Wednesday, June 09, 2010

Siapa yang Sarah kejar?

“Saya menjualkan harta dan diri ke jalan Allah kemudian saya lemah? Tidak! Tidak sekali-kali tidak!” jeritan penuh semangat pemuda tampan itu membuat bulu roma Sarah meremang, air matanya mengalir deras. Dia tidak mahu apa-apa yang tidak diingini berlaku kepada pemuda tampan yang belum sempat lagi dia bertanya siapakah namanya.
Pemuda tampan itu berlalu pergi. Sarah mengejarnya dari belakang. Pemuda tampan itu melompat ke atas kudanya. Pemuda itu berusaha mengejar panglima tentera dan tentera-tentera lain yang mula bergerak ke medan perang. Sarah mula tidak keruan. Hatinya berdegup semakin kencang. Dia tidak boleh membiarkan pemuda tampan yang berjiwa besar itu berlalu pergi begitu sahaja. Mereka belum berkenalan. Dia perlu berlari sepantas mungkin bagi menyamakan langkah kaki kuda yang mula mengorak langkah. Dia tidak boleh biarkan semua ini berlalu begitu sahaja.
“Tunggu! Tunggu saya!” jeritan Sarah langsung tidak membuat pemuda tampan itu menoleh ke belakang. Sarah mula cemas. Dia tidak mahu kehilangan orang yang baharu dikenalinya itu. Dia mahu kenal lebih dekat lagi. Adakah suaranya belum cukup kuat sehingga lelaki itu tidak dengar? Sarah menarik nafas dalam-dalam dan mengumpul suara lalu menjerit sekuat hatinya.
“Tunggu saya!!!”
“Jangan tinggalkan saya!!!”
Sarah tidak terdaya lagi berlari. Dia tercelepok di tanah namun suaranya masih mampu menjerit. Dia mesti menarik perhatian pemuda itu supaya menoleh ke belakang.
“Jangan tinggalkan saya!!!”

p/s Sedikit sedutan daripada Sarah dan Duit Raya. Siapa pemuda hebat yang dikejar Sarah?

Friday, June 04, 2010

Lirik lagu

Cik Ez suka satu lirik lagu daripada Indonesia yang dijadikan lagu intro bagi sebuah drama bersiri Taubat (drama daripada Indonesia juga) yang disiarkan setiap hari jumaat pukul 3.30 petang di TV3. He he he adakah ini dikira satu promosi? Betulkah lirik ini atau ada apa-apa yang tertinggal?

'Ubat hati itu ada 5 perkara. Yang pertama, baca Quran dan maknanya. Yang kedua solat malam.... Yang ketiga berkumpullah dengan orang-orang soleh. Yang keempat berpuasa.... Yang kelima zikrullah yang berpanjangan....'

Lirik lagu ini begitu indah, mengajak manusia menyihatkan dan mengobati serta merawat hati yang selalu sahaja kita terlepas pandang. Biasanya kita lebih menitikberatkan soal fizikal dan jasmani kita sahaja. Kita pastikan penampilan kita bagus, badan kita sihat dan pantang rasa tidak sihat kita cepat-cepat jumpa doktor.

Mendekati bulan-bulan yang dirindui, mari kita sama-sama mengambil berat tentang hati kita, berikan haknya kerana hati yang baik akan menjadikan akhlak kita lebih terpuji.

Dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika ia baik maka baiklah seluruh anggota badannya. Sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh badannya. Seketul daging yang dimaksudkan itulah HATI. (HR Bukhari dan Muslim)

Thursday, June 03, 2010

Cuti Cuti Semester Satu!

Assalamualaikum semua!
Cuti datang lagi. Kali ini,dua minggu. Bagi adik-adik di beberapa buah negeri seperti Terengganu dan Kelantan mula bercuti pada hari Jumaat, lebih awal daripada beberapa buah negeri seperti di negeri Selangor dan Melaka. Apa pun jangan risau sebab, jumlah cuti sama sahaja.

Bagaimana dengan kerja sekolah? Cik EZ dengar ada yang cakap tidak banyak dan ada yang cakap menimbun. Itu medan perjuangan adik-adik sekarang. Cik Ez harap adik-adik banyakkan bersabar dan tingkatkan kerajinan. KEsimpulannya, mesti disiapkan semua itu, ya. Anda boleh! :)))

Tentu ramai yang merancang balik kampung, makan angin, bercuti ke mana-mana atau pun berada di rumah bersama seisi keluarga. Apa pun pengisiannya, kita tahu kita tidak melepaskan masa itu berlalu dengan sia-sia. Rugi, biarkan masa pergi begitu sahaja sedangkan kita semua tahu ia tidak akan kembali lagi. Tarikh, masa dan waktu yang berlalu itu menjadi kenangan yang tercatit dalam diari sahaja dan menjadi memoir dalam lipatan sejarah hidup kita.

Oh ya, jangan lupa dapatkan novel terbaru Cik Ez, Sarah dan Duit Raya atau Aminah Bunga Kaum Quraisy sebagai bahan bacaan musim cuti kali ini. Bagi yang sukar mendapatkan buku-buku ini boleh beli terus dari kami, emel ezeerahmani@yahoo.com