Friday, January 11, 2013

Bercerita sebelum tidur: Penyakit

 Semasa bercerita, anda juga dapat mengenalpasti perkembangan diri anak-anak. Bukan tahap IQnya sahaja tepi EQ juga. Perlu peka juga tentang tahap kesihatan mereka. Apabila melihat ada yang pelik, segera bawa bertemu doktor bagi pemeriksaan lanjut. Contoh kes, apabila setiap kali bercerita anak kelihatan duduk dengan tidak selesa. Sekejap senget ke kanan, sekejap senget ke kiri, sekejap berdiri, cara berjalan tidak betul, cepat lenguh dan sebagainya. Kemungkinan berkaitan dengan masalah tulang belakang atau lainnya. Buatlah pemeriksaan doktor. Sekiranya tiada apa-apa, alhamdulillah. Mungkin anak ini mahukan perhatian dari anda :)
Sumber gambar: Internet.Terima kasih.

Monday, January 07, 2013

Bercerita sebelum tidur: Aktiviti Luar Rumah

Bercerita sebelum tidur juga boleh membawa anda dan anak-anak kepada aktiviti luar rumah. Tidak bermakna ia terperangkap dalam skop yang terhad sahaja. Bawa anak-anak ke taman rama-rama, atau ke pantai atau taman permainan. Banyak yang boleh dijadikan bahan cerita sepanjang berada di situ. Perhati dan kumpulkan sebanyak mungkin. Jangan lupa ambil gambar.

Semasa bercerita, keluarkan semua perhatian, gambar dan bahan cerita yang dikumpulkan tadi. Perlu ingat, bercerita hanya baik-baik. Cerita yang tidak baik, jangan sekali-kali dibawa masuk ke dalam sesi ini.

Contoh, semasa rama-rama hinggap di hidung adik, anda dan yang lain mengucapkan salam kepada rama-rama...puji bagaimana adik tenang membiarkan sahaja rama-rama bertenggek di hidungnya. Puji abang memimpin adik melintasi titian semasa menjejak rama-rama...cari kebaikan yang mereka lakukan sepanjang berada di sana dan puji kebaikan yang mereka lakukan. Sekali pun ada kekasaran yang dilakukan oleh anak-anak, jangan sebut. Nyatakan, "Ibu suka dengar suara ketawa kamu. Ibu suka lihat kamu hulurkan tangan dan bantu semasa adik terjatuh dan semasa kamu sapukan seluarnya yang berdebu, ibu rasa sungguh bangga!"

Luahkan dengan gaya dan penuh emosi positif. Seperti anda bercerita suatu kisah, begitu anda beraksi bercerita kisah di taman rama-rama. Atau di tepi pantai atau di mana-mana sahaja. Perhatikan bagaimana respon anak-anak. Anda sendiri dapat melihat betapa lebar senyuman mereka. Betapa berbunganya hati mereka sehingga merah padam dipuji begitu. Ini akan mendorong mereka melakukan lebih banyak kebaikan dalam hidup walau di mana sahaja berada.


Gambar-gambar itu buat koleksi. Jadikan aktiviti tambahan- Buku Skrap: Lawatan ke Taman Rama-rama. Setiap lawatan dibukukan dalam Buku Skrap yang berlainan. Jadikan ia koleksi kenang-kenangan keluarga anda.(contoh lain: Buku Skrap: Lawatan ke Taman Burung, Buku Skrap: Balik kampung, dan banyak lagi yang anda boleh buat). Kemudian susun di rak.
Sumber gambar: internet. Terima kasih.





Wednesday, January 02, 2013

Pabila atuk bercerita :)






Sebenarnya ini promosi kerusi. Pabila atuk duduk di tengah, cucu-cucu mengelilingi sambil tersenyum lebar mendengar atuk bercerita dan melihat gambar di buku itu....ia sungguh indah. Sempurnalah rekaan kerusi itu apabila dimanfaatkan kepada yang benar. Tahniah kepada pereka kreatif ini.

Sumber gambar: Internet. Terima kasih.

Tuesday, January 01, 2013

Bercerita Sebelum Tidur: Redha Allah

Harus diingat bahawa matlamat jangka panjang kita ialah sama-sama mendapat redha Allah. Mendapat redha Allah bermakna mendapat syurga. Lakukan yang terbaik kerana Allah akan tanya, apa yang kamu usahakan. Bukan Allah tanya apa kejayaan kamu.

Jangan sekali-kali pernah ada rasa letih dan penat melakukan rutin ini. Renung wajah anak-anak dengan penuh kasih sayang. Semakin mereka meningkat dewasa, tentu sahaja bahan cerita turut berubah. Pun begitu, objektifnya tetap sama. Memupuk akhlak mulia. Semua itu bermula dari dalam. Impaknya adakalanya serta merta. Ada pula yang memakan masa yang lama bagi menghadamkannya. Semua ini bergantung kepada hidayah Allah Taala.

Hidayah itu urusan Allah. Pun begitu, kita terus panjatkan doa, mohon Allah beri petunjuk. Ini mendidik kita sebagai ibu bapa bersikap sabar. Situasi menang menang ini memang hebat. Ia serampang dua mata.

Terus berkawan dengan anak-anak di kala usia mereka meningkat. Libatkan mereka dengan aktiviti kekeluargaan yang lebih luas, melibatkan diri dalam masyarakat dan sama-sama berseronok.




Monday, December 31, 2012

Bercerita sebelum tidur: Menyampuk

Bercerita secara santai dan dua hala. Bukan anda sendirian bercerita atau membacakan buku cerita. Libatkan anak-anak. Biarkan mereka memberi komen. Lebarkan senyuman dan puji setiap pandangan dan komen mereka. Ibu bapa perlu ingat bahawa di antara tujuan utama bercerita ialah memperelokkan akhlak anak-anak.

Secara langsung atau tidak langsung, kita juga mempamerkan contoh akhlak kepada mereka. Jaga mimik muka dan raikan setiap apa yang mereka suarakan sekali pun apa yang mereka cakapkan itu langsung tidak ada kena mengena dengan apa yang kita sedang ceritakan.

Perlu ingat juga bahawa tahap kematangan anak-anak berbeza walau pun sama usia. Raikan anak mengikut tahap mereka. Ringankan tangan membelai mereka. Waktu bercerita ini manfaatkan sepenuhnya bagi membina hubungan yang serapat-rapatnya dengan anak-anak. Inilah masanya.

Biarkan suara anda diselang seli dengan suara sampukan mereka. Jangan terlalu bertegas dan tarik muka kerana selalu diganggu sewaktu bercerita. Secara sedar atau tidak sesi ini turut mendidik kita bersabar. Hadapi situasi menang-menang ini dengan bijaksana.

Sumber gambar dari internet. Terima kasih.





Friday, December 28, 2012

Soalan: Kisah silam

Ada yang bertanya, bagaimana mahu menghilangkan rasa bersalah kerana mengabaikan anak-anak sehingga mereka membesar tanpa pernah melalui saat bercerita sebelum tidur sama sekali.

Kita menoleh kisah silam yang suram hanya sebagai sempadan hidup. Selebihnya kita melihat masa kini dan masa hadapan. Usah terpedaya dengan bisikan rasa bersalah lalu terus meratap, termenung di sana sini dan bermurung, meratap sepanjang waktu. Kerana itu ialah gangguan yang merosakkan diri.

Sedangkan sedar dari kesilapan itu tanda kasih sayang Allah. Berterima kasih kepada Allah kerana Dia masih memandang kita sebagai hamba-Nya. Berbaik sangka dengan Allah dan mohon ampun kepada-Nya. Bangun di sepertiga malam dan curahkan rasa hina diri kepada-Nya. Jangan sekali-kali bersikap sebaliknya. Jangan.

Pandang anak dengan pandangan jernih. Cari ruang dan peluang dan berkongsi cerita-cerita yang sesuai dengan usia anak ketika ini. Memadai luangkan lima atau sepuluh minit sambil duduk-duduk di ruang tamu atau semasa makan bersama. Kongsikan kisah lucu bagi merapatkan hubungan. Kreatifkan diri anda dan lakukan yang terbaik. Di masa yang sama, terus memohon pertolongan Allah. Insya Allah, Dia akan tunjukkan jalan.



Aku menurut dugaan hamba-Ku kepada diri-Ku. Aku bersamanya ketika dia berzikir mengingati-Ku.......Apabila dia mendekat kepada-Ku  sehasta, Aku mendekatinya sedepa. Apabila dia berjalan kepada-Ku, Aku berlari kepada-Nya!
(Direkodkan oleh Tirmizi, An Nasai dan Ahmad)
p/s: Saya ambil sebahagian daripadanya sahaja.
       Sumber gambar dari internet. Terima kasih.


Thursday, December 27, 2012

Kongsi Kenangan 3

Walau pun saya tidak berhasrat berkongsi kenangan lebih panjang, namun sesekali saya akan selitkan slot ini sebagai renungan kita bersama. Sekadar mengimbas bagaimana orang-orang dahulu membina hubungan dengan anak-anak. Walau pun zaman sudah berubah namun perjalanan kita tetap sama.

Jika dibandingkan peluang mengaut ilmu di zaman informasi di hujung jari kini, kita lebih berpeluang tetapi kebanyakkan kita diuji pula dengan kekangan masa. Begitulah zaman beredar dengan cabaran yang berbagai-bagai. Pun begitu sumber kekuatan utama kita tetap satu iaitu sama-sama kita kembali kepada Al Qur'an dan Al Hadis. Dua sumber ini menjadi rujukan sepanjang zaman. Berbekalkan ini, kita terus melangkah dan meniti hari-hari bersama tanggongjawab yang diamanahkan. 

Di samping itu kita juga dibekalkan dengan banyak kisah teladan sepanjang zaman. Banyak kisah yang disampaikan oleh Jibril as kepada Nabi Muhammad SAW. Banyak juga kisah yang berlaku di kalangan sahabat, tabiin dan seterusnya yang direkodkan untuk generasi akan datang. Semua itu merupakan sumber-sumber kekuatan dan rujukan sepanjang zaman. Selain itu ialah pengukuhan.

 Inilah yang ingin kita perpanjangkan kepada anak-anak, pewaris kepada perjuangan seterusnya. Tidak dinafikan di masa yang sama kita juga perlu terus menyibukkan diri dengan amal baik sehingga waktunya kita dipanggil pulang ke negeri abadi.

 Barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya. Surah Al Kahfi: 110

Bercerita sebelum tidur: Anak atau cucu

Sepanjang perkongsian bercerita sebelum tidur, saya memfokuskan tukang ceritanya ialah ibu bapa. Pendengarnya pula ialah anak-anak. Pun begitu, ia tidak terhad dalam lingkungan ibu bapa dan anak sahaja.

Bagi pengunjung yang bergelar nenek dan datuk juga boleh mengaplikasikan kaedah ini. Bercerita sebelum tidur dengan cucu-cucu. Bagus sekiranya datuk dan nenek turut menyumbang slot ini. Sekali seminggu bercerita di hadapan cucu-cucu sekiranya tinggal berdekatan dengan mereka. Bagi datuk dan nenek yang tinggal berjauhan dengan cucu-cucu, kalian boleh manfaatkan setiap kali bertemu. Saya yakin mereka akan merindui saat indah ini.

Seperkara lagi, bercerita sebelum tidur ini hanyalah satu sesi yang tidak terikat dengan waktu dan masa sepertimana judulnya. Tidak bermakna waktu selepas bersarapan tidak boleh bercerita, bukan bermaksud bercerita di waktu senja tidak sesuai. Berceritalah di waktu mana yang kalian rasakan bagus dan pendengar berasa selesa.

Atau mungkin kita perlu ubah judul 'bercerita sebelum tidur'. Sekiranya ya, apakah pula pilihannya? Mungkin kita boleh fikirkannya bersama-sama. :)

Sunday, December 16, 2012

Kongsi Kenangan 2

Buku cerita di rumah saya ketika itu kebanyakkan dalam tulisan jawi. Jawi klasik. Saya belum bersekolah dan belum pandai membaca. Pun begitu, saya tahu, ayahanda kongsikan cerita dari buku-buku itu walau pun semasa bercerita, langsung tidak ada buku bersamanya.

Ayahanda duduk di kerusi rotan dan kami bersila di hadapannya. Bonda turut sama mendengar. Sepanjang mendengar cerita, biasanya mulut kami melopong ternganga, asyik mendengar cerita. Sesekali ditepuk bahu tertelan air liur kerana tersentak. Lebih-lebih apabila tiba babak cemas atau menakutkan. Gelak tawa usah dicerita lagi. Kami ketawa sampai mengalir air mata. Ayahanda memang pandai bercerita. Seni bercerita yang diaplikasikannya masih saya ingat sehingga kini.

Saya amat bersyukur ditakdirkan mendapat orang tua yang begitu menitikberat soal ilmu dan pendidikan. Mereka telah melakukan yang terbaik untuk kami, anak-anak mereka. Mengajar kami mengaji, mengenal Allah dan bercerita kisah-kisah yang bermoral tinggi. Saya yakin semua itu memberi kesan kepada perjalanan hidup kami hingga ke hari ini.

Ya Allah! Ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka sebagaimana mengasihaniku sejak kecil.

Friday, December 14, 2012

Bercerita sebelum tidur: Seni Bercerita

Sepanjang bercerita, berbagai emosi diterjemahkan oleh tukang cerita. Nada suara dan mimik muka, sekali gus melibatkan mata dan mulut. Kesemuanya amat memainkan peranan bagi menghidupkan sesebuah penceritaan. Ada ketikanya lenggok badan termasuk tangan pun terlibat dalam bercerita. Itulah seni bercerita.

Seorang penyanyi akan menyanyi dengan penuh perasaan. Penyanyi yang bagus, mampu menyampaikan bait-bait nyanyiannya sehingga terkesan kepada audien. Lagu sedih mampu sahaja membuat air mata mengalir. Lagu lucu pula mampu membuat kita ketawa.

Begitu juga dengan bercerita. Ada seninya. Apabila cerita gembira, bacalah dengan nada suara yang penuh keterujaan sehingga anak-anak yang mendengar, merasai kegembiraannya. Apabila ada cerita lucu, anak-anak turut bergelak tawa mendengar apa yang kita ceritakan. Begitulah seterusnya.

Sekiranya itu tidak berlaku, ibu bapa jangan sekali-kali berputus asa. Cari di mana kekurangan dan perbaiki kelemahannya. Setiap apa pun pekerjaan bermula dari tidak tahu. Jangan panik tentang itu.

Ingat ya, jangan bercerita seperti seorang pembaca berita di televisyen :)

Kongsi Kenangan 1


Setiap kali membuat perkongsian tentang Bercerita Sebelum Tidur, ia mengingatkan saya kepada Al Marhum ayahanda dan bonda. Daripada mereka saya mengenal apa itu bercerita sebelum tidur.

Al Fatihah....

Waktu itu saya masih belum bersekolah. Di usia sekitar lima atau enam tahun. Kami adik beradik berkumpul selepas solat maghrib kemudian mengaji. Di tangan ayahanda ada rotan tetapi seingat saya, saya tidak pernah dirotan. Sementara itu, bonda menyiapkan makan malam. Selepas makan malam dan solat isyak, sesi bercerita pula bermula. Kami menunggu-nunggu saat ini kerana seronok mendengar cerita. Ayahanda memang pandai bercerita.

Hampir setiap malam kami mengaji dan mendengar cerita. Waktu itu sesi mendengar cerita lebih mengujakan berbanding mengaji. Bijaknya ayahanda, beliau memulakan mengaji terlebih dahulu. Selepas itu baharulah bercerita. Sekiranya bercerita terlebih dahulu, saya yakin sesi mengaji tidak akan berjalan lancar. Silap haribulan kami mengaji dalam mimpi.

Adakalanya, kami tertidur sebelum habis cerita. Maklum, di usia kanak-kanak amat padat jadual 'out door'.


Wednesday, December 12, 2012

Bercerita sebelum tidur: Edustory

Bercerita sebelum tidur ialah satu suasana pembelajaran secara santai lagi harmoni sehingga anak-anak tidak terasa mereka sedang belajar sesuatu sebenarnya. Ini kerana kebijaksanaan ibu/bapa dalam mencipta suasana persekitaran semasa sesi itu berlangsung.

Sepanjang bercerita, membelek sehelai demi sehelai muka surat dan bercerita melalui ilustrasi yang dipaparkan, tunjuk setiap sudut gambar di sana, di sini, bersama-sama, menambah lagi keberkesanan bercerita. 

Dalam suasana santai dan tidak formal, anak-anak sedang belajar sesuatu. Sesuatu tentang kehidupan. Ibu/bapa disaran, mengaitkan cerita-cerita yang dibaca dengan kehidupan harian mereka. Supaya mereka lebih jelas erti kehidupan. Itulah juga objektif kita bercerita. Bukan sekadar mereka berseronok mendengar cerita tetapi mengaplikasikan cerita itu ke dalam kehidupan.

Inilah yang disebut Edustory.

Thursday, December 06, 2012

Bercerita sebelum tidur: Sejak dalam kandungan

Sambungan dari soalan 1 tempoh hari.

Sedar atau tidak, sejak dalam kandungan lagi bayi sudah mula mendengar. Sebab itulah sepanjang tempoh mengandung, ibu-ibu sering diingatkan supaya bercakap hanya yang baik-baik, berakhlak yang baik. Pendekata, semuanya mesti baik-baik supaya hanya yang baik-baik sahaja didengari oleh bayi dalam kandungan.

Dalam tempoh ini bacaan Al Quran mula diperdengarkan. Dalam satu kajian, bayi menjadi tenang apabila mendengarnya. Perdengarkan sekerap yang boleh. Di samping itu, ibu-ibu boleh bacakan buku cerita kepada bayi. Contohnya, kisah Nabi. Baca dengan jelas. Tidak perlu baca kuat seolah-olah anda berada dalam satu kelas atau di kelilingi ramai budak. Memadai membacanya dengan santai sambil tangan mengusap perut. Lakukan dengan penuh kasih sayang.

Insya Allah dengan usaha ini, kita berdoa semoga anak kita menjadi anak soleh/solehah. Amiin.




Janin sujud ketika diperdengarkan bacaan ayat-ayat Al Quran. Allahu Akbar!
Sumber gambar: Petikan dari google. Terima kasih

Monday, December 03, 2012

Bercerita Sebelum Tidur: Bercerita kepada bayi

Soalan 1: Seorang ibu muda baharu melahirkan bayi pertama. Usia bayi beliau 38 hari. Soalannya, bolehkah bercerita di usia awal begini?

Ayat pertama diturunkan ialah 'iqra' (boleh rujuk Surah Al Alaq ayat 1-5). Iqra' bermaksud 'bacalah'.

Usia 38 hari memangnya bayi belum boleh membaca. Tetapi sesi bercerita sudah boleh dimulai. Biasanya di usia ini bayi sudah pandai memberi lebih banyak respon selain menangis mahu susu atau badan tidak selesa. Di usia ini juga biasanya bayi sudah mahu ada orang di sebelahnya. Sekirnya ditinggalkan, adakalanya dia menangis. Itu tandanya bayi mahu berbual-bual atau bercerita. Jadi, para ibu/bapa sekalian, berceritalah kepada bayi anda di saat dia menginginkannya. Atau pun, sesiapa sahaja boleh bercerita samada nenek, datuk, abang atau  kakak bayi itu.

Apa yang mahu diceritakan kepada bayi seusia itu?
Selain diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al Quran, bercerita kisah nabi-nabi tidak kurang pentingnya. Anda boleh mulai dengan kisah Nabi Muhammad SAW. Pilih buku terbaik dan terlebih dahulu membacanya sebelum mula bercerita kepada bayi.

Ketika bercerita, boleh rujuk kepada buku itu tetapi tidak usahlah membaca seperti pembaca berita pula. Anda tidak perlu terikat dengan teks buku cerita itu malah boleh gunakan ayat sendiri. Gunakan intonasi suara yang sesuai mengikut perjalanan cerita. Santaikan lenggok suara anda sehingga bayi anda terdiam kerana asyik menikmati cerita dan sesekali mengeluarkan suara seolah-olah memberi respon. Memang benar bayi belum faham apa yang anda ceritakan tetapi semuanya itu akan tersimpan dalam peti memorinya sehingga ke satu usia kelak.

Kaedah ini sudah pernah digunakan terutama di pusat-pusat asuhan dan ternyata sesi ini amat menggembirakan kedua-dua belah pihak. Anda dan bayi.







Saturday, December 01, 2012

Bercerita sebelum tidur: Soalan terkumpul

Bercerita sebelum tidur: Soalan terkumpul

Ada beberapa soalan yang dikemukan dan boleh dikongsikan bersama pengunjung blog. Saya akan cuba menjawab satu per satu, insya Allah.

Hujung minggu di musim cuti persekolahan begini, tentu banyak yang boleh dikongsikan, bukan?

Thursday, November 29, 2012

Bercerita sebelum tidur: Sikap Peduli Ummah

Bercerita sebelum tidur: Sikap Peduli Ummah.

Kita sedia maklum pergolakan yang berlaku hari ini. Ia bukan satu isu yang bermusim sebenarnya. Kezaliman dan penindasan yang berlaku di kalangan ummat Islam di merata dunia terutamanya di Palestin, Syria dan Kembojaatau di mana sahaja.

Bagaimanakah situasi mereka terutamanya kanak-kanak sebaya anak-anak kita? Kongsikan kisah ini kepada anak-anak. Ibu bapa boleh 'download' gambar-gambar dari internet dan tunjukkan kepada anak-anak semasa sesi bercerita. Gambar-gambar memainkan peranan penting supaya penceritaan lebih terkesan dan melekat di hati. Gambar anak-anak di sisi ibu yang terbaring kaku, gambar anak-anak di hospital dan seumpamanya. Jelaskan ini bukan cerita rekaan tetapi hakikat dan realiti yang berlaku hari ini bahawa umat Islam di luar sana, ditindas. Tanamkan rasa kasih dan cinta sesama saudara Islam, rasa peduli mahu membantu menghulur bantuan.

Boleh tanya anak-anak, apa bantuan yang mampu kita berikan? Ajak anak-anak berfikir secara santai ala teka-teki dan berikan jawapannya. Tidak perlulah tunggu sehingga mereka memerah otak mencari jawapan. Jawapannya ialah 'doa'. Doa ialah senjata paling hebat. Ia hanya milik orang-orang Islam. Ajar anak-anak berdoa untuk saudara-saudara di sana.

Selain itu, boleh buat tabung dan lakukan bersama-sama. Biar mereka masukkan setiap hari sebahagian duit belanja atau lakukan di hadapan mereka. Mereka perlukan contoh. Ibu bapa boleh tambahkan lagi sehingga ke satu jumlah mengikut kemampuan anda dan hantarkan tabungan itu ke mana-mana NGO yang terlibat secara langsung membela Palestin, contohnya. Jangan lupa bawa anak-anak sekali. Mereka perlu melihat bagi merasai peduli.



Sumber gambar dari 'Muka Buku'

Tuesday, November 20, 2012

Bercerita sebelum tidur: Tukar Topi

Sepanjang bercerita, ibu atau bapa jangan terlalu protokol. Membuat syarat, mesti itu, mesti ini. Jangan begitu. Lupakan seketika yang anda ialah seorang ibu dan ayah. Bahasa mudahnya, tukar topi anda. Cuba letakkan diri di kalangan anak-anak. Bercerita sambil beraksi watak-watak dengan penuh semangat. Watak lucu, lucukan betul-betul. Dengan mimik muka, nada suara dan gaya badan. Suasana bercerita menjadi satu medan mengenali anak secara menyeluruh.

Sesi bercerita selama lebih kurang 10-15 minit itu tentu terasa begitu singkat dan terlalu cepat berlalu. Inilah yang selalu dikatakan masa mencemburui kita. Walhal tidak begitu. Masa berdetik tanpa cuai. Sebenarnya ini bermakna, anda telah memanfaatkan waktu dengan sebaiknya. Berkualiti, ada nilai.

Anda, ibu/bapa hebat!


Friday, November 16, 2012

Bercerita sebelum tidur: Mood tukang cerita

Sebelum memulakan cerita sebelum tidur kepada anak-anak, ibu bapa sebagai tukang cerita perlu pastikan mood mereka dalam situasi positif. Dengan kata lain, anda ceria, gembira dan mudah mengukir senyum. Gelagat dan telatah anak-anak yang bersiap sedia berebut-rebut tempat duduk sebelum memulakan cerita mampu membuat anda ketawa. Bukan sebaliknya.

SEkiranya mood masih belum stabil, beristigfar berulangkali. Sekiranya masih belum stabil, berwuduklah walau pun wuduk anda masih belum batal. Lagi pun memperbaharui wuduk banyak manfaatnya. InsyaAllah anda akan kembali segar.

Manusia itu lemah dan mudah alpa. Dalam apa situasi sekali pun kita sentiasa mengharapkan pertolongan Allah Taala. Berhati-hati dalam menangani mood anda. Jangan sampai anak-anak perasan. Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan perlahan-lahan.

Selepas itu, lebarkan senyum anda dan mula bercerita :)

Thursday, November 15, 2012

Bercerita Sebelum Tidur: Dua Rujukan Utama



Dalam mendidik anak-anak, dua sumber rujukan utama ialah Al Quran dan Hadis Nabi SAW. Walau pun penekanan di laman ini kepada bercerita sebelum tidur, tidak bermakna dua perkara utama ini dipinggir atau diketepikan. Bukan begitu. Ini kerana kemahiran kami ialah di bidang penulisan buku kanak-kanak dan remaja. Maka perkongsian adalah lebih menjurus kepadanya.

Wednesday, November 14, 2012

Bercerita sebelum tidur: Hijrah

Banyak buku yang boleh dirujuk berkaitan tahun Hijrah ini. Kisah penghijrahan Nabi Muhammad SAW bersama sahabat karib baginda Abu Bakar As Siddiq, dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Kisah bagaimana perjalanan mereka yang diburu oleh orang-orang kafir Quraisy. Atau kisah burung merpati dan labah-labah membuat sarang di pintu gua ketika mereka berdua bersembunyi selama tiga hari.

Selain mengenali siapa Nabi kita, siapa sahabat-sahabat Nabi, anak-anak juga didedahkan dengan peristiwa besar dalam sejarah Islam yang berlaku lebih seribu empat ratus tahun yang lalu.


Monday, November 12, 2012

Bercerita Sebelum Tidur: Cuti

Sempena cuti panjang di penghujung tahun ini, biasanya ibu bapa sudah merancang sejak awal lagi, pengisiannya. Mahu ke mana musim cuti kali ini?

Pun begitu, jangan lupa bekalkan kitab Al Quran masing-masing dan buku-buku cerita bagi tatapan atau bacaan mereka sepanjang perjalanan atau mengisi waktu percutian kelak. Sesi bercerita sebelum tidur menjadi lebih meriah lagi apabila anak-anak berkumpul bersama sepupu-sepupu yang sebaya usia mereka.

Mungkin ibu bapa boleh mengambil kesempatan ini bagi bercerita. Ia juga satu latihan kepada jumlah pendengar yang lebih ramai dan tidak terhad kepada anak-anak sendiri sahaja. Membina skil bercerita di khalayak yang lebih mencabar ini adalah satu pengalaman yang sangat mahal. Impaknya anda akan lihat sendiri.

Emel saya

Maklumat kepada pengunjung laman bicaraku-ez yang dimuliakan, emel ezee_rahmani@yahoo.com sudah lama tidak dapat diaktifkan semula. Anda boleh mengemel saya dengan alamat ini;
                                                 ezeerahmani@yahoo.com

Friday, November 09, 2012

Bercerita sebelum tidur: Puji anak

Setiap kali anak-anak memberi respon kepada apa yang diceritakan, jangan lupa memuji-muji mereka. Ucapkan kata-kata yang membuat mereka menjadi lebih seronok menumpukan perhatian kepada cerita. Biasanya anak-anak suka mengulang-ulang apa yang ibu bapa sebut.

Ada ketikanya mereka cuba meneka apa yang akan terjadi selepas itu. Puji keberanian mereka. Puji kreativiti mereka meneka walau pun ianya salah atau tidak tepat. Abaikan yang salah dan raikan tindakan mereka walau pun ianya hanya perkara remeh-temeh. Dengan cara ini sesi bercerita menjadi saat yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak.

Thursday, November 08, 2012

Bercerita sebelum tidur: Bersantai dan sebarkan rasa bahagia


Penerapan nilai-nilai murni ke dalam diri anak-anak melalui bercerita berlaku secara tidak langsung. Ia bukan satu proses seumpama pembelajaran di sekolah kerana sesi bercerita sebelum tidur dilakukan dalam suasana santai.

Tidak ada peraturan, anak-anak mesti duduk bersila dan sekian-sekian peraturan sehingga cara duduk anak-anak menjadi tegap tanpa bergerak. Tidak begitu.

Bersantai semasa bercerita. Bermakna anak-anak bebas dengan gaya mereka. Beri sedikit kelonggaran selagi terjaga adab dan susila. Lihat wajah anak-anak sebelum bercerita. Adakah mereka teruja? Adakah mereka tidak sabar-sabar hendak tahu apa cerita malam ini? Semua itu menggambarkan kegembiraan anak-anak terhadap sesi ini.

Sekiranya berlaku sebaliknya, usah risau. Kenalpasti cerita apa yang amat disukai oleh anak-anak. Layan kehendak mereka. Tidak ada salahnya selagi cerita itu baik penceritaannya dan bagus pengajarannya.

Monday, November 05, 2012

Bercerita sebelum tidur: Senyum dan rasai nikmatnya

Anda boleh tersenyum lebar melihat anak-anak lena selepas bercerita sebelum tidur kepada mereka. Amati wajah-wajah ahli syurga ini. Impaknya, hati kita turut terasa aman dan tenteram serta lebih bersemangat dalam meneruskan amal. Mudah-mudahan Allah memberkati usaha kita yang secebis ini.

Monday, October 29, 2012

Bercerita sebelum tidur: Memanfaat malam minggu

Ramai ibu/bapa muda mengeluh disebabkan tidak dapat memenuhi sesi bercerita sebelum tidur. Terutama bagi ibu/bapa yang bekerja di ibu kota. Kita juga sedia maklum betapa tempoh mereka keluar rumah seawal pagi dan tiba di rumah tika matahari juga sudah terbenam. Pulang mereka dengan segala kelelahan yang hampir total. Hanya saki-baki tenaga sahaja yang masih ada bagi mengurus kebajikan anak-anak sehingga mereka masuk tidur. Mahu bercerita dalam situasi begitu? Tentu sekali mereka tidak bersedia memenuhinya.

Ibu/bapa muda yang dihormati lagi dimuliakan. Perjalanan hidup moden hari ini segalanya mahu cepat dan pantas. Sehingga adakalanya kita tercungap-cungap kerana mahu memenuhi semua kehendak. Di masa yang sama tentu ibu/bapa muda terfikir tentang famili tercinta, bagaimana mahu lebih mengharmonikan lagi agar rumahku syurgaku lebih dirasai. Tidak dinafikan itu.

Sesi bercerita ini salah satu cara merapat hubungan dengan anak-anak di samping mendidik secara santai. Berkat didikan ini anak-anak lahir sebagai anak soleh/solehah, dengan izin-Nya jua. Ini ikhtiar kita. Natijahnya itu hanya milik Allah. Yang akan ditanya kelak apakah kamu telah lakukan yang terbaik untuk mereka bukan adakah kamu berjaya mendidik mereka.

Dalam situasi begini, malam minggu adalah sebaik-baik malam berkumpul. Seminggu sekali memadai. Abaikan menonton television dan tumpukan kepada bercerita. Ibu/bapa memanfaatkan sepenuhnya waktu dan masa yang ada. Mainkan peranan sehebat mungkin sehingga anak-anak terhibur dan mampu tersenyum dalam tidur.

Ya. Anda mampu merealisasikannya!

Thursday, October 25, 2012

Bercerita sebelum tidur: Menghayati erti Edul Adha. Cerita yang sesuai pada masanya

Bertepatan kedatangan Edul Adha ini, bagus sekiranya ibu bapa dapat bercerita kisah-kisah berkaitan pengorbanan Nabi Ibrahim sekeluarga. Ibu bapa boleh fokuskan cerita kepada Nabi Ismail. Nabi Ismail sebagai seorang anak yang patuh dan taat kepada Allah dan kedua orang tuanya.

Boleh rujuk di mana-mana buku berkaitan. Di buku Travelog Hajah: Kembara Tetamu Allah juga ada diceritakan serba ringkas tentang keluarga mulia ini. Anda boleh kembang dengan kreatif supaya anak-anak seronok dan dapat mengambil pengajaran daripadanya.

Mudah-mudahan Allah melapangkan hati-hati kita yang ikhlas berusaha menjalankan tanggongjawab kerana-Nya. Amiin...

Wednesday, October 24, 2012

Tip Penulisan: Menterjemah cerita rekaan anda menjadi buku/ebuku


Langkah 1: Selesai bercerita dan anak-anak siap diuruskan, segera ambil buku nota dan catitkan isi-isi penting cerita tadi.
Langkah 2: Buku nota itu ialah dikhaskan bagi mencatatkan cerita rekaan anda. Tulis secara ringkas sahaja.

Monday, October 22, 2012

Jika kamu mahu berjaya didunia, hendaklah dengan ilmu..
Jika kamu mahu berjaya di akhirat, hendaklah dengan ilmu
dan jika kamu mahu berjaya di kedua-duanya, juga hendaklah dengan ilmu
(Imam Shafie)

Sunday, October 21, 2012

Bersama Wanita Ikram DHL

Perkongsian ilmu penulisan bersama Wanita Ikram Daerah Hulu Langat di Bandar Baru Bangi. Alhamdulillah, bengkel setengah hari itu dihadiri oleh berbagai peringkat usia dan profesi.
Lebih lanjut boleh baca di http://ikramhululangat.blogspot.com/




 Sumber photo: http://ikramhululangat.blogspot.com/

Thursday, October 11, 2012

Bercerita sebelum tidur: Tip memilih buku cerita

Bagi ibu bapa yang mahu memulakan sesi bercerita sebelum tidur bersama anak-anak. Ini ada beberapa tip:

1.   Pilih buku cerita bergambar yang paling menarik mesej moral, gaya bahasa dan ilustrasi.

2.   Buku yang tidak perlu tebal.

3.   Baca terlebih dahulu adalah sebaik-baiknya sebelum dibacakan kepada anak-anak.





Bercerita sebelum tidur: Menstabilkan emosi anak-anak

Di antara impak yang dapat dilihat dari sesi Bercerita sebelum tidur ialah ia mampu menstabilkan emosi anak-anak.
Biasa sahaja anak-anak sepanjang hari bermain dan terlibat dengan berbagai aktiviti samada di rumah atau bersama kawan-kawan. Adakalanya mereka pulang dalam situasi yang sedih atau bermasam muka. Situasi ini boleh berlanjutan dan melarat sehingga ke waktu tidur. Tidur mereka menjadi terganggu kerana rasa tidak puas hati dibawa bersama sehingga ada sesetengahnya terbawa-bawa ke dalam mimpi.

Namun begitu, sesi bercerita sebelum tidur mampu memadamkan emosi negatif ini. Anak-anak mula terdorong rasa seronok mengikut jalan cerita yang dibacakan atau diceritakan oleh ibu atau bapa mereka. Kreativiti kedua mereka pula banyak membantu menerbangkan segala tompok-tompok hitam yang melekat.

Anak-anak tersenyum dalam tidur dan tentu sahaja bermimpikan yang indah-indah....

Wednesday, October 03, 2012

Tip Penulisan: Cerita yang direka dibukukan

Tentu ibu bapa banyak mereka cipta cerita sendiri untuk anak-anak. Tidak dinafikan adakalanya kita lebih suka bercerita kisah pengalaman sendiri yang diolah semula supaya lebih menarik. Biasanya kisah anak-anak soleh atau kisah haiwan yang baik moralnya.

Di sini saya kongsikan panduan mengumpulkan cerita-cerita rekaan anda menjadi sebuah buku atau ebuku. Besar manfaatnya apabila menjadi buku atau ebuku. Ia menjadi perkongsian yang bernilai tinggi kepada ibu bapa yang lain. Selain itu ia boleh menjadi satu pendapatan tambahan buat anda.

Sunday, September 23, 2012

Bercerita sebelum tidur: Mengkreatifkan ibu bapa

Ibu bapa menjadi kreatif apabila mempraktiskan sesi bercerita bersama anak-anak. Anda boleh bergilir-gilir melakonkan watak-watak di dalam cerita. Mimik muka dan nada suara yang lain daripada biasa menambahkan lagi suasana ceria semasa bercerita. Anak-anak pasti suka!

Bercerita sebelum tidur: Gaya hidup sihat

Bercerita sebelum tidur ialah satu aktiviti yang mendorong kepada gaya hidup sihat sesebuah keluarga.
Lambakan berbagai jenis dan kategori buku kanak-kanak, memberi peluang kepada anak-anak membuat pilihan. Secara langsung atau tidak langsung, budaya membaca mula menyerap masuk dalam kehidupan mereka dan mewarnai rumahtangga.

Apa yang perlu diingatkan, elakkan daripada membeli buku cerita yang penuh khayalan, fantasi, tidak bermoral, dan yang seumpama dengannya. Semua bahan bacaan sedemikian penuh dengan kepura-puraan dan melalaikan.


Saturday, September 22, 2012

Kata ulama, Awal-awal agama ialah mengenal agama. Kedua, mengasuh anak mencintai Al Qur'an. Ketiga, mendidik mereka mencintai keluarga Nabi SAW dan para sahabat.

Ketiga-tiganya menjadi keutamaan dalam pendidikan awal kanak-kanak. Sekolah pertama bagi anak-anak tentunya di rumah. Ibu bapa pula sebagai guru pertama mereka. Pun begitu, usia anak terus meningkat dari tahun ke tahun. Ramai ibu bapa membuat pilihan yang tepat dengan menghantar anak-anak ke tadika-tadika Islam. Pelajaran asas Islam diajar di sini.

Proses pembelajaran di rumah tidak terhenti di sini. Bahkan, semakin rancak. Sesi di rumah boleh diteruskan sebagai usaha pengkayaan. Bekalan buku/ kaset/video yang berkaitan amat memberi kesan. Paling penting, ibu bapa mempamerkan contoh akhlak Islami bagi diikuti oleh anak-anak.

Friday, September 21, 2012

Bercerita sebelum tidur: Anak suka cerita apa

Kanak-kanak seawal usia di bawah tujuh tahun amat menyukai cerita tentang haiwan/binatang. Ibu bapa boleh memilih di antara kisah-kisah haiwan yang banyak terdapat di pasaran. Kisah haiwan-haiwan syurga, misalnya. Atau kisah-kisah haiwan rekaan penulis yang siap dengan moral yang positif.


Wednesday, September 19, 2012

Bercerita sebelum tidur: Tanam sifat murni

Sesi bercerita kepada anak-anak di antara usaha menanam sifat-sifat baik.

Jangan pernah berputus asa dalam mendidik anak-anak. Tidak dinafikan ada kalanya sebagai ibu bapa, ada ketikanya kita didepani dengan pelbagai musibah dan cubaan. Itu tidak lain sebagai tanda kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya. Ia bagi meningkatkan taraf atau darjat iman. Biar lebih dekat kepadaNya.

Teruskan rutin bercerita sebelum tidur. Buat jadual samda seminggu tiga kali atau berapa kali kerap ikut kemampuan. Ibu bapa boleh saling bergilir-gilir bercerita. Tentu lebih meriah.

Bercerita sebelum tidur: Hati anak-anak terhibur


Bercerita sebelum tidur bukan sahaja menggembirakan hati anak-anak. Malah di masa yang sama ibu bapa turut merasai impak kegembiraannya. Ia suatu perasaan yang cukup indah mengalir dalam diri kita dan anak-anak. Satu perasaan yang memancarkan ceria di wajah.

Pemilihan cerita sebelum tidur memang banyak terdapat di pasaran. Ibu bapa bebas memilih. Tidak perlu terlalu spesifik. Pelbagaikan. Buku enskilopedia juga bagus. Anda boleh membuat cerita rekaan anda sendiri sambil melihat gambar-gambar binatang/pokok yang dipaparkan. Manfaatkan segala kebolehan yang ada. Buat mimik muka, nada suara yang berbeza-beza. Pasti anda turut kagum dengan bakat yang terpendam selama ini.




Friday, September 14, 2012

Anak ialah amanah

Anak-anak ialah amanah daripada Allah SWT

Setiap kanak-kanak dilahirkan dalam keadaan fitrah (Islam), ibu bapanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi, Majusi atau Nasrani. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Anak-anak ialah satu daripada amanah Allah SWT. Petikan hadis ini menjelaskan bahawa ibu bapa sebagai pemegang amanah ini.

Sedaya mungkin, sebagai orang yang diamanahkan, tahu apa yang perlu dilakukan dan bagaimana cara melaksanakannya. Tiada cara lain melainkan mengambil acuan (sibghah) yang sudah disediakan iaitu acuan Islam.

Sibghah Allah dan siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nyalah kita menyembah. (Surah Al Baqarah: 138)

Thursday, September 13, 2012

Bercerita sebelum tidur: Anak-anak seronok, ibu bapa juga seronok

Jadikan sesi Bercerita Sebelum Tidur satu aktiviti yang menyeronokkan.

Menyeronokkan untuk anak-anak dan ibu bapa. Kedua-dua belah pihak sama-sama dapat menikmati keseronokkan suasana ini. Ia berlaku samada secara langsung atau tidak langsung. Begitu juga perkongsian terhadap impaknya. Bukan anak-anak sahaja yang akan mengalami perubahan positif walau pun dalam jangka panjang tetapi ibu bapa juga. Suasana rumahtangga menjadi lebih teratur dan terkawal dan lebih rasional.

Ibu bapa tidak perlu meluangkan masa terlalu lama untuk sesi bercerita ini. Tidak perlu berjam-jam. Ia akan membuat anak-anak bosan dan jemu. Hanya luangkan masa sekitar sepuluh hingga lima belas minit sahaja.

Lakukan kebiasaan seperti ini; Seusai solat isyak berjemaah, boleh mula berkumpul. Samada di bilik atau di satu ruang tertentu asal sahaja ia selesa dan santai. Biarkan sahaja anak-anak bebas dengan cara mereka. Tidak perlu ada protokol, duduk bersila atau bersimpuh. Biarkan mereka berbaring atau meniarap sambil mendengar anda bercerita.

Tuesday, September 11, 2012

Bercerita sebelum tidur: Pemilihan cerita




Membacakan sebuah cerita pendek atau cerita kontot kepada anak-anak sebelum tidur menjadi rutin kebanyakkan ibu bapa moden kini. Namun seingat saya, sewaktu kecil kami adik-beradik juga sudah didedahkan dengan bercerita sebelum masuk tidur ini.

Pemilihan cerita-cerita yang tinggi nilai moralnya menjadi pilihan. Ia amat penting kerana bahan yang didengari di saat akhir sebelum tidur amat besar kesannya kepada ingatan anak-anak. Mungkin ia kelihatan seperti anak-anak acuh tidak acuh terutama bagi anak-anak yang masih kecil tetapi sebenarnya dalam diam, mereka mengumpul sebanyak mungkin maklumat.

Apakah cerita yang menjadi pilihan ibu bapa bagi sesi bercerita ini?


Monday, September 10, 2012

Bercerita sebelum tidur: Anda bacakan, anak-anak mendengarnya



Hampir semua ibu bapa menyedari peri pentingnya ilmu kepada zuriat mereka. Hanya ilmu atau pengetahuan sahaja yang mampu menjamin masa hadapan mereka. Sejak awal kehamilan lagi anak-anak diberi ilmu pengetahuan dalam berbagai bidang yang dilihat perlu.

Menjelang usia anak semakin membesar, bekalan ilmu ini diteruskan dengan berbagai kaedah. Walau pun anak-anak belum pandai membaca, banyak kaedah yang boleh digunakan. Terutamanya kaedah ibu bapa membaca dan anak-anak mendengar.

Apakah bacaan yang menjadi kesukaan anak-anak? Bagi ibu bapa yang menjalankan rutin sesi bercerita sebelum tidur ini, bagaimanakah anda melihat di antara kesukaan dan keperluan mereka?

Friday, January 13, 2012

Jom jadi kawan-kawan Hani

Jom lawati blog

www.hani.my

dan klik 'like' di dinding fb Hani.my

Monday, November 28, 2011

Cantik?




Hari-hari semakin mendebarkan menunggu kelahiran siri Hani.my, yang akan berkongsi hari-hari dalam hidupnya bersama kawan-kawan.

Ini kaver dan judul yang disepakati. Cantiknya...
Bersama kita ikuti siri baru yang akan terbit tidak lama lagi, ya.

Wednesday, November 23, 2011

Siri baru!



Masih dalam peringkat pemilihan kaver bagi siri pertama. InsyaAllah,akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Sunday, November 20, 2011

Aminah: Bunga Kaum Quraisy (2)

Sebenarnya, mereka senang mendengar jawapan yang terbit daripada bibir manis gadis kecil itu. Jawapan yang indah didengar walau pun bersifat keanak-anakan. Lunak suara jujurnya menyenangkan setiap yang mendengarnya. Mereka seronok mendengar celoteh tulusnya sehingga ke mana sahaja beliau pergi, pasti disapa, dipanggil, dilambai dan diajak berbual sekali pun hanya berbual kosong. Rugi apabila mereka tidak dapat mendengar suaranya walau pun sehari.

Mereka suka mendengar bait-bait yang penuh dengan puji-pujian daripada bibir kecil anak itu. Puji-pujian menjadi kebanggaan penduduk kota Mekah pada ketika itu. Malah, apabila terbit sahaja matahari, berkerumun kanak-kanak seusianya datang mengajak beliau bermain bersama-sama mereka. Tidak ada lagi keseronokan bermain dengan ketiadaannya. Tidak ada keceriaan dan riang tawa tanpa kehadirannya. Apa juga perbualan menjadi hambar ibarat makanan tiada perencah tanpa kehadirannya. Begitu hebat penangan gadis kecil rupawan ini. Siapakah beliau yang sebenarnya?

(bersambung)

Tuesday, November 15, 2011

Rancang hari-hari cuti

Alhamdulillah, ada yang beritahu mereka sudah merangka jadual sepanjang cuti panjang ini. Tahniah dan syabas Ezee Rahmani ucapkan.

Ada pula yang tanya bagaimana sekiranya apa yang dirancang tidak menjadi?
Sekurang-kurangnya kita sudah berniat dan berusaha melakukan yang terbaik. Niat yang baik tentu sahaja mendapat pahala di sisi Allah. Tidak berjaya menlakukannya pula kerana terpaksa melakukan urusan yang lebih penting, contohnya mengurus ibu/bapa yang sakit tentu sahaja tidak perlu dikesali. Berbahagia dan ceria di mana kita berada. Biar orang-orang di sekeliling kita turut bergembira dan ceria. Terutamanya orang-orang yang sakit. Allah amat suka kepada orang-orang yang mendahului urusan orang tua mereka.

Selamat mengisi hari-hari cuti dengan urusan yang Allah suka :)



p/s Jemput layari blog ini, ya http://warkahbuatpermatahatiku.blogspot.com/

Monday, November 14, 2011

Rancang hari-hari cuti

Khabarnya sudah ada sekolah yang mula bercuti panjang. Anak-anak, smada yang sedang bercuti dan akan bercuti sekolah, sudahkah membuat persediaan bagi mengisi waktu yang begitu panjang sehingga akhir tahun ini?

Ramai yang akan bercuti, melancung atau pulang ke rumah nenek dan datuk. Apa pun rancangannya, pesan Ezee Rahmani, kitab/buku jangan dilupa, ya. Buat bekal waktu santai atau senggang.

Sekurang-kurangnya boleh membaca al Quran sehelai sehari, alhamdulillah. Sekiranya dapat membaca lebih banyak lagi bagus. Setiap huruf yang dibaca itu ada sejumlah pahala yang diperolehi. Apatah lagi sekiranya direnung-renung dan dijadikan panduan. Berkat hidup kita.

Lain-lain bahan bacaan adalah pilihan anak-anak sendiri. Selagi yang dibaca itu ialah yang baik-baik dan tidak ada unsur yang lara selagi itu kita mendapat pahala.

Mudah-mudahan hari-hari cuti yang dilalui penuh keberkatan. Sama-sama kita saling ingat-mengingati, ya.

Sunday, November 13, 2011

Kaver Baru!

Peperiksaan SPM bermula esok. Doa kami semoga pelajar-pelajar yang berkenaan beroleh ketenangan ketika menjawab soalan. Bertawakkal kepada Allah setelah sekian waktu berusaha dan bergigih.

Doa kami bersama kalian. Terus bertenang, bersabar dan berserah kepadaNya, ya. Semoga Allah permudahkan segala urusan yang berkaitan dan anak-anak terus ceria dan bahagia selalu.

Wednesday, October 05, 2011

Komen Travelog Hajah: Kembara Tetamu Allah

1. Assalamualaikum Puan Ezee,
Alhamdulillah kerana Allah telah temukan saya dengan buku Kembara Tetamu Allah. Ini antara buku yang saya sanagt2 bersemangat untuk membaca dalam masa yang singkat.
TAHNIAH dan TERIMA KASIH kerana berupaya utk mengolah perkataan dan ayat sehingga hampir setiap helaian yang saya baca, airmata tak berhenti mengalir.
Saya belum ada rezeki menjadi tetamu Allah,hajat ada tapi belum ada rezeki, insyaAllah selepas membaca buku saudari .... azam utk menjadi tetamu membuak2.

Puan Zaharin bt Marzuki@Matt
UUM


2. Travelog Hajah, oleh Puan Ezee Rahmani Engku Zainun, adalah buku yang sedap dibaca. Berulang-ulang kali saya sebak dan berair mata, sejak saya menerimanya daripada Puan Ezee sendiri semalam. Alhamdulillah, pagi ini sudah tamat membacanya. Semoga kami suami isteri dapat menjadi tetamu Allah juga dalam usia muda. Amin...

Ustaz Asyraff Hafdzan Abdullah

Wednesday, September 28, 2011

Aminah: Bunga Kaum Quraisy (Petikan 1)

Bunga Kaum Quraisy kembang berseri
Di sebalik tembok mekar mewangi
Menebar haruman ke pelusuk negeri
Membuat teruna dibuai mimpi

Mengapa beliau sering kali menjadi perhatian? Rakan-rakan sebaya sering mengerumuninya. Ada sahaja soalan mahu pun topik perbualan diajukan kepadanya. Walau pun berasa hairan, namun beliau senang sekali dengan apa sahaja soalan mahu pun perbincangan yang datang kepadanya. Malah beliau seronok dapat menjawabnya dengan sebaik mungkin dan membuat semua orang gembira mendengar jawapannya itu. Tetapi, mengapa mereka suka menyoalnya? Mengapa mereka suka sekali berbual-bual dengannya? Di usia semuda itu dia sendiri pun tidak ada jawapannya yang pasti.

Saturday, July 02, 2011

Buku seterusnya sebuah travelog...


Kembara Tetamu Allah

Sinopsis:

Kembara Tetamu Allah adalah catatan menuju percutian abadi yang sering dinanti oleh setiap umat Islam. Catatan ini bukan sahaja menceritakan pengaIaman dan perkongsian perasaan sepanjang menunaikan Rukun Islam kelima ini, namun diselitkan kisah-kisah sejarah di setiap tempat yang diziarahi buat tauladan umat Islam semua. Menunaikan haji dalam keadaan fizikal yang kurang sihat menjadi penguat semangat dan detik-detik manis yang kekal dirasai penulis sehingga kini.

Allah membentangkan hamparan yang cukup luas lagi indah bagi menyambut kedatangan para tetamunya ke Tanah Suci sehingga perasaan malu tebal dirasi tatkala berada di halaman rumah-Nya.

Pengalaman menunaikan fardu haji tidak pernah luput daripada ingatan mereka yang sudah melaksanakan ibadat itu. Aroma haji nyata luar biasa. Ia suatu detik dalam kehidupan manusia yang pastinya menjadi ingatan seumur hidup. Ingatan ini tentunya bersebab. Mengapa Allah mewajibkannya sekali seumur hidup? Malah mengapa pula ia menjadi Rukun Islam yang kelima?

Pengalaman yang dicatatkan oleh Ezee Rahmani membantu khalayak pembaca bagi merasai nikmat menunaikan fardu haji selain dapat memotivasikan mereka bagi melakukannya dengan cara terbaik. Pastinya perjalanan suci melalui jalan yang dilalui oleh Nabi Muhammad dan para sahabat awal berbekalkan iman, amal, kasih sayang dan persaudaraan tidak pernah luput daripada ingatan mereka yang pernah merasainya.


P/s
Ada sesiapa di kalangan pengunjung blog (Semenanjung Malaysia sahaja) yang akan menunaikan ibadah haji tahun ini? Saya ingin menghadiahkan buku ini kepada anda. Cepat! Tawaran adalah terhad. Emelkan alamat anda kepada:

ezeerahmani@yahoo.com

Tuesday, April 19, 2011

Siri Sarah yang terakhir!



Sinopsis: Ini adalah kisah terakhir dalam Siri Sarah. Kali ini Sarah dan Kompang menceritakan bagaimana Sarah dan Amin yang bersungguh-sungguh mahu belajar bermain kompang pada hari bahagia Mak Su mereka. Mereka sangat seronok dan tidak sabar menunggu hari indah itu.

Friday, April 08, 2011

Ada lagi!

Ada lagi novel Ezee Rahmani yang akan menyusul selepas ini. Tunggu!

Siri Cerita Rakyat: Kembara Putera Mahkota



Siri Cerita Rakyat: Kembara Putera Mahkota ini ialah novel pembuka tirai bagi tahun 2011. Kembara Putera Mahkota ialah Siri Cerita Rakyat kedua karya Ezee Rahmani. Kepada yang meminati siri kembara, dapatkan novel ini di pasaran, ya!

Sinopsisnya:

Negara Indera Budi ditawan dan raja serta permaisuri dipenjarakan. Si putera yang masih bayi dihanyutkan ke sungai supaya tidak terlepas ke tangan raja yang zalim.
Si putera diselamatkan oleh pasangan suami dan isteri yang mulia. Tahun demi tahun, si putera membesar sebagai rakyat biasa yang berhati waja. Mimpi yang diterimanya membuatkannya bertekad untuk mengembara bagi menjejak asal usulnya. Beliau juga mempunyai misi besar iaitu menyelamatkan negaranya.
Dapatkah si putera membebaskan raja dan permaisuri serta mengembalikan takhta kerajaannya?

Wednesday, March 23, 2011

Sekarang Ezee Rahmani sibuk menyemak pruf beberapa buah manuskrip yang dijangka terbit tahun ini. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar.

Terima kasih kepada yang bertanya khabar dan perkembangan penulisan saya. Tunggu karya terbaru saya tidak lama lagi!

Tahniah!

Tahniah kepada adik-adik yang mengambil keputusan peperiksaan SPM. Walau apa pun keputusannya kalian semua adalah pewaris. Terus mengorak langkah,tingkatkan usaha bersama restu orang tua dan bertawakkal kepada-Nya.

Thursday, January 13, 2011

Assalamualaikum,

Apa khabar semua? Semoga anak-anak, adik-adik, teman-teman dan pengunjung semua dikurniakan Allah dengan kesihatan yang bertambah baik, dimurahkan rezeki, ditambahkan ilmu yang bermanfaat dan dipermudahkan segala urusan. Tentu sahaja urusan yang baik-baik yang dimaksudkan.Amiin....

Thursday, January 06, 2011

Plan 2011

Apakah plan Ezee Rahmani pada 2011?
Seperti tahun 2010, saya juga mensasarkan 4 buah karya saya berjaya diterbitkan. Sekiranya dapat terbit lebih daripada itu, tentu lebih menyeronokkan. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar.

Semalam saya menghantar 2 manuskrip baharu untuk 2 buah syarikat penerbitan. Iaitu PTS One dan PTS Mellinea. Sebelum ini, 1 manuskrip diserahkan kepada penerbit PTS Islamika.

Harapan saya, ketiga-tiga novel ini selamat dilahirkan dan selamat menemui para pembaca sekalian. Semoga Allah permudahkan. Doakan, ya!



MEMBACA BUDAYA KITA :)

Thursday, December 23, 2010

Tahniah diucapkan kepada adik-adik yang mendapat keputusan cemerlang dalam PMR. Kepada adik-adik yang kurang cemerlang pula jangan bersusah hati, masih banyak peluang di hadapan sana. Tingkatkan usaha dan perkemaskan strategi. Selamat menjejak kaki ke tingkatan 4 tahun 2011!

Wednesday, December 08, 2010

Karya Ezee Rahmani di tahun 2010


Inilah buku-buku saya yang terbit di tahun 2010. 4 buah kesemuanya. Semoga ianya memberi impak yang positif kepada setiap pembaca.

Wednesday, December 01, 2010

Top 50 November 2010




Ketua Bilik LA 101: Kami Hero! turut tersenarai.

Sumber: http://www.universitipts.com/

Sunday, November 28, 2010

Sepanjang 2010

Hanya tinggal sebulan sahaja lagi bagi tahun 2010 melabuhkan tirai. Sepanjang tahun 2010 ini, 4 buah buku karya Ezee Rahmani diterbitkan.

1. Aminah - Bunga Kaum Quraisy
2. Siri Sarah ke5 - Sarah dan Duit Raya
3. Siri Ketua Bilik LA 101 ke2: Kami Hero!
4. Koleksi 31 Kisah Teladan: Zikir Ikan di Lautan

Sunday, November 21, 2010

Selamat bercuti!

Selamat bercuti kepada semua pelajar-pelajar sekolah rendah,menengah dan IPT. Juga selamat bertempur kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM.

Apa rancangan cuti adik-adik? Semoga adik-adik semua bijak merancang musim cuti ini agar ia bermanfaat. Sememangnya kita semua bijak merancang, bukan? :)

Friday, November 12, 2010

Melangkah setapak lagi....

Assalamualaikum, apa khabar semua?
Semoga kita semua sihat dan sentiasa dalam kasih sayang Allah yang berkekalan. Amiin...

Keputusan peperiksaan UPSR sudah pun berada di tangan adik-adik darjah enam. Tahun hadapan adik-adik akan beralih ke suasana baharu. Adik-adik melangkah setapak lagi. Ke sekolah menengah pula. Tahniah daripada Ezee Rahmani walau apa pun keputusan yang dicapai. Adik-adik, teruskan semangat belajar dan berdamping selalu dengan kumpulan yang boleh membantu kita mengejar cita-cita selain bergelumang dengan buku-buku.

Apa cita-cita adik-adik? Walau apa pun cita-cita itu, genggam sekuat mungkin dan bisikkan selalu kepada diri sendiri supaya kita tidak lupa ke mana langkah mahu ditujui.

Kerap mengadu kepadaNya, agar Dia juga tahu betapa bersungguhnya kita dalam mengejar impian. Orang tua usah sekali-kali dilupa. Mohonlah doa mereka. InsyaAllah cita-cita yang baik, tentu sahaja dimakbulkan.

Tuesday, October 12, 2010



... "Aminah : Bunga Kaum Quraisy"..Begitulah buku yang menyebabkan saya berdiri lama dikedai itu. Hanya sebab sebuah buku hampir setengah jam saya meneliti kandungannya. Saya tekad untuk memilikinya.Alhamdulillah hampir separuh buku saya telah membaca buku ini..MasyaAllah, terasa satu semangat yang menusuk jiwa. Air mata gugur apabila membaca bait-bait ayat yang menyentuh hati..Hebatnya Aminah...Hidupnya singkat namun sentiasa duji dengan pelbagai peristiwa dan mampu menempuh dugaan hidup tanpa ada keluhan panjang.

Sabda Rasulullah S.A.W:


Allah memindah-mindahkanku daripada tulang sulbi ayah-ayah yang baik ke rahim ibu-ibu yang suci dalam keadaan suci dan terdidik. Sekiranya suatu keturunan bercabang dua, maka Allah menjadikanku berada pada cabang yang terbaik antara kedua-duanya"
(Ibnu Abbas)

http://jajawatie.blogspot.com/


EZ: KOmen daripada seorang cikgu muda tentang Aminah: Bunga Kaum Quraisy. Terima kasih saya ucapkan. Semoga semangat yang ditunjukkan oleh Bonda Aminah ini turut sama mengalir ke dalam diri kita, insya-Allah.

Friday, October 08, 2010

Diulang cetak dengan wajah baharu!


31 Kisah Teladan: Zikir Ikan Di Lautan


Inilah bukunya. Cantik tak? Alhamdulillah....
InsyaAllah, terbit tidak lama lagi. Ini ialah buku keempat saya di bawah projek 31 Kisah Teladan yang diterbitkan oleh PTS Islamika. Buku-buku sebelumnya ialah; Kisah Burung Pipit, Penghuni Langit ketujuh dan Indahnya Cinta.
Semoga Allah melapangkan hati-hati kita dalam memetik setiap teladan yang dikongsikan dan sama-sama kita amalkan.
Ya Allah, tambahkanlah kami dengan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Ya Allah, permudahkanlan usaha kami ini. Amiin....

Tuesday, October 05, 2010

Kepada adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan PMR pada hari Rabu ini, bermulalah perjuangan kalian. Kami doakan semoga adik-adik tenang dan dapat menjawab semua soalan dengan tepat.

Hari-hari ini terakhir ini eloklah rehatkan minda dengan melihat kehijauan di luar rumah dan bukannya terus-terusan menatap buku, ya.

Paling penting, selepas berusaha ialah kita memanjatkan doa kepada Allah. Pintalah kepada-Nya apa yang adik-adik mahukan. Allah itu Maha Mendengar permintaan hamba-hambaNya. Mohon juga restu daripada ibu ayah serta guru-guru yang mengajar selama ini.

InsyaAllah, sekali lagi kami di sini turut sama menadah tangan mendoakan yang terbaik untuk adik-adik semua!

Tuesday, September 28, 2010

Kembali bertugas

Assalamualaikum saya ucapkan kepada pengunjung-pengunjung blog bicaraku-ez terutamanya kepada adik-adik yang dikasihi. Masih sempat lagi saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin kepada kalian semua. Semoga hari-hari yang kita lalui membuat kita saling menghargai setiap anugerah yang Allah anugerahkan dengan penuh rasa syukur.
Bagi adik-adik darjah 6 tentu kini menarik nafas lega semahunya, bukan? Maklumlah peperiksaan UPSR baharu sahaja berlalu. Tentu banyak program yang diatur oleh pihak sekolah sepanjang hari-hari persekolahan ini bagi adik-adik semua. Harapan Cik Ez, adik-adik manfaatkanlah setiap peluang yang disediakan itu dengan sebaik mungkin. Bukan selalu kita dibentangkan dengan peluang sebegitu.
Bagi adik-adik di tingkatan 3 pula, tentu giat mengulangkaji pelajaran bagi menyambut kedatangan PMR. Begitulah lumrahnya hidup sebagai pelajar, kita tidak lekang dari menghadapi ujian dan peperiksaan silih berganti. Usahlah adik-adik merasa bosan ya. SEbaliknya hadapilah dengan bijaksana dan penuh kreativiti. Baharulah belajar jadi seronok.
Begitu juga dengan Cik Ez, kembali meneruskan penulisan yang tertangguh kerana lamanya bercuti. KElmarin Cik Ez menerima manuskrip daripada PTS Islamika untuk semakan terakhir sebelum diterbitkan. Insya-Allah akan diserahkan pada minggu hadapan.
Akhir kata,sama-sama kita berdoa, semoga setiap urusan kita dipermudahkan oleh Allah Taala. Rabbi yasir wala tuassir. Amiin ya Rabbil 'Alamiin....

Friday, September 03, 2010

Sudah terbit!


Ini ialah novel kedua kepada siri Ketua Bilik LA 101.

Sunday, August 22, 2010

Bulan keberkatan

Komen Ezee Rahmani yang terakhir di kotak komen ialah pada 9hb Ogos 2010. Selepas itu saya tidak menghantar sebarang komen. Mohon maaf di atas kekeliruan yang berlaku. Semoga Allah permudahkan segala urusan kita semua, ameen....


"Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkatan. Allah mengunjungimu di bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapuskan dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat kamu berlumba-lumba di bulan ini dan membanggakan kamu kepada para malaikat-Nya. Maka tunjukkanlah kepada Allah perkara yang baik-baik daripada kamu kerana orang yang sengsara ialah orang yang tidak mendapat rahmat Allah di bulan ini." (HR At Thabrani)

Ramadhan menjadi kerinduan setiap orang-orang beriman. Kedatangan bulan yang membuat hati-hati menjadi sebak dan terharu penuh rindu dan linangan air mata. Sebabnya tidak lain, melainkan kerana menyedari diri yang berdosa. Namun di sebalik sebak dan haru serta linangan air mata terpancar satu peluang dan harapan kerana di bulan mulia penuh barakah ini, Allah menjanjikan sesuatu. Ya. Janji Allah untuk menghapuskan dosa-dosa dan mengabulkan doa-doa yang dipohonkan kepada-Nya. Mudah-mudahan Allah SWT masih memberikan rasa nikmat ke dalam hati-hati kita sebagai anugerah terindah kerana berpeluang berada kembali di bulan Ramadhan pada tahun ini.
Bersama kita hadirkan semangat Ramadhan dengan berjemaah di masjid, qiyamullail, solat terawih, tilawah al Quran, bersedekah dan ibadah-ibadah lain. Ibadah-ibadah tersebut semakin kita perhebatkan menjelang sepuluh malam terakhir, terus memanjatkan doa dan memohon ampun kepada Allah SWT ke atas segala dosa yang kita lakukan.
Seterusnya semangat Ramadhan sama-sama kita kekalkan walau pun bulan Ramadhan berlalu pergi. Bermula dengan menjengahnya bulan Syawal, kita meneruskannya dengan puasa-puasa sunat, tilawah al Quran, menghiasi malam dengan qiyamullail dan terus menggengam kuat segala ibadah lainnya dengan penuh tanggongjawab. Semoga iman kita terus terpelihara sehingga kita diberi peluang sekali lagi menikmati limpahan rahmat dan barakah di bulan Ramadhan tahun hadapan, Insya-Allah.
Wallahu'alam.

Wednesday, August 11, 2010

Sudah dapatkan Sarah dan Duit Raya?



Shobanah
30 Jul 2010
11:44 PM
Ulasan isi kandungan/jalan cerita
Novel Sarah Dan Duit Raya memang menarik. Kulit buku ini memang menarik. Sampul duit raya yang terdapat di kulit buku ini amat comel. Ianya lain daripada novel yang lain. Warna yang digunakan pun amat sesuai dengan novel ini. Ianya bersesuaian dengan novel ini yang berkaitan dengan bulan puasa dan raya.

Dari segi jalan cerita, memang ianya amat menarik. Novel ini berkaitan dengan bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi. Oleh itu, novel ini memang sesuai untuk dibaca pada waktu yang terdekat. Novel ini kelakar dan lucu. Pertama sekali, adegan yang lucu ialah ketika Amin terjatuh di masjid. Amin tergelincir lalu terjatuh. Selain itu, adegan yang sedih ialah ketika Sarah dan keluarganya pulang dari kampung untuk pulang ke rumah. Masing- masing sedih kerana terpaksa pulang ke rumah, terutamanya Amin yang rindu akan Nabil.

Novel ini banyak pengajarannya. Antaranya ialah menghayati bulan puasa. Sarah dan keluarganya Mneyibukkan diri mereka pada waktu malam dengan ke surau atau masjid. Mereka tidak bersikap seperti sestengah orang yang hanya makan sahaja apabila tiba waktu berbuka. Sikap mereka wajar dicontohi. Di samping itu, kita harus mencontohi sikap Sarah dan Amin yang mendermakan duit raya merek kepada warga yang memerlukannya. Sikap ini sukar dicari pada zaman sekarang. Pada zaman sekarang, remaja menggunakan duit raya mereka untuk membeli barang- barang yang tidak berfaedah.

Novel Sarah Dan Duit Raya memang menarik. Sikap- sikap Sarah dan keluarganya wajar dicontohi.



Adlina
21 May 2010
9:29 AM

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
cerita sarah amat menarik minat saya.Dulu saya tidak suka membaca novel.Apabila saya membaca buku Sarah& kasut tumit tinggi,saya menykai jln critanya. Terima Kasih krna disebabkan isi kndugn ini menarik minat sy dlm membaca novel.



Hanan Fareeha
08 May 2010
10:29 PM

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
Buku karya Ezee Rahmani memang sesuatu yang saya rasa best dan kadang kala lucu.Jalan cerita yang menarik membuatkan saya tertarik dengan novel Sarah dan saya berharap kak Ezee terus berusaha menerbitkan buku Sarah.

Sumber dipetik dari http://pts.com.my/index.php/buku/sarah-dan-duit-raya/

p/s Terima kasih diucapkan kepada semua peminat siri Sarah. Semoga adik-adik semua terus mengikuti perkembangan siri ini, ya. Cik Ez ucapkan selamat berpuasa :)

Thursday, August 05, 2010

Ramadhan Kareem

Saya mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua pengunjung blog bicaraku-ez. Semoga Ramadhan kali ini lebih indah, lebih bermakna, lebih terkesan dan lebih baik. Sama-sama kita tingkatkan mutu ibadah kita di sepanjang bulan mulia ini yang sudah tentunya diganjari pahala berlipat ganda.
Mudah-mudahan, amalan indah di bulan penuh barakah ini terus kekal dan hidup dalam diri kita sehingga ke akhir hayat. Amiin....

Friday, July 23, 2010

Siapa anak soleh solehah?

“Mari kita berteduh di gua itu!” jerit seorang pemuda kepada kawan-kawannya. Mereka adalah tiga sahabat pengembara yang terperangkap dalam hujan lebat ketika menuju ke suatu tempat.
“Lihat! Di sana ada sebuah gua!” tunjuk pemuda pertama apabila terpandang ke arah sebuah gua di kawasan berbukit tidak jauh daripada tempat mereka berdiri.
Berlarilah mereka masuk ke dalam gua itu merempuh hujan yang semakin mencurah. Hujan lebat turun bersama angin kuat. Mereka bertiga hanya mampu melihat pokok-pokok di sekitar melentuk liuk di tiup angin kencang dan hujan lebat. Beberapa batang pokok tumbang. Hujan semakin lebat.
Gua tempat mereka berlindung dari hujan lebat dan angin kencang itu hanya mampu memuatkan mereka bertiga. “Alhamdulillah, kita bertiga dapat berlindung di dalam gua ini sehingga hujan berhenti.”
“Angin bertiup semakin kencang. Pokok-pokok pun ada yang tumbang!”
Seketika kemudian dengan tidak disangka-sangka sebuah batu dari atas bukit jatuh tepat di hadapan lubang masuk ke gua. Batu besar itu menutup pintu gua. Keadaan menjadi gelap dan mereka bertiga saling terkedu. Kedengaran hujan masih lebat mencurah di luar.
“Kita terperangkap!” jerit pemuda kedua. “Batu ini sungguh besar!”
Mereka terperangkap di dalam gua. Batu besar menjadi penutup lubang gua dan menghalang mereka meninjau perkembangan di luar apatah lagi bagi mencelah keluar. Mereka duduk berfikir cara melepaskan diri sehingga bunyi hujan tidak kedengaran lagi.
“Hujan sudah berhenti. Mari kita tolak batu ini!” cadang salah seorang daripada mereka.
Ketiga-tiga pemuda berusaha menolak batu besar yang menutup lubang gua. Mereka menolak sekuat tenaga namun batu besar itu langsung tidak berganjak. Akhirnya mereka tersandar di batu besar keletihan.
“Batu ini terlalu besar dan berat. Tenaga kita bertiga pun tidak terdaya menolaknya,” suara keluhan mula kedengaran di kalangan mereka.
“Marilah kita berdoa kepada Allah. Jangan kita berputus asa,” Pemuda pertama menoleh kepada kawan-kawannya dan mereka saling berpandangan.
Mereka diam buat seketika dalam suasana kelam tanpa cahaya itu. Sekali lagi mereka berfikir cara melepaskan diri dari gua itu. Selepas lama diam mereka kembali berpandangan.
“Apa ikhtiar kita sekarang?”
“Kita tidak mungkin terdaya menolak batu itu walaupun bertiga.”
“Memang benar. Apa lagi kekuatan yang kita ada?”
Ketiga-tiga mereka tersandar di batu besar. Letih dan penat selepas mencuba berulang kali menolaknya. “Mari kita sebutkan amalan terbaik yang pernah kita lakukan. Mudah-mudahan dengan menyebut kebaikan yang kita pernah lakukan itu, Allah mengeluarkan kita dari gua ini.”
“Ya. Itu sahaja ikhtiar kita.”
Ketiga-tiga pemuda itu lalu berdoa dan menyatakan kebaikan masing-masing. Dimulai oleh pemuda pertama. Dia menadah tangan lalu menyebut kebaikan yang dianggapnya terbaik pernah dilakukan. Beliau memohon sepenuh harapan kepada Allah supaya membebaskan mereka dari terus terperangkap di dalam gua itu. Selesai sahaja pemuda pertama bercerita, batu besar yang menutup pintu gua itu berganjak.
“Lihat! Batu besar itu bergerak!” jerit pemuda kedua dan ketiga.
Pemuda pertama memeriksa ruang yang terbuka itu. “Masih tidak dapat melepasi badan kita.”
“Biarlah saya pula berdoa dan menyatakan satu kebaikan yang pernah saya lakukan.” Pemuda kedua pula menadah tangan menyebut kebaikannya. Habis dia berdoa, sekali lagi mereka dapati batu besar di pintu gua berganjak.
“Alhamdulillah! Batu besar itu berganjak lagi!” ujar pemuda kedua
“Tetapi masih belum melepasi badan kita,” kata pemuda pertama pula apabila cubaannya menyelit keluar di mulut gua gagal.
Ia memberi semangat pula kepada pemuda ketiga bagi memanjatkan doanya bersama menyebut kebaikan terbaik yang pernah dilakukan sepanjang usianya. “Kini giliran saya pula! Mudah-mudahan kita terlepas dari ujian ini.”
Pemuda ketiga menadahkan tangannya memulakan pula menyebut suatu kisah. Manakala kedua-dua temannya itu turut mendengar dan mengharap biarlah kali ini pintu gua terbuka luas dan mereka dapat keluar.
“Saya hanyalah seorang penggembala kambing dan mempunyai ibu dan ayah yang tua bersama beberapa orang anak. Setiap kali pulang dari menggembala, susu kambing yang saya bawa pulang saya berikan kepada ibu dan ayah terlebih dahulu. Selepas itu barulah kepada anak-anak. Suatu hari saya pulang lewat dan kedua mereka sudah tidur. Sepanjang malam saya memegang bekas susu dan menunggu mereka bangun sedangkan semasa itu anak-anak saya menangis kerana lapar susu. Saya tidak sanggup memberikan kepada mereka sebelum ibu dan ayah yang terlena kerana lapar didahulukan.”
Sebaik sahaja habis bercerita, batu besar di lubang gua berganjak lagi. Kali ini ruang pintu gua terbuka luas sehingga muat bagi mereka keluar.
“Alhamdulillah! Lubang gua ini sudah dapat dilalui. Mari kita keluar!”

Petikan daripada buku Penghuni Langit ketujuh. Terbitan PTS Islamika.Buku ini di antara siri 31 Kisah Teladan. Ada banyak lagi judul dalam siri ini. Semuanya amat bagus dan berbaloi untuk kita mendidik jiwa dan mengelokkan akhlak.

Tuesday, July 20, 2010

Cik Ez doakan moga adik-adik semua dalam kesihatan yang memuaskan. Kebelakangan ini ramai yang demam dan batuk-batuk. Jagalah kesihatan, ya. Lagi pun tidak berapa lama lagi kita masuk ke bulan yang ditunggu-tunggu. Mulai sekaranglah kita sama-sama buat persiapan menyambutnya. Sama-sama kita rebut,gondol dan kendong segala anugerah yang diberi. Seronoknya.... tentu meriah!

Apa Cik Ez buat sekarang?
MInggu lepas Cik Ez terima manuskrip daripada PTS One bagi pruf writer. Manuskirp itu perlu disemak semula sebagai semakan terakhir sebelum masuk ke proses percetakan yang seterusnya. Hari ini, manuskrip itu Cik Ez serahkan kembali kepada pihak PTS One. Mudah-mudahan, proses seterusnya berjalan lancar, amiin....

Manuskrip apa?
Manuskirp itu ialah siri 2 kepada Ketua Bilik LA 101. Kisah-kisahnya lebih menarik! Tunggu!

Bagaimana pula dengan kesibukan adik-adik?
Kepada yang di sekolah rendah tentu semakin giat dengan persiapan menjelang UPSR. Di sekolah menengah pula samada sibuk dengan persediaan PMR atau pun SPM. Apa pun sebagai pelajar yang baik, tentu kita tidak pernah lupa memanjatkan doa kepada Allah SWT di setiap kali selesai solat supaya hati dan akal kita sentiasa diterangi dengan Nur-Nya. Insya-Allah, sama-sama kita mendoakan kejayaan yang cemerlang bukan untuk kita sahaja malah untuk semua umat Islam di mana sahaja mereka berada.

Friday, July 02, 2010

Menghitung Hari Menyambut Tetamu Istimewa

Minggu hadapan masuklah bulan Sya'ban. Sebulan kemudian Ramadhan bertamu. Bagaimana perasaan adik-adik semua menjelang bulan yang mulia ini? Tentu semua orang merindui bulan yang penuh barakah dan penuh rahmah ini, bukan? Begitu juga dengan Cik Ez. Rasa berdebar, rasa cemas, rasa tidak sabar menunggu sebulan lagi dan macam-macam rasa lagi. Rasa nak menangis pun ada.
Apa pun, sama-sama kita berdoa semoga kita diberi kesempatan berada di bulan ibadah ini sepenuhnya agar dapat kita manfaatkan segala kelebihan yang Allah sediakan istimewa hanya di bulan ini sahaja. Kita tanamkan azam supaya amalan kita di bulan Ramadhan kali ini lebih baik daripada amalan kita di tahun lepas. Solat tarawih, solat-solat sunat yang lain, bacaan al Quran, bersedekah dan semua aktiviti yang kita lakukan dari bangun pagi hingga masuk tidur, kita pastikan hanya kerana mahu mencari redha Allah semata-mata.
Mudah-mudahan latihan sebulan ini terus menjadi amalan kita di bulan-bulan berikutnya dan sehingga kita diberi sekali lagi peluang menyambut kedatangannya, insya-Allah....