Tuesday, September 26, 2017

Amal


Wahai orang-orang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah. dan janganlah kamu membatalkan amal-amal kamu.
(Muhammad 47:33)

Duhai anak,
Rasailah seruan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang ini. Panggilan ini untuk kita, hamba-hambaNya.

Kita biasa mulai setiap amal dengan niat yang betul, kerana mahu meraih dan mendapatkan redho Allah. Sering pula kita terlupa menyemak niat awal amal kita, adakah masih kekal kerana Allah Taala atau mula melencong kepada matlamat yang lain. Tidak dinafikan, terlalu banyak lambaian dan tarikan mengiurkan dan sering kali membuat kita menurut tanpa sedar.

Anak,
Seringlah menyemak dan perkemaskan niat supaya ia kekal suci sehingga ke akhirnya. Kumpullah sebanyak amal tanpa merosakkannya. Jaga iman, didik hati agar terus dekat kepada Allah.

Insya Allah dipermudahkannya segala urusanmu, anakku.




Wednesday, August 09, 2017



Anak,

Hela nafas bebaskan keluh dan rungut
Lepas segala yang kelam dan membeban
Di hujungnya pasti terlihat lorong cahaya
Bersabarlah.




Tuesday, August 08, 2017

Senyum



Anak,

Hidup ini punya erti
Senyum ketika memberi
Tanda bahagia di hati





Sunday, July 23, 2017

Perjalanan setiap insan


Saat menziarahi pusara-pusara insan tersayang, ayahanda, bonda dan dua adinda. Ya... tiba waktunya, kami juga menyusul. Ia perjalanan setiap insan hanya waktu dan tempat menjadi rahsia Yang Maha Tahu.

Anak-anak tercinta,
Dalam sibuknya kita dengan urusan dunia, jangan lupa urusan akhirat. Dalam sibuk dengan urusan dunia, niatkanlah sebagai alat meraih akhirat. Dalam sibuk dengan urusan dunia, biarlah berpada-pada dan bersederhana. Dalam sibuk dengan urusan dunia, bijaklah mengurus masa.

Biarlah sibuk kita sibuk yang hakiki. Sibuk yang menyedarkan diri bahawa hidup ini lawannya mati. Mengurus diri, mengurus masa, mengurus rumahtangga, mengurus hidup supaya lebih bemanfaat.

Anak-anak tercinta,
Pupuklah kemuliaan dalam diri, menghargai nikmat yang diberi sebijak mungkin. Sungguh, terlalu banyak nikmat daripada Yang Maha Memberi Kurnia. Senaraikan satu per satu. Banyak, bukan? Laburkan ia ke Pelaburah Akhirat.

Insya Allah.





Friday, July 21, 2017

Air Tangan Bonda

Air tangan bonda manakan sama dengan masakan sesiapa pun walau sama resipinya. Rasanya tetap sedikit berbeza. Sukar digambarkan. Hanya yang kehilangan bonda sahaja yang mampu mentafsirkannya. Betapa kini tiada lagi kesempatan menjamahnya.

Saya membelek koleksi resipi bonda bersama menahan sebak. Banyak kali dicuba masih terasa ada yang kurang. Tekak terasa ada yang tidak kena walau suami dan anak-anak mengatakan ia sedap.

Saat kita duduk bersila rapat-rapat menikmati juadah air tangan bonda. Dalam memori. Indah.

Singgang tongkol, percik ayam, kerutuk daging, acar nenas, pecal mangga, jeruk cili. Nasi dagang, nasi minyak, nasi kerabu, nasi kuning.

Al Fatihah untuk ayahanda,bonda dan adinda berdua.




Tuesday, June 06, 2017

10 Ramadhan berlalu


Berlalu sudah fasa pertama
Namun langkah masih
Belum dipecut
Masih berkira itu dan ini

Ayuh! Memburu terus memburu
Mencari giat mencari
Gugurlah rasa lelah dan lenguh
Nyahlah bisa-bisa dan sakit badan

Aku mahu merentas
Fasa demi fasa
Dengan teguh tanpa tewas
Dengan berani tanpa gentar

Bantu hamba Mu
Wahai Tuhan yang Menyaksi
Jangan biar kami lemas
Tenggelam dalam lautan hawa.







Monday, April 10, 2017

Perjalanan ini...


Bagaimana perjalanan kita? Bagaimana kita memaknai kembara ini? Ia hanya sekali. Tidak dua, tiga atau lebih. Kembara ini bersifat 'sehala'. Tidak boleh berpatah balik atau U-turn.

Dalam kembara, kita bertembung dengan berbagai situasi luka dan duka. Kisah sedih dan air mata. Adakah ia bermakna tiada bahagia? Bagaimana kita memaknai erti bahagia?

Apapun jawabannya, biarlah ia membawa kita kepada suatu yang pasti. Bahawa kembara hidup ini wajar diindahkan, dibahagiakan. Dalam duka dan sakit kita mampu mengukir senyum, tanda sedar Allah peduli kita. Dalam suka dan tawa, bibir kita tidak lupa melafaz kalimah agung-Nya, tanda kita peduli nikmat-Nya.

Allah...


Wednesday, March 29, 2017

Hati Diketuk Jiwa Disentap



Sesekali hati diketuk disapa
Sesekali jiwa disentap rasa

Tidaklah ia bermaksud melukai
Malah ia tanda peduli.

Sesekali hati diketuk disapa
Sesekali jiwa disentap rasa

Tiada lain ia mengingati
Bahawa hidup itu lawannya mati.

Sesekali hati diketuk disapa
Sesekali jiwa disentap rasa

Memberitahu perlu ditambah bekalan
Itu yang mahu dibawa di hadapan Tuhan.

Sesekali hati diketuk disapa
Sesekali jiwa disentap rasa

Mengingatkan hidup bukan hanya diri sendiri
Harus bermanfaat, memberi dan suka berkongsi.







Saturday, March 25, 2017

Hidup



Begitulah hakikatnya hidup. Ada manis, ada pahit. Ada kelat ada masam.Saat getir lagi payah. Situasi mendesak dan menekan. Bingung.

Kita lalui semuanya dengan bergigih tika berdepan tanpa ada pilihan. Redah sahaja namun tetap dengan rasional. Dengan ilmu.

Usah pendam sendirian. Memang ada kalanya tiada yang faham situasi kita. Tetapi Dia Maha Tahu, memerhati dan menunggu kedatangan kita. Mengadulah kepadanya. Bila-bila masa tanpa perlu ada temujanji. Paling indah tentunya di sepertiga malam.

Luah dan adu sebanyaknya kerana Dia Maha Mendengar, mendengar segala luahan samada yang ditutur atau yang dibisik jauh di sudut hati. Ya. Dia sesungguhnya Maha Lembut terhadap hamba-hambaNya.

Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan perlahan-lahan. Ukir senyum kerana senyum itu satu getaran indah yang memujuk jiwa. Senyum sepuas-puasnya. Walau air mata terus mengalir. Senyumlah. Itu tanda kita sabar dan redha.




.

Saturday, March 18, 2017

Abah - Sesi Bercakap dengan Pokok Mawar



Menunggu tibanya waktu petang, tiba-tiba terasa lambat pula jarum jam bergerak. Berdebar. Teruja. Adik-adik memandang pelik. Hairan. "Mengapa kakak teruja amat?"

Akhirnya waktu petang yang dinanti tiba. "Ini rumah baru kamu semua. Duduk baik-baik. Cepat-cepat berbunga. Biar halaman kita berwarna-warni dan harum mewangi!"
Ranting mawar yang mula berputik segar bertukar rumah kepada yang lebih besar dan lebih selesa. Saya susun berderet di tepi rumah. Kesemua berjumlah lapan buah pasu comel.

"Hujung minggu ini bolehlah kutip baja!" Che' mengingatkan satu tugasan baru. "Setiap hari juga semua pokok ini perlu disiram."
Saya mengangguk penuh teruja. "Baik!"

Bermulalah rutin baru dalam hidup. Setiap pagi sebelum ke sekolah, siram pokok bunga mawar. Waktu petang sekali lagi disiram. Tidak lupa sesi berbual-bual dengan mereka, pujuk mereka cepat berbunga.
"Esok, saya hidangan kamu makanan terbaik. Supaya kamu terus sihat dan berbunga tidak putus-putus!"



Che'



Ibu = Emak = Mama = Ummi

                    =

                 CHE'

Kami adik-beradik memanggil ibu/emak dengan panggilan Che'.

Begitulah lebih kurang ejaannya buat masa ini.

Bunyinya bukan Cek (bank).

Bunyinya bukan makcik.

Bunyinya lebih kurang macam cikpuan (che').

Saya mahu kekalkan panggilan ini dalam bercerita. Ia lebih dekat di hati walaupun fokus cerita kali ini ialah Abah.


Friday, March 17, 2017

Abah - Baja?


Darjah empat, hati saya mula berbunga-bunga. Minat melihat bunga-bunga di taman sambil menyanyi lagu entah apa-apa. Hmm... dalam hati mula ada tamankah? Minat melampau ini mendesak saya mengumpul semua tin susu adik-adik yang bersaiz besar. Bukan tin susu pekat, ya.

Saya tebuk bahagian bawahnya dan isi tanah. Bukan sebarang tanah. Tanah diangkut daripada tepi paya yang berjarak kira-kira 500 meter dari rumah. Saya sendiri tidak percaya, bagaimana boleh saya bergigih mengangkutnya hampir setiap hari. Semata-mata mahukan tanah yang berkualiti demi pokok mawar/ros yang disemai. Ranting-ranting mawar direndam ke dalam air sehingga terbit putik barulah boleh dialih ke bekas tin susu.

"Sekiranya mahu pokok berbunga sepanjang musim, bubuhlah baja seminggu sekali," Abah memberi tunjuk ajar. Che' yang turut membantu mengisi tanah ke dalam tin-tin susu menyokong idea Abah.

Saya mengangguk-angguk tanda faham dengan dahi berkerut. "Baja? Bagaimana mahu dapatkan baja?"

Abah tergelak. Che' terkekek-kekek. Saya keliru. Lucukah?

"Oooo tentu mahal, bukan?"

Mereka terus ketawa. Saya turut ketawa. Geli hati. Berjangkit virus tawa ini.

"Memang mahal. Tetapi, kita dapat percuma. Alhamdulillah," tambah Abah sambil menahan gelak.

"Alhamdulillah!" Sahut saya pula.








Thursday, March 16, 2017

Hospital - Hospital vs Rumah Sakit


Dahulu ia dinamakan rumah sakit. Sebut sahaja rumah sakit terbayang sebuah rumah besar dipenuhi oleh orang sakit. Ada yang menahan sakit, ada yang menjerit kesakitan. Sungguh menakutkan. Apatah lagi sekiranya diri sendiri menjadi pesakit di rumah sakit itu. Oh, tidak!!!

Kini, ia disebut hospital. Mungkin agak kebaratan bunyinya. Namun, ia lebih mesra walaupun sama sahaja hakikatnya. Isinya masih dipenuhi dengan orang sakit. Berbagai jenis sakit. Apabila diri sendiri menjadi penghuninya, ia tidaklah sekekok mana. Sebuah bilik panjang yang dipenuhi dengan deretan katil, dan di hujungnya ada beberapa buah bilik air dan bilik mandi. Ada tukang cuci bekerja secara shif setia menjalankan tugas. Sesekali kami berborak. Dia sambil menyapu, kami sambil berbaring di atas katil masing-masing. Harmoni!

Kadang, menukar sebutan kepada yang lebih mesra dan harmoni begitu mengesankan walau hakikatnya sama. Begitu juga dalam lain-lain situasi hidup. Menukar perkataan atau ayat kepada yang lebih mesra dan alami lagi harmoni mampu merapatkan hubungan. Malah lebih dekat membawa kita kepada Pencipta Segala apa yang ada di langit, di bumi dan di antaranya.






Wednesday, March 15, 2017

Abah - Basikal


Saya mula belajar berbasikal ketika darjah satu. Itu pun basikal besar untuk orang dewasa. Pulang dari sekolah itulah aktivitinya. Mengayuh tersangkut-sangkut. Adakalanya jatuh, adakalanya terlebih laju lalu terlanggar pagar terus tumbang bersama-sama basikal.

Luka dan berdarah tidaklah menjadi hal. Bukan isu besar yang perlu dijerit tangis. Dengan selamba atau dengan muka berkerut menahan sakit, saya menarik basikal dan mengheret pulang.

"Mengapa tidak kayuh?" Soal Abah sebaik sahaja bertembung dengannya di pintu pagar. Abah baru pulang dari kerja.
"Tengok lututnya. Jatuh basikal lagilah itu," selamba Che' menjawab sambil tersenyum dan geleng kepala.
Saya diam dan cuba tersengih dalam menahan sakit. Terus meluru masuk dan mandi.

"Mari Che' sapukan ubat ke lutut yang luka."
Saya terdengkot-dengkot berjalan. Luka di kepala lutut menyukarkan langkah normal. Langsung tidak boleh lurus.
"Insya-Allah. pagi esok tidaklah sakit lagi," komen Abah sebaik melabuhkan diri di kerusi malas.
Dengan pantas saya bersuara, "Petang esok bolehlah belajar kayuh basikal lagi!"
"Memang tidak pernah serik!" Gelak Abah dan Che'.

Tuesday, March 14, 2017

Lafaz Ini

Alhamdulillah
SubhanAllah
MasyaAllah
Insya-Allah
Jazakillah
Barakalah
Syukran
Innalillahi Wainna Ilaihi Rojiun

Seawal usia, kita membiasakan dalam perbualan melafaz perkataan-perkataan tersebut. Membiasakan sehingga menjadi tabiat. Tabiat yang akhirnya menjadi budaya.

Alangkah indahnya. Daripada lafaz di bibir ibu dan ayah, terikut-ikut pula oleh anak-anak. Mereka membawanya ke taska/tadika. Samada dalam sedar atau tanpa sedar, lafaz-lafaz indah penuh makna ini terus menular dalam setiap detik hidup mereka sehingga ke sekolah atau ke mana-mana sahaja. Ia terus menular....

Sehingga ia akhirnya menjadi satu budaya tutur sekaligus mendidik budaya laku. Bukan sekadar budaya dalam sebuah keluarga kecil malah ia menjangkau kepada sebuah kelompok masyarakat. Begitulah ia berkembang, menular dan terus menular.

Siapakah pemain utama dalam membudayakannya?
Bukan kita siapa lagi, bukan?



Bercerita Sebelum Tidur

Ketiga-tiga buah buku comel ini merupakan projek buku kanak-kanak, Bercerita Sebelum Tidur. Selain perkongsian cerita Nabi dan sahabat, molek juga sesekali diadakan selingan cerita-cerita sebegini.

Pada alam juga berlaku pendidikan. Juga pada haiwan, ada yang Allah mahu ajak kita berfikir. Tiada apa yang sia-sia dalam penciptaan Allah melainkan ada mesej yang boleh dikutip.

Dalam siri ini, fokus utama kepada mendidik moral; mengasah pekerti, memupuk budi, mengindah tutur.







Monday, February 27, 2017

Abah - Minyak panas berangin


Saya masih ingat. Pertama kali diserang athma ketika saya berumur lebih kurang lima tahun. Ya. Masih kecil. Sesak nafas membuat saya tercungap-cungap bersama esakan dan tangis.

Abah meletakkan saya ke pangkuannya lalu mengusap belakang saya dengan minyak panas berangin. Saya tidak suka baunya! Pujuk Abah, "Ia bagus bagi melegakan kembali pernafasan"

Che' pula sibuk menuangkan air suam-suam kuku untuk saya menghirupnya perlahan-lahan. Ia juga bagi melegakan pernafasan. Selepas beberapa minit, saya kembali pulih. Toleh kiri dan kanan lalu ketawa terkekek-kekek.

"Alhamdulillah."

Abah dan Che' tersengih sambil geleng kepala. Saya melompat dari ribaan Abah lalu berlari keluar rumah menyertai kawan-kawan sejiranan bermain. Setiap detik masa tidak pernah dilepaskan begitu sahaja. Waktu bermain, bersungguh-sungguhlah bermainnya!



Wednesday, February 15, 2017

Hospital - Atuk Sado


"Sakit apa, encik?" Soal saya kepada seorang lelaki yang dianggarkan lewat 60-an namun berbadan tegap. Beliau duduk di kerusi sebelah saya. Kami berada di bahagian farmasi. Sempat saya bertegur sapa sebaik sahaja melihat skrin nombor yang dipaparkan. Saya tunjuk  resit nombor saya dan beliau tunjukkan resit nombornya.

"Saya gatal-gatal," balas Atuk berbangsa India itu sambil menunjukkan kedua belah tapak tangannya, "Bukan ini saja. Satu badan saya gatal-gatal. Sudah 20 tahun saya mengidap penyakit ini. Sudah berapa kali doktor menukar krim tetapi masih tidak sembuh."

"Oh, tentu sukar untuk makan dan melakukan apa-apa kerja."

"Ya. Mata saya pula sebelah sahaja dapat melihat. Sebelah kanan ini buta."

"Allah...," spontan saya bersuara.

"Sebab itulah saya pusing ke kanan apabila bercakap dengan puan."

Saya mengangguk tanda faham. "Alhamdulillah. Syukur Tuhan masih memberi pinjam sebelah lagi mata kiri untuk melihat."

"Ya. Syukur sangat saya."

Tiba-tiba suara operator dan sekali gus nombor di skrin memaparkan nombor saya. Atuk Sado menoleh dan tersenyum.

"Doa saya, encik segera sembuh."



Tuesday, February 14, 2017

Gorengan-gorengan



Mencari ilham dan idea tidaklah terbatas kepada membaca, berbual atau berjalan-jalan sahaja. Memasak juga mampu memberi impak berbaloi.
Pagi ini masak serunding halia campur bilis dan tempe goreng campur kacang dan bilis. Simpan untuk makan bersama nasi air/nasi bubur/nasi panas-panas.


Tuesday, February 07, 2017

Kayu Kamat Ganu Kite



Satu lagi hidangan istimewa orang ganu kite. Dulu, menu ini bagi sarapan dan minum petang. Sekarang ini, semua waktu pun boleh. Sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam atau makan lewat malam. Zaman sudah berubah. Cara makan juga berubah. Kayu kamat tetap begini. Malah ada forzen. Mudah dicapai.

Jaga kesihatan kita :)