Saturday, February 17, 2007

Mahu berkawan

Mahu berkawan

Salah seekor daripada kambing-kambing itu berlari berlawanan arah pula. Ia berlari ke arah Mak Su, Sarah, Amin dan Nabil sambil mengembik berkali-kali.
"Balik sini!" jerit Pak Herman mengejar dari belakang. "Nakal!"
Amin dan Nabil berjalan di hadapan manakala Mak Su dan Sarah di belakang. Sarah menoleh sebaik sahaja mendengar suara Pak Herman menjerit memanggil kambingnya.
"Eh! Mengapa dengan kambing itu?" jerit Sarah pula mula mempercepatkan langkah.
Mak Su menoleh ke belakang dan berhenti berjalan. "Ia masih mahu bermain dengan kamu semua!"
Kambing itu pula terus melompat dan berlari ke arah Sarah, Amin dan Nabil. Pak Herman dan Mak Su pula mengekori dari belakang.
"Kambing ini memang nakal! Ia belum puas bermain dengan mereka!"
Mak Su mengangguk sambil tersenyum. Mereka mempercepatkan langkah. Kata Pak Herman lagi, "Jangan risau. Kambing ini tidak merbahaya."
Tetapi lain pula sangkaan Sarah. Ia mula memikirkan untuk menyelamatkan diri dari ditanduk oleh kambing itu. "Lari! Kambing itu mengejar kita!"
Amin dan Nabil menoleh dan ketawa. "Kambing itu bukan kejar kita! Ia hendak ikut kita pulang!"
Amin dan Nabil berhenti dan menunggu sahaja kedatangan kambing manakala Sarah mula mengatur langkah seribu melarikan diri. Entah mengapa kambing itu terus mengejar Sarah sambil melompat-lompat gembira seolah-olah seronok berkejaran dengan Sarah. Tidak pula bagi Sarah.
"Tolong!" jerit Sarah berulang kali.
"Jangan takut! Ia tidak merbahaya!" jerit Pak Herman kembali. "Kamu tidak usah berlari lagi kerana ia fikir kamu hendak bermain dengannya!"
Sarah tidak mengendahkan saranan Pak Herman dia terus berlari keliling mereka bertiga manakala kambing itu mengejarnya dari belakang. Air mata Sarah mula mengalir keluar.
"Berhentilah berlari. Ia tidak akan mengejar lagi!" jerit Amin pula sambil tergelak geli hati.
"Kakak takut!"
Akhirnya Sarah tidak terdaya lagi mengatur langkahnya yang berkasut tumit tinggi itu. Dia terjelepok di hadapan Pak Herman dan Mak Su dengan tangisan teresak-esak. Sarah menekup mukanya apabila melihat kambing itu menghampirinya. Suatu sentuh kasar dan basah terasa di pipinya.
"Lihat! Kambing itu sukakan kakak Sarah! Ia jilat pipi kakak Sarah!" kata Amin sambil tergelak.
"Nakal betul kamu ini! Buat semua orang takut sahaja!" kata Pak Herman kepada kambingnya. Tangannya menepuk-nepuk kepala kambingnya itu. "Maaflah, kambing-kambing saya ini memang suka berkawan!"
Amin dan Nabil turut mendekati. Nabil menarik-narik janggut kambing itu manakala Amin pula mengusap-ngusap belakangnya. "Kambing Pak Herman ini sungguh jinak dan suka bermain!"
Sarah cuba tersenyum. Matanya masih merah dan wajahnya masih takut-takut. Mak Su menghulurkan tangan, menarik Sarah bangun. "Aduh!" jerit Sarah sebaik sahaja berdiri.

"Mengapa?" tanya Pak Herman.

3 comments:

Unknown said...

Heeee... gelinya kena jilat kambing. Kambing tu mesti jilat air mata sbb air mata tu masin.

Yang bernama Siti said...

Alahai... Buat saspens je. Kena tunggu bukunyalah ni ya?

Agaknya Sarah pakai baju merah tak? Sebab tu dikejar kambing. :-)

ez said...

Ainin dan Siti,
Terima kasih di atas kunjungan anda berdua.

Novel ini bakal muncul bulan depan, insyaAllah. Tunggu, ya!