Wednesday, February 07, 2007

Sarah dan kasut tumit tinggi



Semut yang rajin
Awal pagi Mak Su muncul di hadapan pintu rumah Nenek Pah. Selepas bersarapan mereka mengekori Mak Su memimpin Nabil ke halaman. "Mari ikut Mak Su berjalan-jalan di keliling halaman."
Sudah beberapa hari mereka berada di rumah nenek. Angin pagi yang menyegarkan dan bau segar kebun berdekatan menambahkan lagi keceriaan pagi di beranda.
"Saya hendak ikut!" jerit Amin.
"Saya juga!" jerit Sarah juga lalu segera menyarungkan kasut tumit tingginya.
Nabil melompat-lompat sambil ketawa apabila melihat Sarah dan Amin turut serta turun ke halaman rumah nenek yang luas itu. Mak Su tersenyum melihat Sarah berkasut tumit tinggi. "Lebih baik kamu pakai selipar jepun itu sahaja. Lebih mudah bergerak di tanah bergambut begini dan kasut kamu juga tidak kotor!"
Sarah menerima pandangan Mak Su nya lalu menyimpan semula kasut tumit tinggi ke tepi beranda. Selipar jepun disarungkan ke kakinya.
"Mari kita tarik nafas dalam-dalam dan hembuskan perlahan-lahan!"
"Seperti senaman pagi sahaja!" usik Amin lalu berdiri di samping Nabil.
Mereka melakukan sepertimana yang dilakukan oleh Mak Su. Selesai senaman ringan itu sekali lagi mereka menarik nafas dan menghembusnya perlahan-lahan. "Apa yang kamu rasa sekarang?"
"Rasa segar dan tidak mengantuk lagi!" jawab Amin spontan.
"Luas sungguh halaman rumah nenek ini," kata Sarah sambil mendepakan kedua-dua tangannya dan menarik nafas dalam-dalam kemudian melepaskannya perlahan-lahan. "Udara di sini sungguh segar dan baunya juga melegakan pernafasan saya!"
Mak Su meninggalkan mereka berdua dan mengekori Nabil yang berjalan sendirian hingga ke pintu pagar.
Amin ketawa geli hati melihat Sarah berbuat begitu berulang kali."Apa yang kakak Sarah buat itu? Senam robik ke?"
"Marilah menghirup udara segar kebun!"
"Tidak mengapalah. Saya sudah puas menghirup kopi nenek tadi!"
Sarah menjeling mendengar usikan Amin. "Kakak ajak kamu menikmati kesegaran pagi!"
"Ya... ya....kakak Sarah sahaja teruskan!"
"Cukuplah senaman ringan yang saya buat tadi!"
Mak Su yang sibuk melayan Nabil mendekati mereka berdua semula dan turut melakukan sepertimana Sarah. "Ah....nikmat sungguh udara pagi ini. Sungguh bersih!"
"Itulah yang saya katakan kepada Amin tetapi dia tidak mahu ikut sama!"
Mak Su tersenyum mendengar rungutan Sarah. "Biarkanlah dia."
Ada pokok rambutan, pokok belimbing dan pokok mangga di keliling rumah nenek. "Kita boleh berkhemah di halaman ini," jerit Amin dari bawah pokok rambutan yang belum tiba musimnya untuk berbuah.
"Sebiji rambutan pun tidak ada!" keluh Sarah sebaik sahaja tiba di tempat Amin bersama Mak Su dan Nabil.
"Pokok rambutan, ialah jenis bermusim. Bila tiba musimnya berbuahlah ia. Tidak seperti betik, ia berbuah sepanjang masa," jelas Mak Su.
Amin melangkah ke hadapan pokok beberapa langkah. Deretan semut hitam yang besar saiznya menarik perhatiannya. "Besar sungguh saiz semut ini berbanding yang selalu kita lihat."
Sarah turut mencangkung di sebelah Amin memerhatikan semut-semut yang bergerak tanpa menghiraukan kehadiran mereka. Mak Su memimpin Nabil dan turut mencangkung di samping mereka. "Lihat itu! Se...mut! Se...mut.... hi....tam...!"
Sarah dan Amin tersenyum mendengar Mak Su mengajar Nabil menyebut semut.
"Se...mut....ra...jin!" tambah Mak Su lagi.
"Mengapa Mak Su kata semut itu rajin?" tanya Amin cuba menguis laluan semut-semut itu dengan ranting kayu tetapi deretan semut-semut yang dihalang berjaya kembali ke laluannya semuala.
"Janganlah kacau semut-semut itu. Nanti mereka sesat dan tidak dapat pulang ke sarang mereka!" tegur Sarah apabila melihat Amin mengganggu perjalanan semut-semut hitam itu. "Kasihan!"

No comments: