Wednesday, May 09, 2007

Bangau o bangau!



Mereka melangkah pulang meninggalkan kedai kasut sambil menyanyi-nyanyi kecil di selang seli dengan gelak tawa. Nazri dan Lokman mendahului langkah manakala Amir dan Rusdi mengikut rentak langkah kaki kawan-kawan di hadapannya. Mereka menghayun seumpama askar sedang berkawat sambil terus mengalun lagu....


"Bangau o bangau! Mengapa engkau kurus?" Nazri dan Lokman menyanyi dan menoleh ke belakang menisyaratkan Amir dan Rusdi menjawab.


"Bagaimana aku tak kurus! Ikan tak mahu timbul....ikan tak mahu timbul...."


"Ikan o ikan mengapa tak mahu timbul?"


"Bagaimana aku nak timbul, rumput panjang sangat! Rumput panjang sangat!" sambil menyanyi rangkap itu hanyunan kaki Amir dan Rusdi semakin tinggi dan kuat menghentak ke tanah.


Akibatnya sebelah daripada kasut Amir tercampak ke dalam rimbunan tanpa disedari oleh kawan-kawan yang lain. Mereka terus menyanyi. "Rumput o rumput! Mengapa panjang sangat?"


Amir mula terjenguk-jenguk bersama Rusdi mencari sebelah kasutnya yang tercampak di rimbunan rumput di tepi jalan. Mereka terus menyanyi, "Bagaimana aku tak panjang, kerbau tak makan aku! Kerbau tak makan aku!"


"Apa yang kamu berdua buat itu?" tanya Nazri dan Lokman lalu turut sama mendekati kedua kawannya.


"Kasut saya tercampak ke sini!"


"Kasut o kasut! Mengapa engkau menyorok?" Rusdi menyanyi mengikut rentak Bangau o bangau dan dibalas oleh Nazri.


"Bagaimana aku tak menyorok! Bau aku hapak! Bau aku hapak!"


Deraian ketawa keempat-empat remaja itu memecah sunyi jalan. Mereka terus mencari sambil menyanyi dan ketawa. Sungguh mencuit hati. Akhirnya sebelah kasut Amir berjaya ditemui di celahan rumput-rumput itu. Ada beberapa ekor katak tidak jauh dari tempat kasut ditemui membuatkan mereka kembali menyanyi....


"Katak o katak! Mengapa panggil hujan?"


"Bagaimana aku tak panggil! Ular nak makan aku! Ular nak makan aku!"


Tiba-tiba Amir dan kawan-kawan berundur jauh dari tempat itu dan segera mengatur langkah.


"Sekiranya ada katak di situ, tentu ada ular!"


"Mengapa?" tanya Lokman.

3 comments:

Abang Long said...

fikiranku cetek di kala ini. apa pertautan antara - kasut yang hilang, katak, ular dan semak samun...

FirasFirzana said...

Baru semalam saya menyanyikan lagu ini dengan anak-anak...cumanya perkataan "aku dan kau" di gantikan dengan "saya dan awak" untuk melatih anak-anak menggunakan BMT

ez said...

Sdr Abang LOng, Pertautan di antara kasut, katak, ular dan semua itu adalah laluan perjalanan seorang anak yang gigih mengharung kepayahan hidup.

Puan Noorul, Terima kasih, Saya masih tertanya-tanya samada mengekalkan lirik lagu itu atau sebaliknya.