Thursday, November 22, 2007

Tiga juta rakyat Malaysia disahkan sakit mental

SUNGAI PETANI 22 Nov. - Sebanyak 16 peratus atau tiga juta daripada 26 juta penduduk di negara ini disahkan mengalami sakit mental dan jumlah ini adalah sesuatu yang membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Katanya, penemuan data terbaru Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan bagi tahun 2006 mendapati kes gangguan mental di kalangan rakyat Malaysia meningkat sebanyak hampir 6 peratus berbanding kajian yang dijalankan 10 tahun lepas.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 20.3 peratus adalah di kalangan kanak-kanak dan remaja berusia bawah 16 tahun.
“Antara faktor tekanan jiwa di kalangan remaja adalah kerana gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, tekanan daripada keluarga dan sekolah, serta tiada sokongan masyarakat,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Katanya, ada di antara murid sekolah tertekan kerana tidak mendapat semua A dalam peperiksaan dan kemudiannya mereka dihina dan dikatakan bodoh serta tidak berguna untuk hidup, jadi mereka mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah iaitu dengan membunuh diri.
Chua berkata, daripada jumlah itu juga, sebanyak 11.2 peratus adalah pesakit di kalangan orang dewasa dan 19.5 paratus di kalangan warga emas yang berusia melebihi 70 tahun.
“Masalah kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan, beban penyakit itu memberi kesan kepada masyarakat dan negara, dan kos perubatan untuk pesakit mental adalah semakin tinggi, manakala pesakit pula sering tidak mendapatkan rawatan awal kerana percayakan rawatan bomoh,” kata beliau.
Kes membunuh diri juga didapati semakin meningkat dengan sebanyak 20 hingga 30 orang daripada setiap 100,000 rakyat Malaysia membunuh diri setiap tahun.
Beliau berkata, kementerian juga mengalami masalah kekurangan pakar psikitiari kerana stigma masyarakat untuk menjadi pakar jiwa.
“Ada orang kita menggelar pakar jiwa `doktor gila’ dan ini menyebabkan kursus perubatan psikitiari tidak begitu popular sehingga sekarang,” kata beliau.
Katanya, setakat ini, cuma terdapat 145 orang pakar psikitiari dan negara memerlukan lebih 300 pakar lagi dalam bidang itu untuk mencapai nisbah 50 pesakit bagi seorang psikitiari.
Chua berkata, sehubungan itu, kerajaan mahu usaha mempertingkat kesedaran mengenai kesihatan mental ditambah.
- Bernama
http://www.utusan.com.my/

1 comment:

MYA MARJA said...

Assalamualaikum,

Dr. Chua tak beritahu pula di kalangan orang dewasa dari golongan mana yang paling ramai yang sakit mental. Saya dengar-dengar cikgu sekolah yang paling ramai. Mana tak sakit mental, macam-macam hal yang dihadapi; dengan masalah disiplin, ibu bapa, orang atasan, waktu bekerja dan yang lain-lain. Namun, guru yang kuat tidak akan sakit mental pastinya. Hmm...