Thursday, October 05, 2006

Rindu Ayahanda...


“Boleh saya ambil kain pelikat ini untuk dijadikan kain solat?” tanya Tengku Diana ketika dia melipat kain baju Pak Engku dan Mak Engku yang akan bertolak pulang pada penerbangan empat petang nanti.

“Ambillah kain pelikat yang lebih elok. Kain pelikat ini sudah lama,” jawab Pak Engku.

“Memang saya mahu yang sudah dipakai oleh ayah. Buat kenang-kenangan,” tambah Tengku Diana lagi sambil tersenyum.

Dia memasukkan pakaian yang dilipatnya ke dalam beg. Katanya lagi, “Ini kain pelikat baru, saya gantikan.”

“Mengapa tidak gunakan pelikat itu sahaja untuk kain solat?” tanya Pak Engku lagi sambil tersenyum memerhatikan Tengku Diana berkemas.

“Saya memang ingin kain pelikat yang pernah digunakan oleh ayah. Itu sahaja. Buat kenangan.”

“Ada ada sahaja kamu ini,” tambah Mak Engku pula.

Sebentar kemudian, adik Tengku Diana, Tengku Azam tiba untuk menghantar Pak Engku dan Mak Engku ke lapangan terbang. Mereka bersalaman. Entah mengapa Tengku Diana terasa sebak dan mengalirkan air mata di saat dia mencium tangan ibu dan ayahnya.

“Seronok tinggal di rumah kamu. Puas hati dapat makan ikan terubuk bakar masakan kamu!” kata Pak Engku lagi sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.

Tengku Diana melambaikan tangan kepada mereka. Dia tercegat memerhatikan kereta Tengku Azam sehingga hilang di simpang jalan barulah dia masuk ke dalam rumahnya. Kain pelikat Pak Engku dipegangnya dan dipeluknya. Entah mengapa air matanya mengalir. Tiba tiba sahaja terasa sedih kemudian tersenyum sendirian apabila mengingatkan kata kata Pak Engku tadi.

“Syukurlah...ayah puas hati setiap kali meninggalka rumah ini,” bisik Tengku Diana sendirian lalu bangun berkemas.

Petang itu juga Tengku Diana menelefon ke kampung. “Kami sudah sampai hampir setengah jam,” jawab Mak Engku dengan girang.

Seminggu berlalu. Hari itu hari Ahad. Sejak pagi Tengku Diana tidak lalu makan. Dia memasak dan melayan suami dan anak anak tanpa turut serta makan tengah hari.

“Mengapa tidak berselera? Awak sakit?” tanya Mohd Rasul apabila melihat Tengku Diana tidak banyak bercakap sejak pagi tadi.

Tengku Diana menggelengkan kepalanya. “Saya tidak sakit. Cuma tidak berselera sahaja.”

Tiba-tiba telefon berdering. Tengku Diana menganggkat gagang telefon.

“Ya...Assalamualaikum.....apa???.....Innalillahi wainnailaihi roojiuun....” suara Tengku Diana tersekat sekat dan gagang telefon terlepas dari tangannya.

Mohd Rasul menerpa mendapatkan gagang telefon dan menyambung perbualan seterusnya sedang Tengku Diana menangis teresak esak di tepinya.

“Mengapa? Siapa yang meninggal?” tanya Uwais dengan cemas.

Sarah pula mula mengangis tersedu sedu walaupun tidak tahu siapa yang meniggal dunia.

Mohd Rasul menoleh kepada anak anaknya dan berkata, “Cepat makan. Kita balik kampung sekarang juga. Aki meninggal sekejap tadi.”

Kelam kabutlah tengah hari itu. Sarah mencapai beberapa helai pakaian begitu juga Uwais. Mohd Rasul turut berkemas sebelum meninggalkan rumah manakala Tengku Diana masih tersedu sedu di tepi telefon.

“Mari kita bertolak sekarang. Mudah mudahan sempat melihat wajah aki sebelum dikebumikan.”

Tengku Diana mencapai telekung dan kain pelikat ayahnya lalu masuk ke kereta. Sedikit demi sedikit dia kembali bertenang. “Mereka akan kebumikan hari ini juga?”

“Ya. Itulah sebaik baiknya. Banyaklah beristighfar. Ingat Allah...setiap yang hidup akan mati. Mungkin esok atau lusa giliran kita pula.”

Hampir magrib barulah mereka tiba. “Mengapa tidak tunggu kami?” Tengku Diana terasa sedih kerana jenazah ayahnya tidak sempat ditatap untuk kali terakhir. Walau apapun dia bersyukur kerana jenazah ayahanda selamat dikebumikan selepas sembahyang asar.

“Pak Haji yang menguruskan jenazah tadi. Katanya, wajah ayah berseri seri ...seolah olah tidak sabar menjadi tetamu di sana...eloklah disegerakan,” jelas Tengku Azmi saudara mereka. “Doakanlah untuk ayah.”

Setahun berlalu pemergian Pak Engku. Sehingga kini, kain pelikat itu masih dijadikan kain solat Tengku Diana. Entah mengapa tiba tiba kerinduan kepada Pak Engku menerjah ke dalam sanubarinya. Dia terkenang saat Pak Engku membaca buku cerita sambil meribanya ketika kecil dahulu. Dia terkenang bagaimana Pak Engku menemaninya setiap kali dia dikejarkan ke wad kecemasan apabila diserang penyakitnya, dia terkenang ketika Pak Engku bercerita kisah kisah pengembaraannya di hutan tebal selama berminggu minggu tanpa bekalan kerana menjejak gajah gajah liar.

“Oh...rindunya saya kepada al marhum ayah,” bisik Tengku Diana kepada Mohd Rasul.

“Di malam-malam bulan Ramadhan ini elok banyakkan membaca al Quran. Doakan semoga Allah melapangkan kuburnya dan agar al marhum selesa di sana,” nasihat Mohd Rasul ketika mereka selesai melakukan sembahyang tahajjud.

Tengku Diana tersandar ke dinding sambil menunggu azan subuh lalu terlelap. Mohd Rasul membiarkan sahaja dan dia meneruskan sembahyangnya. Selesai sembahyang tahajjud, dia membuka kitab al Quran dan membacanya perlahan lahan di samping Tengku Diana yang tertidur. Tiba tiba Tengku Diana menangis di dalam tidurnya, “Hu..hu...hu...”

“Diana....mengapa? Bermimpikah?”

Tengku Diana meneruskan tangisnya dari mimpi ke alam nyata sehingga teresak esak.

“Mimpi apa sehingga menangis tersedu sedu?”

“Saya bermimpi ayah...ayah datang sambil tersenyum....katanya....katanya....”

“Katanya apa?”

“Katanya...'ayah seronok tinggal di sini'”

“Alhamdulillah...”




2 comments:

Unknown said...

Saya pun rindukan ayahanda saya... sejak saya duduk jauh ini, dia bagaikan merajuk. Bila saya telefon, dia tak mahu bercakap. Bonda saja yang berbicara. Bila saya usik ayahanda, dia tak mahu ketawa tetapi dengan adik bongsu, dia cerita yang dia rindukan saya dan kata saya tak sayangkan dia. Sebab itu saya duduk jauh darinya... Sedih. Balik kali ini, saya hendak pastikan dia tahu yang saya sangat menyintainya... Ayahanda dan Bonda.

ez said...

Ya. Luahkan rasa cinta itu supaya bibir mereka akan terus mengukir seribu senyuman walaupun kita tiada di sisi.