Friday, December 08, 2006

Anas bin Malik

Rindu
Mata Anas masih terang walaupun sepanjang malam mendengar ibunya bercerita tentang Nabi Muhammad. Malah dia terus bertanya itu dan ini manakala Ghumaisho' pula berusaha memberikan jawapan apa yang diketahuinya. Kata Anas, “Bilakah saya dapat bertemu dengannya? Terasa amat rindu sekali.”
“Allah akan kabulkan permintaan baik kamu itu,” pujuk Ghumaisho' memberi harapan.
Ghumaisho' terus bercerita lagi. Kisah kasih sayang yang dicurahkan oleh Nabi Muhammad kepada seluruh keluarga dan sahabat handainya. “Setiap yang memandangnya akan merasakan sentuhan kasih sayangnya,” kata Ghumaisho' mengakhiri ceritanya pada malam itu.
“Alangkah bertuah sekiranya saya berada di kalangan mereka!”
“Ibu yakin kamu akan berada di kalangan mereka.”
“Jauhkah bandar Mekah dengan tempat tinggal kita? Bolehkah kita ke sana dan bertemu dengan Nabi Muhammad?”
“Bandar Mekah terletak jauh dari sini, kita tidak mampu ke sana sendirian.”
“Sekiranya begitu mengapa kita tidak menjemput Nabi Muhammad ke bandar Yatsrib sahaja? Saya amat rindu untuk bertemu dengannya!”
Ghumaisho' tersenyum mendengar luahan hati Anas dan memeluknya dengan penuh kasih sayang. Dia cuba menyelami perasaan Anas. “Apa yang kamu ingin lakukan apabila berpeluang bertemu dengan Nabi Muhammad?”
Anas membetulkan duduknya di hadapan Ghumaisho' dan menjawab, “Saya ingin menatap wajah mulianya sepuas-puas hati saya.”
“Apa lagi yang ingin kamu lakukan?”
“Saya akan mendakapnya, mencium tangannya yang mulia dan memperkenalkan diri saya sebagai Anas bin Malik, salah seorang pengikut setianya di bandar Yastrib ini!”
“Allah mendengar hajat kamu. Dia akan memperkenankannya!”
Malam itu Anas sukar lena di tempat tidurnya. Perasaan rindunya semakin kuat. “Seandainya saya mempunyai sayap, ingin sekali saya terbang ke bandar Mekah dan menatap wajah Nabi Muhammad yang mulia!”

No comments: