Wednesday, January 09, 2008

Maal Hijrah

Cadangnya kami sekeluarga meraikan Maal Hijrah di Masjid Kolej Universiti Islam Selangor, masjid terdekat dengan rumah kami. Tengah harinya pula suami menelefon mencadangkan kami sekeluarga meraikannya di rumah sahaja tahun ini. Terasa kali ini kami perlu fokus melihat Hijrah dari sudut pandang kami sekeluarga. Apa yang sudah kami lalui sepanjang hidup sehingga ke gerbang perkahwinan. Bersama menerajui alam rumahtangga bersama mendidik anak-anak. Menyemak kembali hala tuju hidup di samping memberi ruang kepada anak-anak yang meningkat dewasa meluahkan apa-apa sahaja hasrat yang tidak kesampaian sepanjang tahun ini.
Alhamdulillah, sebagaimana dirancang kami sekeluarga dapat berkumpul tepat pukul 7 petang. Saya hanya sempat menyediakan pencuci mulut- puding berkuah dan kek lapis Serawak (ini dibuat sehari sebelumnya). Suami pula membawa pulang satay kajang dan burger.

Kami berkumpul dan mendengar tazkirah ringkas daripada ketua keluarga; merenung kembali apa yang sudah dicapai dan apa lagi yang belum. Semoga setiap amal yang lalu dicatat sebagai amal soleh, memohon ampun kepada Allah di atas segala sikap alpa selama ini dan seterusnya bermohon semoga Allah memberi kelapangan bagi mencapai cita-cita kami bersama rahmat dan kasihNya. Walaupun bidang kami berbeza namun halatuju hidup tetap sama. Sama-sama menuju kepada keredhaan Allah SWT.
Sebelum menjamah hidangan, kami sekeluarga menadah tangan berdoa Doa Akhir Tahun;

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyanyang. Segala puji itu bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam. Semoga Allah cucurkan rahmat dan sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan sahabat baginda sekalian.

Ya Allah, wahai Tuhan kami, bagi setiap perkara yang kami lakukan daripada setiap perbuatan yang Engkau larang dalam tahun ini yang kami belum bertaubat daripadanya padahal Engkau tidak meredhai dan Engkau memang tiada lupakannya namun Engkau berlembut tidak mengazabkan kami malah memberi peluang supaya kami bertaubat selepas kami menceburkan diri melakukan maksiat itu. Maka kami sekalian memohon keampunanMu.

Ya Allah, ampunilah kami dan mana-mana perbuatan yang kami lakukan sepanjang tahun ini yang Engkau redhai dan yang Engkau janjikan ganjaran pahalanya. Maka kami mohon diperkenankan amal bakti yang kami lakukan itu dan Engkau tidak menghampakan harapan kami. Ya Allah Tuhan yang Maha Pemurah.

Amiin... Seketika kami melayan sebak di hati. Lalu menjamah hidangan sambil mula merangka perancangan bagi setahun yang akan ditempuhi. Seusai solat magrib, sekali lagi kami berdoa, Doa Awal Tahun pula;
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Segala pujian itu bagi Allah Tuhan sekalian alam. Rahmat dan Sejahtera atas PEnghulu kami Nabi Muhammad, keluarga dan sahabat-sahabat bagindan sekalian.

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang kekal selama-lamanya, sedia ada, tiada permulaan. KelebihanMu Maha Besar dan kemurahanMu sangat-sangat diharapkan. Tibalah sudah tahun baru, kami mohon kepadaMu agar terpelihara kami sekalian di tahun baru ini daripada tipu daya syaitan-syaitan yang terlaknat juga daripada kuncu-kuncu syaitan dan bala tenteranya. Kami mohon daripadaMu, pertolongan mengalahkan runtunan nafsu amarah (nafsu yang mendorong kepada kejahatan. Kami mohon juga kepadaMu Ya Allah, rasa ingin membuat amal kebajikan) yang boleh mendampingkan diri kami kepadaMu. Ya Allah Tuhan Yang Maha Agung lagi Mulia. Ya Allah Tuhan yang sebaik-baik yang mengurniakan rahmat. Amiin...

1 comment:

Unknown said...

Bahagianya....