Thursday, May 02, 2013

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Maka sekiranya mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah (Muhammad), "Cukuplah Allah bagiku, tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arasy (singgahsana) yang agung."

(Terjemahan Surah At Taubah 9:129)

Kongsi Kenangan 5: Nombor Kad Pengenalan

Apabila terkenang betapa ayahanda dan bonda bersekang mata sepanjang malam sewaktu saya jatuh sakit, ia amat memilukan. Ayahanda bergegas membawa saya ke Unit Kecemasan Hospital sementara bonda di rumah menjaga adik-adik yang lain. Selepas beberapa jam mendapat rawatan, kami pulang ke rumah dalam keadaan letih dan mengantuk.Terlihat jam menunjukkan enam pagi, saya bergegas bersiap-siap bagi ke sekolah pula.

Selain mereka yang dimuliakan ini, seorang lagi yang sibuk mengurus saya tatkala jatuh sakit ialah kekanda saya. Beliau memainkan peranannya menghantar saya ke Unit Kecemasan, setiap kali pulang bercuti. Hubungan kami tetap rapat walau pun kekanda saya keluar rumah bagi melanjutkan pelajaran sejak berusia tiga belas tahun. Malah nombor kad pengenalan saya pun beliau dan ayahanda hafal dengan lancar sehingga ke hari ini. Ini kerana setiap kali ke Unit Kecemasan, perlu mendaftar nama pesakit.

Ada ketikanya kami berkumpul adik beradik dan mengenang-ngenang kisah lampau. Segalanya sungguh indah dan berusaha mengaplikasikan didikan ayahanda bonda kepada anak-anak kami pula. Semoga Allah permudahkan segala urusan baik kita semua.






Bercerita Sebelum Tidur: Bahasa Kasih Sayang

Walau pun tempoh bercerita sebelum tidur ini terlalu singkat, sekejap atau pendek sahaja namun ia sama-sama kita manfaatkan sebaiknya.

Semasa santai bercerita, inilah masanya para ibu bapa mempamerkan perasaan kasih sayang terhadap anak-anak. Tidak perlu mengulang-ulang perkataan sayang dan kasih acap kali tetapi terjemahkan erti kasih dan sayang itu melalui senyuman, sentuhan, pelukan dan tingkahlaku yang baik. Nada suara juga memainkan peranan dan turut menyumbang dalam mengukuhkan lagi terjemahan ini.