Wednesday, March 28, 2007


Rindunya hati kepada Kekasih
Kekasih Allah kerinduan umat
Sukar dibendung pabila dikenang


Kekasih Allah kerinduan umat
Perjalanan hidupmu jadi kenangan
Amalanmu jadi ikutan


Sukar dibendung pabila dikenang
Betapa kasihmu kepada umat
Sehingga saat dijemput Izrael


Tika seluruh jasad menjadi kaku
Bibir lesu menutur ucap
Bisikmu masih gusarkan umat


Umatku! Umatku! Umatku!
Satu kisah yang berlaku ketika seorang ibu dari sebuah dusun menziarahi Aisyah, isteri Nabi Muhammad, bersama dua anak perempuannya yang masih kecil. Aisyah menghidangkan tiga biji kurma dan hanya itulah sahaja yang ada untuk tetamunya itu.

"Silakanlah makan kurma kurma ini. Hanya inilah sahaja yang ada."

Ibu itu langsung menghulurkan sebiji kurma kepada anak perempuannya setiap seorang manakala sebiji lagi dibiarkannya di dalam piring. Kurma itu tidak dimakannya. Ibu itu terus berbual dengan Aisyah manakala anak anaknya dibiarkan bermain-main tidak jauh dari mereka.

Seketika kemudian, kedua dua anak perempuannya berlari mendapatkan mereka semula. Ibu itu tersenyum lalu mengambil sebiji kurma yang berbaki di dalam piring lalu membelahnya. Setiap anaknya diberikan separuh seorang. Aisyah hanya mampu memerhatikan perbuatan ibu itu dengan perasaan terharu.

Allah menyatakan di dalam al Quran yang bermaksud, "Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu dia memberi pelajaran kepadanya, 'Anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya menyekutukan Allah benar benar kezaliman yang besar."(Surah Luqman: ayat 13)

Walau apa pun, pandangan ibu tidak pernah lepas dari memerhatikan kita. Anaknya. Permata hatinya. Kita diajar hidup mengurus diri sendiri dan ibu tidak ragu ragu memberi saranan setiap kali kita mengajukan soalan atau apa apa sahaja yang musykil di hati. Begitulah dari sehari ke sehari kita semakin meningkat dewasa. Fizikal kita turut berubah. Ketinggian kita juga hampir tinggi dengan ibu malah ada yang lebih tinggi dari ibu.

"Anak ibu sudah dewasa!"

Monday, March 26, 2007

indahnya...

Lelaki itu tercegat di hadapan pintu rumah pemimpin Islam, Umar al Khattab. Dari dalam rumah jelas didengarinya suara leteran isteri orang ternama itu. Yang anihnya suara Umar langsung tidak kedengaran.

“Sekiranya beginilah keadaannya ketika berhadapan dengan leteran isteri sedangkan di luar beliau dikenal sebagai seorang yang berani dan tegas, bagaimana pula saya?”

Dia melangkahkan kaki meninggalkan rumah Umar al Khattab yang dikenali juga dengan nama Umar al Faruq yang bermaksud orang yang dapat membezakan antara yang benar dengan yang salah.

Ketika itu Umar membuka pintu. Lantas segera beliau menyapa dan bertanya apakah tujuannya.

“Tujuan saya datang bagi mengadu perangai buruk isteri yang suka berleter. Tetapi apabila terdengar isteri tuan sedang berleter sedang tuan tidak berkata apa-apa, lalu bagaimana pula keadaan saya?”

“Saya bersabar mendengar leterannya kerana beliau ada hak ke atas saya,” Umar cuba menjelaskan keadaan. “Isteri saya memasak, mengadun roti, membasuh pakaian dan menyusukan anak sedang kebanyakkan yang dilakukannya itu tidak diwajibkan ke atasnya.”

Lelaki yang datang itu mengangguk kepalanya perlahan-lahan mendengar setiap apa yang dijelaskan.

“Isteriku juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan haram. Itulah sebabnya saya terus bersabar dengan leterannya.”

“Benar segala apa yang tuan katakan. Isteri saya juga melakukan semua itu.”

“Bersabarlah! Leteran mereka hanya sekejap sahaja.”

Lelaki itu pulang dengan wajah yang lebih tenang berbanding ketika dia melangkah ke rumah pemerintah Islam itu.

Friday, March 23, 2007

Permata hati ibu


Mengenang kembali saat bersama ibu memang indah. Terlalu banyak kenangan indah bersama ibu. Apabila tiba waktu melahirkan, dengan penuh jerit payah maka lahirlah kita ke dunia. Lahir sahaja kita ke dunia, ibulah yang paling bahagia menyambutnya.

Tidak kiralah kita ini lelaki maupun perempuan. Hitam atau putih, montel atau kurus kering, bermata bulat atau sepek, berhidung mancung atau pesek, semua itu tidak menjadi hal baginya. Ibu menerima kita seadanya.....dengan satu ciuman pembuka tirai kasih. Pada pandangan matanya, kita adalah anak yang paling cantik di dunia ini....kitalah permata hati ibu...

Seteguk susu ibu menghilangkan haus merasmikan bibir comel kita menyentuh makanan di dunia baru. Susu ibulah yang pertama masuk ke dalam rongga tekak kita. Bersama belaian kasih tangan lembut ibu mengusap penuh mesra di dalam dakapannya, kita menikmati makanan enak yang tiada tandingannya di dunia ini. Susu ibu. Betapa anugerah Allah berikan untuk kita nikmati bersama dakapan mesra ibu yang tiada tolok bandingnya. Inilah satu satunya santapan istimewa yang penuh mesra di dalam dakapan ibu.

Dari sehari ke sehari, umur kita bertambah. Dari usia sehari meningkat ke seminggu. Dari seminggu menjadi sebulan. Dari sebulan kita terus membesar sehingga berusia setahun. Kita semakin petah bercakap walaupun kadang kala pelat dan tersangkut sangkut sambil air liur menitis setiap kali mengeluarkan melepaskan kata kata.

He...he...he...Sungguh melucukan kita diusia itu. Pastinya kehadiran kita menjadi penyeri hidup ibu dan sumber inspirasinya.

Thursday, March 22, 2007

Hanzalah

Baju perang disarung
Sebilah pedang diselit
Jamilah memerhati tanpa bicara
Cita suami tak mungkin dihalang

Dakap peluk mengiringi
Bersama doa dan air mata
Melangkah Hanzalah tanpa menoleh
Melompat ke kuda mengejar pasukan

Cita syahid semarak membara
Menerjah musuh umpama
Singa buas kelaparan
Menyerang tanpa gusar
Bayangan syurga bermain di mata

Bergelimpangan gugur
Jasad berlumuran darah suci
Para syuhada tetamu Tuhan
Penghuni langit berpesta menyambut

Para malaikat berdatangan
Menatang bejana perak berisi
Air awan buat menyirami
Tetamu Allah bernama Hanzalah....

Wednesday, March 21, 2007

"Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?"

Luasnya alam langit dan bumi
Terlalu banyak untuk diungkapkan
Dari sekecil makhluk sehingga ke melangitnya luas
Pasti di situ terselit seribu rahasia

Tidak sesia merenung diri
Tatkala hidup diselaputi gelora
Bersama memohon kekuatan diri
Kepada Allah yang mengerti segala

Mengakui segala kealpaan
Meratapi setiap keterlanjuran
Mengharap belas rahmatMu
Ampunkan daku wahai Tuhanku

Tuesday, March 20, 2007



Seorang kekasih pilihan tuhan
(Ainul Mardiyah)


Menanti dia berulit rindu
Kepada kekasih pilihan tuhan
Masih di bumi menentang musuh
Sedang diri dalam berpuasa


Mata merenung penuh rindu
Bersiap diri di persada suci
Bersalut permata tiada tandingan
Bergemerlapan menyerlah sirna


Para dayang usik mengusik
Sebentar lagi tibalah masa
Satu pertemuan dirancang tuhan
Bertemu dengan kekasih pilihan


Tetakan musuh mengakhiri
Satu penantian penuh debaran
Tersungkur ke bumi bersimbah darah
Mengalir suci diserap bumi


Seribu senyum terukir indah
Walau bibir kering retakan
Dek puasa sepanjang hari
Menangislah semua yang ditinggalkan


Terbanglah rohnya bertemu kekasih
Bidadari syurga bermata jeli
Disambut dengan seribu kemuliaan
Seorang kekasih pilihan tuhan....

Pabila mata berkaca nafsu



Bumi tuhan diserang terus diserang
Bunyi legaran hele dan dentuman letupan bom
Berselang seli lepasan peluru tidak bermata
Menerobos ke segenap penjuru bumi tuhan

Menembusi dinding dan tembok batu
Menerjah ke dada dada insan tua dan muda
Menghancurkan segala yang dibina
Merosakkan segala yang dibangun
Egonya musuh bermaharajalela

Bertakhta di bumi ciptaan tuhan
Membunuh saudara sedarah sedaging
Umpama dialah yang kekal hidup dan menentukan
Segala hidup dan mati seseorang

Betapa angkuhnya mendabik dada
Hidupnya hanya mengejar dunia
Sehingga mata berkaca nafsu
Tarian syaitan penyeri wajah
Bangunlah wahai sanak saudara
Keluarga kita ditimpa bencana
Panjatkan doa setiap ketika
Biar tiada ruang musuh mengangkat muka

Dek kerana doa yang dipinta seluruh
Umat Islam di pelusuk dunia
Kerana sesungguhnya
Doa hamba yang teraniaya pasti dimakbul tuhan!

Tentera Nyamuk



“Jika tuhan kamu mempunyai malaikat, marilah bertempur dengan tentera saya dan ambillah kerajaan saya sekiranya tuhan kamu terdaya!” cabar Raja Namurd kepada Nabi Ibrahim.
Raja Namrud, raja kota Babylon amat berang apabila kesemua berhala yang menjadi sembahannya dimusnahkan oleh Nabi Ibrahim. Bertambah marah lagi apabila hukuman bakar yang dijatuhkan ke atas Nabi Ibrahim tidak memberi apa-apa kesan kepadanya.
Raja Namrud mempunyai tentera berkuda sebanyak tujuh ratus ribu orang yang lengkap bersenjata. Dia tersangat marah kepada Nabi Ibrahim kerana Nabi Ibrahim mengajaknya menyembah Allah dan meninggalkan amalan menyembah berhala yang tidak mampu melakukan apa-apa itu.
Nabi Ibrahim menadahkan tangannya ke langit dan berdoa, “Ya Allah, Raja Namrud mengistiharkan perang terhadapmu. Hantarlah nyamuk, selemah-lemah dari makhlukmu sebagai tentera.”
Raja Namrud mengerahkan tentera-tenteranya berkumpul di satu padang yang luas dan bersedia untuk berperang.
“Di mana tenteramu!” jerit Raja Namrud di tengah-tengah medan bersedia untuk bertempur.
Seketika itu keluarlah sekumpulan nyamuk dari lautan, memenuhi ruangan langit dan bumi. Ketua nyamuk bertanya kepada Allah, “Ya Allah, katakanlah apa tugas kami?”
“Hari ini Aku memberikan kamu rezeki dari tentera-tentera Namrud!”
Lalu Allah mengurniakan kekuatan kepada nyamuk-nyamuk yang berterbangan menghala ke padang di mana tentera Raja Namrud menunggu. Mereka menghisap darah semua tentera kecuali Raja Namrud.
“Tangguhkan serangan kepada Raja Namrud selama tiga hari. Biar dia melihat sendiri kehancuran tenteranya di serang oleh tenteraku!”
Tentera nyamuk menyerang dan menghisap darah tentera Raja Namrud tanpa belas. Mereka mematuhi perintah Allah memerangi orang-orang yang ingkar kepada perintah tuhan. Melihat kekalahan tenteranya, Raja Namrud melarikan diri dan pulang ke istananya.
Nabi Ibrahim yang menyaksikan peperangan di antara tentera Raja Namrud dengan tentera Allah yang hanya terdiri dari sekumpulan nyamuk, terpegun dan merasa takjub.
Kata Allah kepada Nabi Ibrahim, “Sekiranya kamu tidak memohon tentera nyamuk untuk memerangi Raja Namrud, pasti aku akan menghantarkan yang lebih halus dari nyamuk sehingga dikumpulkan seribu jumlah mereka pun tidak akan mencapai saiz seekor nyamuk. Mereka juga akan memusnahkan tentera itu!”
Tempoh tiga hari yang diberikan oleh Allah tidak dimanfaatkan untuk dia menginsafkan dirinya. Lalu Allah memerintah seekor nyamuk yang sedang berkeliling di sebatang pokok menyerang Raja Namrud. Terbanglah nyamuk itu masuk ke dalam istana dan mencari di mana Raja Namrud.
“Itu Raja Namrud!” kata nyamuk lalu terbang mendekatinya.
Ia masuk ke dalam lubang hidung Raja Namrud lalu terus masuk hingga ke kepala lalu memakan otaknya. Nyamuk itu berada di dalam kepala Raja Namrud selama empat puluh hari! Allah tidak menyiksa Raja Namrud dengan segera tetapi dengan perlahan-lahan kerana Allah yang Maha Pengasih masih memberi peluang kepadanya untuk insaf tetapi Raja Namrud terus angkuh sehingga dia mati...


Setetes kasih tumpah ke bumi
Ibarat mutiasa putih suci
Berpadulah kasih di dalam sepi
Di antara di kau dan ummi.
Talian kasih yang sungguh erat
Di dalam hati ia terpahat
Umpama plasenta dan tali pusat
Tak mungkin dipisah atau digugat.
Sembilan bulan sepuluh hari
Ummi membawamu ke sana ke mari
Penuh kepayahan hari ke hari
Namun redha sentiasa di hati
Kini…..
Lahirlah anak anak ummi bakal pewaris
Bakal menjunjung Al Quran dan Hadis
Ummi bekalkan ajaran nan tulus
Semoga dikau tidak rakus
Dalam mengejar panggilan Firdaus

Thursday, March 15, 2007


Sebuah kerinduan

sedingin angin malam
mencengkam ke tulang sum-sum
tika curahan air telaga
menyiram anggota wuduk

hamparan sejadah terbentang
menanti seorang hamba
bermunajat di sepertiga malam
melepas sebuah kerinduan

tika dengkuran panjang
bersama aluanan zikir
cengkerik unggas
seorang hamba sujud menyembah

mengadu segala desakan
merintih segala kealpaan
memohon suatu keampunan
mengharap sepenuh belas

air mata berguguran
bersama ratap adu
alpa leka dalam sedar
ampunkanlah segala dosa hambaMu

Monday, March 12, 2007




Lirik Dikir Barat : Tupai

(Oleh Halim Yazid)



Ado sekor anok tupa

Atah jula moktey

Kudung ekor perut lapa

Jaley cari makey (2x)

Kejadiey tuhey dipanggil namo tupa

Asalnyo daley hutey sejenih mamalia

Kalu pasa jjakit kuk dehey

Diolah yg paling panda

Jatuh jaghey2 keghano dio tok sobar

Panda2 tupa mlopat jatuh ttanoh jugok

Nok wi gamba oghe jahat jange terlajok manggok

Oghe Jamey ghitu ppakat hambat tupa

Bimbey ko woh kayu takut tokdey besaNyo

Duriey duku kalu deynyo keghik ttupa

Pendek tahun tu nyo duriey tokdey nok jual

Ore sekapug tupa seko

Berambat haghi2Nyo

Pakat likung ppakat pekungTupa tokleh laghi

Stakat bedil ado tupa habih mati

Hok ni lah sayo raso kito sgt rugi

Kito manusio tinggi mano pun kito ngaji

Nok wat tupa sekor tentu skali nyo tok jadi

Lloni kapung atau bbandarJaghey nok buleh tgk

Bapok tupa ibu tupa jjaley bowok anok

Raso ssiey sungguh tgk sekor anok tupa

Keghano terlajok kughuh sapa tokleh nok nniti pagar

Bulu2 pn habih lughuh, air mato bbegha2

Maghi daley baghuh bokali keno ghacun tebaka


Tuesday, March 06, 2007





Dikaulah kekasih dikaulah suami



Selebar hamparan ku bentang
Buat kekasih bernama suami
Bersama kita duduk bersimpuh
Merancang masa hadapan



Hamparan indah jalur-jalur
Warna pelangi beranika seri
Memantul cahaya menyebar salam
Kepada sesiapa yang menyapa



Bersatu kita membina kasih
Bergenggam tangan membina kekuatan
Dalam pelayaran di laut luas
Yang belum tampak tempat berlabuhnya



Jalur-jalur warna pelangi
Tidak kan hilang dari pandangan
Walau tanpa hujan panas
Kerana ia terpahat di mata hati



Dikaulah kekasih dikaulah suami
Bersama melangkah mengharung segala
Walau gelora menghempas ganas
Namun itulah pelayaran yang harus ditempuh