Sunday, June 03, 2007

Perisik tak bergaji

"Sibuk sungguh awak hari ini?" sapa Puan Marina, isteri kedua Datuk Amir ketika terserempak dengan Tengku Mahsuri di muka pintu bilik suaminya.

"Biasalah, Puan. Hujung bulan beginilah."

Tengku Mahsuri terus ke bilik kerjanya. Menyiapkan kerja yang tidak pernah habis. tiba-tiba telefon berdering. Rupa-rupanya isteri ketiga Datuk Amir, Puan Anita menelefon.

"Nombor dua ada di sana?"

"Nombor dua? Apa tu!" tanya Tengku Mahsuri kembali terpinga-pinga sambil mata merenung buku jualan tunai yang perlu dilapurkan kepada bos.

Puan Anita mendengus. Tengku Mahsuri maklum, itu suara tidak puas hati dan dia mula memberi tumpuan kepada kata-kata Puan Anita. "Maaf, puan. Ada apa-apa yang saya boleh bantu?"

"NOmbor dua ada di sana? Marina ada di sana?"

"Oooo....tadi ada. Baru sekejap keluar."

"Dia pakai apa?"

"Dia pakai apa?" tanya Tengku Mahsuri kembali. "Pakai bajulah, puan."

"Ya. Baju apa! Baju baru?"

"Ma...ma...af, puan. Manalah saya tahu itu baru baru atau lama."

Suara Puan Anita mendengus lagi. "Ada dia pakai kalung mutiara warna putih?"

"Saya tidak perasan pula apa yang ada di lehernya."

"Awak jangan main-main, Mahsuri!"

Tengku Mahsuri meletakkan pen dan membetulkan duduknya. Dia mula naik angin apabila beberapa kali ditengking dan diherdik oleh Puan Anita.

"Bila pula saya main-main. Saya cuma terserempak dengan Puan Marina di muka pintu bilik Datuk sahaja."

"Tidak mungkin awak tidak nampak apa ada di lehernya!"

"Mata saya tidak sempat hendak merenung ke situ. Maaflah, puan, saya hendak siapkan kerja sekarang."

"Nampaknya awak sudah jadi member Marina. Saya tanya semua jawab tidak tahu!"

Muka TEngku Mahsuri mula memerah. Dia cepat-cepat menarik nafas panjang dan beristighfar.
"Apalah nasib aku bekerja di sini..."

"Apa awak cakap?"

"Tidak ada apa-apa! Saya cakap saya kena siapkan kerja ini."

"Baiklah. Petang nanti saya telefon lagi."

"Telefon lagi? Hendak tanya apa lagi!" jerit Tengku Mahsuri sendirian sebaik menghempaskan telefon ke gagang. "Jangan-jangan hendak lantik aku jadi perisik tak bergaji!"

3 comments:

Anonymous said...

Assalamulaikum Kak EZ, salam kenal dari orang baru. Saya nak tanya skit, citer ni ada tajuk tak selain dari tajuk di atas. Bukan apa bestlah jalan citernye.Jadikanlah ia E-Novel

Latiptalib said...

Perisik tak bergaji?

Agaknya fregman dari novel terbaru EZ. Bagus juga kisahnya. Dunia orang kedua ini memang menarik juga kisahnya. Asalkan EZ jangan jadi orang kedua pulak hehe

ez said...

lagi lagi fiqir, Waalaikumsalam dan salam kenal. Bagus cadangan jadikan e novel tu. Bolehlah ikuti kisahnya beransur-ansur, ya.

Pak Latip, kita sebagai orang di sekeliling hidup mereka sering kali jadi sasaran. Lainlah kan kalau dilantik perisik bergaji...dapat juga tambah pendapatan hehe