Thursday, June 14, 2007

Kembang Hidung!


Akhirnya Makcik Rosni muncul di halaman membuatkan Amir menarik nafas lega. Makcik Rosni tersenyum membalas senyuman anak bujangnya. Dia meletakkan baki jualan di beranda dan duduk di anak tangga. "Kamu membuat ampaian itu?"
"Ya. Tidak perlulah ibu bergegas mengangkat semua pakaian itu apabila hari hujan.. Biarkan sahaja di situ!"
"Pandai kamu berfikir!"
"Tentulah. Bukankah saya anak ibu?"
"Mulalah kembang hidung tu!"
Amir tergelak mendengar komen ibunya. "Banyak baki jualan?"
"Adalah sedikit. Ambillah buat makan sebelum ke sekolah."
Mereka mendongak ke langit yang masih mendung sejak tadi. "Nampaknya hari hendak hujan. Lebih baik kamu cepat-cepat ke sekolah."
"Secepat mana pun saya pergi, saya mesti tunggu Wanie juga!"
Makcik Rosni menoleh ke arah Amir yang tersengih-sengih menyuapkan nasi lemak ke mulutnya. Makcik Rosni memandang dengan wajah hiba. "Ya...ibu terlupa kamu terpaksa berkongsi kasut sekolah!"
"Tidak mengapa."
Bersabarlah...." kata Makcik Rosni dengan nada perlahan. Tiba-tiba dia terasa pilu lebih-lebih lagi melihatkan Amir tetap tersenyum. "Ada duit lebih nanti, ibu belikan kasut sekolah sepasang seorang. Tidak perlu berkongsi lagi."
Amir terus tersenyum mendengar kata-kata harapan ibunya. Dia tidak pernah mengharap apa yang dijanjikan ibunya menjadi kenyataan. Melainkan ligat merancang cara untuk memiliki kasut sekolah dan kasut sukan tanpa menyusahkan ibu ayahnya. Selesai makan, dia segera ke beranda. Setokin yang semakin lusuh di tangan dimasukkan ke dalam poket. Makcik Rosni duduk di anak tangga memerhatikan Amir menggalas beg sekolah pemberian kawannya dan menyarung selipar ke kakinya. "Mudah-mudahan hari ini hanya mendung sehingga ke petang."
"Ya. Janganlah hujan di tengah hari pula!"

2 comments:

mohamad kholid said...

cerita yg menarik... era thn berapa agaknya

ez said...

Cerita ini berlaku tidak lama dulu...sekarang pun masih banyak di luar tidak bersekolah kerana tidak mampu menyediakan peralatan sekolah anak-anak mereka...

Terima kasih di atas kunjungan Sdr Mohamad Kholid.