Saturday, December 08, 2007

Didaktik dalam naskhah filem

Oleh: BAMBANG SM SAID
APABILA isu filem Melayu semakin mencuat jadi topik perbincangan, saya pun jadi terpanggil untuk menulis. Saya yakin, hampir semua penonton telah terdidik mindanya bahawa asas pembikinan sesebuah filem adalah skrip. Sama ada skrip dipenuhi dengan dialog sahaja, aksi sahaja atau kedua-duanya sekali, kita telah pun maklum skrip tetap asas pembikinan sesebuah filem.
Namun yang paling ketara penonton sering terpesona dengan watak yang melantunkan dialog yang bermakna. Sehingga begitu berbisanya sesuatu dialog, seringlah ia terngiang-ngiang di telinga, sampai bila- bila. Akhirnya watak yang melantunkan dialog tersebut pun menjadi idola.
Menurut Syd Field, dialog merupakan fungsi sesuatu watak. Dialog akan mudah membantu menghuraikan cerita jika anda memahami watak anda. Fungsi suatu dialog berhubung rapat dengan kehendak, harapan dan impian watak dalam sesebuah filem. Dialog hendaklah memberi maklumat atau fakta cerita kepada penonton. Dialog adalah personaliti watak.
Sedar atau tidak sejak kebelakangan ini, industri filem telah dibanjiri dengan filem-filem cinta dan komedi. Keghairahan pembikin filem semakin terserlah apabila pulangan dari filem-filem cinta dan komedi begitu lumayan. Mungkin kerana faktor masyarakat kita yang romantik maka terpanggil untuk menonton filem-filem cinta. Mungkin kerana sikap kita yang ramah dan suka berjenaka maka berduyun-duyun menonton filem komedi.
Kembali kepada persoalan skrip, sejarah perfileman telah banyak membuktikan dialog-dialog filem sering kali terbawa keluar ke dalam dunia nyata. Alasannya cukup mudah kerana dialog-dialog watak dalam filem-filem tersebut punya pesona tersendiri. Pesona yang biasanya menyentuh hati kita kerana dialog watak-wataknya yang mampu menghidupkan watak-wataknya. Sehingga kerana begitu hebat pesonanya, dialog-dialog tersebut menjadi retorik dalam komunikasi seharian. Lebih hebat lagi bila ia mampu menjadi falsafah dalam kehidupan.
Demikian betapa hebatnya kesan dialog daripada sesebuah filem. Ia mampu mendidik penonton untuk memperkayakan perbendaharaan kata dan menyuntik gaya bahasa para penonton. Inilah didaktik yang diharapkan daripada sesebuah skrip filem.
Tidak dapat dinafikan apabila menonton filem-filem cinta, jiwa kita akan tiba-tiba menjadi romantik dan tak mustahil menjadi cengeng. Sedar atau tidak, kita telah terbius dengan dialog dan aksi dalam filem tersebut. Kepada yang sedang bercinta dan yang tiba-tiba mahu bercinta akan cuba menghafal aksi dan dialog watak-watak yang bercinta di dalam filem. Bertuahlah kalau aksi-aksi dan dialog-dialog dalam filem tersebut memberikan sesuatu panduan yang positif dalam kehidupan nyata. Tapi bagaimana halnya kalau aksi dan dialog-dialog tersebut rupa-rupanya semakin merendahkan martabat kita sebagai bangsa Melayu. Bangsa Melayu yang beradab dan kaya dengan nilai etikanya yang tinggi.
Demikian juga dengan filem-filem komedi yang menyelitkan aksi dan dialog yang dianggap melucukan oleh penulis skrip, pengarah dan penerbit yang rupa-rupanya menjadikan penonton orang yang dungu. Saya bukan mahu memaksa pembaca bersetuju dengan pendapat saya. Tapi salahkah bila saya katakan skrip filem cinta yang baik adalah skrip yang mengandungi aksi yang manis etikanya dan dialog yang indah bahasanya?
Sehingga kita pun agak berubah menjadi orang yang romantik dengan sikap yang terpuji, bukan dengan aksi murahan dan dialog-dialog biru. Aksi-aksi dan dialog-dialog yang lucah. Akhirnya dunia percintaan pun musnah kerana nafsu serakah. Itu belum lagi skrip-skrip filem yang terlalu klise dan tidak realiti dalam kehidupan, sehingga tanpa disedari membuatkan kita menjadi orang sering hidup dengan angan-angan yang terlalu muluk dan menerawang. petikan http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera

4 comments:

Jun said...

hmmmm...filem melayu sekarang? dah lama x tengok ...

Yang bernama Siti said...

Salam,

Saya teringat cerita kawan. Waktu itu dia baru pulang bertemu teman lelakinya. Malam itu teman lelakinya hendak meluahkan perasaan yang dia mahukan perhubungan mereka lebih erat; dia mahu melamar kawan saya.

Dialog teman lelakinya memang melucukan apabila dia ceritakan, sementelah kawan saya itu lawak orangnya.

Dialog mereka waktu itu (kebetulan bulan mengambang) lebih kurang dalam filem Melayu lama lakonan Sarimah. Teman lelakinya memulakan bicara dengan menyebut-nyebut tentang bulan yang indah dan seterusnya.

Apabila membaca artikel ini, baru saya faham. Suasana yang romantis ketika itu telah membuatkan mereka tidak canggung berbual-bual dalam bahasa percintaan filem Melayu walaupun apabila diceritakan semula kelakar bunyinya.

Selepas bercerita, kami lihat kawan itu termenung. Di wajahnya terbayang angau yang melanda hatinya ketika itu.

kamalariffin said...

tengoklaa filem saya dan komen laa http://www.kamalariffin.blogspot.com/

kamalariffin said...

tengoklaa filem saya dan komen laa http://www.kamalariffin.blogspot.com/