Wednesday, December 05, 2007

Kerana sebakul limau...


“Masih ada masa sedikit lagi,” kata Ustaz Rosli.”Ada apa-apa soalan?”
“Ceritalah, ustaz!” pinta Borhan. “Lama ustaz tidak bercerita.”
“Ya!” sahut seisi kelas membuat Ustaz Rosli bertenggek di mejanya.
“Baiklah. Satu cerita sahaja!” kata Ustaz Rosli sambil melihat jam di tangannya.
Pelajar-pelajar mula membetulkan duduk mereka. Pelajar yang mengantuk kembali segar, yang sibuk kembali meluangkan masa. Waktu bercerita begini memang ditunggu-tunggu oleh mereka tetapi jarang berpeluang.
“Pada suatu hari datang seorang wanita bukan Islam menemui Nabi Muhammad. Dia membawa sebakul buah limau sebagai buah tangan ataupun hadiah. Nabi Muhammad menerimanya.”
“Sebakul? Air liur saya mula cair!” Lokman menyampuk dan mengelap mulutnya.
“Ketika itu Nabi Muhammad bersama sahabat-sahabatnya yang lain sedang berbual. Wanita itu pula masih memerhatikan Nabi Muhammad dan sebakul limau yang diberinya. Nabi Muhammad pun mengopeklah limau itu. Dia makan seulas daripadanya. Kemudian seulas lagi. Seulas lagi sehingga habis sebiji. Wajahnya penuh ceria sambil makan limau. Wanita itu masih di situ dan dia tersenyum gembira melihat Nabi Muhammad sudi makan pemberiannya.
“Lihat! Menitis air liur Lokman!” jerit Munir disambut gelak tawa satu kelas.
“Memang mengiurkan pun!” sampuk Ustaz. “Saya pun terliur walaupun saya yang bercerita! Itulah yang terjadi kepada sahabat-sahabat yang duduk di hadapan beliau. Habis sebiji, dikopeknya sebiji lagi. Seulas demi seulas dimakan sendirian dan begitulah seterusnya sehingga habis sebakul. Barulah wanita bukan Islam itu pergi.”
“Nabi Muhammad makan seorang diri sebakul limau itu?” tanya Lokman.
“Ya. Sebaik sahaja wanita itu pergi, Nabi Muhammad berkata kepada semua, beliau tahu tentu sahabat-sahabatnya tertanya-tanya mengapa beliau makan sendirian dan tidak pelawa makan bersama-sama.”
“Ya. Saya juga tertanya-tanya!” sampuk Borhan pula.
“Semua sahabat mengangguk. Nabi Muhammad menjelaskan bahawa kesemua limau yang dimakan itu masam-masam belaka dan dia tahu sahabat-sahabatnya tidak suka limau masam.”
“Mengapa Nabi Muhammad makan juga jika limau itu masam?” tanya Nora pula. “Saya pun tidak suka limau masam!”
“Sebabnya ialah Nabi Muhammad tidak mahu wanita itu kecewa apabila pemberiannya ditolak. Beliau tidak mahu sahabat-sahabatnya makan sebab apabila makan, wajah mereka akan berubah sebab mereka tidak suka. Itu boleh membuat hati wanita itu terguris.”
“Sampai begitu sekali Nabi Muhammad berfikir?” Munir mencelah lagi. “Sehingga sanggup habiskan sebakul limau sendirian?”
“Sebentar kemudian wanita bukan Islam itu datang semula. Sahabat-sahabat Nabi cemas kalau-kalau dia datang membawa limau masam lagi. Rupa-rupanya dia datang dengan satu hajat besar. Katanya dia sengaja hadiahkan limau masam itu kerana hendak lihat sendiri kebenaran apa yang dikatakan oleh semua orang bahawa Nabi Muhammad berakhlak mulia.”
“O...wanita itu hendak uji akhlak Nabi?” tanya Rozi pula.
“Begitulah. Hasilnya dia cukup gembira lalu menyatakan hasratnya memeluk agama Islam. Kali ini dia tidak datang sendirian. Bersama-sama ialah sekumpulan kaum keluarganya yang juga datang kerana hendak memeluk Islam.”
“Fuh! Hebat!” ucap Lokman.
“Akhlak mulia besar impaknya dan memberi nilai tambah yang cukup hebat dalam setiap urusan. Sebab itulah agama Islam sangat tekankan akhlak atau budi pekerti mulia ini.”
Pelajar-pelajar mengangguk mendengar kesimpulan yang diberi oleh guru mereka.
“Jika kamu diberi makanan yang kamu tidak suka, adakah kamu makan sebagaimana Nabi Muhammad makan kerana hendak menjaga hati orang yang memberi!”
Mereka saling berpandangan dan tersengih. Munir bersuara. “Jika sebiji limau mungkin saya sanggup makan tetapi sebakul....”
Belum habis dia berkata-kata seluruh kelas tergelak. Loceng berdering menamatkan cerita Ustaz Rosli tentang sebakul limau masam. “Fikir-fikirkanlah cerita tadi. Kisah Nabi dan sahabat-sahabatnya bukan kisah-kisah picisan yang sia-sia. Ambillah pengajarannya.”

1 comment:

Riha J said...

Kisah ni Kak Ezee 'curi' dari novel karya Fatimah Az-Zahra, Tabik Cikgu. Betul tak?