasihinya. “Berikanlah satu nama untuk bayi saya.”


Ummu Salamah tersenyum dan mencium bayi comel yang belum bernama itu dipangkuannya. “Saya namakannya Hasan.”


Ummu Salamah menadah tangan mendoakan bayi lelaki yang baru diberinya nama itu. Kehadiran Khairah dan bayinya bukan sahaja menggembirakan Ummu Salamah. Malah isteri-isteri Nabi Muhammad yang lain turut merasa bahagianya kerana mereka semua sangat sayangkan Khairah.


Kelahiran Hasan turut memeriahkan sebuah lagi keluarga besar iaitu keluarga Zaid bin Thabit, seorang penulis Wahyu Nabi Muhammad. Ini kerana suami Khairah, Yasar ialah pembantu di rumah Zaid bin Thabit. Seluruh keluarga Zaid amat menghormati dan menyayangi Yasar sebagaimana keluarga Nabi Muhammad menyayangi isterinya, Khairah.


Hasan membesar sebagai seorang anak yang amat bertuah. Pernah satu ketika Khairah keluar rumah menguruskan kerja luar tiba-tiba Hasan menangis lapar. Ummu Salamah dengan senang hati menyusukan Hasan. Bahagialah Hasan mendapat seorang ibu susu daripada kalangan isteri Nabi Muhammad. Malah rumah isteri-isteri Nabi Muhammad ialah tempat bermainnya.


Hasan dikelilingi oleh suasana yang indah. Beliau membesar dalam didikan dan asuhan langsung daripada isteri-isteri Nabi Muhammad yang begitu menyayanginya. Selain rumah para isteri Nabi Muhammad tempat berkunjung Hasan ialah masjid Nabi. Beliau berpeluang mendapat pelajaran daripada tokoh-tokoh hebat, Othman bin Affan, Ali binAbu Talib, Anas bin Malik dan banyak lagi. Sehingga beliau amat mengkagumi Ali bin Abu Talib yang ketika itu menjawat jawatan pemimpin besar Islam.


Keluarga Yasar dan Khairah mewarnai kemeriahan di rumah isteri- isteri Nabi Muhammad yang digelar sebagai “Ummul Mukminim” sehingga beliau berusia empat belas tahun.


Mereka berpindah ke Basrah, sebuah kota terbesar dalam negara Islam. Seterusnya nama Hasan dikaitkan dengan Basrah dan kemudiannya beliau dikenali sebagai Hasan al Basri.******

1 comment:

ummi said...

Ezee,
Kisah yang amat indah dengan penyampaian yang amat menarik sekali..:-)