Monday, June 11, 2007

Rendam air garam


Sebaik sahaja tiba di rumah, Amir segera menanggalkan kasut dan setokinnya. Dia terus menggaru dan terus menggaru celah-celah kaki kiri dan kanannya. "Gatal.....!"
"Eh! Mengapa?" tanya Makcik Rosni apabila terlihat Amir tergaru-garu jari kakinya di beranda. Kasut sekolah dan setokin tercampak di tepi beranda.
"Gatal! Gatal sungguh celah-celah jari kaki ini!"
Amir terus menggaru tanpa menyedari kesan garunya menyebabkan kulitnya luka dan melecet. Makcik Rosni duduk dan meneliti bahagian kaki yang gatal. "Sehingga merah kamu garu. Lihat ini! Sehingga luka!"
"Saya tidak tahan!" rintih Amir sambil terus menggaru.Amir terus menggaru lagi.
"Lebih baik kamu mandi sekarang. Biar ibu sediakan air garam."
"Air garam?"
Amir mengekori ibunya ke telaga. Wanie turut sama. "Untuk apa air garam?"
"Untuk ubat kaki kamu yang gatal itulah!"
"Air garam itu perlu diminum?" tanya Wanie pula memerhatikan Amir ke telaga.
"Tolong ambilkan tuala!" pinta Amir kepada Wanie.
Wanie beralih ke ruang depan dan mengambil tuala abangnya.
Wanie melihat Makcik Rosni mengisikan sesudu garam ke dalam sebuah besen yang biaa digunakan untuk merendam pakaian. Amir yang siap mandi turut terpandang Makcik Rosni menjerang air. "Jerang air tu untuk apa pula?"
Makcik Rosni tersenyum. Dia tahu Amir cemas dan tertanya-tanya bagaimana rawatan yang akan diberikan kepadanya kerana selama ini kakinya tidak pernah gatal seteruk itu. "Janganlah risau. Semua ini ikhtiar untuk mengubat kaki kamu itu."
"Sekiranya masih gatal juga, bagaimana?" tanya Wanie pula sambil menjeling ke arah jari-jari kaki Amir yang memerah itu. "Lihat itu! Kedua-dua belah kaki abang Amir merah!"
"Sebab dia menggaru. Kukunya sudah ada kuman. Merebaklah gatal itu!"
Sebaik sahaja air menggelegak, Makcik Rosni menuangkannya ke dalam besen yang sudah berisi garam dan air telaga. Dia memasukkan jarinya. "Sudah suam-suam kuku."
"Kamu duduk di bangku beranda dan rendamkan kedua-dua kaki kamu selama yang boleh."
"Begitukah caranya?" tanya Wanie mengekori ibunya dan Amir ke beranda.
"Sekiranya masih gatal juga, terpaksalah kamu ke klinik."
Amir bersandar di dinding dan membiarkan kedua-dua belah kakinya berendam dengan air garam. "Pedihnya!"
"Tempat luka kamu tu memanglah pedih sedikit. Tahanlah!"
Makcik Rosni meninggalkan mereka dua beradik di beranda dan beralih ke dapur untuk memasak. Jam menunjukkan hampir pukul dua petang. Dia cepat-cepat memasak untuk tengah hari. Biasanya waktu makan tengah hari mereka pada hujung minggu lewat daripada hari-hari biasa kerana sarapan pagi yang disediakan biasanya juga berat dan tidaklah mereka cepat lapar. "Ambilkan buku sejarah saya di tepi dinding itu!" pinta Amir.
Wanie tidak membantah. Dia menjeling ke arah kaki Amir di dalam rendaman air garam lalu masuk ke dalam rumah. "Hendak apa-apa lagi?"
"Air masak!"
"Mengarah pula!"
"Tadi kamu yang tawarkan pertolongan!"
"Yalah!"
Sekali lagi Wanie masuk ke dalam dan muncul semula dengan segelas air masak.

"Saya hendak ke dapur tolong ibu memasak!"

5 comments:

Latiptalib said...

Di tempat saya ada air panas semula jadi. Maksud saya air panas itu muncul dari dalam tanah. Ramai yang datang mandi di situ. kalau ada sakit kulit termasuk gatal-gatal di celah jari maka rendamkan kaki ke dalam air panas itu maka biasanya sembuh.

ez said...

Memang benar. Kolam air panas bagus bagi merawat sakit kulit dan penyakit lain juga. Untung Pak Latip, boleh ke kolam air panas selalu!

NURAZZAH8 said...

Di Selangor jugak ada kolamair panas, tapi saya tak tahu skrg nih mungkin dia dah buat elok sikit dan jadikan macam tempat pelancongan,terletak di Selayang. Masa tu anak saya kecik2 kena gatal2 satu badan, saya bawak ke sana dah mandikan, rendam badan dia dalam kolam tu. Masa tu ada 3 kolam, yg pertama tersangat panas, kedua panas juga tapi tak sepanas yg pertama manakal yg ketiga yg paling kurang panasnya... boleh lah anak kita masuk berendam dalam tu...
tapi mungkin sekarang dah takleh masuk berendam...mungkin dia dah kepun dan ada paip air...wallahualam...

ez said...

Puan Nurazzah, kami sekeluarga pernah ke kolam air panas Selayang tersebut. Memang ada 3 kolam di situ.

Latiptalib said...

Di Rembau saya ada 2 kolam air panas. Satu kena bayar di Pedas. Satu lagi percuma di Cengkau. Ramai yang pergi ke percuma hehe