Monday, February 26, 2007

Alas getah



"Apa yang awak hendak buat dengan plastik tebal itu?" tanya Pakcik Ahmad ketika menjenguk ke dapur. "Di mana awak dapatkannya?"
"Alas getah meja itu. Saya guntingkan sedikit."
"Untuk apa?"
Pakcik Ahmad melabuhkan punggungnya duduk di samping Makcik Rosni yang sibuk mengunting alas getah meja. Selonggok bilis di hadapan isterinya, dikopeknya seekor demi seekor.

Pakcik Ahmad mula membantu sambil mengerlingkan ekor matanya melihat apa yang dilakukan oleh isterinya. "Macam bentuk selipar!"
Makcik Rosni tergelak kecil. "Saya hendak buat lapik kasut sekolah anak kita yang pecah tapaknya itu."Kasut sekolah di sisinya diambil. Dia cuba memasukkan kepingan getah yang dipotong mengikut saiz tapak kasut itu ke dalam kasut sekolah. "Muat!"
"Tidakkah alas getah itu licin apabila dipakai?"
"Kaki mereka bersetokin. Sekurang-kurangnya kaki mereka tidak sakit setiap kali terpijak batu," jelas Makcik Rosni lalu mula menampalkan gam ke dalam kasut. "Kasihan anak-anak kita. Mereka tidak pernah merungut."
"Ya....anak-anak kita memang baik. Syukurlah...."
"Cuma saya lihat pelajaran mereka tidaklah cemerlang sangat," tambah Makcik Rosni lagi. Jarum kasar digunakan untuk menjahit tepi-tepi kasut yang sudah berbulu kainnya.
Pakcik Ahmad tersenyum. "Sabarlah. Kita sediakan apa yang mampu selebihnya mereka kenalah usaha sendiri."
"Mereka memang rajin belajar tetapi mungkin setakat itu kemampuan pelajaran mereka."
"Syukurlah dengan apa yang ada. Kita boleh berikan mereka semangat untuk belajar lebih tekun lagi tahun hadapan."
Sambil menyiapkan alas getah di tapak kasut sekolah anaknya, Makcik Rosni sesekali menjenguk ke dalam kuali. Sambal tumis menggelegak dikacau perlahan-lahan supaya tidak berkerak.
"Saya cuba kumpul duit dari sekarang. Mudah-mudahan mereka dapat kasut baru tahun hadapan!" tambah Makcik Rosni sebaik sahaja meletakkan sudip ke piring.
"InsyaAllah....."

4 comments:

Unknown said...

uik... dah ada lagu tuuuuu... cayalah.

ez said...

Ainin,

Sedang rancak menulis novel ke? :)

FirasFirzana said...

Best...best...baca part nih jer dah jatuh cinta....

FirasFirzana said...

Citer baru yek...best...best..baca part ni jer dah jatuh cinta...