Sunday, February 11, 2007


"Apa rancangan awak dengan duit yang kita perolehi ini?" tanya Tengku Diana kepada Mohd Rasul. Tangannya menghitung jumlah helaian kepingan wang kertas hasil perniagaan mereka.
"Awak ada apa-apa yang hendak dibeli?" soal Mohd Rasul kembali.
Tengku Diana menggelengkan kepalanya dan tersenyum. "Simpan sahajalah duit ini ke dalam bank. Awal tahun nanti anak-anak kita ke kolej semula. Semuanya perlukan duit."
Mohd Rasul menyambut bungkusan wang yang dihulurkan. "Berapa jumlah semuanya?"
"Enam ribu."
"Biarlah saya ke bank sekarang. Awak berehat sahaja di rumah."
"Saya bercadang ke pasaraya membeli beberapa barangan dapur."
"Sekiranya begitu, bolehlah ikut sekali."
Mohd Rasul mula memanaskan injin keretanya sementara Tengku Diana pula bersiap-siap. Dia mencatitkan senarai barang yang hendak dibeli.

*************

Sepanjang perjalanan ke bank, Tengku Diana terlelap. Sebaik sahaja tiba, barulah dia terjaga.
"Awak tunggu sahaja di dalam kereta. Biar saya masukkan duit ini sekejap."
Tengku Diana tersenyum dan kembali melelapkan matanya. Mohd Rasul pula berjalan pantas masuk ke bank.
"Ramai pula orang hari ini!" bisik Mohd Rasul sendirian sambil melangkah ke bahagian mengisi borang. "Awal bulan! Masing-masing hendak keluarkan wang gaji!"
Selesai mengisi borang wang simpanan, dia duduk di deretan kerusi menunggu nombor gilirannya dipanggil. Sesekali dia menjenguk ke arah kereta yang diletakkan berhampiran. "Lena sungguh dia tidur!"
"65!" suara di kotak pembesar suara memanggil nombor giliran di tangan Mohd Rasul.
Segera dia melangkah ke kaunter dan menyerahkan buku bank berserta wang tunai berjumlah enam ribu ringgit Malaysia itu kepada kerani kaunter yang bertugas. Sekejap sahaja buku simpanannya dipulangkan dan nombor giliran seterusnya dipanggil. Mohd Rasul melihat sekali imbas lalu mengucapkan terima kasih sebelum beredar.
Mohd Rasul melangkah keluar dari bank meninggalkan kesesakan orang ramai yang berpusu-pusu datang dengan berbagai urusan masing-masing. Sambil berjalan dia membelek sekali lagi buku akaunnya. Tiba-tiba langkahnya terhenti!
Lama dia tercegat dan membetulkan cermin mata rabun dekatnya beberapa kali. "Betulkah jumlah wang yang dicatitkan ini? Betulkah apa yang saya lihat ini?"
Langkahnya berpatah balik ke pintu bank dan terus ke kaunter tadi. Kerani bertugas dengan senyum mengajukan pertanyaan apabila melihat Mohd Rasul kembali semula ke kaunternya. "Ada apa-apa yang saya boleh bantu?"
Tanpa banyak bicara, buku simpanan dihulurkan kepada kerani bertugas. Wajahnya tiba-tiba berubah. "Bagaimana boleh jadi begini? Encik tunggu sebentar."
Kerani wanita itu bergegas masuk ke pejabat pegawai atasannya. Sekejap kemudian, Mohd Rasul dipanggil.
"Maafkan kami di atas kesilapan yang berlaku," pegawai bank itu memulakan bicara. Kerani wanita itu masih berada di sisinya. Semua mata tertumpu kepada Mohd Rasul, pelanggan bank mereka.
"Terima kasih kerana encik sudi memberitahu kesilapan saya dengan segera!" sampuk kerani wanita itu pula.
"Saya bagi pihak bank, mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Encik Mohd Rasul kerana tindakan bijak yang encik lakukan."
"Saya hanya memulangkan barang yang bukan milik saya."
Pegawai bank itu mengangguk. "Jumlah kesilapan yang dilakukan oleh kerani kaunter ini bukan sedikit bezanya. Dia silap mencatitkan jumlah enam ribu kepada enam puluh ribu!"
Kerani wanita itu tunduk membisu.
"Sekiranya begitu, saya mohon dibuat pembetulan bahawa jumlah wang yang saya masukkan ialah enam ribu sahaja dan bukan enam puluh ribu."
"Ya. Terima kasih sekali lagi."
Pegawai bank dan kerani keluar dari bilik meninggalkan Mohd Rasul sendirian. Sekejap kemudian, beberapa pegawai atasan lain masuk bersamanya. Mereka diperkenalkan kepada Mohd Rasul. Beberapa minit kemudian kerani wanita itu masuk membawa buku bank Mohd Rasul dan menyerahkan. Berulangkali dia mengucapkan terima kasih.
"Sekiranya Encik Mohd Rasul mahu membuat apa-apa pinjaman samada perumahan atau apa-apa sahaja, datanglah jumpa saya!" pesan salah seorang pegawai atasan bank itu.
Kata-kata pegawai itu disambut dengan senyuman dan terima kasih oleh Mohd Rasul. Mereka mengiringi pelanggan istimewa pagi itu hingga ke pintu.
Tengku Diana masih lena. Dia terjaga sebaik sahaja suaminya menghidupkan injin kereta. "Sudah selesai?"
"Ya."
Tengku Diana melihat jam tangannya dan ketawa. "Lama juga saya terlelap! Puas saya tidur!"

No comments: