Monday, February 27, 2017

Abah - Minyak panas berangin


Saya masih ingat. Pertama kali diserang athma ketika saya berumur lebih kurang lima tahun. Ya. Masih kecil. Sesak nafas membuat saya tercungap-cungap bersama esakan dan tangis.

Abah meletakkan saya ke pangkuannya lalu mengusap belakang saya dengan minyak panas berangin. Saya tidak suka baunya! Pujuk Abah, "Ia bagus bagi melegakan kembali pernafasan"

Che' pula sibuk menuangkan air suam-suam kuku untuk saya menghirupnya perlahan-lahan. Ia juga bagi melegakan pernafasan. Selepas beberapa minit, saya kembali pulih. Toleh kiri dan kanan lalu ketawa terkekek-kekek.

"Alhamdulillah."

Abah dan Che' tersengih sambil geleng kepala. Saya melompat dari ribaan Abah lalu berlari keluar rumah menyertai kawan-kawan sejiranan bermain. Setiap detik masa tidak pernah dilepaskan begitu sahaja. Waktu bermain, bersungguh-sungguhlah bermainnya!



Wednesday, February 15, 2017

Hospital - Atuk Sado


"Sakit apa, encik?" Soal saya kepada seorang lelaki yang dianggarkan lewat 60-an namun berbadan tegap. Beliau duduk di kerusi sebelah saya. Kami berada di bahagian farmasi. Sempat saya bertegur sapa sebaik sahaja melihat skrin nombor yang dipaparkan. Saya tunjuk  resit nombor saya dan beliau tunjukkan resit nombornya.

"Saya gatal-gatal," balas Atuk berbangsa India itu sambil menunjukkan kedua belah tapak tangannya, "Bukan ini saja. Satu badan saya gatal-gatal. Sudah 20 tahun saya mengidap penyakit ini. Sudah berapa kali doktor menukar krim tetapi masih tidak sembuh."

"Oh, tentu sukar untuk makan dan melakukan apa-apa kerja."

"Ya. Mata saya pula sebelah sahaja dapat melihat. Sebelah kanan ini buta."

"Allah...," spontan saya bersuara.

"Sebab itulah saya pusing ke kanan apabila bercakap dengan puan."

Saya mengangguk tanda faham. "Alhamdulillah. Syukur Tuhan masih memberi pinjam sebelah lagi mata kiri untuk melihat."

"Ya. Syukur sangat saya."

Tiba-tiba suara operator dan sekali gus nombor di skrin memaparkan nombor saya. Atuk Sado menoleh dan tersenyum.

"Doa saya, encik segera sembuh."



Tuesday, February 14, 2017

Gorengan-gorengan



Mencari ilham dan idea tidaklah terbatas kepada membaca, berbual atau berjalan-jalan sahaja. Memasak juga mampu memberi impak berbaloi.
Pagi ini masak serunding halia campur bilis dan tempe goreng campur kacang dan bilis. Simpan untuk makan bersama nasi air/nasi bubur/nasi panas-panas.


Tuesday, February 07, 2017

Kayu Kamat Ganu Kite



Satu lagi hidangan istimewa orang ganu kite. Dulu, menu ini bagi sarapan dan minum petang. Sekarang ini, semua waktu pun boleh. Sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam atau makan lewat malam. Zaman sudah berubah. Cara makan juga berubah. Kayu kamat tetap begini. Malah ada forzen. Mudah dicapai.

Jaga kesihatan kita :)



Thursday, February 02, 2017

Kita Pemegang Amanah cuma


Pabila dikhabar berita duka
Kembalilah kepada Yang Maha Berkuasa

Pabila yang tersayang diambil semula
Sedarlah dia bukan milik kita

Berat melepaskan hati meresah
Begitu rasa pemegang amanah

Kasih baru bertaut
Harus dipulang walau berat

Kadar hidup sudah ditetap
Meniti kita bertahap-tahap

Berbaik sangka meniti hayat
Langkah diatur dengan cermat.


#salam takziah buat saudara yang kehilangan orang tersayang. Redai pemergian mereka dengan mendoakan pertemuan abadi di perkampungan sana.



Jom!


Pabila hati damai
Mahu berkongsi beramai-ramai

Di pagi jumaat nan indah
Ramai mahu mengganda ibadah

Jom kita bersedekah
Biar hari terisi barakah.



Friday, January 27, 2017

KAWAN



Siapa masih ada novel ini dalam koleksi?

Melihat-lihat kembali buku pertama saya yang diterbitkan, tergelak sendiri. Pun begitu, ia berjaya mendapat liputan akhbar. Proses menghasilkan manuskrip pertama, satu pengalaman indah dalam memulakan diri sebagai seorang penulis kreatif. Menulis penuh yakin dan berasa itulah yang terbaik ketika itu. Seterusnya, kita belajar daripada pengalaman dan berusaha menghasilkan karya yang lebih bermutu dan diburu.





Sunday, January 22, 2017

Roti Paung Ganu Kite frozen

Bagi orang-orang Terengganu terutamanya Kuala Terengganu, tahulah mereka betapa sebiji roti yang digelar paung ini.
Ada orang ganu kite di sini?



Thursday, January 12, 2017

Rezeki


Apabila ganjaran berganda yang diterima daripada Allah begitu pantas dan langsung tidak setimpal dengan apa yang dilabur, apa yang mampu kita ucapkan? Allah...
Apa lagi yang mampu selain tertunduk malu kepadaNya dengan linangan air mata. Betapa kasih sayangNya yang seringkali kita salah tanggapan dan bersangka bukan-bukan. Allah....
Subhanallah Alhamdulilah Allahu Akbar!




Niatkan sedekah



Buat sehabis baik setiap apa yang diamanahkan. Jangan terlalu berkira sehingga menyukat hasil kerja biarlah berbaloi dengan bayaran yang diterima. Wang bukan segala. Usah berkira. Nikmati keseronokan bekerja dan hargainya. Anggap sahaja hasil kerja yang terlebih baik kita itu sebagai sedekah. Sedekah itu bukan hanya kepada material terutamanya wang ringgit, bukan?


Tuesday, January 10, 2017

Paung Ganu Kite


Projek sejuk beku buat Perindu Paung Ganu Kite. Warisan Bonda.



Buku Cerita Kanak-kanak


Buku Cerita Kanak-kanak Bergambar atau tanpa gambar.
Adakah ia suatu keperluan dalam membangunkan masyarakat?
Bagaimanakah ia memainkan peranan dalam sesebuah institusi kekeluargaan?
Sejauh manakah peranannya?
Apakah kesannya kepada kanak-kanak secara khusus dan  kepada keluarga secara amnya?



Monday, January 09, 2017

Jiwa dan Raga




Berpada-padalah walaupun adakalanya jiwa berkobar-kobar
Bersemangat mahu menjadi sebagus orang itu dan orang ini
Memaksa raga melebihi had kelak merosakkannya
Berpada-padalah walaupun dalam diam membanding-banding
Dia lebih bagus dan aku tidak
Mereka lebih bagus dan aku tidak
Jiwa jadi bingung, raga terpinga-pinga.

Jiwa dan raga berpada-padalah
Jangan satu ke sana satu lagi ke sini
Kelak terlantar di persimpangan
Raga tidak bermaya diheret iiwa yang meronta-ronta
Mendesak mahu menjejak mereka
Yang berjaya menggapai awan
Yang menang bertambah untung.

Berpada-padalah jiwa dan raga
Dalam mengimbangi yang mana keperluan yang mana kehendak
Berbincang elok-elok kamu berdua jangan ada yang
Terasa diabai terasa dipinggir terasa ditekan
Kelak apa yang mahu dijawab di hadapan Tuannya?

Tahun baharu tahun memulih
Membaiki kepada yang lebih baik
Lebih mengenali antara jiwa dan raga
Berpakat baik-baik merancang berpada-pada
Biar dilihat perlahan namun kamu masih melangkah
Biar dilihat tidak tersentuh awan
Namun kamu berlelah berganding tangan dalam tawa.

Berpada-padalah jiwa dan raga
Usah gopoh usah rakus menyusun rentak
Menjejak orang-orang berjaya orang-orang menang seantero dunia
Jangan tertipu dengan katanya 'berjaya' dengan katanya 'menang'
Biarlah menjejak dengan ilmu diikuti amal
Ilmu yang benar amal yang betul
Meletakkan Allah di hadapan segala

Sunday, January 08, 2017

2016 pergi 2017 datang


Selesai urusan pembukuan buku Syria. Penerbitnya, Risalah Harmoni Publication Sdn Bhd. Dijangka terbit tidak lama lagi. Projek penutup 2016.

Ada dua projek bersiri saya tersangkut di tengah jalan selepas terbit beberapa siri. Kedua-duanya Buku Bersiri Cerita Kanak-kanak. Mohon doakan tahun ini kembali lancar, ya.

Projek seterusnya, projek 2017. Masih projek bersiri Buku Cerita Kanak-kanak. Sebarang pandangan boleh emel kepada ezeerahmani@yahoo.com

Rabbi yasir wala tuassir




Hormat Menghormati


Dunia penulisan ini tidaklah sebesar mana walau dipisah-pisah mengikut genre. Alangkah beruntung andai hidup saling sokong menyokong. Saling hormat menghormati. Setiap penulis ada gaya sendiri dan ada kelompok peminat sendiri. Selagimana Allah diletakkan paling hadapan bersatulah kita.



Perelok Pekerti



Ikhlas jujur reda-meredai
Setiap ujian yang ditempuhi
Ia tanda disayangi Ilahi
Usah sibuk menuding jari
Tetapi mencari silap sendiri
Ayuh bangkit perelok pekerti
Segera perbetul dan perbaiki
Kerana masa takkan kembali
Peluang hidup hanya sekali.





Thursday, January 05, 2017

Melangkahi 2017


Kita akur akan jalan ini
Tiada hamparan merah menggebu
Menyaman kaki tika melangkahi.

Melainkan ia jalan berliku
Kerikir tajam merata
Lecak dan berlumpur.

Tiada pilihan untuk kita
Kerana tempat yang dituju
Di penghujung laluan ini.

Merempuh rakus bukan caranya
Ada bekal perlu dipersiap
Bagi diguna kelak

Langkah diatur beriring-iringan
Tertib lagi beradab
Tawakkal.







Sunday, January 01, 2017

Aleppo Idlib Madaya

Acrylic painting on canvas - oleh Dr Maznah Ahmad, Shah Alam.
maznahpaintings.blogspot.my



Aleppo Idlib dan Madaya
Bagaimana harus diluah rasa
Mendengar rintih tangis mereka
Cukupkah sekadar hantaran doa?

Barrel berjatuhan
Berdentum gema letupan
Bertabur isi bangunan
Bersama insan bergelimpangan.

Tragedi apakah ini?
Aksi makhluk bertopeng manusiawi
Menyangka hidup takkan mati
Dikutuk segala yang di langit mahupun di bumi.

Teruslah wahai durjana
Merakus membunuh dirasa bahagia
Siang malam memburu nyawa
Semangat gila terhebat di dunia.

Insan-insan mulia berdatangan
Menghulur bantu tanpa alasan
Kamu tidak bersendirian
Bersama kita meringan beban.

Bayu lembut pergunungan Madaya
Idlib bertafakur seketika
Aleppo bangkit lebih sasa
Teguh dan padu bersama.

Saling kita bergenggam tangan
Ayuh bangkit usah beralasan
Demi sebuah ikatan
Persaudaraan dan kemanusiaan.


#Aleppo #Madaya #Idlib #Syria




Tuesday, December 20, 2016

Gigih mengulang bacaan


Setiap kali mengulangi bacaan,

1. Meningkatkan kefahaman.

2. Lebih hadam isi bacaan.

3. Memahami dan melihat dari berbagai perspektif berbeza.

4. Menyalakan lampu idea.

     Tidak bernama Penulis sekiranya tidak bernama Pembaca.

#ezeerahmani





Sunday, December 18, 2016

Buku Syria


Dengan izin Allah jua, kini saya diberi kesempatan meneroka bumi Syria pula. Alhamdulillah.

Ada yang bertanya, bagaimana mampu menulis sedang kaki belum pernah menjejak buminya? Ya. Ia persoalan menarik.

Bagi saya yang belum mampu bergerak jauh, ada cara sendiri.
1. Dengan memanfaatkan sepenuhnya talian internet, saya meneroka dan menjelajah. Meletakkan diri di tempat yang saya mahu dan menarik segala rasa yang perlu di sekelilingnya sehingga menjelmakan keberadaan.

2. Buku-buku tidak kurang pentingnya. Membaca dan terus membaca segala yang berkaitan sehingga terbit rasa cinta kepada apa yang dibaca, menghadam sepenuhnya. Pengulangan dalam menelaah memberi impak yang berbaloi kerana setiap kali bacaan, kita dapat melihat dari perspektif yang berbeza.

3. Bertemu dengan mereka yang pernah sampai ke sana, mendengar cerita mereka dengan penuh minat dan meletakkan diri sama-sama di sisi mereka sepanjang penceritaan. Merasai setiap apa yang dibicara.

Ini hanya sebahagian daripada cara saya mengumpul data dan maklumat dalam berkarya. Paling penting, kita tahu, faham, dan jelas apa yang hendak ditulis.

Banyak lagi cara mengumpul informasi/fakta/berita/kisah yang perlu tanpa kita lupa setiap karya perlu ada jiwa. Dengan jiwa itu karya hidup dan mampu menyentuh jiwa-jiwa pembaca.


#prayforaleppo
#savealeppo