Wednesday, February 25, 2015

Bila badan sihat...


Bila badan sihat
Nak kongsi ilmu walau sekelumit cuma

Bila badan sihat
Nak buat semua orang senyum dan ketawa

Bila badan sihat
Nak beritahu semua, berkat doa awak, saya sihat

Bila badan sihat
Nak tulis banyak banyak banyak buku

Bila badan sihat
Sedetik pun rasa taknak lelap

Bila badan sihat
Nak masak roti, briyani, popia, laksa, kek

Bila badan sihat
Nak jamu makan makan

Bila badan sihat
Nak ziarah sahabat taulan

Bila badan sihat
Nak jalan-jalan tengok alam

Bila badan sihat
Macam-macam benda nak buat

Bila badan sihat
Nak pulun semua kerja tertangguh waktu sakit

Bila badan sihat
Nikmat yang tiada terungkapkan

Bila badan sihat
Setinggi-tingginya dipanjat syukur

Bila badan sihat
Tidak mengapa berbeza erti sihat

Bila badan sihat
Memang tahu pun diri setara mana

Bila badan sihat
Jangan dilupa saat sakit

Bila badan sihat
Tidak semestinya tidak sakit lagi

Bila badan sihat
Belum pasti esok masih sihat

Bila badan sihat
Mungkin esok kembali sakit

Bila badan sihat
Beringat-ingat pada diri

Walau apa pun, sihat dan sakit silih berganti
Tetap sayangi diri

Allah sayang hambaNya, diri harus meredhai
Itu tanda Dia peduli.

Wallahu a'lam



Kembara Kuku sudah terbit!


Sunday, February 22, 2015

Mereka Itu, Ahli Syurga

Memurnikan setiap apa yang mahu disampaikan untuk ahli-ahli Syurga. Secara peribadi, saya berasa gembira diberi peluang menghidangkan sesuatu untuk mereka.

Sedangkan kita, masih berusaha menjadi calon-calon syurga, harus banyak belajar daripada mereka. Jangan sangka mereka masih hingusan, tiada apa yang boleh diambil pengajaran daripada mereka. Itu salah!

Melihat senyum, tangis mereka, merenung tidur dan nyenyak mereka, menikmati gurau dan senda mereka, memahami rajuk dan marah mereka. Merasai kebersamaan di antara mereka. Sungguh membahagiakan.

Sekiranya hari ini, kita dan mereka mati, sudah pasti anak-anak kecil itu ke syurga. Dan kita? belum tentu ke mana destinasi kerana kita sedang berjuang ke status 'calon'.

Sewajarnya, bakal/calon syurga itu lebih menghormati ahli-ahli syurga.




Thursday, February 19, 2015

Edit Syukur


Dalam keghairahan melihat kejayaan dan kehebatan orang-orang,
Sesekali toleh kepada diri dan tiba masa mencipta kejayaan sendiri.

Bukan soalnya,
Ia besar atau kecil cuma.

Setidak-tidaknya,
Ia lebih baik daripada semalam.

Lebarkan senyum,
Teruskan langkah

Diri kita,
Kita lebih tahu berbanding orang lain.

Diri kita,
Tentunya lebih dikenal Penciptanya.

Sayangi diri penuh redha,
Allah menyayangi.

Melafaz ucap syukur tanda
Terima kasih, Allah kerana mencipta diri ini.





Wednesday, February 18, 2015

Soal dan Jawab: Bagaimana



Soal:    Bagaimana mahu menanam minat menulis? Bagaimana membuat pilihan genre yang mahu ditulis? Bagaimana cara menulis? Bagaimana mahu mula menulis? Bagaimana mendapatkan ilham menulis? Bagaimana memilih waktu sesuai untuk menulis? Bagaimana...bagaimana ....bagaimana.....

Jawab: Banyaknya bagaimana....






Tuesday, February 17, 2015

Siapa awak?



Awak penulis buku kanak-kanak?
Ya. Saya penulis buku kanak-kanak dan remaja.




Monday, February 16, 2015

Cukuplah Allah bagi kami

Ucapan yang baik, membangunkan hati dan emosi sehingga ke suatu tahap, kita menghargai, menghormati dan menyayangi diri. Menyedari Allah Pencipta kita sentiasa memerhati dan sayangkan kita, mencipta kita bukan hanya untuk sia-sia.

Kita tidak akan mensia-siakan anugerah Allah. Seluruh anggota dan pancaindera; tangan, kaki, mata, telinga dan banyak lagi. Setiap kali menarik nafas dan menghembusnya, setiap kali memerah otak berfikir, segala-galanya dihalakan kepada sesuatu yang memberi manfaat. Bukan hanya untuk diri malah untuk seluruhnya yang bernama makhluk.

Terus berbaik sangka dan membina hubungan akrab dengan Pencipta membuat hati dan emosi tenang dan stabil. Tika berdepan dengan apa situasi sekali pun kita tahu dan sedar bahawa kita tidak bersendirian.

Hasbunallah Wanikmal Wakil Nikmal Maula Wanikman Nasir
(Cukuplah Allah bagi kami, sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong kami)

Selalu ingatkan kepada diri, Walau apa pun, saya tetap sayangkan diri saya, Allah sayang saya.



Kelahiran Siri Baru


Sinopsis:
Siri Kembara Kuku mengisahkan pengembaraan 5 sahabat iaitu Kuku, Momo, Sasa, Gaga dan Ara bersama kawan-kawan yang lain. Mereka akan melalui pengalaman yang berbeza pada setiap pengembaraan. Siri ini menggabungkan elemen sains dalam kehidupan, nilai persahabatan, cara menyelesaikan masalah, serta nilai-nilai murni yang lain. Bagus untuk perkembangan kanak-kanak. Ini kerana mereka dapat belajar nilai-nilai murni dalam kehidupan secara tidak langsung.

Walau pun sasaran pembacanya ialah 8 - 10 tahun, saya melihat ianya masih relevan untuk pembaca lebih dewasa. Insya Allah, sama-sama kita mengambil manfaat daripadanya.


Saturday, February 14, 2015

Ini buku terakhir saya pada tahun 2013. Pada akhir tahun lepas, PNM membelinya untuk Perpustakaan Desa.

Tahun 2014, tidak ada apa-apa kelahiran. Namun, tidak bermakna saya tidak berkarya. Seorang penulis itu akan terus berkarya selagi Tuhan memberi izin.

Tahun 2015 ini, Alhamdulillah akan ada kelahiran. InsyaAllah. Tunggu ya saya promosikan di sini dalam masa terdekat.
Dua kali saya tertonton rancangan masak-masak bersiaran di lokasi yang sama. Pulau Belitong. Sungguh cantik dan mendamaikan pemandangannya. Terdetik rindu ingin ke sana. Sungguh, ciptaan Allah itu tidak terungkap indahnya.

Sekurang-kurangnya, saya dapat mencuba menu baru dari Pulau Belitong. Alhamdulillah :)

Wednesday, February 11, 2015

Edit Niat

Sedikit catatan dari sebuah kuliah...
Bahawa setiap perbuatan itu tergantung kepada NIAT dan bagi setiap apa yang diNIATkan.
Hanya kerana ALLAH Taala. Bukan kerana yang lain.

Sekumpulan orang yang berjuang mempertahankan agama dengan berani dan gagah belum tentu masuk syurga sekiranya NIAT dijulang dan dipuja.

Sekumpulan orang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya belum tentu peroleh syurga andai NIAT hanya menunjuk diri hebat dan tahu serba serbi.

Sekumpulan dermawan membahagi-bagi harta dan kekayaannya juga belum tentu ahli syurga sekiranya NIAT hanya untuk mendapat pujian dan sanjungan.

p/s Peringatan untuk diri sendiri. Sedarlah wahai diri bahawa kamu bukan siapa-siapa dan tidak punya apa-apa tanpa RAHMAT dari sisiNya. ALLAH...ampunkan kami yang sering lupa diri.

Wednesday, February 04, 2015

Salam rindu untuk Gaza

Angin,
Apa khabar kamu?
Aku dapat mendengar siulanmu bak seruling mendayu-dayu menyebar rasa nyaman.
Angin,
Boleh kamu utus sesuatu untuk sahabat kita Gaza?
Angin,
Ini ku titipkan ya.
Terima kasih ku dahului.

Salam rindu untuk Gaza

Gaza,
Apa khabar kamu di sana? Sekarang musim sejuk semakin menebal. Suhu juga semakin menurun. Aku pasti kesejukannya tentu mencengkam. Seluruh bumimu membeku.

Gaza,
Bagaimana khabar saudara-saudaraku di sana? Musim sejuk begini, tentu segala aktiviti luar jadi terhad. Cukupkah bahan bakar bagi dijadikan pemanas tatkala kesejukan? Aku terfikir-fikir di mana boleh mendapatkan kayu api atau apa sahaja sebagai pembakarnya di sana.

Gaza,
Aku sedar, mereka kuat. Sebab itu ujian setinggi ini diberikan untuk mereka. Selayaknya dipanggil umat terpilih kerana istimewanya mereka ini. Doaku, Allah gandakan lagi kekuatan untuk mereka.

Gaza,
Sampaikan salamku kepada semua. Kepada semua pokok-pokok yang tumbuh di bumi barokah, kepada semua hidupan laut di Laut Mediterranian sana, kepada angin dan bayu yang bertiup lembut memberi nyaman kepada insan-insan mulia itu.

Wassalam.



Sunday, February 01, 2015

Ya Rabb, 

bagiMu segala puji 

seagung kemuliaan wajahMu 

dan kebesaran kekuasaanMu

Wednesday, January 28, 2015

Solo vs Group

Masing-masing tentunya ada kelebihan, tidak kurang ada lemahnya juga. Kerja secara solo, ikut sahaja kepala kita. Tidak perlu pening-pening mahu merai ahli group. Bebas juga berbuat apa sahaja, di mana sahaja, di waktu apa sekali pun. Suka-suka hati kita sahaja.

Manakala kerja bergroup/berkumpulan sedikit tercabar. Harus mengambil kira pandangan ahli lain. Perlu mengawal emosi kerja dan jaga target siap kerja. Tidak boleh suka-suka hati kita sahaja.

Di antara kedua-dua cara kerja ini, yang mana satu jadi pilihan?
Kedua-dua miliki nikmat tersendiri. Ada manisnya tersendiri. Umpama diminta memilih buah epal atau buah manggis. Tentu sukar memilih mana yang paling bagus sebab kedua-duanya bagus dan ada rasanya tersendiri. Juga bergantung di waktu mana kita mahu menikmatinya.

Kesimpulan saya mudah sahaja. Ada ketikanya saya mahukan epal ketika berkelah di tepi tasik dan ada ketikanya saya mahukan manggis ketika duduk-duduk di halaman rumah.

Perbandingan yang tidak munasabah? Usah pusing-pusing. Fikir yang positif saja. Yuk!



Sumber gambar buah-buahan dari internet

Edit Laku

Sedar atau tidak, ada kalanya tutur kita menyinggung rasa yang mendengar. Bagi kita apa yang ditutur itu biasa-biasa sahaja. Bagaimana boleh menyinggung rasa pula? Jom audit edit laku.

A: Anak berapa?
B: (Senyum)Dua orang. Alhamdulillah.
A: (Berkerut dahi) Dua jer?
B: (Senyum)Alhamdulillah. Sepasang.
A: (Berkerut dahi)Sepasang jer?
B: (Senyum) Alhamdulillah.... Awak?
A: (Bangga)Saya, enam. Tiga lelaki, tiga perempuan.
B: (Teruja)Alhamdulillah. Tiga pasang tu!
C: (Jerit) Nombor 10!
B: Nurse panggil nombor saya tu. Pergi dulu ya. Doa saya, awak sentiasa dimurahkan rezeki.
A: (Senyum) Terima kasih. Jumpa lagi ya!
B: (Senyum) Insya Allah. Assalamualaikum.

Monday, January 26, 2015

Apa Kelebihan Saya?

Kuku menilik diri sendiri kemudian memandang
semula kepada ayahnya. “Apa kelebihan saya?
Saya tidak boleh terbang!” (...petikan Buku Cerita Bergambar untuk kanak-kanak)


p/s Bagaimana mahu menerangkan kepada anak-anak apabila timbul situasi begini? Tentunya ibu bapa perlu kreatif dalam memberi jawaban.

Friday, January 23, 2015

Kelebihan vs Kekurangan

Saya bukanlah seorang motivator atau penasihat atau yang seumpama dengannya. Pun begitu, sebagai insan, kita melalui perjalanan hidup yang berbagai-bagai. Adakala, kita bergembira dan tidak kurang juga detik sedih dan lara ditempohi. Perjalanan ini tentunya menjadi medan studi yang paling berkesan.

Sepanjang kembara hidup tentunya kita tidak sendirian. Amat tidak tepat kiranya, kita mendakwa bahawa kita menjalani hidup sendirian kerana sebagai insan, kita memerlukan insan lain dalam hidup ini. Ibu, ayah...tanpa mereka tidaklah wujudnya kita di dunia ini. Seterusnya, kaum keluarga, sanak-saudara dan sahabat-handai.

Pergaulan sesama insan rapat ini tentunya melahirkan bibit-bibit yang pelbagai rasa dan warna. Adakala kita berasa dimuliakan, diperlukan namun tidak kurang juga ditimpa rasa rendah diri, terasing atau tersingkir. Bagaimana kita menanganinya?

Renung diri, selami diri, kenali diri bagi mengenali siapa mereka di sisi kita. Bukan siapa kita di sisi mereka. Ia dua persepsi berbeza. Pandangan mereka terhadap kita tentu berbeza dengan pandangan kita terhadap mereka.

Apa yang penting, secara sedar, kita memujuk diri merai dan memuliakan semua insan yang berada dalam lingkungan hidup kita sebaik mungkin. Mengapa? Kerana, mereka amat penting dalam perjalanan hidup kita. Bagaimana pula persepsi mereka terhadap kita? Tentunya, kita tidak dapat mengawal dan memaksa sesiapa pun menyukai kita. Atau mendesak mereka melihat kita dengan persepsi yang kita kehendaki.

Dalam apa situasi pun, harapan kita biarlah sentiasa tertanam 'rasa mahu' berbuat kebaikan walau kepada sesiapa pun hatta kepada haiwan atau tumbuhan malah seluruh alam ini. Mengapa? Kerana kita sama-sama makhluk Tuhan yang berkongsi sedikit ruang sebelum kembali pulang kepadaNya.






Dan kita?

“Saya lihat burung-burung terbang bebas di langit.”
 
Ibu Kuku pula menambah, “Mereka juga seperti
kita. Pagi-pagi, keluar mencari makan.”

“Tetapi, mereka terbang. Kita pula, hanya
berjalan. Malah perlahan-lahan sahaja.”

Ayah Kuku pula menjawab. “Mereka dikurniakan
sepasang sayap, sebab itu mereka terbang.”

“Dan kita?” soal Kuku dengan mata
terkebil-kebil memerhati ke langit.

...petikan kisah bersiri, istimewa untuk kanak-kanak.
Moral: Mengajak mereka sama-sama melihat bahawa setiap kejadian Tuhan itu pasti ada kelebihannya.

Saturday, January 17, 2015



Kita meminta, apa yang kita mahu


dan


Allah memberi, apa yang kita perlu







Sunday, January 11, 2015

Hargai Diri, Pelihara Maruah

Setiap fenomina, musibah atau apa pun ia dinamakan, seringkali ia bersangkutan dengan diri kita. Sejauh mana kita meluaskan medan kerja, melebarkannya sehingga sampai kepada bukan golongan tertentu sahaja. Adakah kita terlalu memilih dalam medan kerja?

Adakah kerana sikap kita yang lebih mementingkan cara kita dibesarkan sehingga kita terlupa pesan Saidina Umar Al Khattab?

Secara peribadi, saya tidak melihat ini sebagai satu kesalahan yang secara total dihumbankan hanya kepada individu terbabit atau ibu bapa mereka sahaja. Bagaimana pula dengan kita sebagai sebahagian daripada kelompok masyarakat malah seagama dengan mereka?

Budaya menuding jari perlu diubah. Budaya merenung diri perlu diperluas. Melihat diri sebagai berperanan dalam masyarakat dan ummah. Apa tugas kita?

Tidak perlu tunggu didendang baru mahu bekerja. Tidak perlu. Lakukan sahaja dengan bergigih dan bertabah. Bukankah kita mendambakan pengiktirafan daripada Allah Azza Wajalla?

Bekerja bukan bersendirian malah beramai-ramai. Bersama, berjemaah. Kerana, mampukah kita melakukannya sendirian?

Melihat dengan kasih dan sayang. Betapa, mereka memerlukan kita.