Thursday, October 12, 2006

Sembang sembang di gerai ekspo...


“Dari mana, dik?” tanya Salmah kepada seorang pemuda yang tersengih sengih kepadanya sejak tadi tapi segan untuk menyapa.
“Dari KL.”
Salmah melihat lihat gerainya yang penuh dengan pelbagai jenis jam tangan dari pelbagai jenama. Manakala gerai Salmah pula penuh dengan buku buku. Pelbagai jenis buku juga. Dari buku tebal hingga ke buku nipis. Dari buku agama hingga buku kanak kanak. Semua ada. Mereka akan berkampung di situ bagi menjayakan ekspo yang ditaja oleh sebuah badan kerajaan selama seminggu. Di sebelah sana pula ialah gerai jamu. Macam macam jenis jamu untuk pelbagai jenis penyakit. Dari penyakit paling kronik hinggalah ke penyakit biasa biasa seperti selsema. Pendekata, ekspo ini tidak memfokuskan kepada satu produk sahaja seperti ekspo buku sahaja, atau ekspo kesihatan sahaja.
“Banyak buku buku ya?” tanya Amir pemuda awal duapuluhan itu cuba berbual dengan Salmah.
“Gerai buku, banyaklah buku!” balas Salmah selamba.
Orang ramai mula mengunjungi tapak ekspo dan mereka tidak banyak masa berbual lagi. Sesekali waktu senggang barulah mereka duduk duduk dan sembang sembang.
“Amir asal dari mana?”
“Melaka!”
Salmah mengangguk. Ramai juga anak anak muda yang turut membantu di gerai gerai yang berderet di kiri kanan tapak itu. Cuma gerai Amir paling dekat dengan gerai Salmah. Jadi, dari sehari ke sehari, mereka semakin rapat dan semakin banyak yang dibualkan.
“Emak ayah ada lagi?”
Amir terdiam seketika lalu menjawab, “Ayah masih ada. Emak meninggal semasa melahirkan saya.”
“Maafkan akak, ya.”
Amir tersengih selamba. “Tak pa,”
Salmah semakin ingin tahu tentang keluarga Amir. Seperti ada sesuatu yang lain dari yang lain tentang Amir ini. “Adik beradik Amir berapa orang?”
“Tiga! Saya yang bungsu!”
“Semua tinggal dengan ayah?”
Amir menggelengkan kepalanya. “Mereka semua sudah kahwin. Ayah saya ada di KL ni.”
“Maknanya Amir yang tinggal dengan ayah?”
Sekali lagi Amir menggelengkan kepalanya. “Saya tinggal dengan ayah hingga tingkatan tiga sahaja.”
“Amir masuk sekolah berasrama?”
Geleng kepala lagi. “Tinggal dengan bapa angkat!”
Hati Salmah semakin ingin tahu. Mujur juga tidak ramai pengunjung waktu begini. “Di mana bapa angkat tu?”
“Di KL juga!”
Perbualan mereka terganggu juga apabila pengunjung mula ramai. Hampir petang barulah mereka dapat duduk duduk menghilangkan lenguh berdiri dan sambung berbual semula.
“Seronok ya kiranya Amir sekarang dapat dua ayah. Ada dua tempat bermanja!” Salmah menyambung semula perbualan yang terhenti.
Amir tersengih tawar. “Sebenarnya saya jarang jumpa ayah sebenar saya tu. Bila mustahak saja saya jumpa dia. Ayah angkat pula dah meninggal sebenarnya. Beberapa tahun lepas.”
“Sekarang Amir tinggal dengan siapa?”
“Dengan kawan kawan sekerja. Majikan sediakan tempat tinggal!”
Salmah mengangguk dan dapat mengagak hubungan Amir tidak baik dengan ayahnya manakala dengan ayah angkat pula dia masih terasa kehilangan.
“Amir sekolah di mana dulu?”
“DI Melaka,” jawab Amir sambil membelek sebuah buku yang diambil dari gerai Salmah. “Hingga tingkatan empat. Itupun setengah tahun sahaja.”
“Selepas itu?”
Amir memandang Salmah dan tersenyum tawar. “Saya dimasukkan ke sekolah budak budak nakal!”
Sedikit terkedu Salmah mendengarnya dan tidak berani lagi untuk bertanya. Amir terus membelek buku di tangannya. Sejurus kemudian, dia menutup bukunya dan menarik kerusinya dekat ke kerusi Salmah. “Sebenarnya akak, saya ni budak jahat!”
“Itu kisah lama. Sekarang ni akak lihat Amir budak baik, selalu pergi solat bila masuk waktu.”
Amir tersenyum lagi. “Saya buat kesalahan besar semasa di tingkatan empat dulu sebab itulah dimsukkan ke situ.”
“Bergaduh ke?” tanya Salmah bersahaja.
“Memanglah bergaduh. Tapi kesalahan besar lagi yang membawa saya ke situ.”
“Ini mesti pukul kawan sampai kawan masuk hospital,” kata Salmah bergurau sambil mengunyah kacang parang yang dibelinya apabila melihat Amir beria ia pula hendak bercerita.
“Saya....bunuh orang!”
“Hah!” kata Salmah hampir tercekik kacang parang di tekaknya. “Bunuh orang?”
Amir mengangguk. Salmah cepat cepat meneguk air mineralnya. “Bunuh dengan apa? Cekik ke?”
“Saya guna parang panjang!”
Aduh! Berpeluh tangan Salmah memegang kacang parang yang kering itu tetapi dia cuba menyembunyikannya.
“Mengapalah berbunuh bunuh. Berebut apa tu!”
“Mereka bunuh bapa angkat saya. Saya balas dendam!”
“Kenal ke pembunuh tu!”
Amir mengangguk. Mereka tembak bapa angkat saya di depan saya!”
“Apa terjadi selepas itu?”
“Selepas beberapa hari saya cari di mana rumahnya dan saya serang mereka sekeluarga. Habis sekeluarga saya parang!”
Lutut Salmah tiba tiba terasa longlai. Dia meneguk lagi air meniralnya dan cuba bertenang. “Aku duduk di sebelah seorang pembunuh?” bisik Salmah sendirian. Dadanya berombak ombak. Nampaknya Amir ingin meneruskan ceritanya dan Salmah juga ingin tahu apa kesudahannya budak Amir ini.
“Sekarang bagaimana?”
“Selepas ditangkap, saya dibicarakan di mahkamah remaja dan dihantar ke sekolah nakal tu. Lepas keluar sekolah tu saya ke sekolah pondok. Saya mahu jadi orang baik baik. Saya belajar tahfiz.”
Salmah kembali tenang. Dadanya tidak berdebar lagi.
“Selepas tamat belajar di sana, saya mecari pekerjaan.”
“O....akhirnya bekerja dengan syarikat jam ini, ya.”
Amir tersenyum lebar apabila Salmah menutup ceritanya petang itu apabila didatangi pengunjung.
Tetapi sebaik sahaja kembali lapang, Amir datang lagi ke gerai Salmah yang hanya selangkah dua sahaja.
“Saya suka akak. Akak tahu, saya tidak pernah rasa bagaimana yang dikatakan kasih ibu sebab emak saya meninggal semasa lahirkan saya. Cuma harta pusakanya sahaja yang mengingatkan saya kepada emak.”
“Wah! Banyak dapat harta pusaka?”
“Banyaklah juga. Tetapi saya belum guna walau sesen pun.”
“Apa rancangan Amir dengan duit itu”
“Saya hendak berniaga. Sekarang saya cari pengalaman dulu!”
Salmah mengangguk. “Baguslah begitu. Amir masih muda!”
“Ayah pun tidak baik dengan saya. Abang kakak pun begitu. Mereka kata saya budak jahat!”
“Raya nanti balik ke?”
“Saya tidak pernah balik beraya dengan mereka.”
“Apa kata tahun ini, Amir balik jumpa ayah, abang dan kakak.”
“Mereka masih bencikan saya. Mereka kata malu dengan saya.”
“Amir kenalah hadapi semua itu. Tebalkan muka dan balik jugak. Bawalah buah tangan banyak banyak. Beli baju untuk ayah dan semua. Beli kuih raya dan buah buahan. Tapi jangan beli mercun!”
Amir ketawa mendengar kata kata Salmah yang selamba dan lucu itu. Dia bangun ke gerainya dan datang semula.
“Akak! Ini hadiah dari saya!”
“Eh apa ni!”
Sebuah jam tangan diletakkan di tangan Salmah. Eh mahal ni.”
“Tak pe. Tolak gaji saya nanti.”
Salmah terima pemberian Amir yang ikhlas itu sambil berfikir fikir apa yang hendak diberi kepada Amir. Esok hari terakhir ekspo.
“Amir, ini hadiah dari akak!”
Sebuah buku nipis dihulurkan ke tangan Amir. “Baca jangan tak baca! Ini hadiah dari akak. Amir tak baca akak tak pakai jam ni!” Salmah berseloroh. Amir ketawa sambil membelek buku di tangannya.
“Hidup kita ni masih panjang lagi dan kita tidak tahu apa ujian yang menanti di hadapan sana. Apa yang kita boleh buat sekarang ialah bersiap siap.”
Amir mengangguk. Tentu dia faham. Dia belajar di sekolah tahfiz. Fikir Salmah.
“Bila akak cakap cakap camni, saya rasa rinduuuuu pada mak saya....akak nak lihat gambar mak saya?”
Belum sempat Amir membuka dompetnya, pengunjung menyerbu gerai gerai mereka kerana harga runtuh yang diiklankan. Maklumlah hari terakhir ekspo semua harga menjunam turun!
Berapa banyak di luar sana yang mencari cari kasih ibu....berapa banyak pula di luar sana cuba menanggalkan kasih ibu dari diri hanya kerana bosan dengan leteran ibu. Kembalilah kepada ibu dan keluarga di hari baik bulan baik ini semoga kasih bertaut kembali. Barakah dan rahmah Allah akan terbuka luas...Amiin.

3 comments:

Unknown said...

Alamak... sedihnya... Tapikan kak ez, anak-anak nakal bukannya nakal sejak dilahirkan. Ada sebab kenapa mereka jadi macam tu. Selalunya disebabkan oleh orang lain yang mengganggu diri dan keluarga mereka. Kalau kisah ini kisah benar, saya berdoa agar Amir tu akan terus melangkah di atas jalan yang lurus dan diredhai. Kalau ini rekaan kak ez je, saja nak kena laa.. bagi suspen pulak.. sambung citer, bagi Amir tunjuk gambar maknya... tengok-tengok Salmah kenal emaknya dan rupa-rupanya emak Amir masih hidup. Siapakah emak Amir? Salmahkah? Atau orang itu emak Amir? hu hu... jangan marah kak ez.

ez said...

Nur Raina, kisah ini ialah kisah benar. Hmm...memang tak sempat tengok gambar mak Amir tu. :( Apa pun semoga Amir terus tabah mengharungi hidup yang penuh liku ini...

Unknown said...

Sedih, kan kak ez, melihat anak bangsa kita terpaksa mengharungi hidup sebegini...Meluap-luap rasa hati nak membantu. Semoga dia akan diberkati Allah. Dan mana tahu, suatu hari nanti, kak ez berjumpa balik dengan dia dan tengok-tengok dia dah jadi seorang ahli perniagaan yang berjaya (secara halal of course). Amin.