Tuesday, March 20, 2007

Tentera Nyamuk



“Jika tuhan kamu mempunyai malaikat, marilah bertempur dengan tentera saya dan ambillah kerajaan saya sekiranya tuhan kamu terdaya!” cabar Raja Namurd kepada Nabi Ibrahim.
Raja Namrud, raja kota Babylon amat berang apabila kesemua berhala yang menjadi sembahannya dimusnahkan oleh Nabi Ibrahim. Bertambah marah lagi apabila hukuman bakar yang dijatuhkan ke atas Nabi Ibrahim tidak memberi apa-apa kesan kepadanya.
Raja Namrud mempunyai tentera berkuda sebanyak tujuh ratus ribu orang yang lengkap bersenjata. Dia tersangat marah kepada Nabi Ibrahim kerana Nabi Ibrahim mengajaknya menyembah Allah dan meninggalkan amalan menyembah berhala yang tidak mampu melakukan apa-apa itu.
Nabi Ibrahim menadahkan tangannya ke langit dan berdoa, “Ya Allah, Raja Namrud mengistiharkan perang terhadapmu. Hantarlah nyamuk, selemah-lemah dari makhlukmu sebagai tentera.”
Raja Namrud mengerahkan tentera-tenteranya berkumpul di satu padang yang luas dan bersedia untuk berperang.
“Di mana tenteramu!” jerit Raja Namrud di tengah-tengah medan bersedia untuk bertempur.
Seketika itu keluarlah sekumpulan nyamuk dari lautan, memenuhi ruangan langit dan bumi. Ketua nyamuk bertanya kepada Allah, “Ya Allah, katakanlah apa tugas kami?”
“Hari ini Aku memberikan kamu rezeki dari tentera-tentera Namrud!”
Lalu Allah mengurniakan kekuatan kepada nyamuk-nyamuk yang berterbangan menghala ke padang di mana tentera Raja Namrud menunggu. Mereka menghisap darah semua tentera kecuali Raja Namrud.
“Tangguhkan serangan kepada Raja Namrud selama tiga hari. Biar dia melihat sendiri kehancuran tenteranya di serang oleh tenteraku!”
Tentera nyamuk menyerang dan menghisap darah tentera Raja Namrud tanpa belas. Mereka mematuhi perintah Allah memerangi orang-orang yang ingkar kepada perintah tuhan. Melihat kekalahan tenteranya, Raja Namrud melarikan diri dan pulang ke istananya.
Nabi Ibrahim yang menyaksikan peperangan di antara tentera Raja Namrud dengan tentera Allah yang hanya terdiri dari sekumpulan nyamuk, terpegun dan merasa takjub.
Kata Allah kepada Nabi Ibrahim, “Sekiranya kamu tidak memohon tentera nyamuk untuk memerangi Raja Namrud, pasti aku akan menghantarkan yang lebih halus dari nyamuk sehingga dikumpulkan seribu jumlah mereka pun tidak akan mencapai saiz seekor nyamuk. Mereka juga akan memusnahkan tentera itu!”
Tempoh tiga hari yang diberikan oleh Allah tidak dimanfaatkan untuk dia menginsafkan dirinya. Lalu Allah memerintah seekor nyamuk yang sedang berkeliling di sebatang pokok menyerang Raja Namrud. Terbanglah nyamuk itu masuk ke dalam istana dan mencari di mana Raja Namrud.
“Itu Raja Namrud!” kata nyamuk lalu terbang mendekatinya.
Ia masuk ke dalam lubang hidung Raja Namrud lalu terus masuk hingga ke kepala lalu memakan otaknya. Nyamuk itu berada di dalam kepala Raja Namrud selama empat puluh hari! Allah tidak menyiksa Raja Namrud dengan segera tetapi dengan perlahan-lahan kerana Allah yang Maha Pengasih masih memberi peluang kepadanya untuk insaf tetapi Raja Namrud terus angkuh sehingga dia mati...

No comments: